Enam bulan lagi, genap empat tahun saya bergelut di kebun ini.
Kebun seluas 20 ekar ini sepatutnya ada 1,000 batang pokok kekal. Tetapi saya tidak tahu berapa jumlah yang telah ditanam dan hidup segar. Daripada jumlah itu berapa pokok yang telah berbuah? Saya tidak dapat jawapan yang tepat. Pokok kelapa, durian dan durian belanda secara anggaran.
Dianggarkan pokok kelapa ada 550 pokok.
Durian dianggar 120 pokok.
Durian belanda dianggar 20 pokok.
Pokok getah dianggar 20 pokok.
Limau kasturi dianggar 40 pokok.
Pokok limau nipis ada 15 pokok.
Pokok master ada empat pokok.
Pokok petai ada empat pokok.
Pokok mangga ada enam pokok.
Pokok buluh madu ada empat perdu.
Pokok buluh lemang ada 10 perdu.
Pokok limau ada tiga pokok.
Semuanya 794 pokok semuanya. Kesimpulannya 79.4% dari keluasan telah diisi dengan pokok kekal.
Tanaman kontan bersifat jangka pendek terdapat nanas, pisang dan rumput napear.
Nanas 7000 kaki
Pisang 200 pokok
Rumput napear 500 pokok.
Kebun ini adalah rojak.
Ada banyak tugas yang perlu dilakukan untuk pemulihan.
1. Terdapat empat pokok LK yang dipusu oleh semak dan dipanjat oleh ulan.
2. Terdapat empat pokok durian yang kerdil.
3. Terdapat dua pokok petai yang lemas.
4. Semua pokok getah kurus dan lemas dalam semak. Ada yang telah padam.
5. Dua pokok durian dinaungi pokok liar.
6. Empat pokok kelapa sawit liar.
7. Satu perdu pokok rotan liar.
Semua di atas itu perlu lakukan kerja membenteras dan pemulihan.
Pelepah kelapa berselerak. Ada yang menghempap pokok limau di celahnya. Pelepah itu perlu dipatah dan longgokkan bersama tandan kering untuk dibakar. Longgokan kecil itu boleh dibakar. Asapnya naik hingga menyelubungi bahagian atas pokok. Asap boleh menghalau serangga dan ulat yang bersarang di pangkal pelepah.
Banyak pokok nanas yang kurus menandakan kekurangan zat. Sebahagian daripadanya telah berbuah. Yang tinggal adalah tunggul. Jika tunggul itu sihat akan muncul tunas, membesar jadi sulor. Itu adalah tunggul yang memberi wang. Tunggul yang sihat perlu dicantas pelepahnya agar sulur baru lebih cepat menyurung dan membesar. Hasil jualan sulor bulan Februari 23 sebanyak rm771 dan Mac hpula telah berjaya mengutip rm1,080. Ada peningkatan. Oleh itu tunggul pokok yang telah dipetik buahnya perlu diurus dengan baik. Sampai bila perlu jaga tunggul nanas ini?
Mengikut laporan Jabatan Pertanian, satu tunggul yang sihat boleh menghasilkan empat batang sulor. Awal tahun 2024 semua tunggul nanas akan pupus. Tamatlah riwayat nanas dalam kebun ini. Berakhirlah satu tanaman kontan di kebun ini. Waktu itu sepatutnya pengeluaran kelapa makin mantap. Mampu menyerap kehilangan pendapatan dari nanas serta sulornya. Melalui tinjauan sepintas lalu, keadaan pertumbuhan nanas kurang memuaskan. Masih ada yang lemas dipusu oleh rumput jalar. Ada yang tumbang tetapi masih ada yang segar dan sedang berbuah. Saya perlu mendapatkan bilangan yang segar agar boleh buat anggaran pendapatan. Pokok yang segar ini perlu terus dapat baja. Musim panas begini, baja folia NPK 19.19.19 adalah paling sesuai. Saya perlu ambil tindakan segera. Anggaran awal terdapat 2000 pokok yang subur dan tunggul yang subur 1500. Di atas kertas, keupayaan menerbitkan sulor adalah 3500x3, dianggar 10,500 batang. Jika berjaya menjual dengan harga rm1.50, bermakna pulangannya rm15,750 untuk tempoh satu tahun. Purata bulanan rm1,250 mulai bulan Mac 2023. Seronoknya berangan-angan seperti Mat Jenin.
Cuaca kini sudah meninggalkan monsun Timur Laut. Waktu siang suhu makin tinggi.
28.3.23. Cerita hal nanas. Pagi ini hantar 150 batang sulur nanas ke pejabat PPK Maran. Dapat rm225.
Amir berjaya memetik 20 biji nanas yang telah masak. Syukur alhamdulillah. Saya mesti jual nanas itu segera kepada pelanggan. Saya timbang dan tentukan harga. Hantar ke rumah Tok 4 Kintan dua biji, harganya rm17. Pak E dua biji, rm18. Ustaz Nasir dua biji, rm18. Emak Long dua biji, rm16. Andak dapat tiga biji yang kecil, harganya rm10 sahaja. Siap kerja, dapat rm79. Ada baki empat biji tetapi saiznya kecil, beri percuma kepada seorang kawan. Nampak sinar, anas telah memberi pulangan yang baik hari ini. Syukur alhamdulillah. Sibuknya macam budak muda menghantar barang COD.
Panasnya..
Permintaan kelapa muda merosot.