nuff

Sunday, July 14, 2013

100 Hari Sebagai Presiden KIPSAS

100 hari sebagai Presiden KIPSAS

Rabu, 10 Julai 2013. Saya mengambil peluang cuti sehari selepas bertugas 100 hari sebagai Presiden KIPSAS. Hari ini juga adalah hari pertama puasa di bulan Ramadan. Saya mahu mengimbau kembali apa yang telah saya lakukan selama 100 hari ini. Memang sejak hari pertama lagi terus sahaja berhadapan dengan berbagai cabaran.
Saya telah beberapa kali mahu berhenti dan bercadang bersara awal tetapi tidak menjadi kenyataan. Pertama kami mahu berhenti sewaktu umur saya 43 tahun. Waktu itu saya mengambil cuti tanpa gaji dan bekerja di luar Negara. Cadangannya mahu bekerja sekurang-kurangnya tiga tahun. Cadangan itu dibatalkan, hanya sempat 11 bulan sahaja. Kali kedua mahu bersara awal sewaktu bertugas sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Pekan, juga tidak menjadi. Kini saya bertekad mahu bersara bila mencapai umur 58 walaupun ada peluang menyambung hingga 60 tahun. Saya telah diluluskan tarikh bersara wajib 58 tahun pada 7 November 2012. Bila bersara kelak saya ingin sekali melaksanakan kerja yang diminati. Minat saya ialah menulis dan berkebun secara kecil kecilan (tidak terlintas untuk buat kebun puluhan ekar).

Tiba-tiba dua bulan sebelum bersara saya dipujuk oleh seorang pegawai kanan negeri Pahang agar saya menerima jawatan Presiden KIPSAS. Pada mulanya minat saya hanya 10-90. (Terima 10% dan tolak 90%). Saya minta dua minggu membuat pertimbangan. Pegawai kanan itu berkata, “Ramai orang minat tempat itu, tetapi awak adalah pilihan paling sesuai.” Sebak hati saya mendengar kata pujukan itu. Saya korbakan angan-angan mahu melakukan itu dan ini bila bersara nanti. Saya beri jawapan 100-0 . Saya mahu sumbangkan tenaga, idea dan pengalaman kepada KIPSAS. Saya beritahu secara sulit kepada pegawai atasan itu. Saya menemui boss itu di pejabatnya.
Sebulan sebelum bersara saya pergi menunaikan fardu haji di Makah. Maknanya tanggal 7 November 2012 adalah hari saya bersara, waktu itu saya berada di Makah. Ramai kawan kata sungguh istemewa. Saya tidak nampak apa istemewanya. Sewaktu saya di Makah ada satu berita yang mengejutkan. Saya lihat dalam internet, nama saya terpampang dalam akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian dan Pahang Daily (berita dalam laman blog) kononnya bakal calon Pilihan Raya Umum ke 13. Nampaknya nama saya sudah ada dalam dua dunia iaitu dunia akademik dan dunia politik.
Kalau ikutkan orang kampung, rakan-rakan dan pengundi semua mahu saya bertanding. Sebaliknya isteri, anak dan saudara mara tak bagi saya bertanding. Ketika itu tawaran ke KIPSAS belum terima lagi. Saya suka juga membuat provokasi, menyebabkan isteri saya mengelabah. Beliau memang tidak mahu saya terjun ke dunia politik. Sebenarnya saya ada arah tuju yang telah ditetapkan. 

1 Disember 2012, saya pulang dari Makkah. Alhamdullialah kesihatan saya tidak terganggu. Saya terus sahaja membersihkan tanah suku ekar di belakang rumah. Tanah seluas kangkang kera ini terbiar berpuluh tahun. Tanah jiran sebelah telah mengeluarkan hasil yang puluhan tahun, bermacam-macam hasil seperti kelapa, ciku, durian, salak, manggis, duku, kantan dan limau nipis. Saya terus mengusahakannya tiap-tiap hari. Saya gunakan parang, sabit dan mesin rumput.

