nuff

Monday, February 4, 2013

Rumah tinggal di Paya Baruh, Tanjung Berangan

Semalam 3 Februari 2013, saya pergi kenduri menyambut menantu di rumah Pak Omar di kampung Pesagi. Majlis kenduri itu untuk Khairul. Hidangannya istemewa sekali siap ada ulam petai dan sambal tempoyak. Selepas makan kenduri itu saya ambil peluang menjenguk rumah lama tempat kami dibesarkan mulai tahun 1963 hingga 1984. Sebelum tahun 1963 saya tinggal di Kampung Lompat.

Rumah ini adalah hasil usaha ayah bertukang sendiri. Lama juga ayah hendak menyudahkan kerja membina rumah ini. Sebelah pagi menoreh getah. Ayah hanya ada masa beberapa jam sahaja menyambung kerja bertukang. Saya ada juga membantu ayah memasang papan dinding rumah ini. Dulu sewaktu kami tinggal di sini, keliling rumah dipenuhi pokok getah. Di bawah rumah inilah tempat kami bermain dan berteduh waktu tengah hari panas. Di bawah rumah juga tempat saya mengirik padi.


Bongkah batu ini adalah tapak enjin dan generator elektrik. Dulu kami ada enjin dan generator gunanya untuk tenaga elektrik dan menyedut air dari telaga. Seingat saya, rumah kami adalah yang mula-mula sekali ada eletrik pada waktu malam. Sebelum ada enjin ini kami mandi di perigi dan ada kalanya mandi di sungai Pahang jika air perigi kering. Sejak adanya enjin saya mandi di kolah sebelah rumah tetapi airnya masih keruh.

Inilah telaga yang membekalkan air mandi dan minum kami sekeluarga.

Kini semuanya telah terbiar hampir 30 tahun, walaupun nampak usang tetapi masih kukuh dan masih boleh digunakan.

Hanya tinggal kenangan.

 

2 comments:

Unknown said...

kenangan terindah utk kita semua

Anonymous said...

imbauan masa lalu, memang mengocak nostalgia. walaupun rumah tu tanpa elemen tradisi yang kuat, tapi jasanya ternyata cukup sarat lebih-lebih lagi dibina oleh tangan ayah tuan sendiri.

Post a Comment