Saya belum terasa puas di Maran,
baru satu tahun empat bulan berpindah pula ke Pekan mulai 2 November 2008,
dapat naik gred DG52 kira bolehlah. Beberapa
hari selepas bertukar ke Pekan, saya bertemu dengan tuan haji Murad Jalil dari
Jabatan Pelajaran Pahang. Tuan Haji Murad berkata, “Awak ini untung sabut
timbul, inilah peluang awak, buat kerja elok-elok, tapak molek tu, tetapi silap
hari bulan tenggelam di kuala.” Sangat tajam bacaan haji Murad dan saya faham yang
tersirat.
Saya
menjalankan tugas yang pertama iaitu melawat sebuah sekolah rendah di kawasan
Paloh Hinai/Chini. Sekolah ini terpencil di darat tetapi ada kemudahan jalan
raya. Saya sampai di sekolah itu hampir tengah hari. Staf yang ada hanya
pembantu tadbir dan jaga sahaja. Guru Besar bercuti rupanya. Saya melawat
sekitar sekolah yang tiada penghuni, ketika itu cuti akhir tahun. Perut mula terasa lapar tetapi tiada kedai
makan dalam kampung ini. Saya nampak ada sepohon pokok kelapa yang rindang
dalam pagar sekolah. Saya minta jaga kaitkan buah kelapa muda. Tengah hari itu
hidangan saya ialah kelapa muda. Hari ini saya hanya dapat gambaran sebuah
sekolah yang sunyi sepi. Hajat saya untuk berjumpa Guru Besar tidak tercapai.
Melihat kepada keputusan peperiksaan UPSR dan keadaan sekolah yang hambar, saya
fikir perlu ada tindakan. Tempat yang jauh seperti ini memerlukan pemimpin yang
kuat stamina. Kalau kita duduk terlalu lama di suatu tempat, hingga kita
terikut-ikut pula dengan persekitaran yang tidak maju itu maka kita elok
beredar ke tempat lain pula. Masyarakat kampong hari ini sudah nampak
kepentingan pendidikan. Jika terdapat sesuatu yang tidak kena, mereka berani
melapor kepada pihak atasan. Kita mesti peka terhadap kehendak masyarakat. Mereka
mahu khidmat yang terbaik. Sebaliknya jika kita boleh mengubah hingga semakin
maju, kita boleh bertahan di tempat itu.
Sewaktu
jadi pengetua di ABS Temerloh, saya dapati ada 13 orang pelajar yang masuk
tingkatan satu tidak pandai membaca. Kini saya mahu tahu berapa orang pelajar
yang naik tingkatan satu dalam daerah Pekan yang tidak pandai membaca? Setelah
dijalankan tapisan, seramai 34 orang dari tujuh sekolah (SMK Nenasi, SMK
Abdullah, SMK Pekan, SMK Peramu Jaya, SMK Mahmud Mat, SMK Indera Shahbandar dan
SMK Ubai) tidak boleh membaca. Ini baru tujuh sekolah dalam daerah Pekan. Masih
ada lima sekolah lagi yang belum diusik. Saya mengarahkan supaya diadakan
program membaca secara intensif selama empat hari. Pasukan guru yang membimbing
dari sekolah rendah. Hasilnya banyak kemajuan, kalau diulangi lagi pasti boleh.
Selepas itu saya meminta panatia sekolah masing-masing mengadakan tindakan
susulan. Saya dapati SMK Pekan berjaya mengadakan usaha pemulihan lanjutan,
memang nampak kemajuan. Kalau dikira secara purata, bilangan pelajar yang tidak
boleh membaca naik ke tingkatan satu di daerah ini dianggarkan 58 orang. Kalau
dikumpulkan boleh dapat dua kelas.
