Lima tahun lapan bulan di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan. 16 April 1990 hingga 14 November 1995
Saya memulakan tugas di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH) mulai 16 April 1990. Saya diberi tugas mengajar Matematik Tambahan tingkatan lima sebanyak empat kelas. Tugas yang lain ialah Ketua Warden Asrama. Kedua-dua tugas ini cukup mencabar. SHAH baru berusia setahun jagung, mula dibuka Jun 1989. Guru-gurunya kebanyakan baru keluar universiti. Warden asrama dua belas orang, semuanya tidak ada kereta. Tugas saya yang paling utama ialah menghantar pelajar yang memerlukan rawatan di hospital pada waktu malam. Berikutnya saya dilantik sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
Saya sungguh sedih peristiwa malam terakhir pelajar lelaki tingkatan lima tahun 1990 melepaskan geram merosakkan perabot asrama. Ini adalah satu bentuk vandalisma. Mereka berkumpul di tanah lapang belakang asrama. Mereka menghidupkan api dengan cara membakar katil dan kerusi. Ada yang lebih nakal melemparkan tilam ke dalam unggun api itu. Saya dikejutkan oleh jaga bahawa ada kebakaran di belakang asrama. Dari jauh telah nampak terang benderang api marak menyala. Bila saya dekati kawasan kebakaran itu, semua pelajar tingkatan lima telah bersembunyi di dalam bilik mereka. Saya dan beberapa orang guru biarkan sahaja api itu menyala hingga padam sendiri. Saya sungguh kesal dengan peristiwa itu. Pada waktu itu kami guru sangat marah. Saya berkata dalam hati, “Tak mengenang budi.” Peristiwa ini banyak memberikan tanda tanya dalam fikiran saya. Ini adalah tanda protes kepada kami? Ada rasa tidak puas hati? Ada di antara mereka dilayan dengan keras? Saya dapat satu jalan untuk mengelakkan perkara buruk itu berulang lagi. Saya cadangkan kepada Tuan Haji Radzi, pengetua adakan majlis bbq malam terakhir tahun 1991. Pengetua bersetuju dan sanggup meluluskan peruntukan. Kali ini suasana malam terakhir sungguh harmoni. Semua pelajar lelaki dan perempuan serta hampir semua guru hadir. Kami makan dan berbual dalam suasana santai. Saya banyak berlakon malam itu. Saya dekati beberapa orang pelajar lelaki yang nakal. Saya berbual dengan mereka sambil itu saya jamah sedikit ikan dan ayam yang ada dalam pinggan mereka. Mereka sangat suka bila saya makan secebis dari pinggan mereka. Malam itu perut saya kenyang makan berkongi dengan pelajar. Majlis itu berlarutan hingga tengah malam. Mereka tidak nampak mengantuk. Saya nampak beberapa orang pelajar lelaki berbual dengan pelajar perempuan, kelihatan sangat akrab. Baru saya tahu rupanya di kalangan mereka ini ada yang sangat rapat. Saya berbincang dengan pengetua. Pengetua kata tidak mengapa sebab semuanya di depan mata kita. Lagipun setakat berbual mesra tidak memudaratkan. Tepat jam 12 malam pelajar perempuan pulang ke asrama mereka. Ini adalah perjanjian. Mereka melambaikan tangan kepada kami tetapi ramai juga melambaikan tangan kepada orang tertentu. Kami meminta pelajar lelaki meneruskan membakar ayam, ikan dan sotong. Kami terus makan hingga senak perut. Tidak disedari jam telah menunjukkan hampir dua pagi. Saya lihat bilangan pelajar lelaki telah berkurangan. Saya pulang ke rumah dua pagi. Pagi esoknya saya melawat asrama, tidak ada perkara buruk berkalu. Kelihatan ramai pelajar telah bersiap sedia untuk pulang. Saya saling berbalas senyum dengan mereka. Sejak itu, kami raikan pelajar tingkatan lima pada malam terakhir dengan mengadakan majlis makan bersama secara santai. Tidak ada lagi tension.
Sebagai GPK HEM dan ketua warden memanglah sangat sibuk. Bila pulang ke rumah telefon pula berbunyi. Kali ini ibu bapa pula mahu bertanya khabar dan mohon menyampaikan pesan kepada anak mereka. Ini adalah kerja yang rumit. Saya menulis pesanan itu pada sehelai kertas nota kecil. Ada kalanya saya terlupa menyampaikan pesan kepada anak mereka. Akhirnya saya dapat satu idea baru. Saya suruh Ida dan Hanis menghantar nota yang saya tulis itu. Waktu itu Ida sudah belajar di sekolah rendah, sementara Hanis belum sekolah lagi. Jika nota itu kepada pelajar lelaki, saya suruh Syafik hantar. Ida dan Hanis terus menunggang basikal masing-masing menuju asrama puteri untuk serahkan nota itu kepada pelajar berkenaan. Saya dapati Ida dan Hanis sangat suka menghantar nota itu. Boleh dikatakan setiap minggu memang adalah kerja untuk Ida dan Hanis. Mereka mengayuh basikal masing-masing melalui celah bangunan dan ada kalanya melalui gajah menyusur. Lama selepas itu baru saya tahu mengapa budak dua beradik itu suka menghantar nota. Rupanya mereka dapat hadiah setiap kali menyerahkan nota kepada pelajar berkenaan. Mereka dihadiahkan gula-gula oleh pelajar aspuri itu. Ini adalah win-win situation. Saya pula berjaya menyelesaikan kerja yang rumit ini bila dapat khidmat dua orang sukarelawan kecil ini. Ayah ucap terima kasih banyak kepada Ida dan Hanis.