Selepas sebulan, sedikit demi sedikit saya berjaya membersihkan semak samun itu. Kini telah berubah wajah. Hasil tulang empat keratku.
Saya mula terasa seronok bermain dengan tanah. Saya terus menanam pisang, kelapa, serai, rosel, pegaga, kesum, kantan, kunyit, halia bara, peria katak, kacang boto, durian belanda dan ubi kayu. Selepas dua bulan kawasan belakang rumah telah berubah wajah. Kini saya sudah mula memetik hasilnya. Pegaga dibuat ulam. Pegaga juga direbus, airnya diminum. Daun kesum jadi perisa masakan asam patin. Daun pisang jadi membungkus masakan pais ikan patin. Kacang boto dan peria katak dijadikan ulam. Daun kunyit dan serai jadi perencah masakan. Bunga rossele jadikan minuman berkhasiat. Tidak rugi berjasa kepada tanah.



Gambar sebekah kanan adalah wajah terbaru kawasan di belakang rumah. Tempat yang saya suka lawati. Saya sudah mula dapat makan jasanya. Kalau hendak menikmati hasil dalam tempoh tiga bulan tanamlah sayur. Saya terhibur melihat daun pisang meliut-liut bila ditiup angin.


Saya tidak terdaya berkebun berjam-jam lebih-lebih lagi jika panas terik. Orang pencen tidak boleh memaksa diri melakukan kerja menggunakan tulang empat kerat secara mengejut. Saya berteduh pula di dalam rumah. Inilah ketika yang paling sesuai memulakan satu lagi hobi iaitu mengarang. Kini saya mahu menyiapkan sebuah buku kecil bertajuk BAPA HEBAT. Saya juga teringatkan tanah seluas tiga ekar peninggalan arwah emak di kampong Lompat. Berbelas tahun yang lalu, saya tebang dan jual getah tua di atas tanah itu. Emak berpesan, “Jantan kena tanam semula dengan getah yang baru.” Pesanan emak tetap saya ingat. Saya fikir, “Inilah ketikanya aku tunaikan pesanan emak.”

Saya mula mengedit tulisan saya yang ditulis beberapa ketika yang lalau tentang pengorbanan ayah menyekolahkan saya. Banyak sekali cabaran yang ayah terpaksa rempuh untuk mempastikan saya berjaya. Inilah ketikanya saya melaksanakan apa yang saya rancang bila bersara.




Anak murid saya sewaktu di SMK Jengka 2 tahun 80an dulu, encik Ahmad Ismail kini YDP SMK Jengka 2 begitu berminat dengan buku ini. Beliau mahu melancarkan buku ini di SMKJ2. Beliau kata buku ini patut dibaca oleh kaum bapa. Pada hari pelancaran itu hamper 200 buah habis terjual. Terima kasih Ahmad.

Teringat pula kepada tugas yang belum selesai iaitu menanam semula getah di tanah tinggalan arwah emak. Saya mengambil langkah membersihkan permukaan tanah yang sedikit cerun itu. Dengan menggunakan khidmat JCB tanah itu Berjaya dibersihkan dan ditanam getah dalam masa dua bulan.



Inilah rupa tanah yang sedang dibersihkan.

Selepas tiga bulan inilah rupa pokok getah yang ditanam dan dijaga dengan rapi. Saya dibantu oleh anak bongsu, Shahmi. Kerap kali Shahmi pergi sendirian melaksanakan kerja membaja, menebas dan menukar bateri pagar elektrik. Sementara kerja meracun saya upah pekerja Indon melaksanakannya.


Seronok merenung pokok getah yang sudah mula melonjak. Kini saya hanya dapat jenguk pada hujung minggu sahaja.

25 Mac 2013. Saya mendapat panggilan telefon Dato Suhaimi dari pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang. Beliau meminta saya hadir ke Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah pada 29 Mac 2013 keana ada majlis penyerahan surat pelantikan presiden baru KIPSAS.



Tanggal 29 Mac 2013, jam 3 petang saya menghadiri satu majlis penyerahan surat lantikan presidenKIPSAS yang baru. Saya menerima watikah itu dari YB Dato’ Sri Mohd Safian bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang selaku Pengerusi Lembaga Pengarah KIPSAS. YB Dato’Sri memberi amanat penting menyentuh beberapa perkara;

1.      Memasyarakat pentadbiran KIPSAS

2.      Rapatkan dengan kerajaan Negeri Pahang.

3.      Selesaikan masalah bukan cipta masalah

4.      Jadikan KIPSAS pilihan pertama bukan pilihan terakhir

5.      Kurangkan bergantung dengan kerajaan negeri.

6.      Jadikan KIPSAS universiti kolej.

7.      Jadi ketua yang merancang, pemikir dan penggerak pasukan.



1 April 2013, jam 8.00pagi saya melangkah masuk ke kampus KIPSAS sebagai presiden yang baru menggantikan YH Dato’ Hashim bin Wahab yang telah tamat kontrak pada 31 Disember 2012 yang lalu. Pagi itu saya mendengar taklimat dari tiga orang Naib Presiden iaitu Ustaz Solahuddin bin Dolah, Dr Zawavi bin Zainal Abidin dan Kapten Zamri bin Wahab. Maklumat yang terpahat dalam kepala saya ialah pelajar ada 1100 orang dan bilangan pensyarah dan staf sokongan ialah 110 orang. Semua pelajar tinggal di asrama.

