Saya menoleh ke belakang,
Saya terkenang kampung halaman yang telah saya tinggalkan,
Kampung yang banyak jasa kepada saya.
Bukit Gebuk gunung melintang,
Nampak dari Pulau Pesagi,
Adik duduk sanggul melintang,
Bagai bunga kembang pagi.
Seingat saya,
Sewaktu kecil saya tinggal bersama ayah, emak, abang Long dan adik Lan di Kampung Padang Kerbau. Saya ingat lagi, sebelum sekolah saya mengaji di rumah Tokki Yaakub. Waktu petang ikut emak belajar di kelas dewasa. Lepas itu saya ikut ayah berpindah ke Kampung Tanjung Berangan. Saya mula masuk sekolah di SK Pesagi tahun 1961. Cikgu Shamsiah ajar saya. Rakan sekelas ramai lebih 25 orang. Antara yang saya ingat ialah Abang Amin (abang sepupu), De Noriah (sepupu saya/ kakak Ipar), Makcu (emak saudara, dah arwah), Jamaludin (Sepupu saya), Budin, Tapar Tok Amah, Salmi, Umno ayah Karim, Rajak ( anak Pakteh Seleman), Zainal( kami panggil Siwang), Harmah (Tanung Palas), Halimah(anak mak Awa, tok guru mengaji saya), Toje Apak Musin, Toje Ayah Yusof(misai melentang), Mi Jamil (adik Rajmah, dua pupu saya), Ismail (Kg Sanding), Rohana (duduk di Cedung, anak Kasim Kampar), Mat Yee (Tanjung Palas), Ramlah bt Ramli (cucu Tokguru Tokki Hamid), Yang (waris saya tinggal di Pejing) Pea'ah ayah Aw. Pet dan Kak Ros (isteri abang Midin). SK Pesagi sangat meriah. Ramai murid dari SK Paya Pasir bersekolah di Pesagi untuk menyambung pelajaran darjaha enam. Mereka menyemberang sungai naik perahu dua kali sehari. Mengikut kata Etam Mamud, SK Pesagi mula beroperasi sebelum tahun 1931.
Suasana Kampung Pesagi sangat meriah. Musim menanam padi, semua penduduk turun ke paya. Buat tapak semaian, lepas itu baiki pagar. Tok Pengulu Engku Malik akan melawat paya. Ketika yang seronok ialah menolak tunda dalam paya. Bila pokok padi tinggi sejengkal, ramai kaum bapa mengenjut untuk mendapatkan ikan bapak haruan. Bila pokok padi bunting, kaum muda mulalah berlawan gasing. Kami kanak-kanak sibuk main gasing lonjong.
Sekitar tahun 1964 hingga 1966, inilah tempat kami bermain gasing selepas mengaji Quraan di rumah Mak Awa. Tapak main gasing ini di halaman hadapan rumah Etam Mamud. Saya bersama Abang Aziz, Limi, Ismail dan Amin selalu bertemu di laman ini. Kini semuanya telah berubah, dah jadi belukar.
Mail Sanding letih memusing,
Aya Bidin seronok memangkah,
Memang adat bermain gasing,
Banyak memusing maknanya kalah.
Memangkah debus menyepir ratak,
Letih memusing ketiak hangit,
Gasing tercampak dalam semak,
Bermain tak pandai kalah lengit.
Bila padi mula masak, lesung pun berbunyilah pada waktu malam, kami ikut emak mengemping.
Hari minggu kami main boyan tunggal dibuat dari akar yang bergayut pada dahan pokok besar tebing sungai depan rumah Tokki Abah (tokki Lihi/ Shekh Jabok/ Ani). Bila boyan dihayun ke tengah sungai, kami pun melayang ke permukaan air sungai. Ada kalanya jatuh macam batu, kalau menjadi terjun lembing. Ada kalanya jatuh tertiarap (wah bukan main sakitnya). Itulah keseronokan kami waktu itu.
Di tebing depan rumah Tokki Abah. Di sinilah saya bersama Lihi, Jabok, Mat Pilus, Kamar, Harun, Zamri dan Jama ayah Talib main boyan tunggal dan terjun tarzan. Cukup meriah ketika itu sekitar tahun 1966 hingga 1971. Kini tebing ini telah sunyi sepi dan semak. Kini orang kampung tidak ke sungai lagi, telah ada air paip, mandi di rumah aja. Inilah tanda kemajuan. Di tebing sungai ada pokok,
Tergayut akar jadikan boyan,
Mandi terjun sangat seronok,
Itulah tandanya anak jantan.
Itulah sedikit cebisan kisah silam di Kampung Pesagi tahun 1959 hingga 1971.
Saya akan cerita lagi.