nuff

Wednesday, January 30, 2013

Mula-mula tidak suka tetapi akhirnya suka


Kadang-kadang tidak suka tetapi akhirnya suka ayah.

Sewaktu kecil banyak pengalaman yang memeritkan tetapi memberi manfaat kepada kita. Emak dan ayah kita kerap menyuruh kita melakukan kerja yang kita rasa payah dan meletihkan. Mari ikuti pengalaman yang saya alami.
 

Cari getah skrap untuk gunting rambut
Mulai darjah tiga saya sudah diajar berdikari. Bila rambut saya kelihatan panjang ayah suruh pergi bergunting di kedai gunting Pak Ali. Ayah tidak beri duit sebaliknya kena cari sendiri. Ayah suruh saya kutip getah kering yang melekat pada pokok getah dan yang melekat pada cawan getah. Ada juga getah yang melekat pada ubam. Getah itu dikumpul dan disatukan jadi getah buku seperti bola. Ini adalah kerja yang rumit. Saya terpaksa bekerja beberapa hari merayau di dalam kebun ayah dan kebun getah Tok Meriam yang di sebelah rumah. Getah yang melekat pada cawan amat sukar untuk ditarik keluar. Getah yang melekat pada muka dalam tempurung lebih sukar dipisahkan. Ada kalanya ada air busuk tersembur keluar. Air itu merecik ke muka, aduh sukarnya untuk menghilangkan bau busuk itu. Getah itu dibolot hingga berbentuk bola  dipanggil getah buku. Saya jual getah buku itu di kedai ayah awang Pet. Selepas mendapat wang hasil jaualan getah itu, terus berjalan kaki hampir satu kilometre menuju ke rumah Pak Ali untuk bergunting rambut. Selepas membayar upah gunting rambut, saya masih ada baki wang jualan getah buku itu. Saya sengaja mencari getah buku lebih dari sepatutnya. Saya berjalan pulang. Saya mengambil peluang singgah di kedai ecik Yasak pula. Di sinilah saya berbelanja. Saya beli air oren cap bendera harganya 10sen. Pelekat kertasnya ada tercatat kilang air minuman di Mentakab. Jika masih ada lebih, saya beli bepam atau biskut merry, harganya 5sen. Disebalik keperitan mencari getah buku untuk membayar upah bergunting rambut, saya dapat nikmat minum dan makan hasil usaha sendiri. Mulanya saya tidak suka bila menerima perintah ayah yang terasa perit tetapi selepas beberapa kali suka pula. Suka sebab perut kenyang, dapat ganjaran yang saya cipta sendiri. Dalam keperitan timbul tindakan yang kreatif.


