Memulakan kerjaya guru di SMK Jerantut
Saya berjaya lulus penuh Sijil Tinggi Pelajaran
tahun 1973. Saya adalah pelajar pertama lulus STP aliran sains Sekolah Menengah
Abdul Rahman Talib sejak tahun 1971. Saya berjaya memecahkan badi selama dua
tahun sebelum ini tiada seorang pun yang lulus sijil penuh STP aliran sains
sekolah itu. Saya gembira dengan pencapaian cemerlang itu. Saya rasa inilah
pencapaian peribadi saya yang paling manis. Memang saya berusaha
bersungguh-sungguh selama hampir dua
tahun menghadapi peperiksaan itu. Saya yakin dengan kebolehan sendiri untuk
menghadapi cabaran getir itu. Saya bercadang untuk belajar dalam jurusan
kejuruteraan di universiti tetapi ayah mahu saya jadi guru. Saya ikutkan
kemahuan ayah lalu mengikuti kursus ijazah sains dan diploma pendidikan. Saya
tidak faham mengapa ayah beria-ia sangat menyuruh saya jadi guru?
Sebaik sahaja tamat
pengajian ijazah di UKM, saya memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah
Menengah Kebangsaan Jerantut. Perkara
pertama yang difikirkan ialah tempat tinggal. Selepas melapor diri di sekolah
saya terus mencari rumah sewa. Saya ingin menumpang rumah yang disewa guru
bujang. Setelah bertanya beberapa orang guru lelaki, saya diperkenalkan dengan
seorang guru yang mengajar di SJK Tamil Jerantut, namanya Abdul Rahman. Raman
menyewa rumah nombor 99 Taman LKNP. Beliua menyewa bersama kawannya Hamdan.
Saya diterima menumpang di rumahnya hingga saya dapat rumah sewa sendiri. Selepas
beberapa minggu, Raman mesra dengan saya. Pada waktu malam beliau selalu
memberi ubat nyamuk lengkor kepada saya. Tanpa ubat nyamuk pasti tidak boleh
tidur. Raman juga kerap belanja saya maklumlah saya baru kerja, gajipun belum
dapat. Selepas beberapa bulan, saya berpindah menyewa rumah nombor 4 Taman
LKNP bersama Daud Talib. Saya sangat
terhutang budi terhadap budi baik saudara Raman.
Saya diberi tugas
mengajar mata pelajaran Rampaian Sains tingkatan lima, lima kelas semuanya.
Saya mengajar 25 waktu seminggu. Tanpa banyak soal, saya hadapi tugas itu
dengan tabah. Saya dapati sukatan pelajaran telah berubah sama sekali dengan
apa yang saya pelajari tahun 1971 dahulu. Saya terpaksa belajar semula, saya
telitikan semua kandungan dalam buku teks itu. Walaupun saya banyak membuat
persediaan tetapi kebolehan saya mengawal kelas agak lemah. Saya seolah-olah
bercakap dengan papan hitam. Jarang sekali saya menjenguk apa pelajar belakang
lakukan sewaktu saya bercakap di hadapan. Kini baru saya sedar betapa banyaknya
kesilapan saya sewaktu menjadi guru novis dahulu.
Saya juga diberi satu
lagi tugas yang mencabar iaitu Ketua Guru Rumah Sukan Dato Bahaman. Saya hairan
mengapa tugas itu diberikan kepada saya? Ada ramai lagi guru yang lebih senior.
Ini akan menimbulkan masalah bagaimana hendak mengajak dan mengarah guru-guru
yang lebih tua itu turut sama menguruskan ahli rumah Dato Bahaman? Berbekalkan
pengalaman sebagai pelajar yang aktif dalam sukan dan permainan sewaktu di
bangku sekolah, saya laksanakan tugas itu dengan baik. Apa tidaknya, Rumah Dato
Bahaman berjaya menjadi johan keseluruhan tiga tahun berturut-turut. Saya rasa
inilah kejayaan yang nyata dalam tugas kokokulikulum saya selama tiga tahun
pertama sebagai guru.
Tugas penting saya yang
ketiga ialah Guru Pembantu Displin Murid. Ketuanya ialah Tuan Haji Shahruddin
bin Samsuddin, Guru Penolong Kanan yang sangat tegas. Saya tidak berapa minat
melaksanakan tugas ini tetapi saya ikut sahaja apa yang disuruh. Saya terasa
sukar menguruskan budak-budak yang nakal. Mereka sering kali ingkar arahan
pengawas. Inilah yang memeningkan kepala saya. Saya sewaktu di bangu sekolah
dulu nakal juga. Baru saya sedar betapa sukarnya guru menjinakkan saya.
