nuff

Monday, June 28, 2010

Banyak rumah tidak bertuan

Bukit Cempedak, Kuala Jengka,
Bukit Sanding, Tanjung Belawan;
Haram tidak disangka-sangka,
Ayam ditanding tidak melawan.

Pulau Pesagi, Kuala Jengka,
Bukit Sending, Tanjung Belawan;
Haram sekali tidak disangka,
Ayam ditanding tidak melawan.

Bukit Sanding, Tanjung Belawan,
Batu Kunta, Kuala Jempul;
Ayam ditanding tidak melawan,
Itulah dia tandanya bacul.

Pantun di atas itu adalah dihasilkan oleh Budayawan Pahang, Allahyarham Dato’ Zakaria Hitam yang lebih dikenali dengan nama Pak Zek, dipetik dari http://sejarah-pendidikan.blogspot.com/ milik Dato’Yaakub Isa.

Satu ketika dahulu Kampung Pesagi sangat meriah. Setiap buah rumah ada penghuninya. Kini rumah ditinggalkan tanpa penghuni. Ke mana mereka? Telah berhijrah atau meninggal dunia?

Rumah 01. Ini ialah rumah pertama yang kita jumpa jika datang dari hulu. Rumah ini telah lama tinggal tiada penghuni. Kini rumah ini didiami oleh xxxx. Rumah ini masih kukuh. Di belakang rumah banyak pokok durian, ada yang berbuah. Pokok asam gelugur masih hidup subur. Tuan rumah ialah Tokki Dolah (Tuan Haji Abdullah bin Mohd Akhir, telah lama meninggal dunia). Anak-anak beliau Engah Hashim, kini dah menetap di Melaka. Eda Mamat, dah menentap di Kuantan. Apak Nasa di Jengka Pusat. Mereka bertiga tiga mungkin kembali ke desa ini. Hijrah membawa faedah. Tokki Dolah dan tokki saya ( Tokki Deraman) adik beradik. Seorang lagi adik beradik mereka ialah Tokki Haji Arih.

Tokki Dolah Tok Peeah,
Anak lelaki tiga beradik,
Semua anak dihantar sekolah,
Mudah mesra otak pun cerdik.


Rumah 02
Berjalan 200 meter ke hilir, selepas rumah Long Miah, kita lihat rumah Eda Aji yang ditinggalkan sekian lama. Sebelum meninggal dunia, Eda Aji dan Mak Awa berpindah ke Kampung Baru Chenor. Setelah lama tidak berpenghuni, Mak Awa yang terkenal dengan sikap penyayangnya membenarkan Sabri mendiami rumah ini. Saya tetap ingat jasa besar Mak Awa yang mengajar saya mengaji. Setiap malam saya berulang alik ke rumah ini sewaktu sekolah rendah antara tahun 1965 hingga 1966. Saya bersama abang Aziz, adik Yah dan Limi mengaji di rumah ini. Lepas mengaji kami bebas makan minum di dapur. Bila musim jambu dan limau, kami makan sepuas-puasnya. Abang Mizi dan abang Wawi sangat baik, tetapi saya selalu picit lengan abang Wawi sebab dia masuk bertanding angkat berat di sekolahnya. Abang Wawi adalah pelajar Sekolah Alam Shah. Saya suka tengok majalah SAS. Abang Wawi, abang Mizi dan Limah semuanya baik macam emak dia juga. Dulu rumah ini cantik dan banyak pokok bunga di sekelilingnya. Mak Awa adalah anak kepada Tokki Haji Daud.


Rumah 03
Sayang sekali, rumah yang kemas binaannya. Gelegar dilekat pada tiang guna kaedah puting. Binaannya kukuh. Rumah ini telah ditinggalkan tidak kurang 20 tahun lalu. Rumah ini bersebelahan rumah Eda Aji. Rumah ini milik Tokki Bakar. Tokki Bakar meninggal dunia pada tahun xxxx. Anak Tokki Bakar ialah Mokde Jah (isteri arwah Apak Din), abang Adi (tinggal di kampung Sentosa) dan Yah. Yah tinggal bersama anak saudaranya di kampung Sentosa juga. Saya tertanya-tanya siapakah tukang yang membina rumah ini?

Saya akan meneroka dari aspek sosial dan pertalian keluarga. Banyak bukti kehebatan dan kepandaian orang tua kita yang perlu kita dedahkan untuk pengajaran dan motivasi kita. Walau pun terlambat, saya akan cuba setakat termampu untuk memperlihatkan ikatan kekeluargaan yang hampir dilupakan.

Saya juga mengalu-alukan tokok tambah dari anda semua. Saya jemput anda turut menyumbang dalam ruangan komen. Selepas itu saya akan berbincang dengan anda untuk dimasukkan secara sah dalam blog ini.

4 comments:

chik_chenor said...

cikgu yahya, rumah atas sekali tu, rumah hj dollah kan? anak dia uda mamat tu,dulu ahli parlimen maran sebelum Dto' Ismail sekarang...kalau nak tau,rumah tu sekarang ni,dah diduduki oleh Asri sekeluarga(asri ni anak sulung pak ali,ala..yang sebelah rumah tunggal leh tu)pak ali dengan tunggal leh tu,dua2 dah meninggal..

chik_chenor said...
This comment has been removed by the author.
Yahya Zainal Abidin said...

Saya panggil mak awe, saya mengaji di rumah inilah dulu. Baru saya tahu siapa duduk di rumah itu. Dia anak abang Li dengan anak perempuan sulung ayah Talib (tapi telah lama meninggal). Rasanya elok Chik padamkan komen di atas itu, agak sensitif.TQ

N said...

Assalamualaikum cikgu,
Rumah no. 3, rumah tokki Bakar ni masih ada?

Post a Comment