nuff
Sunday, December 19, 2010
Saya sempat jenguk Kampung Lompat, singgah di warung depan rumah Man T ( teka sendiri nama penuhnya), berborak dgn beberapa orang saedara mara termasuklah Harun Basir dan Kor (nama penuh Sukor? anak makngah Nab dengan ayahandak Seman). Kami minum dan makan kueh. Perbualan hangat fasal harga getah dan sawit melambung. Bila nak bayar tuan kedai kata dah bayar oleh toke getah. Wah nampak kehidupan orang kampung mewah masa ini. Banyak tanah dibersihkan nak ditanam semula. Baguslah ambil kesempatan waktu mewah ini tambah harta. Saya tumpang gembira.
Friday, September 3, 2010
Mari kita bantu SK Pesagi, kita pakat tubuh Persatuan Murid Tua
Elok kita tubuhkan persatuan murid tua, kita berpakat ramai-ramai boleh bantu majukan pendidikan waris kita. Saya percaya ada ruang yang boleh kita berikan khidmat. Lepas raya cadangnya nak buat perjumpaan. Kita berhimpun di sekolah, sambil bincang2, kita makan, lepas itu cari idea, kumpul duit.
Selamat menunaikan ibadat puasa dan selamat menyambut hari raya aidilfitri.
Sunday, August 8, 2010
Harga getah mencapai RM 2.80 sekati hujung tahun 1949, mengapa?
Kali ini saya nak bawa cerita penanaman getah di kampung Pesagi.
Ikut sejarah, orang Pesagi menanam padi untuk sara hidup mereka. Ini adalah kerja zaman berzaman.
Namun begitu sekumpulan penduduk Pesagi pergi ke Estate Belengu untuk mendapatkan biji getah. Mereka naik perahu besar bergalah ke hulu beberapa hari. Sungguh besar perjuangan mereka. Mereka berpakat dengan buruh ladang untuk menyedudup keluar biji getah itu. Waktu itu biji getah adalah bahan larangan untuk diedar keluar. Mereka bawa biji getah penuh perahu. Bila sampai di Pesagi, mereka mengagihnya kepada beberapa keluarga. Sejak itu beberapa keluarga di Pesagi mula menanam getah. Beberapa tahun kemudian mereka mula mendapat hasilnya.
Keluarga ayah saya hanya ada beberapa ekar sahaja. Mereka menoreh bergilir hari.
Ok, saya buka gelanggang untuk perbincangan selanjutnya.
Thursday, July 15, 2010
Tapak Sekolah Kebangsaan Pesagi yang asal
Hari ini kita lihat SK Pesagi tesergam indah dan hebat di atas bukit. Saya difahamkan bilangan muridnya sekitar 70 orang.
Monday, July 12, 2010
Piala Dunia 2010 di Kampung Sentosa
Hebat betul anak muda Kampung Sentosa menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di laman kampung sendiri. Yang tua pun ada. Tahniah kepada kumpulan anak muda Kampung Sentosa yang menguruskan tempat santai tengok skrin besar sambil menikmati minuman. Tak perlulah pergi ke Maran atau Temerloh.
Wah khusyuk betul abang ni sampai telopong mulut, yang seorang itu hisap paip.
Gooll.... wah gembiranya. Nampak seorang daripadanya ialah Fauzi abang Rahim. Angah ayah awang Sagor yg pakai topi senyum aja.
Tuesday, July 6, 2010
Cerita kenduri rumah Abang Mat Poadi lagi
Kali ini nak paparkan aktiviti malam 2 Julai 2010. Di luar ramai orang bergotong royong memotong daging untuk buat gulai. Sementara dalam rumah pula kumpulan apak Laboh, Chu Nor, Pian dan ramai lagi memperdengarkan lagu-lagu khasidah dan marhaban. Sewaktu kenduri di kampung Pesagi tahun 60an dulu, acara marhaban/ berdikir dan berzanji memang suatu kebiasaan tetapi kini sangat jarang.
Tahniah Abang Mat kerana berjaya mengadakan hidangan yang istemewa ini. Semuga acara besar ini tidak akan hilang.
