" Semaknya kebun aku, sakit mata memandang pokok kelapa dan pokok durian diserang rumput liar...ah tidak boleh dibiarkan."
Ya, memang semak. Aku tidak tahan lagi melihat rumput melonjak subur. Ada yang membelit hingga ke pucuk pokok durian.
Aku memulakan kerja menebas menggunakan mesin galas. Dapat tebas kawasan canopy pokok sahaja. Ada juga yang tidak dapat tercantas oleh tali mesin yang berputar itu. Jika dipaksa juga, alamatnya putuslah tali yang berputar laju itu. Rumput itu macam rumput Napier tetapi batangnya macam serai. Amat liat tetapi sabit atau mesin rumput yang pakai mata pisau besi masih boleh menewaskannya.
Kini jam 11pagi, aku masih seronok menggalas mesin rumput , masih tekun menghayun gandar sambil itu rumput yang terpotong bertaburan. Hingga kini aku dapat membersihkan 10 pangkal pokok tetapi tiga pokok tidak mampu dibebaskan kerana rumput amat tebal. Aku mesti gasak rumput itu, gunakan sabit kecil tajam pula. Untuk menewaskannya aku terpaksa menyangkung sambil tangan kiri pemegang batang dan tangan kanan pemegang sabit memancas pangkal rumput itu. Boleh tahan juga susahnya, penat dan panas.... tiba-tiba mata tidak dapat fokus kepada kerja yang dihadapi oleh tangan. Kepala terasa berat dan rasa melayag ke kiri dan kanan. Macam bumi
ini nak terbalik. Inikah yang dikatakan pusing mata?. Cepat-cepat aku pegang pelepah kelapa. Terasa mahu tumbang. Cepat-cepat kedua tangan berpaut pada pelepah. Beberapa minit aku menahan diri yang seolah-olah sedang dilambung ombak. Ketika itu aku sudah berfikir "kegagalan". seterusnya berfikir " adakah aku terus tersungkur di sini?" Aku menenangkan diri, Lama kelamaan ombak terasa makin kurang tetapi masih belum boleh melangkah. Terasa kepala amat berat.
Selang beberapa minit, keadaan kepala makin stabil. Aku sudah boleh melangkah perlahan menuju pondok jaraknya 80 meter. Langkah aku masih lemah. Aku berhati-hati melangkah takut kaki tersangkut akar. Bimbang tejerlus dalam lubang. Mesin rumput dan sabit tinggal di sisi pokok kelapa itu. Dua perkakas kerja itu bermalam di sana. Harap tidak hilang.
Sampai di pondok, aku terus meninggalkan kasut boot dan stokin.. sudah tidak sabar untuk menghempas badan di atas katil keras itu. Syukur alhamdulillah aku dapat berihat dengan selesa. Badanpun terasa makin lega. Terus aku mencapai ubat pemulihan vertigo, namanya Betaserc 24mg dan minum air suam. Hampir satu jam aku bermalasan di atas katil keras, ada masanya terlena sebentar. Barulah badan terasa segar. Setelah itu baru yakin memandu hilux untuk pulang. Sebelum tidur aku mohon kehadrat Allah agar memberi kesihatan yang baik dan cergas seperti biasa.
Hari ini aku masuk kebun jam 8.45pagi. Seperti biasa, aku meninjau pokok kecil. Sambil itu mencabut rumput keliling pokok. Rumput yang dipotong itu dilonggokkan semula di pangkal pokok. Lama kelamaan rumput akan reput dan jadi baja.
Kini aku mahu meneruskan kerja semalam yang tidak siap itu. Aku mulakan di tempat aku kecundang semalam. Secara berhati-hati aku menyabit rumput degil itu satu demi satu perdu. Daun yang dipotong dilonggokkan keliling pangkal pokok kelapa. Beberapa bulan lagi akan reput, jadi baja kepada pokok kelapa. Tunggul rumput itu berakar umbi, tidak mungkin mati. Beberapa minggu lagi akan muncul pucuk yang baru. Perlu dimusnah segera sebelum ia melonjak tinggi. Jika mahu membunuh raksasa, bunuhlah sewaktu ia kecil.