Mengirik padi dan memikul padi ke mesin kisar padi
Kerja yang paling saya benci ialah mengirik padi. Saya rasa abang dan adik saya begitu juga. Zaman dulu orang menuai padi menggunakan tuai. Padi dituai setangkai demi tangkai. Bayangkan betapa lecehnya kerja datuk nenek kita zaman dulu. Begitu tekun mereka melakukan kerja untuk sesuap nasi. Padi yang dituai itu dimasukkan ke dalam ambung. Padi dibawa pulang dan dicurahkan di atas tikar. Kini giliran saya pula menjalankan tugas. Saya dan adik beradik ditugaskan meleraikan padi dari tangkainya. Cara yang paling berkesan ialah pijak padi yang bertimbun itu dan sambil itu kisarkan kaki ke kiri dan ke kanan macam orang menari tuist. Oh sangat siksa kerja ini. Tapak kaki terasa pedih dicucuk oleh hujung biji padi yang tajam itu. Beberapa ulas padi melekat di celah jari menyebabkan kulit melelas. Padi menghasilkan debu yang tajam. Kulit kaki hingga ke betis menjadi gatal. Tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata betapa rimasnya saya waktu itu. Walaupun tidak suka, bila ayah suruh, saya terpaksa lakukan juga.  Selepas beberapa kali berkaki ayam mengirik, dapat akal iaitu pakai kasut sekolah. Kuranglah rasa pedih kaki tetapi ada masalah baru. Padi masuk ke dalam kasut menyebabkan kulit kakai terasa pedih. Kerja seterusnya ialah mengangin, untuk mengasingkan padi hampa. Berikutnya kerja menjemur supaya padi kering sepenuhnya. Ini kerja yang menjemukan. Emak suruh saya jaga padi takut dimakan ayam. Selalulah ayam yang datang mencuri itu terkene balingan saya. Proses akhir ialah membawa padi untuk dikisar menjadi beras. Inilah yang paling menjemukan. Saya dikehendaki memikul padi yang diisi dalam guni gula ke mesen padi Tokki Haji Daud. Jarak perjalanan kira-kira setengah kilometre. Sewaktu memikul padi itu terasa sangat berat. Saya terpaksa berhenti beberapa kali. Ada kalanya saya letakkan padi itu di atas carier basikal besar ayah. Saya naik celah, pun sukar juga. Selalu basikal sukar dikawal menyebabkan saya terbabas dan basikal tumbang. Bila sampai di bangsal mesin padi, tokki haji Daud menyusun padi itu ikut giliran. Saya ada banyak masa lapang menunggu giliran. Inilah ketika yang amat berharga. Saya terus meresap di tebing sungai Pahang di hadapan bangsal mesen padi itu untuk mencari buah lemba. Buah lemba memang manis dan wangi, memang enak dimakan. Selepas makan buah lemba minum air masak. Air juga terasa manis. Kalau rajin mencari boleh dapat segenggam. Kini perut terasa kenyang! Bila pergi ke bangsal, padi yang ditinggalkan itu telah dikisar menjadi beras. Saya bayar upahnya, segantang padi upahnya sepuluh sen. Kini saya memikul beras pula untuk dibawa pulang. Berat beras hanya separuh dari berat padi, tidak membebankan. Lagi pun perut telah terasa kenyang makan buah lemba. Dalam keperitan ada pengubatnya. Selepas beberapa musim kami terikat dengan aktiviti penghasilan padi, ayah membuat keputusan yang memeranjatkan. Ayah kata menoreh getah lebih untung dari menanam padi. Hasil jualan getah terus boleh beli beras. Untuk mendapatkan beras dari tanaman padi ambil masa enam bulan. Banyak risiko, antaranya banjir, musuh seperti tikus, ulat, burung dan kerbau. Saya sangat gembira mendengar keputusan yang berani itu. Saya percaya ayah pandai membuat kira-kira. Saya gembira kerana tidak lagi kene mengirik padi dan tidak lagi memikul padi ke mesin padi Tokki Haji Daud.


Ikut ayah menjala ikan di alur paya
Ini satu lagi kerja yang menjemukan saya. Bila lauk untuk makan kehabisan, ayah memikul jalanya menuju alur paya di belakang rumah. Ayah mengajak saya mengikutnya. Ayah suruh saya cebet baldi kosong. Ayah memang mahir menebar jala. Jala kembang macam telinga gajah sewaktu jatuh di permukaan air. Kalau saya pula, jala itu jatuh macam batu. Kadang-kadang jala itu kembang membujur ikut bentuk alur paya. Selepas menebar, jala itu ditaik perlahan-lahan. Saya Nampak banyak ikan yang terperangkap lekat pada bahagian dalam jala. Banyak juga selut dan sampah melekat pada jala. Ayah meleraikan semua ikan dan sampah sarap yang melekat pada jala. Ikan haruan, keli, puyu, kepar, sepat kemboja dan potak mengeletik di atas tebing. Ada beberapa ekor berjaya melompat ke dalam paya semula. Saya mula mengutip ikan yang besar sahaja. Anak puyu dan haruan kecil saya lempar balik ke dunia mereka. Ada juga berbolot dalam sampah berlumpur dibiarkan sahaja. Mereka akan mati kering sahaja. Saya takut menangkap ikan keli tetapi tetap memberanikan diri. Saya pegang bahagian ekornya. Tiba-tiba kepala keli itu melibas ke tangan saya. Saya menjerit kesakitan. Rupanya sengat keli telah menyucuk belakang ibu jari saya. Kini ayah menunjuk-kan cara menangkap keli. Ayah pegang kepalanya, sengatnya tegak di celah jari. Itulah cara yang betul menangkap ikan keli. Baru saya tahu cara menewaskan ikan keli. Ayah terus menjala dan saya pula mengutip ikan memasukkan ke dalam baldi. Ayah bergerak semakin jauh ke hadapan. Saya terpaksa menjinjing baldi yang semakin berat itu. Tugas saya menjadi semakin berat. Bila ikan hamper penuh baldi baru ayah berhenti menjala. Ayah memikul jalanya di bahu. Saya pula menjinjing baldi yang berat itu hingga sampai ke rumah. Setiap kali kehabisan lauk, saya akan mengikut ayah ke alur paya. Bila pulang terasa sakit bahu menjinjing baldi yang penuh dengan ikan paya. Sebelah malam kami makan nasi berselera sekali kerana ada hidangan ikan puyu bakar. Secara tidak disedari sebenarnya yang makan banyak protin dari ikan fresh. Satu kelebihan yang tidak disedari.