Syukurlah saya jadi “orang”.
Sewaktu saya sampai di
Jerantut, wang dalam poket saya hanya ada beberapa puluh ringgit sahaja. Saya
terpaksa berjimat untuk sampai ke hujung bulan. Apabila sampai hujung bulan,
Tuan Haji Yaakub Isa, pengetua memanggil saya ke biliknya. Beliau berkata
sesuatu kepada saya, “Awak memang tiada duit kan?” Saya terkejut mendengar
kata-kata itu. Saya hanya memandang muka pengetua sambil memberi senyuman separuh.
Saya terfikir, macam mana pengetua tahu? Pengetua terus menghulurkan wang
kepada saya. “Ini wang pendahuluan RM400 untuk belanja.” Saya tersipu-sipu
terus menyambut pemberian itu. “Bila dapat gaji nanti bayar balik kepada saya.”
Masuk akhir bulan kedua saya menerima cek pula daripada pengetua. Saya masih
ingat, dua kali saya menerima cek daripada pengetua. Ini bermakna saya kena
pulangkan RM1200 kepada pengetua bila dapat gaji nanti. Akhirnya baru saya tahu
bahawa pengetua mendahulukan wangnya sendiri untuk menyelesaikan masalah
kewangan saya. Bila dapat gaji saya bayar dua kali. Pengetua tanya mengapa
bayar beransur? Saya kata mahu beli reket tenis. Pengetua membenarkan saya
bayar dua kali. Bila saya jadi pengetua baru saya sedar betapa caknanya Dato
Yaakub Isa kepada saya sewaktu baru bekerja. Banyak pertolongan yang saya
terima daripada seorang ketua yang sangat memahami masalah anak buahnya. Saya
banyak belajar dari pengetua.
Masuk tahun kedua,
tahun 1979, tugas mengajar ditambah lagi disamping mengajar Sains tingkatan
lima, saya juga ditugaskan mengajar Matematik Tambahan tingkatan 5 Sains aliran
Melayu. Saya menyambung tugas cikgu Low Kong yang mengajar mereka tahun lepas. Cikgu Low Kong beritahu saya, “Pelajar kelas
ini paling baik boleh dapat P8 sahaja.” Saya terkejut dengan kenyataan itu.
Bermacam-macam persoalan timbul dalam kepala saya. Tidak mengapa, saya anggap
ini satu cabaran. Bila sengajar mereka beberapa minggu, baru saya percaya akan
pengakuan cikgu Low Kong itu. Memang kebolehan mereka sangat rendah. Kini beban
atas bahu saya semakin berat. Walaupun pengalaman mengendalikan pengajaran
secara berkesan tidak difikirkan, saya asah mereka melalui kelas tambahan yang
banyak sekali. Saya masih ingat, bila keputusan SPM diumumkan, terdapat lima
orang mencapai kepujian 6 mata pelajaran Matematik Tambahan. Antara mereka
ialah Roslan Ali, Hasni binti Osman, Khairuddin bin Othman dan Omran. Ramai
yang dapat P7 dan P8. Namun begitu ramai juga yang gagal. Pengetua dan GPK
terkejut melihat pencapaian itu. Kali ini pelajar Melayu aliran Melayu jauh
lebih baik dari pencapaian pelajar Melayu dalam aliran Inggeris. Inilah kali
pertama pelajar jurusan Sains aliran Melayu dapat pencapaian yang cemerlang.
Ramai yang berjaya masuk UTM, UPM dan ITM. Saya biarkan mereka berfikir dan
mencari jawapannya.
Mulai tahun 1980, saya
diberi tugas mengajar Fizik dan Matematik Tambahan. Saya suka mengajar Fizik
kerana banyak melakukan eksprimen di makmal. Sadun adalah atenden makmal yang
cekap dan ringan tulang. Kejayaan saya mengajar Fizik dengan berkesan banyak
dibantu oleh beliau. Saya dikira bernasib baik kerana dapat peluang memeriksa
kertas SPM mulai tahun 1980. Disamping itu, saya bertugas sebagai pengawas
peperiksaan SPM dan STPM. Beberapa tahun berikutnya saya diberi tugas sebagai
Ketua Pengawas STPM untuk calon persendirian. Ramai calon adalah guru yang
lebih tua dari saya. Sukar juga mengawasi mereka. Kami kena mengawas secara
tegas dan teliti kerana ramai yang cuba membawa nota.