Pokok MRD itu telah mula berbuah. Aku ambil sebiji, jadi hadiah kejayaan hari ini. Enak dan berkhasiat. Syukur alhamdulillah.
28.9.22.. Aku datang lagi menyiapkan kerja perlu untuk selamatkan pokok di teres ini. Satu pokok MRD masih dipusu oleh rumput degil itu. Aku secara berhati- hati menewaskan setiap perdu di sekeliling pokok MRD itu. Seterusnya aku bersihkan setiap pokok dalam teres ini. Semua pelepah yang mati dihimpun setempat. Pokok sebanyak 14 batang MRD dan lima batang durian akan terus diselenggara dengan baik.
1. Usiaku sudah di hujung, ada tanda kurang daya tahan dan juga mudah berlaku gangguan kesihatan ketika tiada keselamatan selarasan perjalanan darah serta pusingan oksigen. Sistem keseimbangan juga telah lemah.
2. Tidak boleh bejemur lama.
3. Kena jumpa doktor.
4. Amalkan masuk kerja waktu pagi.
5. Amalkan rehat sebentar untuk perjalanan yang lebih jauh.
Syukur alhamdulillah aku masih diberi kekuatan oleh Allah yang maha kuasa lagi penyayang. Ya Allah Tuhan yang maha kuasa, tunjukkanlah jalan yang benar.
Aminn.
6/10/22
"Semalam aku jatuh, Hari ini aku bangun semula.".
Seronok dapat galas mesin rumput, dapat bersihkan rumput keliling 10 pokok kelapa dan pokok durian petang ini, satu jam je. Kini pokok kelihatan segar dan kemas. Badan berpeluh dan segar.
Syukur alhamdulillah.
7/10/22. Semua pokok yang dibersihkan rumput semalam telah beri hadiah baja. Mahu bebaskan semua dari rumput dan dapat baja dlm bulan Oktober ini.
Lama sungguh aku tidak ambil perduli kepada pokok2 ini. Akibatnya banyak yang sudah tewas dengan rumput liar. Tumpuan aku terfokus kepada kerja menyiapkan pondok. Kini pondok sudah boleh diduduki. Maka kerja menguruskan pokok sudah tidak harus dipinggirkan lagi. Aku mahu bebaskan semua pokok dalam kebun ini dari semak samun. Baja dan air juga akan dipastikan dapat. Ada pokok kecil yang ajal. Tapak ini perlu dibubun. Inilah janji aku terhadap kebun ini. Sungguh mencabar.
Bila direnungkan, tugas ini bukanlah sukar, hanya perlu fokus. Detik kritikal telah berlalu kerana banyak pokok telah besar. Pokok telah ada daya tahan. Nah, waktu sukar telah aku lepasi.
8/10/22
Aku gian mahu masuk kebun juga.Lepas asar dalam cuaca yang redup aku rasa goreng untuk menerangkan pangkal pokok. Aku seronok memotong rumput satu semi satu di bawah pokok. Sampai ke pangkal pokok petai, hari sudah senja, akupun berhenti. Dapat cuci 12 pokok. Ada pokok yang telah tewas sepenuhnya oleh ulan. Kini pucuk durian telah bebas.
11.10.22
10pagi mulakan tugas memunggah kelapa tua ke dalam hilux bersama Nawar. Satu tugas yang mudah. Buah kelapa tua amat mudah melambungnya ke dalam hilux. Ada lebih kurang 200biji. Punggah pula ke tempat pengupas di kebun hadapan.
Selepas itu kait 20biji kelapa muda. Jam 11.30pagi berhenti sebentar, ambil angin. sambil itu makan kueh dan minum air tea o kosong suam.
Rehat sebentar.
11.45 galas mesin rumput pula.Cuaca makin panas tetapi tidak terik. Selepas berjuang berjaya memotong rumput di keliling empat pokok durian dan pokok MYD.. Kini peluh membasah seluruh badan. Badan pun terasa kohot. Aku perlu rehat lebih lama. Kepala terasa bahang matahari. Aku perlu berhenti setelah bekerja selama satu jam. Cukup setakat itu aku dibasahi keringat. Bekerja dua jam setengah hari ini dalam kebun sudah memadai.