Saya cemos betul bila ayah melawat saya di asrama dan sekolah.
Saya tak suka betul dengan ayah dalam bab ini. Dua minggu sekali ayah jual getah di pekan Chenor. Hari Khamis adalah hari pekan sehari Chenor. Saya nampak dari jauh ayah datang ke sekolah. Saya nampak ada sesuatu yang dijinjing ayah, bila dekat baru saya perasan yang dijinjing ayah itu ialah tapai ubi. Itulah pilihan buah tangan ayah sewaktu melawat saya di sekolah menengah rendah. Bila sampai di sekolah, ayah mencari warden asrama terlebih dahulu, lepas itu baru menemui saya. Saya tidak senang duduk bila ayah pergi berjumpa warden asrama iaitu cikgu Taib. Saya tidak tahu apa yang dibualkan. Saya boleh agak apa yang mereka cakapkan. Tentu ayah bertanya tentang perangai saya di asrama dan sekolah. Saya bimbang ayah dapat banyak maklumat tentang saya, habislah kantoi.  Selepas berjumpa cikgu Taib dan beberapa orang guru lagi baru ayah jumpa saya. Ada ketikanya ayah berjumpa dengan cikgu Zainal, cikgu Talib dan cikgu Wan Osman. Mereka adalah guru yang mengajar mata pelajaran Sains, Matematik dan Ilmu Alam. Saya tidak bimbang jika ayah berbincang dengan guru mata pelajaran sebab soal belajar rasanya tiada masalah. Bila berjumpa saya, ayah tidak cakap banyak. Ayah menghulurkan tapai ubi dan duit RM5 untuk belanja beberapa minggu. Selepas bertanya khabar, ayah terus pulang. Saya sungguh lega kerana ayah tidak bertanya itu dan ini. Sebulan sekali saya pulang ke rumah. Saya tidur di rumah dua malam iaitu malam Sabtu dan malam Ahad. Selepas makan malam ayah mula bertanya saya tentang perlakuan saya di asrama. “Kini saya sedang disoal oleh peguam.” Saya tidak sangka semua rahsia kenakalan saya dalam tangan ayah. Baru saya ingat, ayah ada bertemu dengan cikgu Taib pada hari Khamis sekurang-kurangnya sekali sebulan. (Melalui pengamatan saya jarang sekali ayah kawan sekolah saya berjumpa cikgu Taib bila datang ke sekolah. Mereka menjinjing bungkusan penuh tangan untuk diberi kepada anak masing-masing.) Saya tidak boleh kata apa-apa lagi. Saya ambil tindakan berdiam diri dan menyesal. Selepas selesai sesi siasatan baru ayah memberi wang belanja dan wang makan asrama. Ayah beri wang itu pada malam Ahad sebab esok ayah akan pergi menorah getah pada awal pagi. Kehadiran ayah ke sekolah berjumpa guru rupanya banyak hikmahnya!