Tugas tambahan semakin
pelbagai. Kini saya ditugaskan menyelaras Jadual Kedatangan. Setiap hujung
bulan saya kena semak Jadual Kedatangan setiap kelas. Waktu itu bilangan
pelajar sekolah ini mencecah 2000 orang. Bilangan kelas melebihi 30 buah. Saya
dapati banyak kesilapan menjumlah yang dilakukan oleh guru kelas. Untuk
menyemak kesilapan yang banyak itu, saya gunakan tenaga pembantu iaitu anak
murid saya tingkatan lima yang pandai Matematik. Kini saya jadi pengurus.
Pelajar juga suka diberi tugas tersebut.
Saya juga diberi tugas
sebagai warden asrama menyebabkan saya semakin sibuk. Saya masih ingat, selalu
bekalan air terputus. Saya ditugaskan mengawasi pelajar lelaki pergi mandi ke
sungai Pahang. Mereka berjalan kaki berbaris macam askar sejauh dua kilometer.
Walaupun jauh mereka sanggup berjalan kaki kerana mahu main air. Saya bersama
pelajar mandi sepuas-puasnya. Apabila mahu pulang, saya pastikan bilangan
mereka sama swaktu kelur pagar asrama tadi. Satu hari sewaktu saya memeriksa
bilik saya dengar bunyi seperti orang berjalan di atas siling. Saya bersama cikgu Zakaria dan cikgu Che Mat
mengambil tindakan memanjat hingga naik atas siling. Tiba-tiba sahaja kelihatan
orang berlari meniti atas kayu menjauhi kami. Tiba-tiba seorang daripadanya
terpijak siling terus tejerlus, kini kakinya terjuntai. Dia tidak boleh
bergerak ke mana-mana. Kini kami dapat satu tugas untuk melepaskan pelajar itu
dari bahaya bimbang terus terjatuh. Pandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh
juga ke tanah. Baru kami tahu rupanya atas siling itu adalah tempat segelintir
penghuni lelaki ponteng. Saya juga mendapati atas siling itu penuh dengan puntung
rokok dan kotak rokok. Ini adalah tempat merekok yang paling selamat. Kami
berjaya menghapuskan tempat ponteng dan merokok dengan cara menutup satu siling
yang dijadikan tempat turun naik.
Beberapa tahun kemudian
saya diberi tugas yang lebih mencabar iaitu membina jadual waktu mengajar guru.
Tugas ini saya laksanakan bersama-sama cikgu Aziz bin Abdullah, Guru Penolong
Kanan. Ini adalah tugas yang rumit dan mengorbankan banyak masa. Kami
menggunakan ruang dinding yang luas. Banyak cip yang berlainan warna dan bentuk
digunakan melambangkan guru dan mata pelajaran. Semasa membina jadual ini kami
berbincang dan menyangkutkan cip pada paku. Kami berbincang bising sekali. Ada
beberapa orang guru mengecek minta mereka dikosongkan pada waktu tertentu.
Mereka adalah pengganggu yang memeningkan.
