Pada pertengahan bulan Disember 1970 hujan turun tidak berhenti tiga hari, banjir melanda tetapi tidaklah besar. Rumah yang di tepi paya tengelam juga. Air paya kelihatan melaut tetapi akhirnya air sungai surut juga. Beberapa hari kemudian kelihatan daun-daun pokok di tebing melekat lumpur kering pada permukaannya. Waktu banjir dulu paras air hampir melimpah tebing. Daun pokok itu tenggelam beberapa hari, ketika itu lumpur dan daki mendap pada permukaan daun itu. Cuaca sudah mulai panas. Ayah mengambil peluang menorah getah setelah berminggu cuti kerana hujan yang sentisa membasahi kulit pokok. Ayah kelihatan beria benar menorah mahu menampung wang untuk bekalan saya agaknya? Saya pula ambil peluang pulang ke rumah tok (nenek) di Kampung Lompat. Setiap kali mahu pulang ke sekolah saya mesti pulang ke rumah tok terlebih dahulu kerana ada sebabnya. Emak saudara dan pak saudara tahu saya nak pulang ke asrama, mereka pun hulurlah dua tiga ringgit seorang. Kalau empat orang buat begitu tentulah berbelas ringgit berjaya masuk dalam poket. Bila pulang ke rumah saya tidak beri tahu ayah sebabnya kalau beritahu alamatnya ayah akan beri sedikit sahaja. Saya pernah terkena sekali. Lepas itu saya diam sahaja.
Dua hari lagi saya akan pulang ke asrama Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), menyambung pelajaran di tingkatan lima. Tiba-tiba sahaja hujan turun dengan lebatnya tanpa henti beberapa hari. Air sungai Pahang naik dengan cepatnya, banjir melanda sekali lagi. Hujan nampaknya tidak ada tanda akan berhenti. Kami sekeluarga sibuk memindahkan barang yang penting ke bukit. Dalam hujan itu, kami membina pondok yang besar untuk tiga keluarga di belakang rumah Tokki Dolah. Keluarga saya, keluarga encik Kiah dan keluarga Toki Dolah berteduh dalam satu pondok. Ayah adalah seorang tukang kayu yang handal, maka pondok yang dibina itu nampak kukuh. Ada dua pondok lain iaitu pondok keluarga Apak Yusoh dan keluarga Elong Seleman. Keluarga lain berpindah ke bukit yang lain. Antara barang yang beharga yang kami angkut dari rumah ialah padi. Oleh kerana mengharung dalam hujan, padi habis basah. Untuk mengeringkan padi terpaksa disalai. Kami terpaksa menumbuk padi menggunakan lesung tangan untuk mendapatkan beras. Air sungai Pahang macam laut. Air sungai mengalir laju. Saya nampak banyak rumah hanyut, sayu hati melihat rumah yang hilir satu demi satu. Rumah saya dikelilingi pokok getah maka arus air ditampan oleh pokok getah itu. Lagipun ayah menambat rumah gunakan rotan kepada pokok getah di sekelilingnya. Kini rumah kami terapung di permukaan air. Reban ayam juga terapung lalu hanyut di celah pokok getah. Beberapa ekor ayam berjaya ditangkap dan dibawa ke bukit. Seekor demi seekor dikorbankan untuk hidangan. Kami tidak menghadapi masalah sayur kerana ayah menebang pokok kelapa yang tinggal pucuknya sahaja masih timbul.
Masuk minggu kedua di bukit, kini bekalan makanan hampir habis. Bagi keluarga kami, beraslah yang sangat diperlukan. Tiba-tiba sahaja kami menjadi mewah kerana sebuah helicopter terbang rendah di kawasan lapang tidak jauh dari pondok menjatuhkan berkampit-kampit beras, gula, kicap, garam, susu dan sardin. Hari ini lima keluarga ini menerima “hadiah” yang melimpah ruah. Pada ketika itu orang lelaki yang dewasa semuanya keluar menahan jaring di paya menangkap ikan untuk makan tengah hari. Orang lelaki besar yang tinggal hanyalah saya dan abang Aziz. Kami berdua bertindak sebagai “Ahli Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung”. Kami bahagikan makanan itu secara adil. Selepas itu barulah kaum ibu mengankut bahagian keluarga masing-masing ke pondok. Dalam pada itu kami tertarik benar melihat tin susu bersaiz kecil, memang tak pernah jumpa sebelum ini. Kami sempat menyorok beberapa tin di dalam semak. Selepas majlis pengagihan harta dari langit itu selesai, kami berdua menikmati susu dalam tin itu. Saya tebuk dan sedut terus susu yang pekat itu, Oh sungguh enak, dah lama benar saya tak merasa susu yang sedap ini. Beberapa saat sahaja habis susu satu tin itu masuk dalam perut. Abang Aziz begitu juga. Masih ada dua tin lagi, kami simpan untuk hari esok pula.
