Sunday, December 30, 2012

Asas kepada TEAM BUILDING

Asas pembentukan TEAM BUILDING ialah Interpersonal Relationships, jalinan yang akrab antara ahli. Hubungan yang rapat terjelma bermula dari ice breaking, senyum, tegur sapa, ucap selamat, pujian, sanjungan dan dekat secara fizikal. Saya ingin menunjukkan bukti saintifik tentang perlunya kita berdekatan antara ahli.
      Saya berikan contoh grafik menggambarkan murid, guru dan pengetua sekolah. Jika berjauhan kesannya kecil. Jika berdekatan kesannya besar. Hujah ini berdasarkan Hukum Kegravitian Newton.

Ini satu gambaran yang kurang baik untuk membina pasukan yang utuh.
 
 
Ini adalah situasi yang baik, bergandingan untuk membentuk pasukan. Permulaannya ialah bergekatan, lepas itu berkomunikasi.
 
Bersambung lagi......
 
 


Monday, December 24, 2012

Perbandingan saham FGV terhadap beberapa saham perladangan lain

Mari lihat perbandingan saham FGV dalam tempoh enam bulan terakhir terhadap beberapa saham perladangan yang lain.


 


Saham Batu Kawan, TH Plantation dan Sarawak Plam Oil;
 
 
 
Batu Kawan adalah saham yang amat kukuh, akhirnya tiga bulan terakhir runtuh juga. SOP dari rm7 jatuh kepada rm5.8 dan THP runtuh dari rm2.70 kepada rm1.95. Kesimpulannya semua keempat-empat saham perladangan ini mengalami trend menurun.
        Penurunan ini adalah disebabkan oleh berlakunya penurunan harga komoditi sawit dan getah. Bagi saham FGV pula penurunannya barangkali ada sedikit kesan daripada persepsi politik. Memang benar, ketika ini ramai pemegang saham FGV agak bimbang. Mereka yang terpengaruh dengan dakyah negatif telah menjualnya pada harga yang murah. Harga saham FGV telah sampai kepada harga yang paling murah iaitu rm4.58 pada minggu lepas tetapi telah nampak tanda naik semula. FGV adalah kumpulan saham yang berpotensi tinggi untuk naik. Pada pandangan saya dalam masa enam bulan ini saham FGV boleh melepasi rm7. Pada ketika ini emosional mengatasi rasional.
       Sesiapa yang ada wang inilah masanya kita nak merasa tempias kemajuan felda. Kita yang bukan anak peneroka felda, inilah masanya kita beli saham FGV ketika harganya sangat rendah. Begitu juga saham TH Plantation, sudah sangat rendah. Harga tawarannya tahun 2006 dahulu ialah rm1.25 sesaham.
       Tepuk dada tanya selera, tetapi ingat nak melabor saham yang bernilai sedarhana dan besar ini elok guna wang simpanan sendiri. Lepas itu kita tunggu dividen. Mesti ada keyakinan sendiri, mesti buat penyelidikan, mesti membaca dan tengok sendiri kemajuan felda.
       Empat puluh tahun lalu ayah saya keluar dari felda, maka terlepaslah kami dari nikmat kemewahan felda ketika ini. Tidak mengapa, saya mahu tumpang sikit dengan cara beli saham FGV ketika murah ini.

Terima kasih.
 

Monday, December 10, 2012

Nostalgia 2 -- Kenangan manis di bumi Kenyalang

Tiga peristiwa yang menjadi kenanagan manis di Sarawak

Tiga peristiwa di bumi Kenyalang yang melekat dalam ingatan saya.


