nuff

Saturday, February 11, 2012

Ayah jumpa Guru Besar & Guru Besar jumpa ayah.

Ayah jumpa Guru Besar

Sewaktu darjah satu, guru kelas ialah cikgu Samsiah binti Awang. Oleh kerana seronok belajar dan faham semua yang cikgu ajar, saya dapat nombor satu dalam peperiksaan akhir tahun. Selepas itu cuti akhir tahun selama sebulan lebih. Lepas itu bila buka tahun baru 1962, saya naik darjah dua. Kini guru yang mengajar ialah Cikgu Salleh yang juga Guru Besar. Dalam minggu pertama saya terasa keliru antara m dan n. Ada kala bila jumpa m tersebut n. Lagi satu terkeliru antara b dan d. Dalam masa cuti akhir tahun sebulan lebih itu saya tidak pernah buka buka. Tiap-tiap hari meresap dalam semak melastik burung dan mencari ikan di paya. Dalam pada itu saya dipanggil oleh Guru Besar yang menyuruh saya naik darjah tiga. Maksudnya saya melompat kelas dari darjah satu terus ke darjah tiga.

Kini saya belajar di darjah tiga bersama dengan kawan baru yang lebih tua setahun. Antara mereka yang saya masih ingat ialah Abang Aziz, Pak Aris, Mokhtar, Salasaton, Puteh dan Rejmah. Bilangan murid dalam kelas itu lebih 20 orang. Kebolehan saya sederhana sahaja. Guru kelas saya ialah cikgu Ishak. Setiap kali periksa penggal, pencapaian saya hanya sekitara tempat  kelima hingga kesembilan sahaja. Kebolehan saya kurang menyerlah.

Sebelum cuti ahkir tahun, ayah datang ke sekolah berjumpa dengan Guru Besar. Saya tidak tahu apa yang ayah mahukan? Inilah kali pertama ayah datang ke sekolah selepas menghantar saya pada hari pertama darjah satu dulu. Sejurus kemudian saya dipanggil masuk ke bilik Guru Besar. Guru Besar memberi tahu saya bahawa saya akan belajar dalam darjah tiga sekali lagi tahun hadapan. Baru saya tahu apa maksud ayah datang berjumpa Guru Besar. Ayah tidak puas hati pencapaian saya selama setahun melompat kelas. Guru Besar menerima pandangan ayah tentang pencapaian saya. Saya tidak terasa apa-apa pun, naik kelas boleh, tunggu pun tidak mengapa. Pada waktu itu, semua keputusan di tangan orang bergelar “bapa atau ayah”.

Mulai awal tahun 1963 saya kembali belajar bersama-sama rakan sebaya saya seperti Jama, Tapar, Mat Yee, Budin, Toje A, Toje B, Mail, Zainal, Umno, Noriah, Limah, Mee, Salmi, Harmah, Makchu, Abang Amin, Rohana, Rajak dan beberapa orang lagi. Kali ini saya boleh menguasai pelajaran sepenuhnya. Setiap kali periksa saya sentiasa dapat tempat pertama. Hingga darjah enam saya sentiasa dapat tempat pertama.

Walaupun ayah tidak pernah sekolah tetapi ada pandangan yang jauh terhadap persekolahan saya. Jika ayah tidak ambil hirau mungkin pencapaian persekolahan saya pada sederhana dan tidak dapat dipastikan apa akan terjadi pada masa hadapan?

Guru Besar pula datang ke rumah.
Sewaktu darjah enam ayah menghantar saya belajar kelas peralihan sekolah arab. Kelas itu diadakan sebelah petang di bawah rumah ketua kampong, Tokki Char. Kelas itu dijalankan di sebelah petang. Ustaz Mokhtar adalah guru yang mengajar kelas itu. Muridnya ialah budak darjah enam dan budak yang tua setahun dari saya. Jika lulus boleh masuk terus tingktan satu sekolah menengah agama/ arab. Pencaapaian saya boleh tahan juga. Saya dapat tempat ketiga dalam kelas itu.

Ayah bercadang mahu menghantar saya masuk Sekolah Menengah Agama Chenor tahun hadapan (tahun 1967). Ayah telah menempah kitab melalui Ustaz Mokhtar. Ayah telah membayar wang deposit RM7 untuk buku tersebut.

Tiba-tiba satu hari, Eda Mamat, bapa saudara sepupu saya beritahu yang saya,

“Awak tak sesuailah sekolah arab sebab asrama sekolah itu kena masak sendiri. Eda rasa awak tak pandai memasak, nanti lapar awak.”

Bila mendengar kata-kata itu saya menjadi takut.

Saya bertanya, “Ngapa Eda sekolah situ dulu?”

“Eda pandai masak, sekaang Eda dah sekolah di tempat lain. Kalau Eda masih di sekolah itu tak apalah, Eda boleh ajar awak memasak.”

Saya termenung.

“Elok pergi Sekolah Menengah Kebangsaan Chenor lah. Asramanya lebih bagus, makanan disediakan oleh tukang masak. Balik sekolah terus makan.” Eda Mamat menokok.

Cakap Eda Mamat sangat mempengaruhi pemikiran saya. Masalahnya saya takut nak beritahu ayah.  Apa caranya?

Saya dapat satu idea iaitu mahu ceritakan hal ini kepada Guru Besar, Cikgu Salleh.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi saya masuk ke bilik Guru Besar.

Saya beritahu Guru Besar bahawa saya ada masalah.

“Apa masalahnya?”

Tiba-tiba sahaja saya rasa sebak, tak boleh cakap, rupanya air mata mula mengalir.

“Heh orang handal macam awak ni boleh menangis, apa kenanya?” Tanya Guru Besar.

“Saya tak mahu sekolah agama, ayah suruh juga, saya nak sekolah menengah.” Saya memulakan hujah.

Saya beritahu Guru Besar bahawa di sekolah arab kena masak sendiri. Saya tidak pandai memasak.

“Jangan menangis, petang ini saya datang ke rumah jumpa ayah. Saya akan beritahu hal ini.” Guru Besar memberi jaminan.

Saya keluar dengan rasa puas.

Sewaktu saya sedang jalan mundar mandir dalam kebun getah di belakang rumah pada waktu petang, tiba-tiba nampak Guru Besar yang mengayuh basikal menghala ke rumah saya. Saya nampak Guru Besar naik ke rumah, waktu itu ayah baru balik dari kebun menoreh getah. Saya hairan Guru Besar berani berhadapan dengan ayah yang garang itu. Saya pun balik ke rumah tetapi takut naik ke rumah. Saya duduk di bawah rumah aja.

“Cikgu jemput minum teo o aja.” Dengar ayah mengajak Guru Besar minum. Memang rumah saya ada tea O sahaja. Tak pernah hayat ada susu.

“Beginilah Bidin, ini hal persekolahan Yahya, tentang masa depan dia. Dia budak yang bagus belajar. Dia lebih minat belajar di sekolah menengah. Sekolah agama itu bukan tak bagus tetapi masa ini budak-budak kena masak sendiri. Saya tahu sangat perangai anak awak ini. Saya bimbang lapar dia  nanti.”

Saya dengar banyak juga soal jawab antara Guru Besar dengan ayah.

Akhirnya saya dengar ayah bercakap, “Baiklah cikgu, saya ikut cakap cikgu. Tapi mengapa cakap lewat sangat, saya dah habis 7 ringgit bayar cenkeram kitab.”

“Masa depan anak lebih mahal dari 7 ringgit.” Guru Besar menutup perbualannya.  
Saya sungguh gembira peguam saya menang bicara. Terima kasih Cikgu Salleh, Guru Besar SK Pesagi. Ayah juga sanggup dengar pandangan Guru Besar.

Dulu Guru Besar dengar capak ayah, kini ayah pula dengar cakap Guru Besar.


Thursday, February 9, 2012

KENA ROTAN 23 KALI

Sewaktu tingkatan dua dan tiga saya selalu langgar peraturan sekolah dan asrama. Kesalahan yang sering saya lakukan ialah cabut lari keluar dari asrama beberapa jam pada hari Sabtu dan Ahad.  Ada juga kesalahan lain seperti menjalankan aktiviti berperang dalam kelas. Setiap kesalahan itu pasti mendapat hukuman rotan oleh Guru Besar atau guru asrama. Kalau tidak lulus dalam ujian penggal juga akan dihukum, setiap kegagalan satu pelajaran akan dapat satu rotan. Ada kawan saya gagal tujuh mata pelajaran, maka dia dapat tujuh kali rotan tetapi hukuman boleh ansur-ansur atau sekali gus. Jumlah rotan yang saya dapat ialah 23 kali tetapi tiada satu pun disebabkan gagal mata pelajaran.