Hari kedua, saya menghadiri majlis pertemuan dengan semua staf. Saya menyampaikan ucapan sulung. Saya sentuh pesanan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KIPSAS. Saya katakan kepada mereka bahawa KIPSAS harus bersedia meletakkan diri sebaris dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Negara ini. Satu caranya ialah meningkatkan keupayaan pensyarahnya. Antaranya ramaikan pensyarah yang berkelulusan PhD. Membudayakan penyelidikan, penulisan dan pembentangan kertas kerja di kalangan pensyarah. KIPSAS sewaktu dilancarkan 17 tahun yang lalu menawarkan kursus peringkat diploma. Hingga kini masih belum berupaya memperkenalkan kursus ijazah. Nampaknya pergerakan KIPSAS agak lambat. Di peringkat akhir pertemuan beberapa orang pensyarah mengemukakan pertanyaan. Pertama fasal gaji. Pensyarah KIPSAS tidak berpeluang menikmati semakan gaji 13% seperti yang dinikmati oleh pekerja sektor awam. Soalan yang sukar dijawab. Saya gunakan logic sahaja. “Kita berada di sekotor swasta. Kenaikan gaji boleh dilakukan jika pendapatan meningkat. Untuk meningkatkan pendapatan kita sepatutnya ada pelajar yang lebih ramai misalnya 1500 orang. Kita kena giatkan promosi dan pelbagaikan promosi. Dasar kolej ini memberi kenaikan gaji dang red jawatan berdasarkan kelulusan seperti master dan PhD. Oleh itu anda semua perlu meningkatkan tahap kelulusan masing-masing.” KIPSAS perlu meningkatkan pungutan hasil agar nilai saham KIPSAS Berjaya dipulihkan dari 0.79 sen kepada sekuang-kurangnya rm1. Jika ini berlaku KIPSAS boleh menghadiahkan bonos yang tinggi kepada setiap kaki tangannya. KIPSAS ada anak syarikat iaitu Anjung KIPSAS yang bertujuan untuk menjana pendapatan. Kita perlu berfikir secara kreatif bagaimana hendak menggalakkan opersi Anjung yang boleh menjana keuntungan yang lebih. Kedua fasal fleksitime untuk pensyarah datang dan pulang bertugas. Katanya pensyarah ada kalanya datang semula bertugas pada waktu malam/ lewat petang da nada kalanya pada masa cuti. Saya perlu membuat keputusan yang tegas dalam perkara ini. Saya ada pengalaman sebagai guru dan ketua di sekolah. Guru juga ada kalanya datang bertugas di luar waktu rasmi. Tetapi tidak selalu, peratus yang hadir luar waktu rasmi tidak diketahui. Saya anggap itu adalah sumbangan mereka dan kebajikan kepada anak pelajar masing-masing. Oleh itu sistem fleksitime tidak boleh dilaksanakan. Kedua-dua soalan itu menggambarkan pensyarah mahukan keuntungan dan lebih selesa.
Sebagai ketua baru, saya perlu membina jalinan yang rapat dengan pihak-pihak yang berkepentingan. Dalam tempoh dua minggu saya berjaya berkunjung ke MUIP, JAIP dan Maahad Tahfiz Yayasan Pahang. Saya juga berjaya membuat lawatan benchmark ke USM, KUIN dan UUM. Saya juga berjaya melawat UPSI. Di USM kami berbincang fasal usaha mengadakan program ijazah Sarjana Muda Pengurusan. Di KUIN kami berbincang fasal kursus ijazah Sarjana Muda Syariah yang dicadangkan pada Julai 2013 ini di KIPSAS. Di UUM kami berbincang fasal peluang mengadakan kursus ijazah Kewangan Islam. Di UPSI kami berbincang fasal rancangan mengadakan program Diploma in English. Selanjutnya kami bercadang menubuhkan program ijazah TEASL. Pemilik ijazah TEASL ini kelak boleh menjadi guru di Sekolah Menengah Agama di Pahang, di sekolah rendah dan tadika. Negeri Pahang sememangnya kekurangan guru Bahasa Inggeris sejak dahulu lagi. Pada penghujung bulan Mei saya bersama seorang naib presiden pergi ke Mesir selama enam hari menguruskan pengambilan tiga orang pensyarah Universiti Al-Azhar yang berkelulusan PhD untuk bertugas di KIPSAS mulai Julai 2013 ini. Tindakan ini adalah selari dengan rancangan mewujudkan Pusat Bahasa-Bahasa di KIPSAS.