Saya
masih ingat pada pertengahan tahun 2009, satu perjumpaan Tan Sri Alimuddin bin
Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dengan pegawai kanan Kementerian
Pelajaran di Putra Jaya, saya dijemput sekali mengikutinya. KPPM memberi
syarahan mengupas selogan bertajuk, “Rakyat didahulukan dan pencapaian
diutamakan” . Ini adalah satu agenda penting yang diilhamkan oleh YAB Dato’Sri
Mohd Najib, Perdana Menteri Malaysia. Saya berasa bangga kerana KPPM telah
mengambil tindakan pantas menyokong agenda Perdana Menteri itu. Selepas sesi
ucapan, KPPM membuka sesi pandangan balas daripada hadirin. Selepas beberapa
saat, nampak masih tiada yang memberi reaksi, saya memberanikan diri memberi
pandangan. Saya bawa isu pelajar yang naik tingkatan satu tetapi masih belum
pandai membaca. Adakah ini bukti kita mengutamakan pencapaian? Kalau dalam
daerah Pekan terdapat 58 orang, maka seluruh Malaysia tentulah dianggarkan 9570
orang (58 x 11 daerah x 15 negeri ). Jika sebuah sekolah ada 600 orang pelajar,
bermakna di Malaysia ini ada 16 buah sekolah menghimpunkan anak remaja yang
tidak pandai membaca. Satu angka yang sangat besar. Ini adalah bukti kita
pendidik tidak mengutamakan masa depan murid. Kita memandang remeh isu ini.
Apakah tindakan kita? Apakah rancangan kita? Saya ceritakan tindakan awal yang
telah dilakukan oleh kami di daerah Pekan. Tindakan itu sebenarnya tidak
memadai. Selepas mendengar hujah saya itu, KPPM mengucapkan terima kasih.
Seterusnya KPPM menyerahkan kepada PPD mengambil tindakan masing-masing. Saya
berharap Kementerian Pelajaran ambil berat fenomena ini agar guru tidak
diperlekehkan. Tindakan kerajaan pada awal tahun 2011, mewujudkan program LINUS
adalah satu tindakan yang tepat. Tindakan pemulihan lebih awal tanpa menunggu
hingga melarat ke sekolah menengah
Tugas
utama PPD ialah bercakap. Saya selalu diundang ke sekolah merasmikan majlis.
Selalunya tetamu yang mengikuti ucapan saya ialah kumpulan guru dan ibu bapa.
Tempoh masa berucap terhad tidak lebih dua jam.
Tugas
utama PPD ialah bercakap. Saya selalu diundang ke sekolah merasmikan majlis.
Selalunya tetamu yang mengikuti ucapan saya ialah kumpulan guru dan ibu bapa.
Tempoh masa berucap terhad tidak lebih dua jam. Terlalu banyak perkara yang
hendak disampaikan dalam masa yang terhad itu. Saya mendapat satu idea untuk
menulis sebuku bertajuk WATAK PENDIDIK IV yang akan menjadi rujukan guru. Plot
buku ini banyak bentuk pengkisahan cerita guru yang mendidik saya sejak di
sekolah rendah. Saya sebenarnya sangat beruntung dapat dididik oleh guru yang
penyayang dan gigih. Saya mahu guru hari ini tahu walaupun saya anak kampong
yang susah tetapi melalui pendidikan saya berjaya melepaskan diri dari
kesusahan itu dan mendapat pekerjaan yang mulia. Saya berharap guru meniru
amalan baik guru-guru saya itu. Buku WATAK PENDIDIK ini dicetak empat kali,
jumlahnya 6000 naskah telah sampai ke tangan guru. Berdasarkan jumlah naskah
yang banyak itu, buku ini ada daya tarikan yang tersendiri. Inilah cara saya
mempelbagaikan komunikasi dengan guru di daerah Pekan ini.