Sunday, July 4, 2010
Gotongroyong menyiang daging kenduri rumah Abang Mat Poadi di Kampung Sentosa
Rumah berjiran di kampung Pesagi
Semua jiran datang memasak
Kenduri kahwin anak Mat Poadi
Semangat gotong royong menguruskan kenduri masyarakat Kampung Sentosa tetap utuh. Semangat ini telah sebati sejak zaman datuk nenek kita di Kampung Pesagi. Bermula dari menyiang daging oleh kaum bapa, menyedia ramuan serta rempah ratus oleh kaum ibu hinggalah memasak, semuanya dilaksanakan oleh penduduk kampung ini. Inilah warisan tradisi yang perlu dikekalkan.
2 Julai 2010,
Kaum bapa bergotongroyong mula memotong daging waktu malam 9 mlm hingga 12 malam.
Sebelah kanan Hamzah, abang Aat, Wan Kamarudin, xxx, vvv, cikgu cccc dan abang Li.
Sebelah kiri, ustaz Naim,
Tiga orang gagah Kampung Sentosa sedang mengipuk tulang lembu. Mereka ialah Angah, abang Saadan dan Tengku. Atas meja kelihatan kepala lembu.
Sebelah kiri; abang Li dan cikgu Deris.
Sebelah kaanan; Chop, Mat Sawal (Ketua Blok C. Beliau adalah ketua kumpulan kerja kenduri ini), abang Mamat (suami Mak Som) dan ustaz Naim ( baju merah, kepiah putih).
Saya sempat juga menyibuk. sebelah kanan abang Aziz, yang pakai baju nombor 16 ialah dan yang pakai baju kuning ialah abang Adi.
Biasalah, menunggu giliran nak memetong daging bersembang dulu. Entah apa yang dibualkan, nampak gelak ketawa mereka. Ketua berborak ialah tok ketua Tuan Haji Suhaimi. Dolah, haji Duan, Hasin, ustaz Hashim, abang Adi dan abang Aziz asyik mendengar koyok boss.
Friday, July 2, 2010
Rumah yang ditinggalkan
Kini kita singgah sebentar di hadapan rumah ini.
Rumah 04
Binaannya kemas, masih gagah tetapi tinggal sepi. Di manakah anak cucunya?
Ini ialah rumah arwah Elong hj. Bakar. Abang sulung kepada Etang Mamud, Achu Tar (ayah cikgu Rozi) dan xxx. Isteri beliau yang kedua ialah yyyy. Di sebelah rumah ini ada sebuah surau. Surau ini dibina oleh Elong Hj Bakar. Di sinilah tempat penduduk sekitar sembahyang dan belajar kitab. Saya terpaksa merujuk kepada cikgu Rozi.
Rumah 05
Rumah lama ini masih mampu berdiri walaupun telah diuji air banjir besar beberapa kali. Memang binaannya kukuh. Tuannya ialah arwah Tokki Haji Daud. Anak Tokki Hj Daud ialah Mak Awa, xxx, xxx. Untuk mendapatkan maklumat yang tepat saya terpaksa merujuk kepada Apak Halim.
Wednesday, June 30, 2010
Makam Tok Belulang
Jari tangan kiri dan tangan kanan menunjukkan batu nisan. Batu itu adalah yang asli. Beberapa tahun dahulu batu itu tegak tetapi kini terbaring. Kedudukan batu ini sangat hampir dengan jalan. Saya sangat khuatir kubur ini akan musnah. Kita patut buat sesuatu sebelum ia musnah.
Ini adalah kawasan kubur lama, lebih awal dari kubur di Dusun Kekabu. Terletak antara rumah Tokki Haji Daud dan rumah Tokki Haji Hamid (ayah apak Alim). Kubur ini, pada waktu dahulu dijadikan tempat orang bernazar, amalan zaman datok moyang(bertentangan dengan ajaran Islam?).
Monday, June 28, 2010
Banyak rumah tidak bertuan
Bukit Sanding, Tanjung Belawan;
Haram tidak disangka-sangka,
Ayam ditanding tidak melawan.
Pulau Pesagi, Kuala Jengka,
Bukit Sending, Tanjung Belawan;
Haram sekali tidak disangka,
Ayam ditanding tidak melawan.