Beberapa hari berada di KIPSAS, berlaku masalah tekanan air rendah menyebabkan air tidak dapat naik ke tangki besar. Pihak KIPSAS telah membina rumah pam yang boleh menolak air ke tangki bangunan. Ini adalah satu penyelesaian yang bijak tetapi beberapa blok asrama perempuan dan lelaki tiada rumah pam tersebut. Pelajar sering kali menghadapi masalah air. Pihak Hal Ehwal Pelajar mengsyurkan kepada saya supaya membina lima buah rumah pam kepada lima blog untuk mengatasi masalah air. Kos keseluruhan lebih rm300,000.00 Saya terkejut melihat angka yang sangat besar itu. Selang beberapa hari saya mendapat idea membuat sedikit ubahsuaian kepada rumah pam di bangunan kuliah baru supaya dapat digunakan oleh blog asrama puteri juga. Idea itu betul-betul menjadi kenyataan dengan mengeluarkan belanja hanya rm4,700.00 sahaja. Kini masalah air berjaya diatasi dengan kos tidak sampai rm5000.
Saya mahu pensyarah tahu latar belakang dan pengalaman kerja saya yang lalu. Lantas saya menghadiahkan setiap orang sebuah buku MENDAKI 2 yang saya tulis. Ini juga satu kaedah membina imej kendiri saya di kalanagan pensyarah KIPSAS. Sebenarnya saya mahu pensyarah sebati dengan penyelidikan, penulisan dan pembentangan kertas kerja. Saya dapati amalan itu sangat kurang di KIPSAS ini. Saya mengambil langkah mengundang Prof Madya Dr. Khairuddin bin Mat Ali, pensyarah UIAM memberi syarahan membimbing bagaimana hendak melaksanakan Kajian Tindakan. Prof. Khairuddin berkata, “mula-mula kita belajar bagainana hendak menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Bila dah mahir baru kita boleh menyelesaikan masalah orang pula.” Saya berharap pensyarah KIPSAS ada idea untuk memulakan kajian tindakan masing-masing.
Pensyarah juga perlu tahu bagaimana kaedah yang betul untuk mendekati dan membantu menyelesaikan masalah pelajar. Maka saya minta unit kaunseling melaksanakan satu kursus mento-menti. Saya menyokong cadangan itu agar mengundang seorang konsultan mengendalikan kursus itu. Dalam kursus itu saya berpeluang menyampaikan ucap utama selama setengah jam. Saya bawa cerita pelajar gagal yang berjaya dipulihkan. Bagi pelajar gagal, kita perlu adakan sesi motivasi individu dan berikan keyakinan. Selepas itu bantu mereka menyelesaikan masalah masing-masing.
Saya perhatikan staf KIPSAS pergi minum di luar selepas daftar masuk bertugas pada jam 8 pagi. Mereka mengambil masa lebih setenagah jam memandu kereta keluar dan masuk semula. Ini adalah satu pembaziran masa dan timbul masalah lain juga. Untuk mengatasinya saya binakan sebuah warung berharga rm20,000 di antara bangunan pentadbiran dan dewan kuliah. Pembinaan warung itu siap sebelum akhir bulan Jun 2013. Kini kami boleh mengambil sarapan pagi di warung yang baru itu. Ada satu lagi nilai tambahnya. Anjung KIPSAS adalah anak syarikat KIPSAS diberi peluang berniaga di sini. Anjung Berjaya mendapat hasil jualan sebanyak rm500 sehari. Jika untung 30%, bermakna Anjung dapat keuntungan harian rm150 sehari. Kalau sebulan lebih rurang rm3300. Pendapatan ini boleh membayar sebulan gaji seorang pensyarah muda!