Ingatan
saya kepada Sekolah Kebangsaan Kota Perdana sangat mendalam. Nama sahaja kota
tetapi terletak di dalam kampung yang jarahnya dari bandar Pekan lebih 60
kilometer. Muridnya bercampur orang Asli
dan Melayu. Budak Asli kebanyakannya dari kampung Sawar Batu dan Simpai. Mereka
berulang alik ke sekolah menaiki lori melalui perjalanan yang sukar, turun naik
bukit, meredah kebun sawit, melalui hutan dan merentas paya. Kalau musim panas
berdebu, habis rambut mereka jadi merah. Kalau hujan, berselut dan
kadang-kadang terus terkandas. Masa perjalanan dari rumah ke sekolah hampir dua
jam.Jika mahu pergi ke sekolah kena turun dari rumah jam 5 pagi, naik lori
macam “reban bergerak” berasak-asak. Bila masuk ke sekolah banyak memandang
mereka dengan jijik. Saya sangat faham perasaan mereka ketika itu. Encik
Mustafar bin Awang Kecil sangat menyedari msalah yang dihadapi lalu menyuruh
mereka mandi dan pakai pakaian sekolah yang bersih. Namun begitu kadar tidak
hadir ke sekolah sangat tinggi. Encik Mustafar memang penyayang orangnya,
kira-kira sebulan sebelum peperiksaan budak Asli darjah enam dari kampung Sawar
Batu dibawa duduk di rumahnya untuk memudahkan mereka menghadiri kelas
tambahan. Isteri GB ini mengajar budak-budak itu menjaga kebersihan diri dan mengajar
mereka membasuh pakaian. Berkat kegigihan Guru Besar dan guru sekolah ini,
ramai budak Asli yang lulus UPSR. Budak-budak dari Kampung Simpai tidak lama
lagi akan bersekolah di kampungnya kerana SK Kampung Simpai hampir siap dibina.
Saya telah mengemukakan permohonan agar sebuah sekolah baru dibina juga di
Kampung Sawar Batu.
PPD
Pekan sejak beberapa tahun lalu berhajat mahu menyertai acara berakit menghilir
sungai Pahang tetapi sentiasa tidak menjadi kenyataan. Dalam bulan Mei 2009
kami berjaya menyertai aktiviti berakit dari Temerloh hingga ke Pekan. Pasukan
kami terdiri dari dua kumpulan. Kumpulan pertama seramai enam orang yang
menaiki rakit. Mereka ini mestilah pandai berenang. Rakit kami dihiasi rotan,
buluh dan atap daun hutan. Kami dihadiahkan pengayuh yang diusahakan oleh orang
Asli dari kampong Runcang. Satu kumpulan lagi bergerak di darat sebagai pasukan
pembantu. Pasukan ini membawa peralatan berkhemah dan sumber makanan. Saya
mengikuti pasukan berakit dari Kuala Semantan ke Kuala Bera. Saya berkayuh
bersama-sama lima orang rakan sepasukan. Kami rasa sangat letih berkayuh selama
enam jam yang mencabar mengendalikan rakit yang menghilir mengikut arus. Kami
perlu mempastikan rakit tidak melentang dan pastikan tidak melanggar tebing
atau rakit pasukan orang lain. Setelah bertungkus lumus selama satu minggu
akhirnya kami sampai di Pekan dengan jayanya. Walaupun kulit dan muka lebam disinari
mata hari tetapi kami terasa puas atas kejayaan teamwork itu.
Bilangan
pelajar dari kalangan anak orang Asli di daerah Pekan hampir 15%. Kebanyakan
mereka tinggal di kelompok Paloh Hinai, Chini dan kawasan Nenasi. Saya dapati ramai
murid dari kalangan mereka yang tidak pandai membaca dan mengira. Saya berpakat
dengan pengetua SMK Ahmad dan SMK Chini untuk menganjurkan program pemulihan
membaca yang akan dilaksanakan oleh pelajar tingkatan enam. Projek ini
dijadikan program khidmat masyarakat pelajar tingkatan enam sekolah tersebut.
Murid Asli yang mengikuti progam sangat seronok, ramai yang bertanya, “Abang
datanglah lagi ajar kami.” Saya lihat kanak-kanak ini suka belajar dari abang
dan kakak yang pandai mengambil hati mereka. Saya nampak program begini elok
diteruskan.
Daerah
Pekan sebenarkan ada banyak keistemewaan yang perlu dieksploitasi. Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad terdiri
dari pelajar yang pandai, kami gunakan kebolehan mereka dalam Matematik memberi
bimbingan kepada murid tahun enam di SK Ahmad. Kami adakan program bimbingan
murid SK Seri Makmur. Murid-murid sekolah rendah memang suka belajar dengan
abang dan kakak ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada cikgu Fazliaton dan
puan Dalijatonseha yang menguruskan program ini. Pelajar Sekolah Sains Sultan
Haji Ahmad Shah juga membantu kami memberi bimbingan kepada murid tahun enam
sekolah-sekolah di kelompok Peramu. Yang penting di sini kita wujudkan jalinan
antara pengetua dan guru besar sekolah-sekolah berkenaan.