Sebenarnya kebanyakan kami yang tinggal di asrama datang dari keluarga miskin. Kami tiada duit poket untuk berbelanja di kantin. Pada hari cuti kami kerap keluar pergi ke rumah kawan untuk makan buah-buahan bila tiba musimnya. Ada kalanya kami mencari buah hutan seperti buah terap, buah temponek dan buah bangkung. Buah bangkung seperti buah cempedak tetapi tiada isi, yang ada hanya bijinya sahaja. Kami ambil biji bangkung dan rebus di dalam kebun getah. Biji bangkung yang direbus serupalah rasanya seperti biji cempedak atau biji nangka yang direbus. Saya bersama beberapa orang kawan merebus biji bangkung itu di dalam kebun getah di luar pagar sekolah. Selepas itu kami makan sepuas-puasnya. Kami pulang ke asrama senang hati perut kenyang. Bila makan banyak boleh kembung angin. Bila pulang ke asrama, nama kami telah dicatat oleh ketua bilik. Selepas sembahyang magrib nama kami dipanggil oleh ketua asrama. Kami semua keluar ke hadapan, selepas itu cikgu Taib keluar ke hadapan sambil memegang rotan. Kami semua menerima hadiah masing-masing.
Satu hari ahad sewaktu tingkatan dua saya bersama lima orang kawan dari kelas 2A mengadakan latihan perang. Kami baru belajar Tawarikh tajuk Portugis menyerang Melaka. Tiga orang jadi tentera Al Fanso De Al-Buquecque dan tiga orang lagi jadi tentera Sulatan Mansor Shah. Berperanglah kami menggunakan kapor dan macam-macam lagi. Kerusi meja disusun jadi kubu. Selipar dan penyapu melayang macam peluru. Sewaktu pertempuran sedang hebat tiba-tiba terdengar suara orang bertempik,
“Berhenti! Berhenti! Berhenti! , masya-Allah, habis hancur.”

Saya berpaling ke belakang, rupa-rupanya cikgu Taib sedang berdiri tercegat di belakang saya. Saya nampak cikgu Taib mengeleng-gelengkan kepalanya. Wajahnya nampak sangat bengis. Kami semua terdiam.
“Susun semula kerusi meja itu, sapu lantai itu.” Tambah cikgu Taib. Beberapa saat kemudian cikgu Taib beredar dari situ. Hairan juga cikgu Taib sangat baik kali ini. Biasanya cikgu ini jarang melepaskan mangsanya. Biasanya kalau cikgu bawa rotan alamatnya dapat hadiah rotanlah. Kalau linggang tangan, cikgu selalu suruh ketuk ketampi hingga ratusan kali.  Mungkin cikgu keletihan datang dari kebun sayur dan reban ayam. Cikgu Taib adalah guru Sains Pertanian yang rajin. Beliau juga adalah warden asrama. Kami semua gembira kerana terlepas dari hukuman.
Keesokan harinya, sewaktu perhimpunan pagi Isnin saya nampak Guru Besar membawa rotan. Saya mula rasa berdebar. Terus Guru Besar memberitahu, “Siapa yang berperang di dalam kelas semalam sila keluar ke hadapan.” 
Kami dari kelas 2A terus saling berpandangan. Kami sudah tiada pilihan lagi, terus keluar ke hadapan. Semua mata memandang ke arah kami. Sejurus kemudian Guru Besar meminta Cikgu Taib menerangkan peristiwa perang itu. Sebaik sahaja Cikgu Taib selesai menghuraikan hujahnya, Guru Besar mengumumkan hukumannya, “Kamu enam orang akan menerima tiga rotan seorang.”

Saya tidak terkejut, itu adalah hukuman yang sepadan dengan kesalahan kami.
“Tunduk, tangan pegang lutut, pandang hadapan.” Arah Guru Besar kepada Izuddin.
Tiba-tiba terdengar bunyi yang nyaring, “Piaa”. Rotan hinggap ke punggung Izuddin. Tiba-tiba Izuddin tersungkur.
“Bangun, bangun, kalau tidak saya akan tambah lima rotan lagi.” Guru Besar bertempik.
Apa lagi, Izuddin bingkas bangun. Lepas itu dia dapat dua das lagi. Saya nampak tangan Izuddin menggosok punggungnya, sakit sangat agaknya. Lepas itu giliran saya pula. Tiga kali rotan hinggap ke punggung saya. Saya rasa nak pitam, bukan main sakit. Saya tidak boleh berdiri diam, sakitnya sampai ke tulang. Akhirnya kami semua dapat hadiah masing-masing.

Banyak lagi episod kena rotan, akibat kenakalan saya serta kesalahan kerana mengikut kawan. Ada juga kesalahan cabut lari keluar dari asrama kerana perut lapar. Keluar ke rumah kawan, makan buah atau mencari buah hutan di pinggir kawasan sekolah.
Satu malam selepas sembahyang magrib di suaru, penghuni asrama putera (aspura) berarak ke kantin sekolah. Mereka berbuat bising dan melingkupkan meja dan bangku di kantin. Habislah meja dan kerusi berselerak. Ada lagi tindakan mereka macam orang mengamuk. Pada waktu itu saya dan beberapa orang lagi pelajar tingkatan tiga terlewat, tidak sembahyang berjemaah magrib di surau. Kami terlepas dari menyertai penghuni aspura yang buat kecoh itu. Katanya kumpulan penghini yang tunjuk belang itu berarak pula menuju ke rumah pengetua. Saya tidak dapat cerita yang lengkap tetapi akhirnya penghuni aspura itu berjaya dijinakkan selepas campur tangan YB Salehudin dan beberapa orang guru.  Saya menunggu mereka pulang ke dorm, kira-kira jam satu pagi  puak tingkatan satu pulang ke asrama. Baru saya dapat gambaran bahawa kereka dikumpulkan dalam kelas berasingan ikut tingkatan. Mereka mengatakan kena satu rotan seorang. Lepas itu kumpulan pelajar tingkatan dua pula pulang ke asrama. Mereka kata kena rotan dua kali seorang. YB Salehudin mewakili Guru Besar merotan mereka. Sejam kemudian pelajar tingkatan tiga pula pulang. Mereka kelihatan dalam kesakitan kena tiga rotan seorang. Guru Besar sendiri yang beri hadiah kepada mereka. Siapa yang tidak pakai seluar dalam memang parah, nampak kesan berbilur. Kelihatan tiga jalur memanjang di punggung masing-masing.  Saya berasa nasib baik tidak ikut serta, kalau tidak saya juga dapat tiga jalur.
Keesokan paginya saya dan beberapa orang yang tidak terlibat itu dipanggil. Saya menjalani sesi soal siasat oleh Guru Besar. Saya rasa macam Special Branch sedang menyiasat. Guru Besar menuduh saya sebagai perancangnya. Saya katakan tidak tetapi beliau berkeras juga menuduh saya. Saya diminta menulis apa yang saya lakukan sepanjang hari kejadian itu. Selepas Guru Besar membacanya, beliau menggelengkan kepalanya. Beliau kata saya berbohong. Macam-macam cara GB paksa saya. Ada kalanya beliau menghentak meja. Ada kalanya rotan hinggap di betis saya. Saya nampak Guru Besar sudah hliang pertimbangan. Dalam kepala beliau, jika berlaku perkara yang buruk, nama “Yahya” akan terlintas dalam fikirannya. Selepas beberapa hari sesi soal siasat, akhirnya GB membuat keputusan bahawa saya didapti bersalah dan hukumannya ialah lima rotan di khalayak ramai pada pagi Jumaat.
“Sungguh kejam dan tidak adil.” Itulah yang terlintas dalam fikiran saya. Kini jam 2 petang, hari Khamis.
“Esok hari Jumaat, hari aku akan dihukum. Aku percaya, hukumannya lebih dahsyat dari yang kawan saya terima pada beberapa hari yang lalu.” Itulah kalimah yang terlintas dalam fikiran saya.
Saya tiba-tiba sahaja jadi berani. Saya terus teringatkan ayah. Walaupun ayah sangat garang tetapi dialah tempat terakhir saya mengadu. Lalu saya bergesas cabut lari keluar dari kawasan sekolah. Saya berlari laju menuju ke pangkalan bot. Waktu itu bot yang mudik ke Pekan Sehari Chenor akan hilir ke Pesagi, Pejing dan hingga ke Lubuk Paku. Saya bernasib baik tidak dipintas oleh Guru Besar. Saya percaya Guru Besar tidak mampu mengejar saya sebab badannya besar dan gempal. Sementara saya pula adalah pelari handal jarak jauh. Saya adalah pelari merentas desa yang menang hadiah tetapi bukan tempat pertama hingga ketiga. Saya turun tebing dan terus duduk di dalam bot bersama-sama pengunjung pekan sehari yang mahu pulang. Apabila bot meninggalkan pangkalan, saya pasti Guru Besar tidak dapat menjejak saya lagi. Saya berjaya sampai di rumah. Waktu itu ayah belum pulang dari menoreh getah. Saya tidak sabar menunggu ayah. Saya tidak mahu naik ke rumah. Saya bertenggek di atas tangga rumah menunggu ayah. Ketika ini terasa sangat lama. 
“Heh mengapa balik?” Ayah tiba-tiba muncul.
Saya terkejut, tiba-tiba sahaja air mata saya mengalir. “Tak mahu sekolah.” Sambil itu tangan saya mengesat mata yang berair itu.
“Jangan menangis, cuba terangkan apa sebabnya.” Ayah menyergah saya dengan nada yang tinggi.
Inilah peluang saya menceritakan segala-galanya kepada ayah. Sambil teresak-esak saya ceritakan dari awal hingga akhir situasi yang saya hadapi sekarang.
“Betul ke awak tak buat?” Tanya ayah.
“Memang saya tak buat, dia pakai tuduh je.” Saya membalas dengan tegas.
“Kalau macam ni tak mahu sekolahlah.” Saya menambah. Sambil itu suara tangisan saya masih teresak-esak.
“Sudahlah berenti menangis, petang ini kita jumpa Guru Besar.” Ayah memberi pengakuannya.
“Tapi, memang tak nak sekolah sebab dia nak hukum saya, saya mana buat salah.” Saya menambah.
Selama ini saya memang tidak pernah mengadu apa-apa pun kepada ayah. Kali ini saya bersikap “Berani kerana benar.”
Petang itu ayah dan saya berjalan kaki dari rumah di Tanjung Berangan ke Chenor Seberang. Kami menyemberang sungai Pahang menaiki bot Pakitam Abu. Ayah suruh Pakitam Abu tunggu sebab nak menyemberang semula malam ini selepas selesai jumpa Guru Besar nanti. Seterusnya kami berjalan kaki dari tebing Chenor ke rumah Haji Nor Badang. Haji Nor Badang berbadan sasa itu adalah saudara kami. Ayah berbincang sesuatu dengan Haji Nor. Selepas makan malam kami bertiga berjalan kaki menuju ke kawasan sekolah, mahu pergi ke rumah Guru Besar. Haji Nor mencapai parang panjangnya.
 Ayah terus bertanya, “Buat apa bawa parang ni, kita bukan nak bergaduh.”  
“Tak apalah sebagai pengeras semangat.” Haji Nor membalas.
“Tak payahlah, nanti polis tangkap kita.” Ayah menjelaskan sekali lagi.
Kami berjalan menuju ke rumah Guru Besar. Ayah memberi salam, tidak lama pintu dibuka. Ayah dan Haji Nor masuk ke dalam rumah. Saya tidak masuk ke dalam rumah tetapi duduk tepi tingkap.
Saya dengar ayah berbincang dengan Guru Besar. Kadang-kadang terdengar juga saat tegang.
Saya terdengar ayah berkata, “Saya percaya anak saya tidak terlibat. Kalau dia terlibat memang dia tidak berani mengadu kepada saya.”