Satu tugas mencabar saya ialah menguruskan acara sukan tahunan. Saya ada orang kanan yang cekap. Mereka ialah Mat PJ, Ayub dan Yazani. Mereka adalah setiausaha dan penolong SU yang cekap dan berpengalaman. Rumah sukan kami menggunakan nama bekas tokoh pendidik handal Malaysia iaitu Hamdan, Abdul Rahman, Aminuddin dan Murad. Guru dan ahli-ahlinya memberi komitmen yang padu. Setiap rumah sukan dihias dengan menggunakan konsep masing- masing. Pasukan sorak juga berlatih beberapa minggu. Sokongan mereka menaikkan semangat wakil rumah masing-masing. Saya perhatikan pengurusan sukan sekolah ini lebih teratur dari sukan MSSD. Pasukan pembantu cukup terlatih. Mereka masuk dan keluar padang penuh tertib dan dalam barisan seperti tentera. Saya perhatikan Annzulideia sangat cekap dengan tugas marshal yang diamanahkan kepadanya. Oleh kerana pelajar SHAH telah menghadapi sukan tahunan secara bersungguh-sungguh maka peserta SHAH ke peringkat MSSD sentiasa sahaja mampu menggugat lawan. Sejak diwujudkan tahun 1989, SHAH sentiasa dinobatkan johan daerah Pekan hingga kini. Saya masih ingat, ada sekali SHAH nyaris ditewaskan oleh pasukan SMK Ahmad dan SMK DMM sewaktu sukan MSSD diadakan di padang SMK Ahmad. Walau pun SHAH sentiasa dinobat johan daerah tetapi pelajar SHAH sentiasa gagal memperolehi pingat emas di peringkat MSS Pahang. Saya tahu apa sebabnya. Yang paling besar kesannya ialah pemimpin SHAH tidak pernah meletakkan sasaran untuk menjadi johan peringkat negeri. Tiada skim latihan yang lebih lasak untuk membolehkan pelajar mengambil bahagian pada tahap yang lebih tinggi. Kita sepatutnya asah bakat pelajar kita supaya mereka boleh maju lebih jauh lagi. Sewaktu di bangku sekolah saya dilatih oleh guru mengambil bahagian dalam acara lompatan dan larian hingga saya boleh mewakili sekolah dalam sukan MSSD Temerloh. Sewaktu memulakan kerjaya saya menjadi ketua guru rumah sukan. Ramuan itu saya gunakan bila saya menguruskan majlis sukan sekolah asrama penuh. Saya mahu sukan diuruskan mencapai tahap tinggi. Nampaknya hasrat itu berjaya dilaksanakan di SHAH. Tahniah guru dan pelajar.
Saya memang meminati permaianan tenis. Gelanggang tenis SHAH adalah tempat saya berlatih bersama guru dan pelajar. Rakan sepermainan yang paling rapat dengan saya ialah cikgu Mat PJ. Cikgu Mat PJ jauh lebih handal dari saya. Satu peristiwa lucu yang saya hendak ceritakan ketika Kelab guru menganjurkan pertandingan tenis. Dalam persaingan itu akhirnya Mat PJ dan saya berjaya melangkah ke perlawanan akhir. Sewaktu mahu memulakan permainan, ramai pelajar menjadi penjaga garisan. Ramai juga pelajar datang menjadi penonton. Nampaknya permaianan Mat menjadi betul petang itu hingga mendahului saya pada kedudukan 8 – 0. Tiba-tiba hujan turun agak lebat juga. Semua pembantu yang menjaga garisan cabut lari. Saya bertanya Mat, boleh ke teruskan permainan? Mat berkeras mahu teruskan permainan sebab hanya tinggal Kini kami tinggal berdua sahaja. Kami berebut gelaran Raja Tenis SHAH. Mat mahu teruskan permainan walaupun dalam hujan. Kalau ikut saya elok berhenti dulu. Sambung semula petang esok, tetapi saya ikut cadangan Mat lagipun dia sedang mendahului. Hanya memerlukan satu mata sahaja lagi. Saya hairan permainan saya menjadi sewaktu dalam hujan ini. Sebaliknya pukulan Mat selalu tersangkut di jaring. Mata saya sentiasa meningkat hingga menyamai 8 – 8. Kami teruskan bermain dalam hujan. Diringkaskan cerita, saya berjaya menjadi johan bila mencapai skor 10 – 8. Saya jadi juara jika bermain dalam hujan. Saya menerima hadiah sewaktu perhimpunan pagi Isnin. Setiap kali berjumpa Mat PJ kami selalu buka cerita main tenis dalam hujan.