Kacau ayah bertukang
Selain dari menorah getah ayah menjalankan kerja tambahan iaitu bertukang membuat atau membaiki rumah. Alat kerja ayah ada bermacam-macam jenis seperti ketam, gergaji, pahat, tukul, kencen, patau dan macam-macam lagi. Ayah simpan alat-alat itu dalam satu tong. Bila ayah pergi menorah getah, saya mulalah memeriksa alat tukang itu. Antara yang paling saya minat sekali ialah tukul dan paku. Satu hari saya ambil paku dan tukul. Saya pantak paku itu pada penutup bekas air aluminium. Kini penutup itu berlubang, saya sungguh gembira. Lepas itu saya tebuk badan dan bahagian bawah bekas air itu. Kini bekas air itu sudah berdarang. Ayah terkejut besar bila melihat bekas airnya macam kene peluru penabur. Ayah terus berkata, “Ini tak ada orang lainlah, mesti buatan Yahya.” Saya hairan ayah tidak menuduh abang Long atau adik Lan.

Sewaktu darjah dua hingga tiga minat saya semakin kerap mencuri menggunakan alat tukang ayah. Entah berapa puluh kali saya dimarahi ayah. Ada kalanya ayah memerlukan khidmat saya terutama bila ayah memotong papan. Ayah suruh saya pegang hujung papan takut mata gergaji terkepit. Saya juga disuruh memegang hujung papan bila ayah hendak memasang dinding.  Akhirnya ayah mengajar saya mengerat papan menggunakan gergaji. Ayah ajar menggunakan sesiku untuk menandakan garisan untuk dilalui gergaji. Papan yang dikerat itu akan dilekatkan sebagai dinding rumah kami yang belum siap itu. Seterusnya ayah mengajar saya memasang papan melekat pada dinding. Ayah ajar menggunakan timbang air sebelum memaku. Saya sungguh gembira kerana diberi lessen memotong dan memaku. Sewaktu memaku perlu hati-hati. Saya mahu pastikan paku itu masuk hingga habis tanpa bengkok. Jika bengkok alamatlah lesen akan ditarik balik. Nampaknya ayah berpuas hati dengan cara kerja saya. Saya berjaya memasang dinding rumah bahagian bawah. Selanjutnya ayah sambung bahagian yang tinggi. Saya sungguh puas diberi tugas yang istemewa itu. Selepas itu saya diajar mengetam papan pula.

Bila saya melangkah ke sekolah menengah ada mata pelajaran Seni Perushaan. Inilah mata pelajaran yang saya minati. Saya menjadi budak kesayangan cikgu Abdullah dan cikgu Chan. Cikgu Chan yang garang itu boleh rede dengan saya. Hasil kerja saya selalu dijadikan contoh, misalnya rak buku. Cikgu kata rak buku saya paling kemas. Nampaknya apa yang saya pelajarai dari ayah sewaktu di kampung sangat membantu pembelajaran di bengkel kayu dan bengkel logam sewaktu di sekolah menengah. Sewaktu di bengkel logam, kami diajar buat dulang dari aluminium. Saya berjaya menghasilkan sebuah dulang, rupanya bukan cantik sangat tetapi saya sangat bangga. Saya bawa pulang dan berikan kepada emak. Emak sangat gembira mendapat hadiah saya yang tidak seberapa itu. Setiap kali menghidangkan minuman bila saudara mara datang, emak letakkan gelas atas dulang itu. Tetamu pasti memandang dulang itu. Apa lagi, emak terus mengatakan, “Ini hasil kerja sekolah Jantan kon lah.” Saya tahu emak sangat gembira menggunakan dulang itu.

