nuff

Tuesday, September 16, 2014

Mail Sanding & Limah Eda Aji

Catatan 16 September 2014 sewaktu di dalam Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah Pekan.

Aku berdiri di tebing sungai Pahang. Aku menoleh ke darat, kelihatan masjid yang berusia 51 tahun. Aku masih ingat, sewaktu aku darjah tiga tahun 1963, KDYMM Sultan Pahang sultan Abu Bakar berangkat ke sini merasmikan masjid ini.

Aku ada kenangan yang tidak dapat dilupakan. Sewaktu darjah lima tahun 1965. Satu hari sewaktu pulang dari sekolah kami lalu di hadapan masjid ini. Entah apa puncanya aku bergaduh dengan Mail Sanding kawan sekelas. Beberapa orang melihat kami yang sedang bergaduh. Kemuncak pergaduhan itu..... saya membaling batu sekuat hati ke arah Mail. ..... Mail mengelak. Tidak disangka batu itu melayang ke arah dinding masjid. Tiba-tiba kedengaran bunyi "prappp..." Macam bunyi kaca pecah. Tiba-tiba Limah menjerit..."habis .... cermin tingkap habis pecah." Saya terpinga-pinga sambil memerhati ke arah tingkap masjid. Jelas sekeping cermin tingkap pecah jurunya tetapi masih melekat pada framenya. Limah terus bercakap... "nanti cakap kepada guru besar." Aku mula rasa kecut. Kalau budak perempuan lain yang cakap sudah tentu kena penampar aku... Tetapi Limah... aku tak berani sebab aku belajar mengaji quran di rumah dia. Emak dia Mak Awa mengajar aku mengaji. Mak Awa sangat penyabar dan tidak pernah marah kepada kami. Kadang-kadang Limah juga yang bantu mengajar aku. Aku terasa malu sebab di sekolah prestasi aku lebih baik dari dia. Kini terbalik pula. Limah memang handal mengaji quran. Petang itu sewaktu mengaji di rumah dia aku senyap aja. Keesokan hari... aku nampak Limah masuk ke bilik guru besar. Beberapa ketika kemudian aku dipanggil masuk ke bilik guru besar. Selepas soal siasat... aku dihukum satu rotan. Aku keluar selamba aja. Memang aku salah. Kalau boleh peristiwa ini tidak diketahui ayah. Aku masih bimbang..... bimbang Limah melaporkan kepada ayah pula. Kalau ayah tahu tentu aku dapat hadiah lagi. Seminggu aku tak senang duduk.... selepas seminggu aku kembali tenang. 
 Itulah nostalgia kenakalanku sewaktu kanak-kanak di desaku.

Kalau Limah dan Mail baca catatan tentu mereka ketawa. 

No comments:

Post a Comment