Puncak
kejayaan team building sewaktu
bertugas di PPD Pekan ialah bila mana pasukan saya bersama tujuh orang rakan
setugas berjaya menjejak kaki di puncak Gunung Kinabalu pada 27 Julai 2010. Kejayaan
ini sebenarnya melalui latihan fizikal dan mental yang berterusan
berbulan-bulan. Kami selalu berlatih mendaki Bukit Pelindung, Gunung Berembun
dan Gunung Brinchang beberapa kali. Sewaktu kami mendaki Bukit Pelindung, ramai
rakan sepajabat ikut serta menjadikan aktiviti mendaki ini semakin popular di
kalangan staf PPD Pekan.
Dalam kesibukan tugas harian
tiba-tiba saya didatangi satu permohonan dari Jabatan Pelajaran Negeri Pahang.
Pihak JPNP meminta saya mewakili negeri untuk membentangkan satu kertas kerja
dalam Seminar Pendidikan Matematik Kebangsaan dianjurkan oleh Fakulti
Pendidikan Universiti Malaya. Saya minta pihak JPNP memberi peluang kepada guru
cemerlang matematik di negeri ini. Pihak JPNP kata tiada siapa yang sanggup.
Wah kalau saya tolak, malulah negeri Pahang tiada wakil. Lalu saya memberanikan
diri untuk ambil tanggungjawab itu. Saya memilih tajuk “Budak Bermain Kotak.”
Setelah berjaya menyiapkan sinopsisnya lebih kurang 150 perkataan, terus
e-mailkan kepada Dekan Fakulti Pendidikan UM itu. Selang 20 minit saya mendapat
balasan menyatakan kertas kerja saya terpilih untuk pembentangan dalam seminar
itu nanti. Kertas kerja saya lebih bercorak aktiviti hand’s on to maind’s on. Daripada aktiviti melipat kertas langkah
demi langkah, hinggalah terbentuknya sebuah kotak. Selepas itu penyiasatan
tentang ukuran birai kotak itu hinggalah terbentuknya satu rumus R/L = √2, di
mana R ialah jumlah panjang sempadan birai kotak dan L ialah lebar asal kertas
sebelum dilipat. Kertas kerja ini cuba mencabar peserta seminar bagaimana rumus
R/L= √2 itu diperolehi? Syukur alhamdulilah saya berjaya menyampaikan
pembentangkan kertas kerja itu dengan jayanya.
Satu
tahun tujuh bulan berada di daerah Pekan. Satu ruang masa yang cukup selesa
bagi saya melawat semua sekolah, ada di antaranya berkali-kali. Saya boleh
bayangkan siapa dan watak guru besar atau pengetua setiap sekolah itu. Misalnya
di bucu tenggara, SK Mercung Jaya, ketuanya cikgu Malik. Di bucu timur laut
pula SK Serandu, ketuanya ialah ustaz Shafie. Di bucu barat laut pula SK Seri
Makmur, ketuanya ialah cikgu Abdul Raman yang menggantikan cikgu Jamal yang
bertukar ke SK Tanjung Medang. Di bucu barat daya pula SK Tasik Chini, ketuanya
ialah Aked Huat yang sangat arif dengan gelagat masyarakat orang Asli. Saya
boleh mengingati sekolah mengikut jajaran sungai, jalan raya atau pantai. Saya
beri contoh misalnya dari jambatan Paloh Hinai ke Pramu menyusur sungai Pahang
bermula dari SK Pulau Manis. Cikgu Hamdan adalah Guru Besarnya. Sebelah
hilirnya SK Pulau Rusa, cikgu Razak adalah ketuanya. Kehilir lagi ialah SK
Ganchong diketuai oleh puan Rahmah. Beberapa kilometer ke hilir, kita akan jumpa
SK Pahang Tua. Guru Besarnya ialah cikgu Zakaria. Akhir sekali ialah SK Langgar
yang dikemudi oleh cikgu Abdullah. Kelompok Chini terdiri dari SK Chini 2, SK
Chini 1&4, SK Chini 3&5, SMK Chini, SMK Chini 2, SK Chini Timur 1, SK
Chini Timur 2 dan SMK Chini Timur. Guru Besar atau Pengetuanya ialah cikgu
Azmi, cikgu Nasa, cikgu hj Ghani, cikgu Razak, cikgu Azmi, cikgu Mat Zain,
cikgu Radzi dan cikgu Asruddin. Kalau mahu menyatakan semuanya habis beberapa
muka surat. Pendek kata tiada satu sekolah pun yang terpinggir. Saya boleh
menyatakan semua sekolah dan siapa ketuanya dengan pantas. Malah nombor telefon
bimbit mereka saya simpan dalam handfon saya. Bila timbul sesuatu isu atau
perkara penting saya terus menghubungi mereka.
