Nostalgia Satu tahun 1978 di SMK Jerantut
Saya lihat ada ramai, hampir sepuluh orang guru
disenaraikan sebagai guru Rumah Dato Bahaman. Nama saya di aas sekali dan di
hujung nama ada tanda (Ketua). Ini bermakna saya adalah ketua. Saya terkejut
besar melihat hujung nama saya tercatat perkataan ketua. Saya baru melangkah
masuk sebagai guru baru tiba-tiba jadi ketua pula. Terfikir bagimana hendak
mengarah guru yang lain itu? Saya memang tidak makan cekak untuk memberi tugas
kepada mereka. Jadual latihan menunjukkan latihan merentas desa dan latihan
sukan seminggu sekali. Saya mengadakan perjumpaan rumah Dato’ Bahaman. Dalam
perjumpaan itu, ahli rumah telah memilih barisan kepimpinan Rumah Dato’
Bahaman. Saya mengatur jadual latihan
ikut tingkatan. Tiap-tiap petang Rumah Dato’ Bahaman turun berlatih. Setiap
peserta merasa berlari merentas desa seminggu sekali. Sewaktu merentas desa
saya berlari bersama mereka. Kami berlari di atas batas paya, mendaki bukit dan
merentas kebun getah. Saya rasa trek merentas desa sewaktu saya belajar di SMK
Maran tahun 1969 tebih mencabar. Ada ketikanya kami berlari di tebing sungai
dan merentas sungai, basah kuyup hingga paras pinggang. Itulah yang
menyeronokkan. Pengalaman bersukan sewaktu di bangku sekolah sangat membantu
tugas ketika jadi guru. Bila saya berlari bersama, pelajar seolah-olah dipaksa
berlari juga. Seingat saya tiada guru rumah Dato’ Bahaman yang ikut berlari
bersama-sama saya. Mereka menunggu pelajar di simpang jalan, itu pun di simpang
yang hampir dengan sekolah sahaja. Saya ini penyapu baru, pantang diberi tugas.
Setiap orang pelajar mesti
mengambil bahagian dalam acara Sukantara untuk acara lari 100 meter, 400 meter
dan 800 meter. Acara padang pula ialah lempar cakra, lontar peluru, lompat jauh
dan lompat tinggi. Markah diberi bila peserta melepasi satu jarak atau dalam
jangka masa yang ditentukan. Saya mahu setiap pelajar memberi sumbangan mata
untuk rumah Dato’ Bahaman. Saya lantik pelajar yang handal dalam acara tersebut
dijadikan jurulatih dan mengawasi sesi latihan di padang. Kini kerja saya
menjadi lebih ringan dan teratur. Berkat latihan yang bersungguh itu rumah Dato’
Bahaman berjaya menjadi johan sukantara. Dalam menguruskan latihan sukan ini
saya tidak nampak seorang guru pun yang sanggup datang membantu. Mungkin mereka
tidak tahu apa nak buat kerana saya telah melantik ramai pembantu dari kalangan
pelajar sendiri tetapi masih sukar mengawal displin mereka. Selepas tamat sesi
latihan untuk semua ahli, kini sampai ke sesi latihan untuk acara sukan
tahunan. Peserta rumah Dato’ Bahaman berlatih tiap-tiap petang. Saya turun ke
padang tiap-tiap petang menyelia perjalanan sesi latihan untuk menghadapi acara
sukan tahunan. Saya beri tumpuan utama kepada teknik pertukaran baton bagi
acara lari berganti-ganti, lompat jauh dan teknik baling cakra dan lontar
peluru. Saya memang mahir dalam acara-acara ini kerana sewaktu di sekolah
rendah hingga tingkatan lima dahulu inilah aktiviti yang saya minat dan
mewakili sekolah hingga ke peringkat daerah. Pengalaman lalu rupanya sangat
berguna. Saya masih ingat beberapa orang ayam tambatan saya seperti Syed,
Samad, Vima, Noraini, Zainal dan ramai lagi tetapi telah lupa. Syed handal
dalam acara balinagan dan tarik tali. Samad handal dalam acara balingan. Vima
yang kurus tinggi handal dalam semua acara lari dari 100m hingga 800m. Dia
mampu menang lima pingat emas. Noraini badannya kecil dan kurus tetapi handal
dalam acara lari jarak sederhana dan jarak jauh. Zainal pula sprinter dan pelari akhir lari
ganti-ganti 100m dan 400m. Memang seronok menguruskan aktiviti sukan sebab nampak
kejayaannya. Musim berlatih sukan ini belanja di kantin meningkat mendadak.