Aku tidak mahu kecundang lagi.
13.10.22
2.00petang.
Cuaca redup, aku ambil peluang membaja kepada pokok yang dah siap cuci pangkalnya dua hari lepas tetapi belum dapat baja. Aku terus berjalan merayau turun naik teres. Sempat tabur keliling 10 pokok tiba2 panas teruk pula. Aku rasa tidak selesa terus ambil tindakan berpatah balik ke pondok. Aku mahu elakkan risiko. Dalam perjalanan sempat capai satu biji buah lemon yang telah kuning dan sebiji kelapa pandan muda.Hari panas, tekak terasa dahaga, terus paras buah kelapa muda dan minum. Oh enak sungguh, memang berbau pandan. Lepas itu kokot isinya. Nikmat tersendiri.
Hampir dua jam menunggu cuaca redup, terasa haus pula. Kali ini minum tea o kosong perlahan lemon pula.
Jam 5.30petang sambung kerja menabur baja. Siap tabur keliling 14 pokok. Selepas itu dukung pam untuk sembur baja folia kepada daun dan pokok durian. Sempat sembur empat pokok tiba2 cuaca berubah serta merata. Kini hujan rentas mulai turun. Aku bergegas pulang segera ke kebun.
14.10.22
Aku menggalas teman setiaku mulai jam 10.40pagi. Aku hadapi rumput liar di keliling pokok, kebanyakan putus beterbangan. Tetapi ada juga yang liat seperti pokok kapal terbang, silap gaya hayun tali pemotong yang tercabut. Aku berjaya menghabiskan 14 pokok. Aku perlu berhenti kerana peluh merebak keluar hingga ke muka. Ada yang menitis ikut hujung hidung. Seronok juga terasa letih yang ada hasil. Badan terasa lega.
15.10.22
Aku turun ke lembah bersebelahan kolam. Banyak pokok kelapa yang terpinggir di sini. Ada yang sudah mula berbuah dan ada juta yang nazak.
Ikut perkiraan aku pokok ini telah jadi arwah kerana ditenggelami banjir hingga lapus selama dua minggu. Selepas banjir aku tidak nampak pelepahnya. Telah jadi teruk maman bersama rumput lain. Tidak disangka sejak tiga bulan lalu kelihatan pucuknya warna hijau melonjak dicelah semak. Hari ini aku selamatkan dia.
Sebelah petang mulai 5ptg aku menyambung tugas, Hampir dua jam hanya dapat cuci keliling dua batang pokok Dan hadiahkan baja kelapa mereka. Selama 10 bulan mereka diabaikan tetapi masih boleh bertahan. Selepas ini aku berjanji Alan beri tumpuan kepada kamu.
Hari ini aku Kira berjaya mengalir tugas ikut kesesuaian cuaca serta ambil Kira kemampuan fizikal aku sendiri. Syukur alhamdulillah, peluh membasahi baju.
16.10.22
11.45pagi baru masuk kebun. Nasib baik cuaca redup. Kerja Hari ini sungguh mencabar, kena potong rumput tebal untuk laluan menuju tanaman. Laluan sepanjang 400 meter. Potong rumput lebar satu hasta sahaja. Jumpa empat pokok durian dan satu pokok jambu yang dipusung oleh semak. Berjaya memberihkannya. dan tabur baja. Terasa letih. Terpaksa rehat dulu, jas peluh seluruh muka dan badan. Keletihan tetapi puas. Mahu sambung lagi petang ini.
Keletihan.
5.15petang melangkah semula menuju destinasi.
dipenuhi rumput seperti lalang di kelilingnya. Di atas penuh dengan ulan. Inilah yang perlu dihadapi petang ini. Memang perdu rumput ini amat liat. Habis empat helai tali putus di sini. Setengah jam masa bergembala pokok sebatang ini.
Hampir setahun aku beri tumpuan membina sendiri pondok kebun ini. Dalam tempoh itulah kerja kebun terbaik. Inilah yang dikatakan "setiap yang kita dapat, pasti ada pula yang berlepas."
