nuff

Monday, February 6, 2012

Jumpa mandur kali kedua

Saya menulis memori ini pada 5 Februari 2012 jam 11.30 malam. Saya mengambil sempena hari besar Islam Sambutan Maulidurasul. Mata saya tidak terasa mengantuk dan fikiran saya sangat fokus ketika meluah kembali peristiwa besar ini. Sangat mendalam rupanya peristiwa bersua kembali dengan seseorang yang saya kenali. Seseorang yang sangat istemewa pada saya. Dalam hidup ini, apabila kita pernah mengalami kepayahan, memang kita ingat. Sewaktu kita menempuh kepayahan itu, ada pula watak lain yang bersama atau yang menyebabkan kepayahan itu maka kita akan ingat watak itu. Boleh jadi kita ingat sebagai kawan atau kita ingat sebagai watak yang kita geram. Saya mengambil masa dua jam sahaja menyiapkan tulisan ini hingga berjaya dimuatkan ke dalam blog Warisan Pesagi ini.

13 Febuari 1978, hari pertama saya sebagai guru siswazah terlatih. Saya mengajar di SMK Jerantut. Saya diberi tugas mengajar mata pelajaran Sains tingkatan lima, dari Lima Sastera 1 hingga Lima Sastera 5. Tanpa banyak soal saya terima tugas itu dengan senang hati. Saya tatap buku teks, rupa-rupanya semua kandungan pelajarannya tidak sama dengan sukatan pelajaran Sains sewaktu saya di tingkatan lima tahun 1971 dahulu. Antara tajuknya ialah Makrub & Mikroorganisma, Radio & Perhubungan, Hidrokarbon dan Penapaian. Saya kena belajar semula. Saya dapati banyak eksprimen yang perlu dilakukan. Oleh itu saya kena jalankan dulu kebanyakan eksprimen itu. Nasib baiklah saya dapat khidmat seorang atenden makmal yang rajin dan berpengalaman. Beliau ialah saudara Saadun yang ringan tulang itu. Selain tugas mengajar, saya diberi dua tugas tambahan iaitu ketua guru rumah sukan Dato Bahaman dan tugas sebagai guru penolong displin (saya membantu Guru Penolong Kanan). Saya tidak menghadapi masalah menguruskan rumah sukan kerana sewaktu sekolah dulu saya memang meminati sukan. Saya ada pengalaman mewakili sekolah dalam olahraga, bola tampar, takraw, hoki dan gymnastic. Diringkaskan cerita, selama tiga tahun saya mengetuai rumah Dato Bahaman, sepanjang tempoh itulah rumah Dato Bahaman Berjaya menjadi johan keseluruhan. Saya kurang gemar melaksanakan tugas sebagai guru displin, banyaklah sebabnya. Satu daripadanya ialah banyak masa terbuang menguruskan pelajar yang melanggar peraturan. Saya tidak ada pengalaman dalam hal ini. Saya dulu sewaktu di sekolah menengah rendah nakal juga tetapi kenakalan pelajar-pelajar kini lain macam sikit. Satu perkara yang saya tidak terfikir ialah melawan guru. Inilah yang selalu membinggungkan saya. Agaknya saya masih belum masak bermain dengan psikologi terhadap remaja. Guru-guru pula semacam lepas tangan bila berhadapan dengan masalah dispilin ini. Mereka pakai hantar sahaja kepada saya bila berhadapan dengan masalah displin pelajar.   

Bila masuk tahun kedua, saya tidak memegang tugas sebagai guru kelas tetapi tugas tambahan yang saya terima ialah warden asrama dan pengurus buku kedatangan murid. Tiap-tiap hujung bulan saya akan menyemak rumusan kedatangan setiap kelas. Tugas ini Berjaya saya laksanakan dengan mudah kerana saya gunakan khidmat beberapa orang pengawas yang cekap dalam kira-kira. Sementara tugas saya sebagai warden ialah menyelia pelajar sewaktu kelas persediaan malam. Saya tidak menghadapi masalah menyelia mereka kerana saya selalu mengadakan kelas tambahan.

Satu hari saya dipanggil oleh pengetua. Saya lihat pengetua sedang berbual-bual dengan seorang tetamu.