Budak-budak bila letih mahu minum air. Sesiapa yang berani mengadu, saya suruh
mereka ambil minuman di kantin. Apa suah tulis sahaja dalam buku 555 saya.
Cukup bulan saya kira jumlah hutang, terkejut juga menjangkau lebih RM300. Ini
adalah belanja hangus untuk musim sukan selama dua bulan. Itulah pelaboran
namanya. Duit habis tidak mengapa kerana nampak hasilnya. Jika mahu jadi juara
mesti keluar belanja. Namun begitu saya tertanya-tanya mengapa saya tidak dapat
sokongan guru untuk turut membantu? Saya memang segan mengarah guru yang
senior. Saya tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbincangan. Inilah
kelemahan saya sebagai guru novis.
Persekolahan tahun 1978 sudah sampai ke penghujungnya.
Pengetua menghimpunkan semua guru di dewan untuk mengadakan mesyuarat guru
akhir tahun. Di penghujung mesyuarat, pengetua menjemput guru-guru yang ada
masalah atau pertanyaan mengemukakan soalan. Saya mengambil peluang keemasan ini.
Saya terus bercakap, “Guru rumah sukan saya tidak turun padang untuk melatih
ahli rumah Dato’ Bahaman. Saya buat kerja seorang diri.”
Suasana terus menjadi bising. Ada yang kata tak patut
lepas tangan. Ada juga kata tak patut cakap macam itu tengah ramai.
Pengetua meminta guru bertenang dan berkata, “Rumah sukan
awak jadi johan, ada masalah juga? Nampak berjalan lancer. Habis siapa yang bantu awak?”
Saya menjawab, “Saya gunakan pelajar yang handal-handal itu
bantu saya.”
Pengetua membalas, “Kita kena buat kerja sama-samalah.”
Saya difahamkan selepas mesyuarat itu beberapa orang guru
wanita masuk bilik pengetua. Katanya mereka mengadu kepada pengetua melahirkan
rasa tidak puas hati kepada saya kerana bantai mereka dalam mesyuarat. Ada di
antaranya menangis. Mereka tidak mahu lagi berada di rumah Dato’ Bahaman
bersama saya. Pengetua dengan tegas tidak mahu mengikut rayuan mereka. Pengetua
kata mesti buat kerja bersama-sama di rumah Dato’ Bahaman. Saya berasa lega
kerana tidak dipanggil oleh pengetua.
Bila sesi persekolahan tahun 1979, rumah Dato’ Bahaman
semakin mantap kerana semua guru berganding bahu mengambil bahagian. Saya mula
berani mengagih tugas. Guru wanita yang tidak tahu apa-apa tentang sukan diberi
tugas menyediakan air masak untuk minuman ahli rumah yang dahaga. Belanja saya
dapat dijimatkan. Ternyata rumah Dato’ Bahaman tidak dapat ditumbangkan selama
tiga tahun. Selepas tiga tahun menjadi ketua guru rumah Dato’ Bahaman, saya
dinaikkan pangkat membantu setia usaha sukan. Saya mula mempelajari teknik
mengendalikan sukan. Setia usaha sukan waktu itu ialah saudara Yusof Osman dan
penolongnya ialah saudara Basir Khatib Choh. Saya adalah anak murid mereka
dalam selok belok pengurusan sukan.
Beberapa tahun kemudian, saya terfikir semula peristiwa
guru wanita menangis mengadu kepada pengetua. Saya rasa menyesal kerana bercakap
terus terang dalam mesyuarat itu. Ada yang terguris rupanya. Barang kali
komunikasi saya kurang sesuai. Bila saya renung kembali, usia saya waktu itu
baru masuk 24 tahun, kurang memikirkan perasaan orang dan bahasa pun kurang.
Itulah kelemahan seorang guru novis. Saya melaksanakan kerja tetapi ada yang
terluka. Saya minta maaf kepada rakan setugas yang terguris perasaan. Sejak itu
saya semakin berhati-hati bila memberi pendapat dalam mesyuarat.
TAMAT