Saya rasa sangat
beruntung menyewa rumah no 4, Taman LKNP bersama seorang guru yang lebih senior
iaitu saudara Daud Talib. Mungkin anggapan saya ini betul. Saya berasa saya
berjaya dalam kerjaya. Mungkin syok sendiri? Kejayaan saya ada kesan yang kuat dari
sahabat karib. Jika kita lihat seseorang itu berjaya dalam bidangnya, kita
boleh selidik siapa gurunya, siapa ibu bapanya, siapa rakan karibnya atau siapa
ketuanya? Kami duduk membujang di rumah nombor 4 itu hampir tiga tahun. Saya
lihat kawan saya ini sentiasa berpakaian kemas dan segak. Sebelah malam kawan
saya ini ada sahaja kerja yang dilakukannya misalnya menaip soalan ujian. Bila
siap, soalan itu bentuknya macam buku yang distepler ditengah. Ini bukan kerja
yang mudah. Kalau buat soalan ujian Geografi mesti bermula dengan JPU. Saya pun
fahamlah apa itu Jadual Penentuan Ujian. Hujung bulan Mac ramai pelajar yang
baru ambil keputusan SPM datang ke rumah. Mereka bawa borang dan buku prospectus
mohon masuk universiti. Kawan saya ini sibuklah menerangkan kursus mana yang
sesuai dengan keputusan dan minat masing-masing. Saya rasa rimas juga kerana
mereka duduk lama di rumah. Pada mulanya saya tidak faham mengapa kawan saya
ini sanggup lakukan berlebih lebihan ini. Pada tahun berikutnya anak murid saya
pula ambil keputusan SPM. Mereka pula bertanya saya. Kini saya faham bahawa
rasa sayang kepada murid akan timbul setelah kita mengajar mereka
bersungguh-sungguh. Waktu cuti penggal hujung tahun kawan saya ini asyik
memeriksa kertas jawapan calon SPM. Kawan saya ini nasihatkan saya cari pengalaman
memeriksa kertas jawapan. Dia kata banyak faedahnya, sangat membantu pengajaran
dalam kelas. Pada tahun berikutnya saya dapat peluang yang serupa tetapi saya
memeriksa kertas jawapan pelajaran yang saya ajar. Kawan saya ini memang
disukai rakan-rakan setugas. Kawan saya ini suka sangat berekreasi seperti mendaki, menyusur sungai
dan mandi manda di pantai laut. Saya
ikut sahaja ke mana dia pergi. Kami mendaki dan menyusup gua di Gunung Kota
Gelanggi. Kami mudik menyusur sungai berkhemah di Taman Negara. Kami meredah
samudera berkhemah seminggu di Pulau Tioman. Apa yang saya ceritakan ini
sedikit sahaja. Kami berkawan rapat macam adik beradik. Dari segi kerja pula secara
tidak sedar beliau adalah guru dan mentor saya. Bila saya renungkan kembali,
saya dapat banyak sangat faedah berkawan dengan saudara Daud bin Talib. Saya
ingin menghadiahkan kata-kata ini kepada saudara Daud.
“Kalau
saudara anggap saya berjaya dalam kerjaya guru ini, sebenarnya sebahgian
kejayaan itu adalah hasil peniruan cara saudara bekerja sejak mula saya jadi
guru. Rupanya saudara turut mewarnakan lukisan yang saya cipta ini. Saudara
mencadangkan berus mana hendak digunakan. Saudara tolong bancuhkan warna-warna.
Secara tidak disedari saya terikut-ikut
pendekatan mendidik yang saudara amalkan. Terima kasih kekandaku Daud Talib.”
Sewaktu belajar di
tingkatan empat tahun 1970, saya menjadi ball
peacker kepada cikgu Razak, cikgu Hadi, cikgu Mahmud dan cikgu Ismail dalam
permainan tenis. Saya memang mahir melakukan kerja itu. Sejak itu saya menanam
angan-angan satu hari nanti saya pula mahu main tenis. Hasrat itu tercapai bila
saya dapat gaji pertama terus beli raket tenis jenama Head Master. Rakan sepermainan saya ialah Mohd Yahya, Rozak,
Khairuddin Ali, Zakaria, Che Mat, Jara, Paterik Loh, Fauzi Gusti, Bastani, Mohd
Sahari Nordin, Rashid Ali dan Baharum Bahari. Kami sering berkunjung ke Lipis,
Bentong, Temerloh dan Pekan mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab
tenis daerah tetapi kerap kali kalah. Walaupun kalah kami terus berlatih.
Seterusnya saya terpilih mewakili daerah Jerantut dalam pertandingan PSKPP ke
peringkat negeri.
Tidak sedar saya telah habiskan
masa dengan seronoknya selama tujuh tahun setengah di Jerantut. Datang seorang
diri kini sudah beristeri dan ada dua orang anak. Satu hari akhir bulan Jun
1985 saya menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Pahang mengarahkan saya
bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Dua sebagai guru penolong kanan.
Selamat tinggal Sekolah
Menengah Kebangsaan Jerantut. Di sinilah tempat saya belajar jadi guru. Saya
berguru orang yang hebat untuk jadi guru yang lebih baik.
Terima kasih Dato Yaakub bin Isa
Terima kasih Tuan Haji Shahruddin bin Shamsuddin
Terima kasih sahabatku kekandaku Daud bin Talib
Saya adalah guru kelas 4Sains1, tahun 1981