Pada pandangan saya KIPSAS perlu menjadi institusi masyarakat, maksudnya masyarakat dapat peluang belajar. Melalui pendekatan ini KIPSAS menjadi dekat di hati masyarakat. Ini adalah satu cara promosi juga. Saya mahu setiap jabatan melaksanakan program untuk masyarakat. Mereka perlu fikirkan mulai sekarang. Nampaknya Jabatan Bahasa Arab membuka tirai. Mereka melancarkan iklan kursus hinggalah Berjaya mengadakan kelas setiap hari Sabtu mulai 1 Jun 2013. Seramai 30 orang mengikuti kursus bersiri itu sebanayak 14 kali. Antara pesertanya ialah YB Dato' haji Ishak bin Mohamad, Spiker DUN Pahang dan isteri. Perpustakaan pula akan melaksanakan program BICARA BUKU secara berkala. Saya mahu KIPSAS menerapkan budaya membaca melalui aktiviti sebegini. Jabatan Dakwah akan mengadakan Bengkel JAWI. Kami mendapat kerja sama DBP dan MUIP. Ini adalah impian saya sejak bebarapa tahun yang lalu.



KIPSAS perlu menambah bilangan pelajarnya untuk mengisi kekurangan yang terdapat pada kursus tertentu melalaui promosi yang berterusan. Melalui kaedah ini KIPSAS meningkatkan keupayaan kewangannya. KIPSAS masih mampu menampung pelajar hingga 1.500 orang. Ruang kuliah masih mencukupi. Masalah yang timbul nanti ialah penginapan asrama. Berkat kehebatan promosi, pelajar yang mendaftar untuk sesi 2013/14 ini ialah 447 orang, meningkat 60 orang atau 15.5%. Dari segi peningkatan pendapatannya pula ialah rm600,000.00 setahun.

KIPSAS perlu memperlihatkan niche area nya dan kelainannya yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Saya mencadangkan agar KIPSAS mengaktifkan program tulisan jawi dan amalan membaca. Saya mahu KIPSAS menjadi pusat perbincangan ilmu dari buku. Jabatan Dakwah telah memulakan usaha itu dan telah mula mengedarkan jemputan kepada jabatan dan sekolah untuk menyertai bengkel jawi yang akan dijalankan pada 19-20 Ogos ini. Rakan kongsi sernergi kami dalam program ini ialah DBP dan MUIP.



Sementara itu perpustakaan KIPSAS ditugaskan melaksanakan program BICARA BUKU secara berkala. Mereka merancang mengadakan siri pertama pada 26 September ini dengan mengemukakan enam orang pembentang. Tiga orang pembantang undangan dari luar dan tiga orang lagi adalah pensyarah dan pelajar KIPSAS. Inilah satu kaedah menggalakkan budaya membaca.

 

Saya merujuk kepada sebuah buku bertajuk The First 90 Days tulisan Michael Watkins m/s 5. Seseorang ketua memerlukan 90-100 hari untuk memahami gegagat organisasinya. Tindakannya dalam tempoh itu masih belum berbaloi dengan ganjaran yang diterimanya. Net Contribution dicapai bila masuk bulan ketujuh. Saya sedang dalam perjalanan untuk mencapai Net Contribution=0, soalnya bila atau adakah saya telah mencapainya?

Kini tiba hari yang ke 100. Ada tiga aktiviti besar hari ini. Pertamanya sarapan pagi di anjung yang baru dibina itu bersama semua staf KIPSAS. Keduanya berbincang tentang kepimpinan dan program kemasyarakatan bersama seorang tokoh veteran Pahang. Ketiganya memberi satu slot motivasi kepada 430 orang pelajar baru. Saya berikan motivasi bertajuk "Willing to change and consistency". Saya tahu bahawa kebanyakan pelajar di hadapan saya pencapaian SPM mereka sederhana sahaja. Mereka perlu berubah dari segi sikap, kaedah belajar dan kecekalan. Saya percaya mereka juga boleh jadi cemerlang. Untuk memantapkan lagi semangat mereka, saya beri satu peluang yang paling istemewa yang tidak pernah saya offer sebelum ini. Saya beri peluang mereka membeli buku motivasi bertajuk MENDAKI dengan harga rm2.50 senaskah. Satu harga yang lebih rendah dari kos cetakan. Kos cetakan ialah rm3.20. Mereka mendapat subsidi 70 sen. Seramai 150 orang membelinya. Selepas membacanya saya berharap kefahaman willing to change and consistency dapat sebati dengan mereka. Inilah strategi saya... mulakan dengan syarahan dan selepas itu diikuti dengan aktiviti membaca pula.