Saya sungguh senang hati bila mendengar pengakuan yang ayah ucapkan itu. Ini bermakna ayah sangat bersimpati dengan saya.

Perbincangan malam itu nampaknya tiada keputusan. Guru Besar berkeras minta saya datang ke sekolah esok. Guru Besar tetap mahu menghukum saya. Ayah pula berkeras mengatakan Guru Besar tidak boleh menghukum saya yang tidak bersalah.

Akhirnya ayah menamatkan perbualan dengan berkata, “Saya mahu bawa balik anak saya, cikgu tidak boleh hukum dia.”

Pertemuan malam itu menyelamatkan saya daripada dihukum tetapi masa depan persekolahan saya tidak ada jawapan.

Malam itu kami pulang ke rumah melalui jalan yang amat menyiksakan. Mula-mula jalan kaki, kemudian naik bot dan jalan kaki lagi beberapa kilometer. Dalam perjalanan itu tidak ada perbualan barang sepatahpun. Saya tetap dengan keputusan tidak mahu sekolah, tetapi tidak tahu apa yang ayah fikirkan. Saya agak ayah sangat bimbang bila saya kata tidak mahu sekolah. Ayah berasa ini adalah satu ugutan kepadanya.

Biasanya pagi-pagi begini ayah memakai pakaian menoreh getah tetapi pagi ini mengenakan pakaian kemas, hendak ke mana agaknya?

“Encik nak ke mana?”
“Nak pergi ke Maran, nak pergi ke Sekolah Menengah Maran.” Balas ayah.
Sebaik sahaja pulang dari Maran,  ayah beritahu saya akan tukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Maran. Ayah kata hari Isnin pergi ke SMK Chenor ambil surat tukar dan ambil semua barang di asrama. Saya sangat seronok mendengar berita itu.
Pagi Isnin saya dan ayah menunggang basikal ke SMK Chenor. Ayah pergi ke pejabat sekolah untuk mengambil surat tukar dan saya ke asrama mengambil pakaian. Saya meninggalkan sekolah dan rakan-rakan dengan rasa sedih. Saya keluar dari sekolah ini seperti tentera Jepun kalah perang. Saya sempat berjumpa beberapa orang guru, memohon maaf dari mereka.

Sewaktu mahu melangkah keluar dari kawasan sekolah, ayah memberikan surat tukar sekolah dan sijil berhenti sekolah kepada saya. Alangkah terkejutnya saya melihat ruang kelakuan ditulis “Anasir jahat”. Adakah ayah sedar perkara ini? Saya rasa hendak terduduk dan sangat sedih. Rupanya Guru Besar melepaskan hukumannya di sini. Tidak dapat melibas lima rotan ke punggung saya, mata penanya pula menghukum saya. Timbul pula keraguan, adakah pihak sekolah sana mahu menerima saya? Fikiran saya sentiasa berkecamuk memikirkan peluang untuk diterima di sekolah baru.

Selasa, 20 Jun 1969 satu tarikh yang istemewa. Tarikh Nill Amstrong mendarat di bulan. Tarikh itu juga saya melangkah masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Maran. Saya dan ayah masuk ke bilik pengetua. Saya lihat wajah pengetua sangat serious dan bengis. Saya berasa seram. Pengetua melihat surat tukar dan sijil berhenti. Tiba-tiba pengetua terus mengeluarkan ulasan lisannya.

“Kalau ikutkan akuan pihak sana tentang kelakuan anak pakcik ini, saya tak boleh terima. Tapi saya terima dia bersekolah di sini betul-betul kerana pakcik, Saya dah berjanji pada hari Jumaat lepas.”

Saya rasa lega dengan pengakuan itu.

Tiba-tiba tangan pengetua menepuk bahu saya sambil bercakap,”Yahya, belajar rajin-rajin ye.”

Saya sungguh tidak menyangka seorang yang kelihatan bengis tetapi ada rasa belas kasihan. Syukur alhamdullah saya boleh sekolah lagi.

Saya sanggat banga ada ayah. Ayah menyelamatkan saya melalui tindakannya yang pantas. Ayah bekorban apa sahaja mempastikan saya boleh sekolah. Beberapa hari ayah terpaksa meninggalkan tugasnya menoreh getah kerana saya. Ayah juga memisahkan saya dari suasana yang berkecamuk itu. Saya juga sangat beterima kasih kepada cikgu Muhamad bin Ghani, Guru Besar SMK Maran. Rupanya disaat saya menghadapi kesukaran ini ada insan yang sanggup menolong. Hanya Allah SWT yang membalas jasa mu. Tuhan maha kaya, boleh jadi ini adalah hadiah kepada saya yang berani bercakap benar. Sesuatu kejadian itu ada hikmah disebaliknya.

Inilah adalah satu memori yang sangat berharga dalam hidup saya. Saya tidak menaruh dendam kepada sesiapa sebab saya telah dapat hak saya. Saya tahu sewaktu remaja, saya sangat nakal hingga ada kalanya guru terkeliru dan sukar menguruskan saya. Tetapi ada orang tua berkata, “Budak yang nakal jika betul cara geleteknya akan jadi orang juga.”
“Ya Allah ya Tuhan ku, tunjukkan aku jalan yang benar.”
Amin.



Wednesday, February 8, 2012

Jebak yang aku sayang


8 Februari 2012, Rabu. Pagi ini saya memulakan perjalanan ke Subang, mahu memuliakan Keberangkatan KDYM Sultan Pahang keluar negara. Walau pun kurang selesa mengendalikan komputer di atas riba tambahan pula ada kalanya melambung bila tayar kereta melanggar jalan yang beralun. Saya ingin menceritakan kenangan yang lucu sewaktu saya menghadapi saat genting ketika tok mudim mahu menyunat saya. Sewaktu dalam kereta pulang dari Subang ke Maran, saya sambung semula kerja menulis kembali pengalaman membuat jebak hingga selesai.