Saya kerap kali berkunjung ke negeri Sarawak bumi kenyalang. Dalam banyak peristiwa yang dilalui, dua daripadanya sangat istemewa dan tidak dapat dilupakan.
16 Mei 2010, saya menyertai perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Dewan Konvensyen Borneo Kuching. Majlis hari itu sangat meriah. Tokoh perasmi ialah YAB Tan Sri Mohyiddin bin Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran. YAB Tan Sri Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak turut hadir. Apabila majlis tamat, tetamu berpusu keluar. Apabila melangkah keluar pintu, setiap orang tetamu dihadiahkan sekuntum bunga ros merah. Saya juga menerima sekuntum bunga ros merah yang segar. Pada tangkainya masih terlekat beberapa helai daun yang segar. Bila direnung lagi, ada tergayut sekeping kad yang dileminit pada tangkai bunga ros itu. Pada kad itu tertulis, “SELAMAT HARI GURU daripada Michelle , SMK Batu Lintang”. Pelajar itu telah mengeluarkan wangnya sendiri untuk membeli bunga ros itu. Maknanya bunga yang saya terima itu adalah hadiah daripada seorang pelajar SMK Batu Lintang. Oleh itu saya simpan bunga itu baik-baik di dalam bag. Bunga ros dari Sarawak diterbangkan ke KLIA dan naik kereta pula hingga sampai di Kampung Sentosa, Maran, Pahang. Saya berikan bunga itu kepada isteri saya. Lama juga bunga itu dapat bertahan di dalam vas bunga di atas meja. Lama kelamaan bunga itu layu juga tetapi kad ucap selamat hari guru dari Michelle itu saya simpan. Sungguh besar ertinya penghargaan anak sekolah dari Batu Lintang ini buat saya. Saya percaya anak itu telah dididik oleh guru dan ibubapanya agar menghargai jasa guru. Sebagai menghargai pemberian hadiah bunga ros itu, satu hari saya hadiahkan sebuah buku motivasi bertajuk RAHSIA CEMERLANG MATEMATIK kepada Michelle dan sebuah buku bertajuk WATAK PENDIDIK IV kepada pengetua sekolah itu. Saya poskan buku-buku itu kepada pengetua. Selang beberapa minggu saya menerima sepucuk surat penghargaan dan terima kasih dari pengetua SMK Batu Lintang. Pengetua itu mengatakan buku yang saya mahu hadiahkan kepada pelajar tersebut telah diserahkan kepada pelajar itu. Saya sangat gembira kerana mereka telah menerima hadiah saya dan bertambah gembira menerima surat balasan dari pengetua.  Surat ucapan terima kasih sangat menghiburkan, besarnya hati tidak terkira.
 
          16 September 2012 yang lalu saya menyertai pasukan Pusat Kokurikulum JPN Pahang terbang ke Kuching. Kami terus pergi ke Santubung. Kami tidur semalaman di Homestay di sana. Keesokan paginya kami memulakan langkah mendaki Gunung Santubung. Pada mulanya pasukan kami terdiri 19 orang ahli. Lama kelamaan bilangan yang meneruskan pendakian makin berkurangan. Pendakian semakin mencabar. Permukaan semakin curang. Beberapa kali terpaksa memanjat tangga tali 900. Inilah ketika yang paling mencabar, terasa mahu undur tetapi malu kepada kawan-kawan terpaksa teruskan juga. Selepas berjuang selama empat jam, akhirnya kami sampai di puncak. Dari atas puncak nampak lingakaran sungai seperti ular. Sungguh cantik panorama di tanjung Santubong. Selepas berihat sejam, kami turun berhati-hati. Pendakian naik dan turun selama lapan jam sungguh mencabar. Terima kasih kepada rakan-rakan Pusat Kokurikulum JPN Sarawak dan Pusat Kokurikulum JPN Pahang. Bila sampai di kaki gunung saya berkata, “Cukuplah sekali.” Tetapi dua tiga bulan selepas itu terasa mahu mendaki lagi. Itulah yang dikatakan panggilan Puteri Santubung namanya!  Sewaktu berjuang terasa sangat pahit tetapi apabila sampai di puncak terasa sangat manis.

         6 - 9 Disember 2012, saya menyertai rombongan JPN, PPD dan guru nukelus Pahang membuat Lawatan Bina Upaya. Kami melawat JPN Sarawak, banyak perkara yang dapat pelajari dari mereka. Pihak JPN Sarawak terdiri dari Pengarah, Timbalan Pengarah dan pegawai-pegawai telah melayan kami dengan mesra sekali. Inilah pertama kali saya merasa dilayani oleh pengarah dalam jangka masa yang panjang. Sebelah malam kami makan bersama pegawai-pegawai JPN Sarawak di restoran Seafood, di Satok, oh sungguh enak. Kami juga diberi peluang menimba pengalaman melawat sekolah amanah iaitu SK Tabuan. Semua ahli rombongan menghargai kesungguhan Guru Besar menceritakan pengalamannya. Banyak ilmu yang kami perolehi. Sepatutnya ahli rombongan lebih cemerlang lagi selepas ini.
Terima kasih rakan-rakan seperjuangan di Sarawak. Budi baik dan layanan mesra saudara semua tidak akan dilupakan.