Bukit Sanding, Tanjung Belawan,
Batu Kunta, Kuala Jempul;
Ayam ditanding tidak melawan,
Itulah dia tandanya bacul.
Pantun di atas itu adalah dihasilkan oleh Budayawan Pahang, Allahyarham Dato’ Zakaria Hitam yang lebih dikenali dengan nama Pak Zek, dipetik dari http://sejarah-pendidikan.blogspot.com/ milik Dato’Yaakub Isa.
Satu ketika dahulu Kampung Pesagi sangat meriah. Setiap buah rumah ada penghuninya. Kini rumah ditinggalkan tanpa penghuni. Ke mana mereka? Telah berhijrah atau meninggal dunia?
Rumah 01. Ini ialah rumah pertama yang kita jumpa jika datang dari hulu. Rumah ini telah lama tinggal tiada penghuni. Kini rumah ini didiami oleh xxxx. Rumah ini masih kukuh. Di belakang rumah banyak pokok durian, ada yang berbuah. Pokok asam gelugur masih hidup subur. Tuan rumah ialah Tokki Dolah (Tuan Haji Abdullah bin Mohd Akhir, telah lama meninggal dunia). Anak-anak beliau Engah Hashim, kini dah menetap di Melaka. Eda Mamat, dah menentap di Kuantan. Apak Nasa di Jengka Pusat. Mereka bertiga tiga mungkin kembali ke desa ini. Hijrah membawa faedah. Tokki Dolah dan tokki saya ( Tokki Deraman) adik beradik. Seorang lagi adik beradik mereka ialah Tokki Haji Arih.
Tokki Dolah Tok Peeah,
Anak lelaki tiga beradik,
Semua anak dihantar sekolah,
Mudah mesra otak pun cerdik.
Rumah 02
Berjalan 200 meter ke hilir, selepas rumah Long Miah, kita lihat rumah Eda Aji yang ditinggalkan sekian lama. Sebelum meninggal dunia, Eda Aji dan Mak Awa berpindah ke Kampung Baru Chenor. Setelah lama tidak berpenghuni, Mak Awa yang terkenal dengan sikap penyayangnya membenarkan Sabri mendiami rumah ini. Saya tetap ingat jasa besar Mak Awa yang mengajar saya mengaji. Setiap malam saya berulang alik ke rumah ini sewaktu sekolah rendah antara tahun 1965 hingga 1966. Saya bersama abang Aziz, adik Yah dan Limi mengaji di rumah ini. Lepas mengaji kami bebas makan minum di dapur. Bila musim jambu dan limau, kami makan sepuas-puasnya. Abang Mizi dan abang Wawi sangat baik, tetapi saya selalu picit lengan abang Wawi sebab dia masuk bertanding angkat berat di sekolahnya. Abang Wawi adalah pelajar Sekolah Alam Shah. Saya suka tengok majalah SAS. Abang Wawi, abang Mizi dan Limah semuanya baik macam emak dia juga. Dulu rumah ini cantik dan banyak pokok bunga di sekelilingnya. Mak Awa adalah anak kepada Tokki Haji Daud.
Rumah 03
Sayang sekali, rumah yang kemas binaannya. Gelegar dilekat pada tiang guna kaedah puting. Binaannya kukuh. Rumah ini telah ditinggalkan tidak kurang 20 tahun lalu. Rumah ini bersebelahan rumah Eda Aji. Rumah ini milik Tokki Bakar. Tokki Bakar meninggal dunia pada tahun xxxx. Anak Tokki Bakar ialah Mokde Jah (isteri arwah Apak Din), abang Adi (tinggal di kampung Sentosa) dan Yah. Yah tinggal bersama anak saudaranya di kampung Sentosa juga. Saya tertanya-tanya siapakah tukang yang membina rumah ini?
Saya akan meneroka dari aspek sosial dan pertalian keluarga. Banyak bukti kehebatan dan kepandaian orang tua kita yang perlu kita dedahkan untuk pengajaran dan motivasi kita. Walau pun terlambat, saya akan cuba setakat termampu untuk memperlihatkan ikatan kekeluargaan yang hampir dilupakan.