Pada bulan Mac 1967, sewaktu cuti sekolah penggal pertama. Saya baru pulang dari asrama. Terus ayah mengatakan sesuatu yang memeranjatkan, “Ahad ini, tokki Jah  akan datang ke rumah nak menyunat awak.”

Alangkah terkejutnya saya mendengar berita yang menggerunkan itu. Terus sahaja lutut saya rasa sejuk. Lama juga saya termenung, akhirnya saya sedar bahawa setiap remaja lelaki mesti menghadapi saat itu, tidak boleh lari ! Saya masih ingat lagi, Abang Long dan Abang Nan berkhatan di rumah tok mudim di Kampung Awah. Kalau ada teman kuranglah takutnya. Saya terfikir juga mahu ajak adik Lan bersekali dengan saya tetapi dia masih kecil lagi. Ada juga bahayanya, nanti kalau dia disunat dahulu, katakan dia menangis kesakitan? Mungkin saya akan jadi lebih takut. Kalau begitu biarlah saya bersendirian sahaja.

Pagi-pagi lagi saya disuruh berendam dalam perahu yang dipenuhi air. Tangan, kaki dan xxx jadi kecut. Lepas itu saya berbungkus denagan kain sarung naik ke rumah. Di ruang tamu, ramai sekali saudara mara berkumpul. Seorang daripadanya saya cukup kenal, dia ialah Tokki Jah. Di sisinya saya terpandang satu bungkusan yang dibalut kain hitam. Saya tahu, di dalamnya pasti ada pisau lipat yang tajam dan dua pasang penyepit. Saya dipimpin oleh Etam Man ( pak saudara, adik ayah yang paing muda). Saya disuruh duduk terkangkang atas batang pokok pisang. Saya diapit oleh Engah Ahmad dan Elong Mail. Di belakang pula Etam Man. Semangat saya jadi pulih bila dikelilingi oleh bapa saudara yang memang sentiasa menunjukkan sikap penyayang kepada saya. Rupanya bila kita menghadapi saat sukar, ada orang terdekat dihati hadir di sisi, kita jadi bersemangat. Saya ditenangkan dengan kata-kata semangat. Saya tak mahu lihat apa yang dilakukan oleh Tokki Jah, saya pejamkan mata dan tegakkan kepala seolah-olah memandang ke atas. Tiba-tiba terasa perit, macam tekepit. Lepas itu terasa benda tajam mencantas dengan pantas. Terpacul kata-kata ini dari mulut saya, “Aduh sakitnya.”. Ikutkan hati nak menangis tetapi malu kepada saudara mara. Ketika ini banyak tangan mengurut tengkuk, bahu dan belakang saya sambil berbisik, “Sikit aja, dah siap”.  

Lepas itu saya diusung ke atas tilam. Kini saya tidak berjalan lagi. Baring terlentang sahaja. Kain sarung yang saya pakai di sambung dengan tali. Kain bahagian pinggang hingga ke lutut ditegang ke atas macam khemah. Kini bahagian pinggang hingga hujung kaki berada dalam khemah kecil. Seharian saya berbaring sahaja. Satu petang sewaktu sedang baring, kawan saya Mat Pilos datang menziarah saya. Pada kesempatan ini saya meminta sesuatu dari kawan saya ini.

“Mat, awak tolong carikan pelepah salak dan buluh aur pering.”

“Awak nak buat apa pelepah salak dan buluh tu.” Tanya Mat Pilos.

“Bila sihat nanti kon nak buat jebak.”

Beberapa hari kemudian Mat Pilos datang beri tahu buluh dan pelepah salak ada di bawah rumah.

Seminggu kemudian saya telah boleh melangah perlahan dan terkangkang. Walaupun masih terasa sakit, saya mahu menjejak tanah, saya turun tangga berpapah dengan perlahan-lahan. Saya terus sahaja meluru ke bawah rumah untuk berihat dan melihat pelepah salak dan buluh yang dicari oleh Mat Pilos. Saya sungguh gembira kerana benda yang dihajati semuanya ada. Tanpa lengah saya terus memulakan projek. Pelepah dikerat mengikut ukuran dan buat tanggang. Lepas itu tebuk lubang ikut ukuran yang tepat. Gunakan kerek menebuk lubang untuk memasang bilah buluh sebagai lantai dan dinding. Kerja ini kena buat dengan teliti dan ikut ukuran yang tepat. Kalu tidak, bila siap nanti jebak itu kelihatan penjong, herot dan terjongket. Buluh pula perlu dibelah hingga jadi bilah yang kecil. Lepas itu diraut hingga jadi bilah bulat dan licin. Kerja ini sangat memerlukan ketelitian agar bilah itu kelihatan sekata bentuknya. Inilah hobi saya sewaktu lapang ketika di sekolah rendah dulu.

Masuk hari kedua, saya rasa hilang sakit bila mengadap kerja membina jebak ini. Kini jebak telah separuh siap. Bahagian yang belum siap ialah dindingnya, bilah buluh belum cukup untuk dicuck melalui lubang pada rangkanya.

Tidak disangka, ayah menysup ke bawah rumah meluru ke arah saya, terus berkata dengan keras, “Awak dah sekolah menengah mana boleh main jebak lagi.”

Ayah mengambil jebak yang separuh siap itu, terus pergi beredar. Saya terpaku di bawah rumah dengan rasa yang kecewa. Saya sangat sayang kepada jebak itu. Ayah tidak tahu perasaan saya ketika itu. Saya masih belum boleh melangkah laju. Saya tidak tahu ke mana ayah pergi. Apakah nasib jebak separuh siap itu? Saya hadapi hari yang sedih ini.

Pagi ini ayah pergi menorah getah, biasanya ayah akan pulang jam 3 petang. Pagi itu saya kuatkan semangat mencari di manakah jebak itu disembunyikan? Saya meresap ke dalam semak keliling rumah, manalah tahu ayah menghayun jebak itu ke dalam semak. Rupanya gelagat saya diperhati oleh Encik Timah. Encik Timah nampaknya bersimpati dengan saya lalu menunjukkan jarinya ke arah atas reban ayam. Saya cepat-cepat menggunakan pengait kelapa untuk menurunkan jebak itu. Saya sangat gembira dapat semua jebak yang saya sayang. Nasib baik jebak itu tidak herot atau patah. Apa lagi, saya cepat-cepat memasang bilah untuk dijadikan dinding dan lantai. Saya mesti siapkan jebak itu sebelum ayah pulang jam 3 petang.

Kini jebak kesayangan telah siap. Timbul satu soalan, “Di manakah mahu disimpan jebak ini?” Kalau disimpan atas reban, kena hujan dan panas akhirnya reput. Saya dapat satu idea iaitu simpan di rumah Tok Meriam, jiran sebalah rumah. Saya cepat-cepat memasang bilah buluh untuk dijadikan lantai dan dinding. Akhirnya siap juga jebak itu. Saya terus bawa jebak itu ke rumah Tok Meriam. Saya beritahu Tok Meriam nak tumpangkan jebak ini di rumahnya. Tok Meriam setuju sangat. Di rumah ini Tok Meriam tinggal bersama suaminya Tokki Aris dan seorang cucunya Abang Li. Abang Li sebenarnya masih kecil, belum sekolah lagi. Nama abang itu hanya cembungan sahaja.

    Keesokan harinya saya datang ke rumah Tok Meriam hendak mengambil jebak itu. Saya mahu simpan di rumah kawan saya, Mat Pilos. Mat Pilos kata mahu letak burung puyuh yang baru ditangkapnya. Bila saya mahu mengambil jebak itu tiba-tiba Tok Meriam merayu agar tidak mengambilnya kerana cucunya Abang Li sangat sukakan jebak itu. Malam semalam dia letak jebak itu dekat tempat tidurnya. Bila saya pergi melihat jebak itu, kelihatan dua ekor anak ayam berada di dalam ruang denak jebak itu. Bila melihat anak ayam berada dalam jebak terasa simpati pula kepada Abang Li. Saya nampak Abang Li sudah tidak mahu melepaskan jebak itu. Saya tidak berniat hendak merentak jebak itu dari pegangannya. Saya pun beritahu Tok Meriam bahawa saya beri Abang Li gunakan jebak itu. Tok Meriam bukan main suka. Sebagai balasannaya Tok Meriam menghidang buah jambu keling kepada saya. Pokok jambu keling di sebelah rumahnya memang rajin berbuah dan kini banyak yang masak. Buah yang masak bewarna merah tua, rasanya pun sangat manis. Petang itu saya makan buah jambu keling sepuas-puasnya.