Saya rasa dapat sedikit tempias bakat ayah. Bapa borek anak rintik. Ke mana lagi, kuah kalau tidak tumpah ke nasi. Pepatah Inggeris menyebut, “Like father like son”. Hoby saya ialah bertukang. Beberapa bahagian rumah saya bina sendiri. Misalnya pintu utama rumah, saya pasang sendiri. Ayah terkejut besar bila melihat saya boleh memasang pintu yang berat itu seorang diri. Saya juga memasang sendiri lantai papan pelantar. Ini adalah kerja yang senang, gunakan sahaja penapit lantai. Saya pernah bantu ayah memasang lantai dan pintu rumah sewaktu saya masih di bangku sekolah. Saya juga Berjaya memasang tile dapur rumah sendirian. Ini adalah kerja yang sangat mencabar. Saya mengambil masa yang lama menyiapkan kerja memasang tile ini. Ada ketikanya saya terpaksa cungkil semula tile yang dipasang kerana terasa tidak sama aras. Kalau nak dikira, lebih untung upah tetapi seronok memandang hasil bikinan sendiri.

            Ada bapa berjaya membetuk sendiri kebolehan anaknya. Misalnya si bapa adalah tukang kasut, anaknya juga menjadi tukang kasut. Ada anak mewarisi pekerjaan bapanya sebagai peniaga kedai cermin mata. Tetapi ayah saya kerap kali berkata kepada saya sewaktu saya masih di bangku sekolah, “Awak jangan jadi macam kon ini penoreh getah.” Pada waktu itu harga getah hanya 20 sen sekilo. Kebun getah ayah pula hanya sekangkang kera. 

            Kerja bertukang sebenarnya melatih kita berfikir secara kreatif. Melatih kita melakukan kerja hingga siap, bermakna kita mesti sabra untuk meneruskan kerja hingga siap misalnya kerja melarik gasing. Kita mesti lakukan proses dari mula mencari teras, lepas itu digubal dan seterusnya melarik hingga siap. Begitu juga kalau kita membuat tali gasing. Bermula dari mencari kulit terap hingga

 
Saya suka melawat kebun ayah
Sebenarnya banyak sebab yang saya suka ayah. Ayah saya seorang yang tidak takut kepada hantu. Ada orang selalu cerita fasal hantu kubur dan macam-macam lagi. Ayah sewaktu bujang pernah sekali diganggu oleh lembaga macam manusia ketika melalui pokok ara besar tengah kawasan kubur di kampung. Sewaktu mahu melintas pokok itu tiba-tiba lembaga putih macam orang terjun di hadapan tetapi tidak jejak ke tanah. Pada mulanya ayah terkejut juga. Ayah renungkan betul-betul ke arah kepala lembaga itu. Dalam suasana kelam itu ayah masih nampak ada tali yang menjerut leher lembaga itu. Cepat-cepat ayah menyuluh ke arah tali itu. Ayah nampak tali itu memanjang tegak hingga ke dahan dan bersambung ke pangkal pokok ara itu. Ayah terus menyuluh ke pangkal pokok. Sah tali itu bersambung dari leher lembaga hingga ke pangkal pokok.  Ayah terus melangkah laju ke belakang pokok. Ayah nampak ada seseorang yang sedang memegang tali. Ayah terus menjerit, “Oh awak Awang ……” Sambil itu penerajang ayah sampai ke muka si dia itu. Ayah kata Awang telentang kesakitan di pangkal pokok itu. Saya menjadi bersemangat bila mendengar cerita itu.

Sewaktu kecil dahulu saya ada mengikuti acara membersih kampung yang dianjurkan oleh ketua kampung. Acara ini diadakan pada musim kemarau. Kononnya mahu memanggil hujan. Hampir semua orang kampung berarak sambil membaca ayat. Antara kalimah yang saya ingat ialah “Yarob bibihim …..”. Ada pantang larang yang mesti dipatuhi oleh semua penduduk kampong iaitu tidak boleh mematahkan atau  memusnahkan pokok termasuklah menorah getah dan memetik pucuk paku selama seminggu. Semua orang kampung kecuali dua orang patuh kepada arahan itu. Kalau melanggar pantang akan ada sesuatu yang buruk menimpa orang yang melanggar pantang itu. Mereka yang berani melawan pantang itu ialah ayah saya dan bapa saudara ayah iaitu Tokki Dolah. Ketua kampung mengatakan dua beranak itu sebagai “keras kepala.” Ayah pula kata kalau tak menorah seminggu nanti dapur tidak berasap. Ayah kata itu semua perbuatan karut. 