Tuesday, December 4, 2012

Aku Guru Rumah Sukan Dato Bahaman

Nostalgia Satu tahun 1978 di SMK Jerantut

Saya lihat ada ramai, hampir sepuluh orang guru disenaraikan sebagai guru Rumah Dato Bahaman. Nama saya di aas sekali dan di hujung nama ada tanda (Ketua). Ini bermakna saya adalah ketua. Saya terkejut besar melihat hujung nama saya tercatat perkataan ketua. Saya baru melangkah masuk sebagai guru baru tiba-tiba jadi ketua pula. Terfikir bagimana hendak mengarah guru yang lain itu? Saya memang tidak makan cekak untuk memberi tugas kepada mereka. Jadual latihan menunjukkan latihan merentas desa dan latihan sukan seminggu sekali. Saya mengadakan perjumpaan rumah Dato’ Bahaman. Dalam perjumpaan itu, ahli rumah telah memilih barisan kepimpinan Rumah Dato’ Bahaman.  Saya mengatur jadual latihan ikut tingkatan. Tiap-tiap petang Rumah Dato’ Bahaman turun berlatih. Setiap peserta merasa berlari merentas desa seminggu sekali. Sewaktu merentas desa saya berlari bersama mereka. Kami berlari di atas batas paya, mendaki bukit dan merentas kebun getah. Saya rasa trek merentas desa sewaktu saya belajar di SMK Maran tahun 1969 tebih mencabar. Ada ketikanya kami berlari di tebing sungai dan merentas sungai, basah kuyup hingga paras pinggang. Itulah yang menyeronokkan. Pengalaman bersukan sewaktu di bangku sekolah sangat membantu tugas ketika jadi guru. Bila saya berlari bersama, pelajar seolah-olah dipaksa berlari juga. Seingat saya tiada guru rumah Dato’ Bahaman yang ikut berlari bersama-sama saya. Mereka menunggu pelajar di simpang jalan, itu pun di simpang yang hampir dengan sekolah sahaja. Saya ini penyapu baru, pantang diberi tugas.

Setiap orang pelajar mesti mengambil bahagian dalam acara Sukantara untuk acara lari 100 meter, 400 meter dan 800 meter. Acara padang pula ialah lempar cakra, lontar peluru, lompat jauh dan lompat tinggi. Markah diberi bila peserta melepasi satu jarak atau dalam jangka masa yang ditentukan. Saya mahu setiap pelajar memberi sumbangan mata untuk rumah Dato’ Bahaman. Saya lantik pelajar yang handal dalam acara tersebut dijadikan jurulatih dan mengawasi sesi latihan di padang. Kini kerja saya menjadi lebih ringan dan teratur. Berkat latihan yang bersungguh itu rumah Dato’ Bahaman berjaya menjadi johan sukantara. Dalam menguruskan latihan sukan ini saya tidak nampak seorang guru pun yang sanggup datang membantu. Mungkin mereka tidak tahu apa nak buat kerana saya telah melantik ramai pembantu dari kalangan pelajar sendiri tetapi masih sukar mengawal displin mereka. Selepas tamat sesi latihan untuk semua ahli, kini sampai ke sesi latihan untuk acara sukan tahunan. Peserta rumah Dato’ Bahaman berlatih tiap-tiap petang. Saya turun ke padang tiap-tiap petang menyelia perjalanan sesi latihan untuk menghadapi acara sukan tahunan. Saya beri tumpuan utama kepada teknik pertukaran baton bagi acara lari berganti-ganti, lompat jauh dan teknik baling cakra dan lontar peluru. Saya memang mahir dalam acara-acara ini kerana sewaktu di sekolah rendah hingga tingkatan lima dahulu inilah aktiviti yang saya minat dan mewakili sekolah hingga ke peringkat daerah. Pengalaman lalu rupanya sangat berguna. Saya masih ingat beberapa orang ayam tambatan saya seperti Syed, Samad, Vima, Noraini, Zainal dan ramai lagi tetapi telah lupa. Syed handal dalam acara balinagan dan tarik tali. Samad handal dalam acara balingan. Vima yang kurus tinggi handal dalam semua acara lari dari 100m hingga 800m. Dia mampu menang lima pingat emas. Noraini badannya kecil dan kurus tetapi handal dalam acara lari jarak sederhana dan jarak jauh. Zainal pula sprinter dan pelari akhir lari ganti-ganti 100m dan 400m. Memang seronok menguruskan aktiviti sukan sebab nampak kejayaannya. Musim berlatih sukan ini belanja di kantin meningkat mendadak. Budak-budak bila letih mahu minum air. Sesiapa yang berani mengadu, saya suruh mereka ambil minuman di kantin. Apa suah tulis sahaja dalam buku 555 saya. Cukup bulan saya kira jumlah hutang, terkejut juga menjangkau lebih RM300. Ini adalah belanja hangus untuk musim sukan selama dua bulan. Itulah pelaboran namanya. Duit habis tidak mengapa kerana nampak hasilnya. Jika mahu jadi juara mesti keluar belanja. Namun begitu saya tertanya-tanya mengapa saya tidak dapat sokongan guru untuk turut membantu? Saya memang segan mengarah guru yang senior. Saya tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbincangan. Inilah kelemahan saya sebagai guru novis.