Saya gembira kerana hasil tangan saya dihargai oleh seorang nenek dan sangat diminati oleh anak kecil.

Hari ini saya mahu pulang ke asrama untuk menyambung pelajaran penggal kedua. Sebelum pulang saya pergi ke rumah Tok Meriam hendak tengok jebak yang amat mencabar untuk disiapkan. Saya lihat Abang Li masih memegang jebak itu. Dia ingat saya mahu mengambilnya. Saya beri tahu dia, “Jaga jebak ini elak-elok ye.”

Abang Li mengangguk-naggukkan kepalanya.

Saya melangkah pulang kembali ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chenor dengan rasa puas tetapi langkah saya masih belum 100% pulih, masih terasa geli.

Meredah banjir untuk pergi sekolah

  
6 Februari 2012, Isnin. Hari ini cuti umum gantian kerana semalam Hari Maulidur Rasul. Sejak pagi tadi saya membaca surat dan mencatat tindakan yang patut dilaksanakan. Saya telah tetapkan siapa yang bertanggungjawab melaksanakannya. Selain membaca surat, saya juga kena tanda tangan surat yang hendak dihantar keluar. Sebelum jam tiga petang saya berjaya menyiapkan semua kerja, saya tak mahu kerja tertunggak ke minggu hadapan. Memang tugas pengarah sangat banyak dan mencabar. Semua fail yang telah siap disemak disimpan dalam beg warna pink seperti dalam gambar ini. Saya gembira kerana dapat lepas ngap selama dua jam. Mulai jam lapan malam ini saya akan ke Kuala Lipis pula untuk menghadapi tugas hari esok bersama KPPM. Saya mahu menggunakan masa terluang dua jam ini untuk menulis kembali saat yang paling mencabar itu. Saya berasa amat sukar menterjemahnya kepada bentuk tulisan. Kalau bercerita cara lisan memang mudah. Ceritanya amat payah untuk dirakam kepada tulisan. Saya percaya kalau Kasim Ahmad atau Pak A Samad Said melalui pengalaman saya ini, mereka boleh tulis satu buah buku. Saya ingin ceritakan pengalaman saya sewaktu mahu pulang ke sekolah untuk meneruskan persekolahan tingkatan lima tetapi terhalang kerana banjir besar melanda pada awal tahun 1971.


Pada pertengahan bulan Disember 1970 hujan turun tidak berhenti tiga hari, banjir melanda tetapi tidaklah besar. Rumah yang di tepi paya tengelam juga. Air paya kelihatan melaut tetapi akhirnya air sungai surut juga. Beberapa hari kemudian kelihatan daun-daun pokok di tebing melekat lumpur kering pada permukaannya. Waktu banjir dulu paras air hampir melimpah tebing. Daun pokok itu tenggelam beberapa hari, ketika itu lumpur dan daki mendap pada permukaan daun itu. Cuaca sudah mulai panas. Ayah mengambil peluang menorah getah setelah berminggu cuti kerana hujan yang sentisa membasahi kulit pokok. Ayah kelihatan beria benar menorah mahu menampung wang untuk bekalan saya agaknya? Saya pula ambil peluang pulang ke rumah tok (nenek) di Kampung Lompat. Setiap kali mahu pulang ke sekolah saya mesti pulang ke rumah tok terlebih dahulu kerana ada sebabnya. Emak saudara dan pak saudara tahu saya nak pulang ke asrama, mereka pun hulurlah dua tiga ringgit seorang. Kalau empat orang buat begitu tentulah berbelas ringgit berjaya masuk dalam poket. Bila pulang ke rumah saya tidak beri tahu ayah sebabnya kalau beritahu alamatnya ayah akan beri sedikit sahaja. Saya pernah terkena sekali. Lepas itu saya diam sahaja.

Dua hari lagi saya akan pulang ke asrama Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), menyambung pelajaran di tingkatan lima. Tiba-tiba sahaja hujan turun dengan lebatnya tanpa henti beberapa hari. Air sungai Pahang naik dengan cepatnya, banjir melanda sekali lagi. Hujan nampaknya tidak ada tanda akan berhenti. Kami sekeluarga sibuk memindahkan barang yang penting ke bukit. Dalam hujan itu, kami membina pondok yang besar untuk tiga keluarga di belakang rumah Tokki Dolah. Keluarga saya, keluarga encik Kiah dan keluarga Toki Dolah berteduh dalam satu pondok. Ayah adalah seorang tukang kayu yang handal, maka pondok yang dibina itu nampak kukuh. Ada dua pondok lain iaitu pondok keluarga Apak Yusoh dan keluarga Elong Seleman. Keluarga lain berpindah ke bukit yang lain. Antara barang yang beharga yang kami angkut dari rumah ialah padi. Oleh kerana mengharung dalam hujan, padi habis basah. Untuk mengeringkan padi terpaksa disalai. Kami terpaksa menumbuk padi menggunakan lesung tangan untuk mendapatkan beras. Air sungai Pahang macam laut. Air sungai mengalir laju. Saya nampak banyak rumah hanyut, sayu hati melihat rumah yang hilir satu demi satu. Rumah saya dikelilingi pokok getah maka arus air ditampan oleh pokok getah itu. Lagipun ayah menambat rumah gunakan rotan kepada pokok getah di sekelilingnya. Kini rumah kami terapung di permukaan air. Reban ayam juga terapung lalu hanyut di celah pokok getah. Beberapa ekor ayam berjaya ditangkap dan dibawa ke bukit. Seekor demi seekor dikorbankan untuk hidangan. Kami tidak menghadapi masalah sayur kerana ayah menebang pokok kelapa yang tinggal pucuknya sahaja masih timbul.

Masuk minggu kedua di bukit, kini bekalan makanan hampir habis. Bagi keluarga kami, beraslah yang sangat diperlukan. Tiba-tiba sahaja kami menjadi mewah kerana sebuah helicopter terbang rendah di kawasan lapang tidak jauh dari pondok menjatuhkan berkampit-kampit beras, gula, kicap, garam, susu dan sardin. Hari ini lima keluarga ini menerima “hadiah” yang melimpah ruah. Pada ketika itu orang lelaki yang dewasa semuanya keluar menahan jaring di paya menangkap ikan untuk makan tengah hari. Orang lelaki besar yang tinggal hanyalah saya dan abang Aziz. Kami berdua bertindak sebagai “Ahli Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung”. Kami bahagikan makanan itu secara adil. Selepas itu barulah kaum ibu mengankut bahagian keluarga masing-masing ke pondok. Dalam pada itu kami tertarik benar melihat tin susu bersaiz kecil, memang tak pernah jumpa sebelum ini. Kami sempat menyorok beberapa tin di dalam semak. Selepas majlis pengagihan harta dari langit itu selesai, kami berdua menikmati susu dalam tin itu. Saya tebuk dan sedut terus susu yang pekat itu, Oh sungguh enak, dah lama benar saya tak merasa susu yang sedap ini. Beberapa saat sahaja habis susu satu tin itu masuk dalam perut. Abang Aziz begitu juga. Masih ada dua tin lagi, kami simpan untuk hari esok pula.

Bila kaum bapa pulang, mereka terkejut besar melihat hadiah dari langit yang bertimbun. Mulai saat ini kami semua tidak risau lagi fasal makanan. Masuk hari kedua hidup bermewah, tiba-tiba sebuah bot polis singgah di bukit ini. Saya nampak polis, tok penghulu Engku Malik, Etam Mamud (Ketua kampong) dan beberapa orang lagi menuju kea rah kami.

Tiba-tiba pegawai polis bertanya, “Mana makanan bantuan itu?”

Ayah terus menjawab, “Telah diagih-agihkan kepada setiap keluarga.”

Polis itu meninggikan suara, “Pasal apa pandai-pandai berbagi sesama sendiri, itu adalah bantuan untuk seluruh kampong Pesagi tau tak.”

Tok Penghulu mengarahkan makanan itu diangkut ke dalam bot. Keluarga kami hanya ditinggalkan sedikit sahaja. Kami kaya seketika sahaja. Nasib baiklah polis itu tidak tangkap saya kerana pandai-pandai mengagihkan bantuan itu.   

Air banjir belum masih bertahan kerana hujan di sebelah ulu belum berhenti. Kini kisah belajar entah ke mana. Saya bersama abang Aziz sangat seronok main air banjir. Bila ada perahu, kami terus berkayuh mencari rezeki. Buah kelapa muda adalah kegemaran kami. Sangat mudah mengambil buah kelapa. Kini kami berkayuh menghala ke pokok kelapa yang hanya tinggal bahagian pucuk sahaja, buah kelapa boleh pulas dengan tangan. Biasanya kena guna galah panjang untuk menjoloknya atau siapa yang handal boleh memanjatnya, tetapi amat sukar memperolehi kelapa muda kerana mudah pecah jika terjatuh ke tanah. Kami juga berkayuh perahu ke bukit sebelah hilir menjenguk orang kampung yang berteduh di sana.