Saya juga mengalu-alukan tokok tambah dari anda semua. Saya jemput anda turut menyumbang dalam ruangan komen. Selepas itu saya akan berbincang dengan anda untuk dimasukkan secara sah dalam blog ini.
Sunday, June 27, 2010
Kampung Pesagi, Chenor, Pahang
Saya terkenang kampung halaman yang telah saya tinggalkan,
Kampung yang banyak jasa kepada saya.
Bukit Gebuk gunung melintang,
Nampak dari Pulau Pesagi,
Adik duduk sanggul melintang,
Bagai bunga kembang pagi.
Seingat saya,
Sewaktu kecil saya tinggal bersama ayah, emak, abang Long dan adik Lan di Kampung Padang Kerbau. Saya ingat lagi, sebelum sekolah saya mengaji di rumah Tokki Yaakub. Waktu petang ikut emak belajar di kelas dewasa. Lepas itu saya ikut ayah berpindah ke Kampung Tanjung Berangan. Saya mula masuk sekolah di SK Pesagi tahun 1961. Cikgu Shamsiah ajar saya. Rakan sekelas ramai lebih 25 orang. Antara yang saya ingat ialah Abang Amin (abang sepupu), De Noriah (sepupu saya/ kakak Ipar), Makcu (emak saudara, dah arwah), Jamaludin (Sepupu saya), Budin, Tapar Tok Amah, Salmi, Umno ayah Karim, Rajak ( anak Pakteh Seleman), Zainal( kami panggil Siwang), Harmah (Tanung Palas), Halimah(anak mak Awa, tok guru mengaji saya), Toje Apak Musin, Toje Ayah Yusof(misai melentang), Mi Jamil (adik Rajmah, dua pupu saya), Ismail (Kg Sanding), Rohana (duduk di Cedung, anak Kasim Kampar), Mat Yee (Tanjung Palas), Ramlah bt Ramli (cucu Tokguru Tokki Hamid), Yang (waris saya tinggal di Pejing) Pea'ah ayah Aw. Pet dan Kak Ros (isteri abang Midin). SK Pesagi sangat meriah. Ramai murid dari SK Paya Pasir bersekolah di Pesagi untuk menyambung pelajaran darjaha enam. Mereka menyemberang sungai naik perahu dua kali sehari. Mengikut kata Etam Mamud, SK Pesagi mula beroperasi sebelum tahun 1931.
Suasana Kampung Pesagi sangat meriah. Musim menanam padi, semua penduduk turun ke paya. Buat tapak semaian, lepas itu baiki pagar. Tok Pengulu Engku Malik akan melawat paya. Ketika yang seronok ialah menolak tunda dalam paya. Bila pokok padi tinggi sejengkal, ramai kaum bapa mengenjut untuk mendapatkan ikan bapak haruan. Bila pokok padi bunting, kaum muda mulalah berlawan gasing. Kami kanak-kanak sibuk main gasing lonjong.
Hari minggu kami main boyan tunggal dibuat dari akar yang bergayut pada dahan pokok besar tebing sungai depan rumah Tokki Abah (tokki Lihi/ Shekh Jabok/ Ani). Bila boyan dihayun ke tengah sungai, kami pun melayang ke permukaan air sungai. Ada kalanya jatuh macam batu, kalau menjadi terjun lembing. Ada kalanya jatuh tertiarap (wah bukan main sakitnya). Itulah keseronokan kami waktu itu.
Di tebing depan rumah Tokki Abah. Di sinilah saya bersama Lihi, Jabok, Mat Pilus, Kamar, Harun, Zamri dan Jama ayah Talib main boyan tunggal dan terjun tarzan. Cukup meriah ketika itu sekitar tahun 1966 hingga 1971. Kini tebing ini telah sunyi sepi dan semak. Kini orang kampung tidak ke sungai lagi, telah ada air paip, mandi di rumah aja. Inilah tanda kemajuan.
Di tebing sungai ada pokok,
Tergayut akar jadikan boyan,
Mandi terjun sangat seronok,
Itulah tandanya anak jantan.
Itulah sedikit cebisan kisah silam di Kampung Pesagi tahun 1959 hingga 1971.
Saya akan cerita lagi.