Bila kaum bapa pulang, mereka terkejut besar melihat hadiah dari langit yang bertimbun. Mulai saat ini kami semua tidak risau lagi fasal makanan. Masuk hari kedua hidup bermewah, tiba-tiba sebuah bot polis singgah di bukit ini. Saya nampak polis, tok penghulu Engku Malik, Etam Mamud (Ketua kampong) dan beberapa orang lagi menuju kea rah kami.
Tiba-tiba pegawai polis bertanya, “Mana makanan bantuan itu?”
Ayah terus menjawab, “Telah diagih-agihkan kepada setiap keluarga.”
Polis itu meninggikan suara, “Pasal apa pandai-pandai berbagi sesama sendiri, itu adalah bantuan untuk seluruh kampong Pesagi tau tak.”
Tok Penghulu mengarahkan makanan itu diangkut ke dalam bot. Keluarga kami hanya ditinggalkan sedikit sahaja. Kami kaya seketika sahaja. Nasib baiklah polis itu tidak tangkap saya kerana pandai-pandai mengagihkan bantuan itu.
Air banjir belum masih bertahan kerana hujan di sebelah ulu belum berhenti. Kini kisah belajar entah ke mana. Saya bersama abang Aziz sangat seronok main air banjir. Bila ada perahu, kami terus berkayuh mencari rezeki. Buah kelapa muda adalah kegemaran kami. Sangat mudah mengambil buah kelapa. Kini kami berkayuh menghala ke pokok kelapa yang hanya tinggal bahagian pucuk sahaja, buah kelapa boleh pulas dengan tangan. Biasanya kena guna galah panjang untuk menjoloknya atau siapa yang handal boleh memanjatnya, tetapi amat sukar memperolehi kelapa muda kerana mudah pecah jika terjatuh ke tanah. Kami juga berkayuh perahu ke bukit sebelah hilir menjenguk orang kampung yang berteduh di sana.
Satu pagi ayah mengajak saya pergi ke bukit di hilir, ayah kata mahu jumpa Tokki Hamid iaitu ayah Apak Halim. Apak Halim telah tamat tingkatan lima beberapa tahun yang lalu. Ayah hendak meminjam buku teks tingkatan lima kepunyaan apak Halim. Kini Apak Halim telah bekerja dengan kerajaan. Tokki Hamid suruh saya cari sendiri buku yang ada dalam kotak itu. Selepas membelek akhirnya saya ambil buku teks Ilmu Hisab sahaja. Kini saya ada teman baru, saya cuba jenguk tajuk pertama iaitu Ilmu Pelayaran. Bab pertama bermula dengan penyelesaian segitiga. Diberi beri ukuran nilai sempadan dan sudut antara dua sempadan itu. Langkah seterusnya mencari nilai sempadan yang ketiga menggunakan formula a2 = b2 + c2 -2.b.c.KosA. Saya boleh faham contoh yang diberi itu. Saya cuba jawab soalan 1, sampai separuh jalan terus tersangkut kerana tidak tahu nilai Kos56o. Untuk mengetahui nilai Kos56o ini kena rujuk buku sifir empat angka. Kerja saya terbengkalai di sini. Kini saya kembali merenung air banjir yang mulai surut. Tidak sedar dua minggu saya dapat “cuti tambahan”. Ayah mulai risau saya rugi tidak pergi sekolah. Beberapa hari berikutnya air sungai mulai surut tetapi masih pada paras tebing. Di tempat yang rendah, tebingnya masih tenggelam. Ayah tidak sabar menyuruh saya pulang ke asrama SMART. Ikut firasat saya, perlu tunggu air betul-betul surut baru boleh balik ke sekolah. Tapi ayah nampaknya sangat lorat, takut saya tercicir pelajaran.