Satu pagi ayah mengajak saya pergi ke bukit di hilir, ayah kata mahu jumpa Tokki Hamid iaitu ayah Apak Halim. Apak Halim telah tamat tingkatan lima beberapa tahun yang lalu. Ayah hendak meminjam buku teks tingkatan lima kepunyaan apak Halim. Kini Apak Halim telah bekerja dengan kerajaan. Tokki Hamid suruh saya cari sendiri buku yang ada dalam kotak itu. Selepas membelek akhirnya saya ambil buku teks Ilmu Hisab sahaja. Kini saya ada teman baru, saya cuba jenguk tajuk pertama iaitu Ilmu Pelayaran.  Bab pertama bermula dengan penyelesaian segitiga. Diberi beri ukuran nilai sempadan dan sudut antara dua sempadan itu. Langkah seterusnya mencari nilai sempadan yang ketiga menggunakan formula a2 = b2 + c2 -2.b.c.KosA. Saya boleh faham contoh yang diberi itu. Saya cuba jawab soalan 1, sampai separuh jalan terus tersangkut kerana tidak tahu nilai Kos56o. Untuk mengetahui nilai Kos56o ini kena rujuk buku sifir empat angka. Kerja saya terbengkalai di sini. Kini saya kembali merenung air banjir yang mulai surut. Tidak sedar dua minggu saya dapat “cuti tambahan”. Ayah mulai risau saya rugi tidak pergi sekolah. Beberapa hari berikutnya air sungai mulai surut tetapi masih pada paras tebing. Di tempat yang rendah, tebingnya masih tenggelam. Ayah tidak sabar menyuruh saya pulang ke asrama SMART. Ikut firasat saya, perlu tunggu air betul-betul surut baru boleh balik ke sekolah. Tapi ayah nampaknya sangat lorat, takut saya tercicir pelajaran.

Pagi-pagi lagi kami dua beranak menaiki perahu kecil muat berdua berkayuh menyemberang sungai Pahang. Saya duduk di hadapan. Terasa kohot juga berkayuh dari Kampung Tanjung Berangan menuju seberang sana di Jetty Paya Pasir. Birai perahu hanya seinci sahaja di atas permukaan air, kami panggil “meniti buih.” Akhirnya kami mendarat di Jetty. Ada seorang tua duduk diatas pangkin bertanya ayah, “Awak nak ke mana Bidin?”

“Nilah, nak hantar Yahya balik ke sekolah. Lama dah dia tak sekolah.” Ayah membalas.

“Ada banyak lagi tempat masih tengelam. Jalan depan rumah bidan tu masih tengglam. depan rumah Ayah Busu masih tenggelam, Sungai Kundang tu melaut air.” Jelas pakcik tua itu. Saya berharap ayah membatalkan hasratnya hendak menghantar saya pulang. Rupanya sangkaan saya meleset, ayah berdegil mahu menghantar saya pulang juga. Ayah melakukan sesuatu di luar fikiran saya. Ayah mengajak saya mengusung perahu naik ke atas tebing. Lepas itu saya letakan beg dan pengayuh ke dalam perahu. Ayah mengajak saya memikul perahu berjalan menghala ke jalan besar. Selepas berjalan sambil memikul perahu sejauh hamper 100 meter Nampak jalan ditengelami air. Saya berasa lega, tidak perlu memikul lagi. Kini kami naik perahu pula sambil berkayuh hingga sampai dekat masjid Paya Pasir. Lepas itu ayah mengajak saya memikul perahu lagi sekali. Kali ini saya terasa sangat letih dan bahu rasa nak runtuh. Kami berjalan sejauh hampir satu kilometer. Sewaktu berjalan sambil memikul perahu itu, kami berselisih dengan beberapa orang yang berjalan kaki. Ada yang mengelengkan kepala melihat gelagat kami. Saya tak tahu apa maksudnya. Akhirnya kami sampai di hujung jalan yang ditengelami air. Seronoknya dapat naik perahu. Kali ini kami berkayuh perahu lebih dua kilometer hingga melewati stesen minyak Esso Abang Aziz. Selepas itu saya naik bas menghala ke Maran dan terus ke Kuantan.

Sewaktu hendak menaiki bas, ayah memberi duit belanja dan tambang bas sahaja. “Duit makan asrama belum ada, bulan depan nanti kon hantar.” Kata ayah.

Saya faham ayah tidak dapat meneroh getah sepanjang musim banjir ini hamper sebulan. Selepas itu saya naik bas menghala ke Maran dan terus ke Kuantan. Saya sungguh seronok dapat rehat dalam bas beberapa jam.  

Setibanya di asrama saya dapati hanya enam orang sahaja yang baru pulang. Keesokan harinya kami pergi ke sekolah. Tidak sampai 20 orang yang hadir seluruh sekolah. Saya Nampak guru pun hanya beberapa orang sahaja. Tidak lama lepas itu seoang memberi tahu sekolah cuti lagi selama dua minggu lagi. Mereka yang duduk dekat sekolah boleh pulang. Saya lebih suka bercuti di asrama, lagipun pihak asrama ada menyediakan makanan tetapi lauknya sardin tiap-tiap hari. Saya rasa tinggal di asrama lebih selesa dari tinggal di pondok.

Lantas saya teringat kepada ayah. Ayah kena pikul perahu seorang diri ke? “Kasihan ayah kena pikul perahu seorang diri.”

Oleh kerana tiada aktiviti, saya mula menatap buku teks Ilmu Hisab dan cuba menjawab soalan yang mudah. Kini saya ada buku sifir empat angka, maka saya berjaya menjawab soalan yang mudah.     

Bersambung lagi …

Monday, February 6, 2012

Jumpa mandur kali kedua

Saya menulis memori ini pada 5 Februari 2012 jam 11.30 malam. Saya mengambil sempena hari besar Islam Sambutan Maulidurasul. Mata saya tidak terasa mengantuk dan fikiran saya sangat fokus ketika meluah kembali peristiwa besar ini. Sangat mendalam rupanya peristiwa bersua kembali dengan seseorang yang saya kenali. Seseorang yang sangat istemewa pada saya. Dalam hidup ini, apabila kita pernah mengalami kepayahan, memang kita ingat. Sewaktu kita menempuh kepayahan itu, ada pula watak lain yang bersama atau yang menyebabkan kepayahan itu maka kita akan ingat watak itu. Boleh jadi kita ingat sebagai kawan atau kita ingat sebagai watak yang kita geram. Saya mengambil masa dua jam sahaja menyiapkan tulisan ini hingga berjaya dimuatkan ke dalam blog Warisan Pesagi ini.

13 Febuari 1978, hari pertama saya sebagai guru siswazah terlatih. Saya mengajar di SMK Jerantut. Saya diberi tugas mengajar mata pelajaran Sains tingkatan lima, dari Lima Sastera 1 hingga Lima Sastera 5. Tanpa banyak soal saya terima tugas itu dengan senang hati. Saya tatap buku teks, rupa-rupanya semua kandungan pelajarannya tidak sama dengan sukatan pelajaran Sains sewaktu saya di tingkatan lima tahun 1971 dahulu. Antara tajuknya ialah Makrub & Mikroorganisma, Radio & Perhubungan, Hidrokarbon dan Penapaian. Saya kena belajar semula. Saya dapati banyak eksprimen yang perlu dilakukan. Oleh itu saya kena jalankan dulu kebanyakan eksprimen itu. Nasib baiklah saya dapat khidmat seorang atenden makmal yang rajin dan berpengalaman. Beliau ialah saudara Saadun yang ringan tulang itu. Selain tugas mengajar, saya diberi dua tugas tambahan iaitu ketua guru rumah sukan Dato Bahaman dan tugas sebagai guru penolong displin (saya membantu Guru Penolong Kanan). Saya tidak menghadapi masalah menguruskan rumah sukan kerana sewaktu sekolah dulu saya memang meminati sukan. Saya ada pengalaman mewakili sekolah dalam olahraga, bola tampar, takraw, hoki dan gymnastic. Diringkaskan cerita, selama tiga tahun saya mengetuai rumah Dato Bahaman, sepanjang tempoh itulah rumah Dato Bahaman Berjaya menjadi johan keseluruhan. Saya kurang gemar melaksanakan tugas sebagai guru displin, banyaklah sebabnya. Satu daripadanya ialah banyak masa terbuang menguruskan pelajar yang melanggar peraturan. Saya tidak ada pengalaman dalam hal ini. Saya dulu sewaktu di sekolah menengah rendah nakal juga tetapi kenakalan pelajar-pelajar kini lain macam sikit. Satu perkara yang saya tidak terfikir ialah melawan guru. Inilah yang selalu membinggungkan saya. Agaknya saya masih belum masak bermain dengan psikologi terhadap remaja. Guru-guru pula semacam lepas tangan bila berhadapan dengan masalah dispilin ini. Mereka pakai hantar sahaja kepada saya bila berhadapan dengan masalah displin pelajar.   