Persekolahan tahun 1978 sudah sampai ke penghujungnya. Pengetua menghimpunkan semua guru di dewan untuk mengadakan mesyuarat guru akhir tahun. Di penghujung mesyuarat, pengetua menjemput guru-guru yang ada masalah atau pertanyaan mengemukakan soalan. Saya mengambil peluang keemasan ini. Saya terus bercakap, “Guru rumah sukan saya tidak turun padang untuk melatih ahli rumah Dato’ Bahaman. Saya buat kerja seorang diri.”

Suasana terus menjadi bising. Ada yang kata tak patut lepas tangan. Ada juga kata tak patut cakap macam itu tengah ramai.

Pengetua meminta guru bertenang dan berkata, “Rumah sukan awak jadi johan, ada masalah juga? Nampak berjalan lancer.  Habis siapa yang bantu awak?”

Saya menjawab, “Saya gunakan pelajar yang handal-handal itu bantu saya.”

Pengetua membalas, “Kita kena buat kerja sama-samalah.”

Saya difahamkan selepas mesyuarat itu beberapa orang guru wanita masuk bilik pengetua. Katanya mereka mengadu kepada pengetua melahirkan rasa tidak puas hati kepada saya kerana bantai mereka dalam mesyuarat. Ada di antaranya menangis. Mereka tidak mahu lagi berada di rumah Dato’ Bahaman bersama saya. Pengetua dengan tegas tidak mahu mengikut rayuan mereka. Pengetua kata mesti buat kerja bersama-sama di rumah Dato’ Bahaman. Saya berasa lega kerana tidak dipanggil oleh pengetua.

Bila sesi persekolahan tahun 1979, rumah Dato’ Bahaman semakin mantap kerana semua guru berganding bahu mengambil bahagian. Saya mula berani mengagih tugas. Guru wanita yang tidak tahu apa-apa tentang sukan diberi tugas menyediakan air masak untuk minuman ahli rumah yang dahaga. Belanja saya dapat dijimatkan. Ternyata rumah Dato’ Bahaman tidak dapat ditumbangkan selama tiga tahun. Selepas tiga tahun menjadi ketua guru rumah Dato’ Bahaman, saya dinaikkan pangkat membantu setia usaha sukan. Saya mula mempelajari teknik mengendalikan sukan. Setia usaha sukan waktu itu ialah saudara Yusof Osman dan penolongnya ialah saudara Basir Khatib Choh. Saya adalah anak murid mereka dalam selok belok pengurusan sukan.

Beberapa tahun kemudian, saya terfikir semula peristiwa guru wanita menangis mengadu kepada pengetua. Saya rasa menyesal kerana bercakap terus terang dalam mesyuarat itu. Ada yang terguris rupanya. Barang kali komunikasi saya kurang sesuai. Bila saya renung kembali, usia saya waktu itu baru masuk 24 tahun, kurang memikirkan perasaan orang dan bahasa pun kurang. Itulah kelemahan seorang guru novis. Saya melaksanakan kerja tetapi ada yang terluka. Saya minta maaf kepada rakan setugas yang terguris perasaan. Sejak itu saya semakin berhati-hati bila memberi pendapat dalam mesyuarat.  

TAMAT

    

Sunday, December 2, 2012

Sekolah Kebangsaan Pesagi cipta rekod UPSR 2012

Tahniah! Sekolah Kebangsaan Pesagi cipta sejarah
UPSR tahun 2012 adalah terbaik bagi sekolah ini.
Lulus 100%  GPS 1.44  dan 1 orang dapat 5A dari 5 orang calon.


Saya ucapkan setinggi -tinggi tahniah dan penghargaan kepada Guru Besar, Puan Radiah binti Mohamad dan barisan guru SK Pesagi.

Keputusan tahun 2012 mengatasi keputusan tahun 2011. Tahun 2011 juga cemerlang, lulus 100%, GPS 1.57 dan 2 orang dapat 5A dari 9 orang.

Segala-galanya terletak di tangan GB dan guru.

Diharapkan ibu bapa berilah sokongan kepada sekolah.

Kepada BG dan barisan guru, teruskan usaha yang hebat itu. Kini orang mula mahu belajar dari SK Pesagi.