“Cikgu Yahya, ini encik Kamaruzaman, ketua biro pelajaran Koperasi dari Felda Padang Piol. Koperasi hendak beli bas sekolah. Antara syarat pembelian ialah menyediakan senarai nama pelajar yang berulang-alik dari rumah ke sekolah. Sila tolong encik Kama ini.” Arahan encik Ahmad Kamal, penegtua kepada saya.

Saya megajak tetamu itu ke satu ruang di pejabat. Saya menyemak jadual kedatangan satu demi satu untuk mendapatkan nama pelajar dari Felda Padang Piol. Pelajar yang tinggal di asrama diketepikan. Akhirnya saya berjaya memberi senaarai nama yang dikehendaki itu.

Apabila selesai tugas itu, saya mengajak encik Kama ke kantin.

“Saya nak belanja abang Kama di kantin, jom.” Pelawa saya kepada encik Kamarulzaman.

Sejak awal lagi saya dah perasan bahawa tetamu ini hamier sama dengan muka mandur yang jaga saya sewaktu saya bertugas sebagai kuli meracun di Felda Padang Piol tahun 1972 dahulu, sewaktu ayah jadi peneroka di sana. Tetapi keliatan gemuk sedikit.

Sementara pembantu menyediakan minuman untuk kami, saya memulakan perbualan.

“Abang Kama pernah tak jadi manur jaga pekerja meracun di Felda Padang Piol?”, Tanya saya.
“Pernah.”, balas encik Kamarulzaman.

“Abang Kamal perasan saya tak.” Tanya saya kepada beliau.

“Maaf, tak ingat.” Encik Kamarulzaman kelihatan berkerut untuk mengingat.

“Ingat tak Zainal Abidin yang keluar felda kerana tak mahu anaknya jalan kali.” Saya memberi ulasan lanjut.
“Oh ingat, ingat. Awak ni anak abang Zainal itulah ye?”

“ye betul abang”, balas saya.
Saya jelaskan kepadanya bahawa saya belajar di tingkatan enam, terus masuk university dan bertugas di sekolah ini.

“Wah, tahniah, nampaknya keputusan ayah awak keluar felda adalah betul.” Jelas encik Kamarulzaman.
“Dulu masa ayah awak keluar felda, orang di Padang Piol tak habis-habis bercakap fasal ayah awak. Semua orang kata ayah awak tolak tuah, tinggalkan harta tanah 10 ekar. Saya juga kata begitu.” Encik Kamalulzaman menambah lagi.

“Saya rasa saya dah cukup hebat kerana dapat jadi peneroka, rupanya awak lagi hebat, dapat pelajaran yang tinggi hingga berjaya dapat ijazah. Kalau ayah awak terus tinggal di Padang Piol, awaklah jadi anak peneroka Padang Piol yang pertama berjaya dapat ijazah. Boleh jadi awak tidak akan dapat ijazah.” Jelas encik Kamarulzaman.

Rupanya dalam kehidupan ini memang ada kos melepas, tidak boleh dapat kedua-duanya serentak. "Mahu tanah 10 ekar atau segulung ijazah". Itu yang terlintas dalam fikiran saya.

Saya senyum aja, sambil mengajak beliau menikmati minuman yang telah tersedia.
“Rupanya ayah awak bijak membuat keputusan yang berani. Hasilnya awak hari ini berjaya,baguslah.” Sambil tangan ibu jarinya ditegakkan ke atas sebagai tanda kejayaan.

“Cikgu Yahya, tolong ajar budak Padang Piol sungguh-sungguh ye. Mereka sangat perlukan pelajaran.”

Saya mengangguk-anggukkan kepala.
“Terima kasih belanja dan tahniah. Dah lama kita berborak, nanti kita jumpa lagi.” Jelas encik Kamarulzaman.

"Ye, kita akan jumpa lagi, terima kasih abang Kama, dulu sewaktu kami jadi kuli abang, kami selalu merungut dan marah kerana abang sangat tegas. Rupanya baru saya tahu bahawa ketegasan itu sangat berguna. Saya banyak belajar dari perwatakan abang Kama. Terima kasih."

Sungguh bermakna pertemuan hari itu.

No comments:

Post a Comment