Bila masuk tahun kedua, saya tidak memegang tugas sebagai guru kelas tetapi tugas tambahan yang saya terima ialah warden asrama dan pengurus buku kedatangan murid. Tiap-tiap hujung bulan saya akan menyemak rumusan kedatangan setiap kelas. Tugas ini Berjaya saya laksanakan dengan mudah kerana saya gunakan khidmat beberapa orang pengawas yang cekap dalam kira-kira. Sementara tugas saya sebagai warden ialah menyelia pelajar sewaktu kelas persediaan malam. Saya tidak menghadapi masalah menyelia mereka kerana saya selalu mengadakan kelas tambahan.

Satu hari saya dipanggil oleh pengetua. Saya lihat pengetua sedang berbual-bual dengan seorang tetamu.

“Cikgu Yahya, ini encik Kamaruzaman, ketua biro pelajaran Koperasi dari Felda Padang Piol. Koperasi hendak beli bas sekolah. Antara syarat pembelian ialah menyediakan senarai nama pelajar yang berulang-alik dari rumah ke sekolah. Sila tolong encik Kama ini.” Arahan encik Ahmad Kamal, penegtua kepada saya.

Saya megajak tetamu itu ke satu ruang di pejabat. Saya menyemak jadual kedatangan satu demi satu untuk mendapatkan nama pelajar dari Felda Padang Piol. Pelajar yang tinggal di asrama diketepikan. Akhirnya saya berjaya memberi senaarai nama yang dikehendaki itu.

Apabila selesai tugas itu, saya mengajak encik Kama ke kantin.

“Saya nak belanja abang Kama di kantin, jom.” Pelawa saya kepada encik Kamarulzaman.

Sejak awal lagi saya dah perasan bahawa tetamu ini hamier sama dengan muka mandur yang jaga saya sewaktu saya bertugas sebagai kuli meracun di Felda Padang Piol tahun 1972 dahulu, sewaktu ayah jadi peneroka di sana. Tetapi keliatan gemuk sedikit.

Sementara pembantu menyediakan minuman untuk kami, saya memulakan perbualan.

“Abang Kama pernah tak jadi manur jaga pekerja meracun di Felda Padang Piol?”, Tanya saya.
“Pernah.”, balas encik Kamarulzaman.

“Abang Kamal perasan saya tak.” Tanya saya kepada beliau.

“Maaf, tak ingat.” Encik Kamarulzaman kelihatan berkerut untuk mengingat.

“Ingat tak Zainal Abidin yang keluar felda kerana tak mahu anaknya jalan kali.” Saya memberi ulasan lanjut.
“Oh ingat, ingat. Awak ni anak abang Zainal itulah ye?”

“ye betul abang”, balas saya.
Saya jelaskan kepadanya bahawa saya belajar di tingkatan enam, terus masuk university dan bertugas di sekolah ini.

“Wah, tahniah, nampaknya keputusan ayah awak keluar felda adalah betul.” Jelas encik Kamarulzaman.
“Dulu masa ayah awak keluar felda, orang di Padang Piol tak habis-habis bercakap fasal ayah awak. Semua orang kata ayah awak tolak tuah, tinggalkan harta tanah 10 ekar. Saya juga kata begitu.” Encik Kamalulzaman menambah lagi.

“Saya rasa saya dah cukup hebat kerana dapat jadi peneroka, rupanya awak lagi hebat, dapat pelajaran yang tinggi hingga berjaya dapat ijazah. Kalau ayah awak terus tinggal di Padang Piol, awaklah jadi anak peneroka Padang Piol yang pertama berjaya dapat ijazah. Boleh jadi awak tidak akan dapat ijazah.” Jelas encik Kamarulzaman.

Rupanya dalam kehidupan ini memang ada kos melepas, tidak boleh dapat kedua-duanya serentak. "Mahu tanah 10 ekar atau segulung ijazah". Itu yang terlintas dalam fikiran saya.

Saya senyum aja, sambil mengajak beliau menikmati minuman yang telah tersedia.
“Rupanya ayah awak bijak membuat keputusan yang berani. Hasilnya awak hari ini berjaya,baguslah.” Sambil tangan ibu jarinya ditegakkan ke atas sebagai tanda kejayaan.

“Cikgu Yahya, tolong ajar budak Padang Piol sungguh-sungguh ye. Mereka sangat perlukan pelajaran.”

Saya mengangguk-anggukkan kepala.
“Terima kasih belanja dan tahniah. Dah lama kita berborak, nanti kita jumpa lagi.” Jelas encik Kamarulzaman.

"Ye, kita akan jumpa lagi, terima kasih abang Kama, dulu sewaktu kami jadi kuli abang, kami selalu merungut dan marah kerana abang sangat tegas. Rupanya baru saya tahu bahawa ketegasan itu sangat berguna. Saya banyak belajar dari perwatakan abang Kama. Terima kasih."

Sungguh bermakna pertemuan hari itu.

Thursday, February 2, 2012

Ayah berhenti merokok kerana aku?

Coretan ini telah lama tersorok bertahun-tahun dalam satu laman blog yang tidak ternama. Boleh dikatakan tiada siapa yang menjenguknya. Kalau simpan dalam memori komputer boleh jadi tidak selamat, misalnya komputer rosak atau terlupa apa nama failnya. Inilah kecanggihan yang saya nikmati hari ini. Tidak perlu simpan hasil penulisan di rumah. Saya menunggu masa yang sesuai untuk memaparkan kepada umum kerana bimbang emosi anak saya terganggu, maklumlah ada yang masih remaja jika dipaparkan terlalu awal. Sebab itulah saya brekkan beberapa tahun. Saya bimbang anak saya kata, "Boleh tahan juga nakalnya ayah aku ini sewaktu remaja, bolehlah aku cuba juga." Itulah ketakutan saya. Kalau boleh saya tidak mahu anak-anak saya menyentuh rokok ini, suatu yang membazir dan memudaratkan kesihatan. Kini anak bongsu saya telah besar dan matang. Dia sudah mampu berfikir secara rasional dan tahu yang baik untuk dirinya.

1973. Cubaan merokok pertama kali yang gagal

Pertama kali saya cuba menghisap rokok ketika di tingkatan enam atas. Ramai awan sekelas memang kaki rokok. Malam itu sebelum prep saya diberi sebatang rokok yang telah dihisap, hujungnya masih berasap. Saya terus menyedutnya. Mulut saya penuh dengan asap. Saya tak tahu apa nak buat dengan asap yang ada dalam mulut itu. Ada kawan kata, "cuba telan asap itu." Lalu saya menelannya. Tiba-tiba sahaja kepala saya pening. Badan rasa nak tumbang. Lalu saya susun tiga meja, terus baring di atasnya. Saya lihat siling, saya rasa kelas ini nak telingkup. Saya rasa duduk dalam perahu yang sedang dilambung ombak. Saya baring hingga habis waktu prep. Satu malam yang sia-sia! Peristiwa malang malam itu menyebabkan saya ambil keputusan tidak mahu menyentuh rokok hingga tamat tingkatan enam.

Januari 1974, Mula hisap rokok

Januari 1974, sewaktu menunggu keputusan STP, saya berpeluang menjadi guru GSTT di SMK Alor Akar, Kuantan. Saya tinggal bersama rakan sekampung yang juga saudara mara saya. Mereka ialah Shikh Jabok, Apak Atan dan Raja Kamal. Mereka semua ada kerja tetap sejak beberapa tahun lalu. Mereka ini memang kaki rokok. Pendek kata dalam rumah itu sentiasa berbau asap rokok. Saya juga menghidunya sepanjang masa. Beberapa minggu berlalu maka saya telah lali dengan bau itu. Saya mulalah belajar secara beransur-ansur menghisap rokok tetapi tidaklah selalu kerana belum dapat gaji. Kini saya tidak rasa pening atau loya. Bila sahaja dapat gaji, saya terus beli rokok dan belanja tiga orang rakan saya ini. Oh, kini saya telah jadi rakan serumah yang lebih akrab. Kini saya bukan murid sekolah lagi, berani bawa rokok ke bilik guru dan hisap rokok bersama guru lelaki.