Bersambung …….

15 comments:

Anonymous said...

Insha Allah, apa yang dihajati akan tercapai, kerana niat yang baik akan sentiasa dalam perhatian Yang Maha Esa.

Anonymous said...

Saat pertama kali membaca tulisan Tuan di Buku Bapa Hebat.. Di Pejabat Yayasan Pahang Kaherah Mesir.. Mungkin Tuan tinggalkan disitu I'Allah,

Mungkin..
Pesagi tidaklah jauh mana dari Kg Lenkor / Kg Belimbing.. Jadi banyak titik persamaan yang saya jumpa....

Kemudian saya lihat blog Tuan.. Warisan Pesagi..
& saya "link-kan" blog tuan ke blog saya.. Agar saya dapat baca "pengalaman2" Tuan...

Apapun... Saya suka baca dari pengalaman2 tuan...

Walaupun berkhidmat di tempat2 yang "Sukar/Kompleks"... Tapi cara tindak tuan & cara fikir tuan tetap sama; Mudah..Tapi realistik & berkesan... Tuan nikmati apa yang tuan sedang buat,

Terima kasih atas perkongsian ini...

Mudah2an KIPSAS akan berjaya menjadi institusi yan melahirkan Ulama yang Foqih/Alim... Bukan hanya "Ulama" Sijil...

Jazakallahu Khairal jaza'.....

Anonymous said...

Salam tuan,

Tahniah atas kejayaan yang setakat ini dicapai…

KIPSAS adalah satu organisasi yg kompleks kerana ia terbina dengan asas kefahaman bahawa KIPSAS adalah satu badan kerajaan. Walaupun dimiliki oleh kerajaan negeri Pahang, tetapi ia sebenarnya adalah satu entiti swasta yang tertakluk kepada Akta Syarikat. Bukan sekadar kefahaman sebenarnya, tetapi budaya kerja ‘kerajaan’ yang dominan juga diwarisi seperti keluar minum selepas punch in, dan keluar minum pada jam 10 am lebih juga diwarisi dan menjadi budaya yg dipersetujui.

Bukanlah dengan amalan seperti ini menunjukkan mereka adalah orang yang tidak baik. Bahkan mereka adalah orang2 yang kebanyakannya baik2 belaka. Tetapi budaya ini lah yang menjadikan produktivitinya kurang dan menjadikan pekerja2 terlalu ‘complacent’.

Sukar untuk menerima perubahan juga adalah satu budaya yang wujud yang seharusnya ditukar.

Antara hari2 awal saya di KISPAS dulu, saya pernah menjenguk ke asrama lelaki dan mendapati di bilik air ada paip yang rosak dan airnya mengalir keluar dengan laju. Bertanya kepada pelajar di situ, dan jawapannya, dah sebulan lebih paip itu rosak, dah dilaporkan tetapi tiada tindakan… saya kira jika KIPSAS ada satu ‘cost down committee’ yang diwujudkan khas untuk mengkaji strategi pengurangan kos dan melihat dimana tempat2 yg boleh dikurangkan kos, maka kos operasi akan boleh dikurangkan tanpa memberi kesan kepada kualiti dan kemudahan staf serta pelajar.

Kita tahu, bahawa untuk mendapat Lebihan di ‘bottom line’, cash inflow perlu lebih besar daripada ‘cash outflow’ … jika ada strategi khas yg dirangka untuk kedua2nya (cashf inflow & outfow), pasti KIPSAS mampu memperoleh lebihan yang lebih besar dan dengan itu mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Negeri. Jawatankuasa khas seperti itu menjadi satu kebiasaan dalam syarikat jepun. Pencapaian Jawatankuasa diukur secara jelas dengan melihat kepada income & overhead pada bulan2 hadapannya setelah strategi dilaksanakan. Saya fakir, Anjung Kipsas perlu menambah sekurang2 seorang pegawai YANG KOMPETEN, bagi membantu pengurusnya dalam melaksanakan perancangan-perancangan perniagaan. Saya hairan, jika KIPSAS sukar untuk mendapat projek daripada Kerajaan Negeri sedangkan ia adalah anak syarikat kerajaan negeri sendiri. Atau sekurang2nya ia boleh menggunakan jaringannya dengan mana2 jabatan untuk kepentingan perniagaannya… jika Anjung benar2 kompeten dalam perniagaannya, kenapa tidak ia diberi peluang?