Saya melihat pokok getah hidup subur. Daunnya hijau tua menandakan cukup bajanya. Permukaan tanahnya bersih dari pokok liar. Pokok getah yang condong dipasang tali penahan agar pokok tegak lurus kembali. Lepas itu masuk kebun sawit pula. Pokoknya besar, buahnya lebat, daunnya hijau tua. Pelepah tersusun rapi. Tidak ada anak pokok yang tumbuh liar melainkan hanya rumput sahaja yang tumbuh. Itulah gambaran pemandangan bila berada di kebun ayah saya. Soal kerja menggunakan tulang empat kerat memang ayah nombor satu. Ayah juga patuh kepada jadual membaja. Walaupun harga sawit jatuh tetapi kebun tetap dibaja. Ramai orang kata kebun ayah adalah contoh dalam kampung saya. Saya belajar dari ayah tentang kerajinan, kecekalan dan keyakinan. Ayah mempunyai sikap yakin diri yang tinggi sebab itulah apa yang dilakukannya pasti berhasil. Saya mahu ikut jejak ayah dan terapkan inovasi sendiri.

Friday, January 25, 2013

Tanah terbiar di Padang Kerbau, Lompat, Pesagi

Tanah tiga ekar di Padang Kerbau

24 Januari 2013. Kini jam 11.45 malam, mata masih tidak mengantuk. Saya tuliskan kisah ini.
Arwah emak berpesan supaya usahakan tanah tiga ekar itu. Berbelas tahun saya biarkan naik hutan. Sebelum ini ada pokok getah tetapi saya jual sewaktu harga pokok getah mencecah RM2,500 seekar. Lepas itu naik belukar. Tiga tahun yang lalu saya ambil tindakan membersihkan tanah itu dan buat longkang keliling. Tanah sudah gondol menanti untuk ditanam getah atau sawit. Hari demi hari tertangguh kerana kesibukan kerja hingga naik belukar semula.

Kini saya telah bersara, tiada alasan lagi. Saya menyuruh Din membersihkan tanah itu. Din masuk beberapa hari membersihkan menggunakan JCBnya. Dia terdaya setakah sesuku sahaja. Din tiada kemahiran membersihkan permukaan condong, dia menarik diri. Gagal lagi.
Beberapa hari kemudian saya berjumpa dengan Khairul bin Omar. Anak muda ini nampaknya sangat mahir kerja kampung. Dia sanggup memagar dan membersihkan tanah itu. Khairul menyelaraskan kerja. Dia mencari operator JCB yang mahir. Dua hari kemudian saya melawat, nampak ada kemajuan. Khairul menghantar turus pagar dari pokok tembesu sebanyak 131 batang. Oleh kerana dia bekerja pantas, saya juga perlu pantas buat bayaran. Saya beri pendahuluan sebanyak RM1,400.

 Khairul menyambung kerjanya hingga siap. Saya sangat berpuas hati dengan mutu kerjanya. Sebagai balasannya, saya bayar RM2700 untuk kerja cuci kawasan dan RM2500 untuk pagar elektrik.

23/2/2013
Saya telah berjaya memulakan kerja menanam getah bersama Ami, anak bongsu saya. Saya sangat gembira berjaya memulakan satu marathon yang mencabar. Kini baru 41 pokok dari 600 berjaya ditanam. Kebiasaannya saya mendaki gunung atau mengayuh basikal pada jarak puluhan kilometer, kini marathon yang berlainan sedikit tetapi yang sama ialah perlukan kekuatan fizikal dan kekuatan minda!