17.10.22
Aku sampai ke kebun jam 8.30pagi. Banyak kerja mahu aku lakukan. Mula sekali mahu cuci kawasan dekat pintu hadapan ada banyak pokok kelapa polibag terbiar lebih dua tahun di situ. Pagi ini aku mahu sabit dan tinggalkan dua batang supaya kekal di situ. Pokok pisang juga telah dicantas, tinggal sebatang. Hampir satu jam aku berjuang di situ hingga selesai. Aku beri baja kepada dua batang yang dipilih itu. Boleh tahan juga hebatnya, maklumlah bekerja guna sabit kecil menghayun dan menarik sepenuhnya.
Kerja kuat begini memang perlukan rehat untuk memulihkan tenaga.
Jam 10.30pagi aku bingkas bangun terus pergi ke tempat aku berhenti potong rumput semalam. Aku terus galas kawan karibku. Aku segera memotong rumput keliling pokok DH kurus itu. Masih hidup rupanya walaupun tiada perhatian berbulan-bulan. Kali ini aku potong rumput keliling dan beri baja NPK 15x3 yang dicairkan serta tambah baja penggalak akar, jirus keliling pokok. "Hadiah istemewa untuk kau."
Seterusnya aku memotong rumput tebal untuk buat denai menuju kumpulan kelapa pula. Ada 12 pokok kelapa di situ, banyak yang telah berbuah. Kelihatan pelepah berselerak di bawah dan ada yang tersandar pada pokok. Semak serta akar berselirat menyukarkan until menghampiri batang. Aku sudah seperti kereta kehabisan minyak. Aku kena berhenti walaupun mesin rumput masin mengaum gagah. Sungguh dahaga. Aku masih mampu menebuk kelapa menggunakan sabit kecil ini. Aduh nyamannya bila air mengalir melalui tekak. Rakusnya aku, tak cukup sebiji, aku tebuk yang kedua. Baru terbalas haus dahagaku. Syukur alhamdulillah.
Bila dijumlahkan masa bekerja hari ini hanya 2jam setengah sahaja. Bilangan pokok yang dibebaskan dari semak samun sebanyak empat batang. Setakat ini sahaja yang aku mampu.
Mengambil coretan encik Mohammad untuk motivasi diri.
23.10.22
Berjaya membersihkan 15 pokok durian dan kelapa MYD yang dipusu oleh rumput tebal. Siap beri baja sekali. Bila cuaca redup, inilah masa paling sesuai bekerja tetapi cukup satu jam. Lepas itu kena berhenti kerana lengan hingga ke hujung jari terasa sengal kerana menahan gegaran gandar mesin rumput. Baju juga telah dibasahi peluh. Selepas rehat panjang beberapa jam aku pikul semula kawan setiaku ini. Tidak disangka satu tali selepang yang berpaut pada bahu terputus menyebabkan kedudukan mesin tidak setabil dan menjerit kerana aliran minyak petrol yang berlebihan. Aku terpaksa mematikan enjin dan mencari tali untuk menggantikan selepang yang putus itu. Alhamdulillah dapat sambung guna tali plastik. Kini aku boleh sambung kerja. Sempat beberapa minit, tali plastik itu terputus. Nampaknya kerja aku tergendala lagi. Aku perlu beli tali selepang yang baru.
Dulu fizikal aku terganggu dan kini mesin pula. Aku perlu beli tali selepang yang baru agar kawanku boleh terus ikut berjuang.
24.10.22
Hari ini aku pikul pam sembur baja cecair. Pam kosong yang guna bateri ini beratnya 5kg. Jika isi penuh 20liter maka berat keseluruhan 25kg, amat berat. Oleh itu aku isi separuh sahaja. Aku mampu pikul belakang 15kg sahaja tetapi lebih berat dari menggalas mesin rumput. Kerja menyembur baja folia ini lebih mudah. Gandar penyembur halakan kepada daun. Baja itu akan diserap masuk ikut liang stoma. Aku dapat menyembur 17 pokok.
Ini adalah penamat usahaku satu bulan. Aku mula faham tentang had ketahanan badanku. Aku perlukan pembantu.
Bila sebut fasal pembantu, terus teringat kepada Amir.
Perjuangan akan diteruskan.