Satu tradisi SHAH ialah menyertai majlis tahlil di Istana Abu Bakar setiap malam jumaat. Saya sebagai GPK HEM mengatur jadual giliran pelajar yang akan pergi ke majlis itu. Pelajar memang suka menghadiri majlis itu kerana penutup majlis itu ialah menikmati hidangan yang istemewa. Saya memang berpesan kepada pelajar menjaga tertib sewaktu makan. Mereka sangat patuh. Sudu dan garpu tidak belaga dengan pinggan. Pendek kata tidak terdengar bunyi kung kang kung kang itu. Tetapi tempat makan kumpulan orang tua dan jemputan lain macam irama lagu. Kadang-kadang KDYMM Tuanku Sultan bercemar duli santap bersama kami. Saya nampak Tuanku senyum sahaja bila memandang ke arah bunyi irama itu. Saya sangat gembira membawa budak SHAH tahlil ke istana. Walaupun di luar ada yang nakal tetapi bila di istana mereka patuh kepada adab sopan. Bila saya fikirkan semula, rupanya peluang ini sungguh besar nilainya kepada pelajar SHAH.
Oleh kerana rumah guru yang saya diami itu tidak sampai 200 meter dari pejabat sekolah maka saya selalu pergi ke pejabat untuk menyiapkan kerja pada waktu malam. Satu malam, saya terus buat kerja di bilik saya melewati 12 malam. Semua pelajar telah kembali ke asrama masing-masing. Saya agak guru lain juga telah pulang. Suasana malam sungguh sunyi sepi. Tiba-tiba saya terdengar bunyi bising seperti kerusi bergeser dengan lantai simen. Bunyi itu betul- betul di bilik tingkat atas bilik saya. Bunyi itu tidak berhenti. Saya memberanikan diri terus naik tangga perlahan-lahan dan masuk ke bilik itu, manalah tahu ada orang yang menyakat saya. Saya pasang lampu, tidak nampak apa-apa yang ganjil hanya meja dan kerusi sahaja. Saya turun semula meneruskan kerja saya beberapa minit berikutnya bunyi yang sama kedengaran lagi. Saya naik perlahan-lahan mengintai bilik itu dari cermin tingkap. Tidak ada apa-apa yang kelihatan. Saya turun semula meneruskan kerja. Beberapa minit kemudian berbunyi lagi. Kali ini saya berlari naik dengan pantas dan terus membuka suis lampu, sambil mencekak pinggang, saya berkata, “Tunjukkan diri mu.”.Saya berdiri tercegat di situ beberapa minit. Tidak ada yang muncul, hanya kerusi dan meja sahaja. Saya turun dan meneruskan kerja saya. Lepas itu tiada lagi bunyi yang mengacau. Pada malam yang berikutnya saya datang lagi, tiada apa-apa yang mengganggu. Saya agak ada orang yang menguji saya, boleh jadi pelajar? Boleh jadi jaga? Boleh jadi rakan guru? Pada mulanya memang saya menyangka hantu, maknanya saya memberanikan diri dendak berhadapan dengan hantu itu. Selepas beberapa ketika kemudian, berfikir secara rasional sebenarnya yang mengganggu itu bukan hantu.
Penutup tirai saya di SHAH memang cantik sekali. Awal bulan November 1995, IAB menganjurkan Kuiz Pengurusan Sekolah untuk Pengetua/Guru Besar peringkat negeri Pahang. Pasukan Pekan diwakili oleh Encik Zulkifli (Guru Besar SK Bebar), Encik Khalid (GB SK Pelak) dan saya sendiri ( waktu itu masih GPK di SHAH) yang mewakili pengetua. Kuiz itu diadakan beberapa pusingan. Pasukan kami menang pusingan awal dan terus masuk pusingan akhir bertemu pasukan Temerloh dan Maran. Pasukan kami dikira underdog sebab saya seorang GPK sementara pasukan Temerloh dan Maran memang diwakili oleh pengetua dan guru besar yang hebat belaka. Pasukan Maran adalah juara bertahan. Tanpa diduga, kami mewakili pasukan Pekan menjadi juara. Beberapa hari kemudiannya muka kami keluar dalam surat khabar. Seronok betul muka keluar surat khabar.
….. bersambung..
4 comments:
10 tahun di Shah Pekan tapi kakteh ingat yang 5 tahun terakhir je.
Tapi kakteh ingat ayah suruh kakteh pergi ke kelas 5 Ilmu, Amal, Budi, Jasa, Bakti masa hujung minggu dan kira berapa orang yang ada di kelas waktu petang.
Menarik coretan cikgu tentang shah.saya salah seorang anak murid cikgu belajar add math.sampai sekarang saya ingat kalau cikgu yahya anak anak pelajar akan sebut cikgu yahya jepun sebab cikgu bwak pendekatanjepun masa mengajor
Saya juga merupakan anak murid cikgu subject add math...alhamdulillah berjaya kredit walaupun semasa trial SPM markah tak sampai 30%.
SAYA FORM 1 2014.CORETAN CIKGU SGT BEST
Post a Comment