On top of the above, saya merasakan bahawa KIPSAS perlu ada satu blue print Perancangan Strategik yang simple tapi jelas (tak perlu perancangan yg kompleks tapi tak boleh dilaksana)… perancangan strategik mempunyai beberapa kelebihan :

- Menetapkan Hala Tuju yg difahami dan dipersetuji
- Penyelarasan objektif unit dengan visi korporat (vertical alignment)
- Penyelarasan objektif unit dengan unit (horizontal alignment)
- Gambaran jelas tentang perlaksanaan melalui pelan tindakan
- Rujukan kepada semua jika terdapat ‘deviation’

Itu sahaja… salam Ramadhan..

Yang benar,

(yg pernah berkongsi dokumen dengan tuan)

Anonymous said...

Say merupakan salah seorang bekas anak didik KIPSAS.. Selepas membaca hasil tulisan tuan, saya merasakan pelajar yang sedia ada di KIPSAS sangat beruntung kerana mempunyai Presiden seperti Tuan.. Semoga KIPSAS dapat melahirkan anak didik yang berkualiti dari sudut sahsiah dan juga akademik.. InsyaAllah...

Anonymous said...

Salam… lupa untuk menambah…

Kita faham bahawa yg memasuki KIPSAS adalah kebanyakannya yang kurang cemerlang dalam SPM, tapi tidak bermakna mereka tidak cerdik. Ada yang mungkin hilang tujuan atau tumpuan semasa di bangku sekolah tetapi mempunyai potensi yang besar.

Kecemerlangan mereka bukan sekadar diukur dari segi pencapaian akademik, tetapi bagi saya, adakah kita berjaya untuk mencorakkan mereka menurut Islam sebagai ad-deen… menurut Dr Hasni, pengasas sekolah Adni & juga AJK khas yg mengkaji tentang pendidikan islam di bawah OIC, beliau berkata, kita sebenarnya tiada ‘SISTEM’ pendidikan. Sistem adalah merujuk kepada semua polisi yg menjurus kepada pembentukan ‘insan’ menjadi ‘bertakwa’… kita hanya ada bahan2 dan method yang tidak merangkumi… apa yg Dr Hasni buat disekolahnya kini menjadi kajian pihak2 pendidikan termasuklah badan2 korporat seperti Petronas, FELDA dsb… orang dari luar negara datang ke Malaysia semata2 untuk menghantar anak mereka ke sekolah ADNI…

Saya kira, selain dari sekadar memberikan pelajaran dan ijazah, KIPSAS perlu membangunkan satu sistem pendidikan menyeluruh sehingga mewujudkan satu niche atau differentiation berbanding yg lain…

Dari segi MPP, saya kira ia perlu lebih diperkasa agar mereka benar2 tahu bagaimana memimpin dan menguruskan organisasi dan stakeholder mereka. Saya lihat, sejak dulu lagi, MPP tidak diberikan ilmu yg betul dan yg komprehensif untuk memimpin dan mengurus…mereka juga tiada sistem kerja yg boleh diwaris dari generasi ke generasi… pemerkasaan MPP akan banyak membantu KIPSAS dalam pengurusan dalaman dan untuk menonjol ke luar…

Pada hemat saya sahaja..

Wallahua’lam 

Anonymous said...

Tahniah saya ucuapkan dan saya bangga dengan milestones Dato' sebagai Presiden KIPSAS.

Semoga maju jaya untuk hari-hari seterusnya.

Yahya Zainal Abidin said...

Terima kasih pandangan yang bernas dan berguna.
Pada lecana KIPSAS tercatat "Berilmu dan bertakwa.". Inilah yang perlu diterjemahkan.
Semalam saya berbincang dengan MPP. Ada pandangan yang perlu diambil kira.
Saya mencadangkan pencapaian pelajar mesti ditingkatkan dari segi CGPA. Peratus yang dapat 3 dan ke atas perlu ditambahkan. Peratus yang gagal sepatutnya sifar.
Bilangan pelajar tahun 2014 ------> 1500 orang. 2015----> 1700 orang. 2016----> 2000 orang.

Yahya Zainal Abidin said...