20 Mei 1974, Kurang merokok sewaktu di kampus

Mulai Mei 1974 saya berjaya melanjutkan pelajaran di universiti. Kewangan saya sewaktu di universiti sangat ketat. Waktu jadi guru sementara dapat gaji bulanan rm350 tetapi kini biasiswa sahaja kira-kira rm2000 setahun. Wang biasiswa hanya untuk makan dan yuran. Saya beli rokok sebatang sahaja dari kedai makan di universiti. Waktu itu masih belum ada peraturan larangan merokok di sekolah atau universiti Kerap kali saya berjimat sebatang rokok hisap beberapa kali. Bila masuk bilik kuliah padamkan rokok yang membara itu lepas itu selitkan rokok dicelah dinding. Bila habis kuliah terus terkam rokok yang diselit itu dan sambung semula tetapi rasanya kurang enak, macam tengik. Ada kalanya kami berkongsi sepuntung rokok hisap bergilir-gilir. Ketika yang paling seronok bila cuti penggal/semester. Saya pulang ke kampung dan menoreh getah. Bila dapat wang hasil jualan getah rokoklah yang dibeli dulu. Ah lepaskan gian, merokok bersama rakan sekampung. Ketika yang paling seronok sekali ialah selepas main bola. Kami berkumpul di hadapan kedai runcit Ayah Mail P. Tekak terasa haus, maka saya beli air cc. Lepas seteguk masuk ke tekak, kini giliran menyedut rokok pula. Memang nikmat minum cc diselang dengan menghisap rokok. Orang yang tidak merokok tidak tahu bagaimana nikmat yang dimaksudkan. Namun begitu saya tidak pernah menghisap rokok di hadapan ayah. Selama empat tahun saya merokok cara begini. Ada kala sebatang sehari dan ada juga sekali sekala sebungkus (bungkus kecil) sehari.

Dapat lesen besar mulai Februari 1978

Mulai Februari 1978 saya jadi guru siswazah di sebuah sekolah menengah di Jerantut. Melalui pertolongan GPK, saya dapat menumpang di rumah no. 99, Taman LKNP. Penghuninya ialah Hamdan dan Rahman. Saya cepat mesra dengan mereka. Mereka berdua kaki rokok. Rahman nampaknya sangat murah hati, selalu offer rokoknya kepada saya, apa lagi pucuk dicita umlam yang datang. Bila dapat gaji, saya terus beli rokok dan offer kepada Rahman. "Kini aku ada gaji, maka aku ada lesen besar!"

Sebulan sekali (bila hujung bulan) saya pulang ke kampung. Kini saya sudah berani bawa rokok pulang ke rumah. Malam, makan nasi hidang berhadapan dengan ayah. Biasanya ayah bila lepas makan mesti capai rokok. Ye, kini saya juga begitu. Saya mahu belanja ayah rokok yang sedap. Bila sahaja siap makan saya terus hulurkan rokok yang tercabut sedikit dari kotaknya kepada ayah. Ayah tergamam, perlahan-lahan mengambilnya, sepantas kilat saya menghidupkan api dari lighter canggih kulitnya berkilat, tidak lagi mancis api yang selalu ayah gunakan. Kami hisap rokok dua beranak. Saya berasa puas kerana dapat belanja ayah. Ye, kita nak bagi ayah rasa kenikmatan hisap rokok berjenama.



Sebulan sekali saya pulang ke kampung. Sudah tentu saya bawa rokok berjenama. Rokok Banson ayah dah rasa. Berikutnya belanja ayah rokok Dunhill pula. Bulan seterusnya belanja rokok Peter Styverson. Saya seronok dapat belanja ayah rasa rokok yang sedap dan berjenama. Waktu saya kecil dulu ayah hisap rokok daun. Selalu juga saya tolong isikan tembakau ke dalam daun. Mengisi tembakau ke dalam daun perlu berhati-hati takut tumpah, lepas itu gulung perlahan jadi bentuk rokok tetapi bentuknya seperti kun panjang. Ayah bawa bekal rokok gulung itu semasa menoreh getah. Jika ayah ada duit lebih ayah suruh saya beli rokok kotak cap orang naik kuda sambil pegang senapang. Waktu kecil suka bantu ayah buat rokok gulong tetapi kini seronok belanja rokok berjenama. Kini kami ada hobi yang serupa. Kali ini saya nak belanja ayah rokok cap unta pula, Camel. Waktu makan malam saya makan sehidang dengan ayah. Saya letakkan rokok jenama Camel itu di sebelah kiri tempat duduk saya. Bila siap makan, saya terus mencapai kotak rokok di sebelah. Saya ambil sebatang terus letak di muncung, lepas itu cucuh kepada api lighter, sedut, wah bukan main enak merokok selepas makan. Sayu hulurkan rokok yang ditarik separuh dari kotak kepada ayah. Tiba-tiba tangan ayah menolak rokok yang sedap itu. Maksudnya ayah tidak mahu rokok itu. Harian juga ayah boleh tolak rokok yang sedap ini. Puas saya memikir mengapa ayah bertindak begitu? Lalu saya bertanya adik saya, Mamat.
"Mat, mengapa encik tidak hisab rokok?"
Mamat membalas, "Entah."

Saya tidak puas hati dengan jawapan itu. Terlintas dalam kepala, "Aku mesti siasat."
Selepas beberapa ketika, saya dapat idea. Saya mahu tanya kawan rapat ayah iaitu Pakandak Said. Saya mahu jumpa Pakandak Said malam ini juga. Tanpa lengah saya terus melangkah turun dan berjalan dalam malam yang gelap menuju rumah Pakandak Said.  Saya pasti akan dapat jawapan yang sebenarnya, tetapi apa ye?

Pakandak Said adalah rakan karib ayah. Mereka selalu bederau menebas di kebun.

“Pakandak, mengapa orang tua saya tak mahu rokok yang saya beri?”

“Hah, awak jaga sikit, orang tua awak dah mula berhenti merokok. Dia suruh awak berhenti juga. Dia kata awak tu cikgu, tak elok hisap rokok.” Jelas Pakkandak Said.

“Boleh berhenti ke? Dah 31 tahun hisap rokok boleh berhenti ke? Saya cabar ayah saya jika dia berhenti dalam tempoh tiga bulan maka saya akan berhenti juga.” Saya mengemukakan hujah.

“Ayah awak tu dah seminggu tak hisap rokok. Hari pertama dia berhenti hisap, bila dia pergi menorah getah bila dia pandang ke sebatang pokok nampak pokok 10 batang. Tak boleh bediri lama rasa nak tumbang.” Pakandak menambah lagi.

Sejak itu saya sudah tidak berani menghisap rokok di hadepan ayah. Bila lepas makan saya akan menghisap rokok di balik busut. Saya juga akan mengintip pergerakan ayah. Manalah tahu di rumah pura-pura tidak hisap rokok tetapi sewaktu di kebun getah manalah tahu hisap pula maklumlah nyamuk dan agas banyak.

Setiap kali saya balik kampung, saya akan tanya adik-adik saya, “Ada nampak encik beli rokok?”. Semua adik kata tak nampak. Seterusnya saya tanya Pakndak Said. Beliau juga kata tidak. Ada seorang lagi yang saya mahu soal siasat iaitu Ayah awang Pet. Toke kedai runcit dekat kubur. Di situlah tempat ayah jual getah skrap dan membeli barang keperluan rumah. Ayah Awang Pet juga kata ayah dah tidak beli rokok beberapa bulan terakhir ini. Kini saya mulai percaya ayah memang sudah berhenti merokok.

Mulai saat itu saya ambil tindakan berhenti juga. Saya menjangka ayah akan memberi kuliah kepada saya tentang buruknya perbuatan merokok ini. Kalau ayah beri kuliah bukan nak sekejap. Sesi kuliahnya kadang-kadang sampai dua jam. Saya memang jemu betul, nak lari waktu kuliah berjalan memang tak manis. Oleh itu lebih baik saya ambil tindakan proaktif, berhenti dahulu sebelum dipaksa mendengar kuliah panjang.

Cuba bayangkan kalau ayah saya tidak berhenti merokok sudah pasti saya tidak akan berhenti juga. Begitu kuat pengaruh model rupanya. Kami akan berkongsi rokok agaknya? Adik-adik saya pula akan merokok juga. Memang saya nampak ada yang berpotensi mengikut jejak langkah abangnya. Jawabnya kami adik beradik akan berlonggok di bawah pokok manggis menghisap setiap kali lepas makan sewaktu di kampung. Anak pula bagaimana? Kalau ada anak kami pula yang menghisap rokok, bagimana hendak menghalangnya? Ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus?  

Rupanya kami berjaya menjauhkan diri dari rokok. Saya angkat tabik kepada ayah.