Saya
berasa sudah sampai ke kemuncak kerjaya. Ada kalanya saya berulang alik dari
Kampung Sentosa, Maran. Perjalanannya 120km setiap pagi. Bila saya kira duit
minyak dan belanja hangus dalam perjalanan, wang gaji saya hanya tinggal 60%
sahaja. Amaun ini sama dengan duit pencen bulanan. Kalau pencen, duduk sahaja
boleh dapat 60% dari gaji sekarang. Jauh lebih untung kalau saya bersara! Kalau
bersara saya boleh duduk goyang kaki dapat seperti sekarang. Maka saya buat
keputusan mahu bersara pilihan, lalu ambil tindakan menghantar surat permohonan
kepada Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pengarah Pelajaran Negeri Pahang.
Saya dipanggil oleh Dato’ Pengarah bertanya adakah saya benar-benar mahu
bersara awal? Saya katakan ya. Beberapa minggu selepas itu Dato’ Azmi, mantan
pengarah datang ke pejabat saya. Kami berbincang fasal peluang menyambung
pelajaran selepas SPM bagi budak-budak miskin luar bandar. Tiba-tiba Nordin
beritahu Dato’Azmi bahawa saya telah buat permohonan bersara awal. Terus sahaja
Dato’Azmi kata tak perlu bersara sekarang, teruskan khidmat. Saya beritahu
memang sudah fikir dan buat kira-kira maka saya pilih untuk bersara awal.
Beberapa hari kemudian saya menerima panggilan telefon dari Dato’Azmi, beliau
meminta saya menarik balik cadangan bercuti awal.
Saya tanya Dato’, “Mengapanya?”
Dato’ Azmi balas, “Kita perlukan
awak, tarik baliklah cadangan bersara awal itu.”
Saya beri respon, “Nantilah saya
fikirkan.”
Puas juga saya merenung maksud
kata-kata mentor saya itu. Saya berbincang dengan isteri dan kawan. Saya buat
pertimbangan setelah mengambil kira pandangan mereka. Akhirnya saya tarik balik
hasrat mahu bersara awal itu. Selepas itu saya menghubungi Dato’Azmi mengatakan
saya telah buat keputusan tarik balik hasrat bersara awal itu. Beliau
mengucapkan terima kasih atas keputusan saya itu.
Tanggal
12 Julai 2010, jam 8.08 pagi, saya menerima satu panggilan dari Dato’Aziz, Pengarah Pelajaran
Pahang. Dato’ Aziz berkata sesuatu kepada saya, “Tahniah, encik Yahya dilantik
Timbalan Pengarah mulai 10 Julai 2010, sila datang ke pejabat hari ini lapor
diri dan ambil surat.” Saya tergamam mendengar kata-kata itu.
Selamat tinggal Pekan. Terima kasih kepada
teman-teman sepejabat di PPD Pekan. Anda semua telah memberikan komitmen yang
padu dalam kerja dan memberi kerja sama penuh kepada saya. Saya teringat kepada
kata-kata Tuan Haji Murad, rupanya saya dapat menimbulkan diri seperti sabut
apabila dilempar ke sungai. Ini semua adalah kerja Allah Subha-nahuwa-taala.