Pagi-pagi lagi kami dua beranak menaiki perahu kecil muat berdua berkayuh menyemberang sungai Pahang. Saya duduk di hadapan. Terasa kohot juga berkayuh dari Kampung Tanjung Berangan menuju seberang sana di Jetty Paya Pasir. Birai perahu hanya seinci sahaja di atas permukaan air, kami panggil “meniti buih.” Akhirnya kami mendarat di Jetty. Ada seorang tua duduk diatas pangkin bertanya ayah, “Awak nak ke mana Bidin?”
“Nilah, nak hantar Yahya balik ke sekolah. Lama dah dia tak sekolah.” Ayah membalas.
“Ada banyak lagi tempat masih tengelam. Jalan depan rumah bidan tu masih tengglam. depan rumah Ayah Busu masih tenggelam, Sungai Kundang tu melaut air.” Jelas pakcik tua itu. Saya berharap ayah membatalkan hasratnya hendak menghantar saya pulang. Rupanya sangkaan saya meleset, ayah berdegil mahu menghantar saya pulang juga. Ayah melakukan sesuatu di luar fikiran saya. Ayah mengajak saya mengusung perahu naik ke atas tebing. Lepas itu saya letakan beg dan pengayuh ke dalam perahu. Ayah mengajak saya memikul perahu berjalan menghala ke jalan besar. Selepas berjalan sambil memikul perahu sejauh hamper 100 meter Nampak jalan ditengelami air. Saya berasa lega, tidak perlu memikul lagi. Kini kami naik perahu pula sambil berkayuh hingga sampai dekat masjid Paya Pasir. Lepas itu ayah mengajak saya memikul perahu lagi sekali. Kali ini saya terasa sangat letih dan bahu rasa nak runtuh. Kami berjalan sejauh hampir satu kilometer. Sewaktu berjalan sambil memikul perahu itu, kami berselisih dengan beberapa orang yang berjalan kaki. Ada yang mengelengkan kepala melihat gelagat kami. Saya tak tahu apa maksudnya. Akhirnya kami sampai di hujung jalan yang ditengelami air. Seronoknya dapat naik perahu. Kali ini kami berkayuh perahu lebih dua kilometer hingga melewati stesen minyak Esso Abang Aziz. Selepas itu saya naik bas menghala ke Maran dan terus ke Kuantan.
Sewaktu hendak menaiki bas, ayah memberi duit belanja dan tambang bas sahaja. “Duit makan asrama belum ada, bulan depan nanti kon hantar.” Kata ayah.
Saya faham ayah tidak dapat meneroh getah sepanjang musim banjir ini hamper sebulan. Selepas itu saya naik bas menghala ke Maran dan terus ke Kuantan. Saya sungguh seronok dapat rehat dalam bas beberapa jam.
Setibanya di asrama saya dapati hanya enam orang sahaja yang baru pulang. Keesokan harinya kami pergi ke sekolah. Tidak sampai 20 orang yang hadir seluruh sekolah. Saya Nampak guru pun hanya beberapa orang sahaja. Tidak lama lepas itu seoang memberi tahu sekolah cuti lagi selama dua minggu lagi. Mereka yang duduk dekat sekolah boleh pulang. Saya lebih suka bercuti di asrama, lagipun pihak asrama ada menyediakan makanan tetapi lauknya sardin tiap-tiap hari. Saya rasa tinggal di asrama lebih selesa dari tinggal di pondok.
Lantas saya teringat kepada ayah. Ayah kena pikul perahu seorang diri ke? “Kasihan ayah kena pikul perahu seorang diri.”
Oleh kerana tiada aktiviti, saya mula menatap buku teks Ilmu Hisab dan cuba menjawab soalan yang mudah. Kini saya ada buku sifir empat angka, maka saya berjaya menjawab soalan yang mudah.
Bersambung lagi …
No comments:
Post a Comment