25 Disember 2013
Hari ini cuti umum, saya mengambil peluang menjenguk kebun getah di Kampung Lompat. Hati rasa terhibur melihat pokok getah telah mula melonjak. Kini usia pokok getah ini telah menjangkau 10 bulan.



Akak pokok getah ini klon 350. Setiap tiga bulan sekali saya bersama Shahmi menabur baja. Sementara kerja meracun saya suruh pekerja Indonesia yang bekerja dengan Bakri.


 Sementara anak pokok di lereng bukit ini jenis 1Malaysia. Jenis ini kelihatan lebih cepat besar dan banyak susu. Usia pokok ini telah melewati 10 bulan.

1 Januari 2014
Saya mengambil peluang cuti tahun baharu, saya membaja dan memotong dahan yang tumbuh pada batang pokok. Dalam pada nampak segar dan subur, ada terdapat beberapa batang telah mati, perlu ditanam semula. Kali ini saya menanam semula sebanyak 19 pokok. Selepas itu membaja pula. Kali ini habis dua setengah kampit baja 15-15-15. Kosnya ialah RM338. Ada beberapa batang pangkalnya dipenuhi rumput halus yang degil. Saya ambil peluang menanam keledek untuk percubaan. Jika menjadi ia akan jadi penutup bumi. Saya juga mencucuk batang ubi kayu. Terasa sangat terhibur bila melihat pokok hidup subur.


31 Januari 2104
Sudah dua minggu tiada hujan. Pokok yang baru ditanam itu mula layu dan warnanya kuning, daunnya mula gugur. Pokok ini jika tidak disiram pasti akan mati kering. Saya memberi bantuan dengan menyiramnya.
Dalam pada kelihatan melonjak tinggi, masih ada beberapa batang anak pokok getah yang masih rendah dan tidak subur. Rupanya seperti kanak-kanak sekolah juga. Dalam satu sekolah seramai 600 orang, ada yang terencat fizikalnya. Perlukan perhatian khusus untuk memulihkannya.

21 Disember 2014
Sudah tiga bulan saya tidak jenguk. Banyak dahan yang patut dipotong sudah lebih besar dari ibu jari. Kena guna parang untuk memotongnya. Pokok kelihatan subur. Bawah pokok masih terang. Hanyak suku ekar penuh dengan rumput dan anak pokok.


Sudah berusia satu tahun sembilan bulan.

15 September 2015
Inilah pemandangan terkini. Sudah berusia dua tahun tujuh bulan.


Suruh Sawal Indon meracun dan membaja minggu hadapan. Sawal telah racun pada19/9/15. Racun habis. Dia minta lagi. 21/9/15 saya hantar racun yang dimintanya. Saya juga memberi upah rm100. Bakinya akan beri bila siap kerja. Kerja seterusnya ialah membaja.

26 Sept. 2015.
Sempat melawat kebun sebentar. Nampak rumput telah kuning.

30/4/2017
Alhamdulilah..... dah dapat gran. Mohon tahun 2013.

26/6/17
Pokok sudah semakin besar, ada yang boleh toreh dah.

25/3/18
Banyak yang telah boleh ditoreh. Lima baris di puncak bukit kira2 100 pokok tidak subur dan kecil. Perlu buat sesuatu untuk tingkatkan produktiviti.

19/9/19
Telah mula toreh sejak dua bulan yang lalu Hasil jualan dibahagi dua. Telah merasa rm475. Syukur alhamdulillah. Usahaku 5 tahun setengah yang lalu telah mula makan hasil. Berbudi kepada tanah pasti diberi balasan yang baik. Untuk mendapat hasil kena berusaha ambil masa lama, hingga enam tahun, perlukan kesabaran dan pengorbanan masa dan wang. Belanja mengusahakan tanah ini dianggsrkan rm20,000. Wang yang diperolehi baru 2.38% daripada modal.
27/9/19
Dapat rm324, jumlah terkumpul rm799, dapat 3.99% daripada modal.
300 pokok telah toreh sejak tiga bulan lalu.
7/11/20... semua 500 pokok telah ditoreh.