Dalam pertemuan dengan MPP, saya ada bertanya dua soalan. Pertama.... Ramai pelajar tidur lewat mengapa? Kesannya mereka lewat pergi kuliah dan mengantuk dalam kelas. Mereka kata buat tugasan. Saya tanya lagi dalam 10 orang yang tidur lewat, berapa orang yang berbual kosong? Mereka kata memang ada yg borak-borak. Inilah amalan yang merugikan. Kedua.... saya ada buat pemantauan ke bilik asrama, ternampak pelajar sedang berinternet... Nampak ber-fb dan explore yang membazir sahaja. Mereka mengakui kebenaran pernyataan saya itu. Inilah yang mengancam/ mencuri masa yang berharga. Kalau berleluasa amat rugilah. Banyak juga pandangan ahli MPP yang patut saya terjemahkan kepada tindakan. MPP perlu didekati.

Anonymous said...

Sasaran yg jelas dari Dato'untuk peningkatan CGPA & jumlah pelajar... menepati salah satu ciri2 SMART...

memang Pelajar2 selalu tidur lewat kerana berborak... bila dah larut malam dan pass their bed time, jadi susah nak tido terus dan mengakibatkan lapar.. itu yg ada nak pergi keluar untuk cari makan... (nocturnal syndrome)..

Mengumpul data (data collection) adalah sebahagian daripada tugas CEO sebelum satu2 keputusan boleh dibuat... saya percaya, Dato' telah memperoleh banyak data2 berguna dalam tempoh 100 hari tersebut untuk asas membuat keputusan untuk masa kehadapan... mungkin SWOT Analysis boleh membantu untuk proses menganalisa data...

tahniah untuk komunikasi langsung dengan MPP.. saya rasa, mereka benar2 rasa ada perubahan kali ini... mendengar dan berempati adalah jalan awal untuk memperkasa mereka :)

m rodz said...

Tahniah, atas perlantikan tuan sebagai prisen KIPSAs yang baru, Idea memperkenalkan kusus peringkat ijazah amat-amat dialu-alukan. Ini kerana anak-anak pahang yang ingin menyambung pengajian dibidang syariah tidak perlu ke negeri lain untuk menyambung pengajian. Sebenarnya negeri pahang memiliki banyak sekolah agama sudah tentu market untuk kursus terbut luas. Sebagai tambahan saya cadangan perkenalkan juga ijazah bahasa arab.

Yahya Zainal Abidin said...

Terima kasih m rodz... KIPSAS baru sahaja memulakan program ijazah Syariah usaha sama dengan KUIN dan baru diluluskan program ijazah Quaran & Sunnah usaha sama dengan USIM mulai September 2013 ini. Cadangan ijazah Bahasa Arab memang bagus, insyAllah akan kami laksanakan tahun hadapan bila dapat taraf Kolej Universiti. Kini KIPSAS sedang memperhebatkan pengukuhan Bahasa Arab kepada pensyarah dan pelajar. Kami baru menerima empat orang pensyarah Bahasa Arab berkelulusan PhD dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Marathon ke arah penubuhan Pusat Bahasa di KIPSAS sudah pun bermula.

Anonymous said...

Syabas Dato' . Teruskan kecemerlangan KIPSAS
-azizah smk damak-

Cik Ma said...

assalamualaikum YH Dato'
tahniah YH Dato'. Kagum saya dengan semangat YH Dato'.
Oh Encik Ahmad Ismail bekas pelajar SMK Jengka 2 ya YH Dato'?
Tahniah juga kpd YDP PIBG SMK Jengka Pusat 2 atas usahanya
melancarkan buku YH Dato' di SMK Jengka Pusat 2.

Yahya Zainal Abidin said...

Terima kasih Cik Ma... betul Ahmad SMK Jengka Dua dulu, anak murid saya. Dia memag aktif sejak sekolah lagi.

YUYUE MELISSA said...

SALAM, DATO'.. SAYA SERONOK BACA TULISAN DI BLOG DATO'.. SANGAT BERMOTIVASI DAN MEMBERI INSPIRASI. SAYA KAGUM DENGAN SEMANGAT DAN PERUBAHAN YANG DATO' BAWA DALAM KIPSAS. STRATEGI DATO DALAM MEMBANGUNKAN KIPSAS SANGAT MEMBANGGAKAN. ACTUALLY, SAYA EX-STUDENT KIPSAS TAHUN 2004-2006 DAN SEDANG MENCUBA JUGA UNTUK MENJADI SALAH SEORANG KAKITANGAN AKADEMIK DI KIPSAS SEBAGAI MEMBALAS JASA SEMULA :)

Post a Comment