nuff

Wednesday, May 23, 2012

ERTI CEMERLANG

Kursus di Jepun 6/10/1988 hingga 30/3/1990

Sekali fikir macam tak percaya aja saya dapat pergi ke negara mata hari terbit, Jepun. Bila direnungkan secara mendalam, sebenarnya usaha yang gigih, mengambil peluang dan rezeki Allah SWT adalah jawapannya.
Saya memperolehi biasiswa MONBUSHO JEPUN mengikuti kursus International Teacher’s Training selama setahun setengah di Jepun. Saya dipilih oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, selepas menghadiri satu temuduga. Anatara soalan yang ditanya oleh panel ialah, “Cuba ceritakan pengalaman anda bertugas di sekolah sekarang.” Saya huraikan secara terperinci beberapa tugas dengan menjelaskan contoh serta aktivitinya. Saya rasa tenaga yang saya curahkan selama tiga tahun dua bulan di SMK Jengka Dua dibalaskan dengan hadiah biasiswa itu. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas anugerah itu.

Tanggal 6 Oktober 1988, saya bersama 10 orang lagi guru dari Malaysia berlepas ke Jepun. Saya berasa kecut juga sebab hanya tahu sepatah sahaja Bahasa Jepun iaitu Hai bermaksud ya atau baiklah. Saya tahu perkataan itu sewaktu menonton filam Shogon. Apabila sampai di Osaka, saya berpisah dengan rakan-rakan. Saya seorang diri meneruskan perjalanan ke Matsuyama. Matsuyama adalah ibu negeri Ehime yang terletak di pulau Shikoku. Pulau Shikoku bersetentang dengan Hiroshima. Shikoku bermaksud empat negeri. Pulau Shikoku mengandungi empat negeri. Kyushu bermaksud sembilan negeri. Pulau Kyushu bermaksud pulau yang mengandugi sembilan negeri.
Kini saya jadi mahasiswa kali kedua. Saya belajar di Ehime Daigaku. Daigaku bermaksud universiti. Saya dikehendaki belajar Bahasa Jepun selama enam bulan dan selepas itu baru boleh mengikuti kursus pendidikan Matematik. Saya belajar Bahasa Jepun tiap-tiap hari. Tiga orang guru, semuanya wanita. Guru yang paling tua ialah Furuya sensei. Sensei bermaksud cikgu. Furuya sensei sudah melewati 60 tahun tetapi masih cergas. Kaedah pengajarannya sangat menarik, memang tidak jemu mengikutinya. Guru yang dua orang lagi ialah Matsuya sensei dan Sakura sensei. Sakura sensi masih muda dan cantik pula.

Musim sejuk bulan Disember 1988, Furuya sensei membawa kami merasai kesejukan dan bermain salji di Matsuyama Jo. Dari kiri, Sombun(Thailand), Edriana(Peru), Kim(Korea S), Enita(Singapura), Yahya(Malaysia), Chelad(Thailand) dan Chiew(China).

Saya sudah boleh berkomunikasi dalam Bahasa Jepun selepas sebulan. Selepas dua bulan belajar, Furuya sensei mengadakan ujian. Beberapa hari selepas itu Furuya sensei mengedarkan kertas jawapan yang telah siap disemak dan markah terpampang di bahagian atas kertas itu. Furuya sensei memanggil seorang demi seorang. Bila sampai giliran saya, saya Nampak jelas tercatat 87%. Wah saya rasa sangat seronok. Beberapa orang rakan dari Korea, Thailand, Singapura, China, Peru dan Thailand telah dapat kertas masing-masing. Mereka dapat markah antara 60% hingga 80%. Mereka kelihatan selamba sahaja. Bila saya memegang kertas jawapan itu, rasa gembira tidak dapat ditahan-tahan lagi. Saya sentiasa senyum tetapi saya lihat muka Furuya sensei tidak ceria macam biasa. Saya hairan mengapa Furuya sensei bersikap demikian? Sebagai seorang yang dewasa, saya mula mengsyaki bahawa perangai saya tidak menyenangkan beliau. Apabila habis kelas saya terus bertanya, “Sensei, doshite sensei no kao chooto urusai?” Maksudnya mengapa muka cikgu kelihatan kusut masai aja? Furuya sensei tidak menjawab soalan saya itu, sebaliknya beliau bergegas melangkah keluar meninggalkan kami. Saya tertanya-tanya? Saya cuba mencari apa sebab cikgu Furuya kelihatan moyok?
Kelas Bahasa Jepun berjalan macam biasa. Selepas beberapa hari, cikgu Furuya kembali ceria macam biasa. Saya masih belum dapat jawapan mengapa minggu lepas Furuya sensei sedih? Saya mesti cari jawapannya. Sewaktu belajar dalam kelas saya beri sepenuh perhatian. Kini hubungan yang mesra pulih macam biasa. Saya memberanikan diri bertanya lagi soalan yang sama iaitu, “Sumimasen chooto setsureshimuse, senshu sensei no kao chooto …. Doo desuka?” Maksudnya “Minta maaf kurang sopan sikit, mengapa minggu lepas muka cikgu kelihatan kurang …. Apa sebabnya?” Sensei agak keberatan untuk menjelaskannya, tetapi selepas saya pujuk berkali-kali baru beliau membuka rahsianya. Sebenarnya sensei kurang senang melihat saya kelihatan gembira memperolehi markah 87 itu. Pada beliau sebagai orang Jepun markah 87 itu sangat rendah. Kalau pelajar Jepun dapat markah macam itu mereka akan sorok kertas jawapan itu dan muka mereka kelihatan sedih. Lepas itu saya tanya lagi. Markah berapa baru boleh kelihatan gembara macam lagak saya minggu lepas itu? Furuya sensei kata lagak saya minggu lepas itu sepatutnya merainkan markan 99 atau 100 sahaja. Oh baru saya faham rupanya lagak saya tidak sepadan dengan apa yang saya dapat.

Itulah yang dikatakan perbezaan. Pada saya 87 itu sudah cemerlang dan boleh berbangga. Rupanya bagi orang Jepun 87 itu masih rendah. Pada orang Jepun 99 atau 100 menjadi idaman pelajar mereka.
Saya belajar mahu mencari kecemerlangan. Saya cuba tinggalkan sikap asal siap, asal buat. Saya belajar dari pemikiran bangsa lain.

Terima kasih cikgu Furuya.

Bergambar di hadapan Fakulti Pendidikan Universiti Beppu yang terletak di timur Pulau Kyushu. Dari kanan; Chelard, Yahya, Edriana, Sombun, Prof Murakami, Enita, ?? dan Prof Omori.


….. bersambung