Kini Pengarah Pelajaran Negeri Pahang
Mulai 21 Oktober 2011 saya melangkah
ke kamar Pengarah. Saya memikul amanah yang sangat besar. Dalam tempoh 381 hari
ini apakah yang mesti saya lakukan? Satu tempoh yang amat singkat. Garis
penamatnya ialah 6 November 2012. Saya akan gunakan tempoh itu sebaik-baiknya. Berikut
adalah pelan tindakan yang saya mahu lakukan dalam tempoh 381 hari ini.
1. Saya sememangnya ada kelebihan dari
segi pengalaman mengajar di dalam kelas kerana lebih 27 tahun saya keluar masuk
bilik darjah. Saya putuskan mahu turun padang bercakap tentang keterampilan dan
daya tarikan pengajaran guru. Saya mahu memberi kuliah kepada 5000 orang guru.
2. Saya mahu mengikuti kursus secara
maya melalui EPSA iaitu E-Pembelajaran Sektor Awam yang dianjurkan oleh
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Kursus secara maya ini boleh menjimatkan
masa. Saya tetapkan mahu mengikuti tiga jenis kursus. Melalui kaedah ini, saya
boleh jimatkan masa dan tidak perlu bayar walau satu senpun. Sudah pasti saya mahu
Ketua Sektor dan PPD mengikuti jejak langkah saya.
3. Saya mahu mengikuti kuliah atau
ceramah agama yang dianjurkan oleh Surau Al-Falah JPNP atau masjid di luar sekurang-kurangnya
10 kali sebagai pengukuhan kerohanian.
4. Saya tetapkan mahu membaca 12 buah
buku motivasi atau pengurusan atau novel yang berkaitan dengan pendidikan.
5.
Saya mahu melakukan riadah bersama rakan atau murid sekolah
sekurang-kurangnya 10 kali.
6. Saya tetapkan pasukan saya bersama
ketua sector memantau semua 11 Pejabat Pelajaran Daerah sekurang-kurangnya
sekali.
Saya gambarkan tindakan dalam bentuk
rajah sarang labah-labah. Berikut adalah gambaran pada 21 Februari 2012.
Pencapaian baru 27.2%
Pada 1 Mei 2012 rekod aktiviti saya
menunjukkan kemajuan 78.5%. Aktiviti membaca 12 buah buku, Kursus EPSA dan
pantau PPD sudahpun mencapai sasarannya lebih awal.
Pada 9 Julai 2012 rekod aktiviti
saya menunjukkan kemajuan telah mencecah 96.7%. Dalam masa 184 hari saya telah
hampir selesai melaksanakan misi 381 hari ini. Lima bidang aktiviti sudahpun
mencapai 100% malah ada yang sudah melebihi sasaran misalnya e-PSA sudah
menamatkan empat kursus. Program di surau sahaja yang belum mencecah saran.
Pencapaian terkini ialah 8 daripada 10 yang disarankan.

Program Ziarah Guru sangat penting
maka saya buat persediaan rapi agar sesi pertemuan itu tidak membosankan.
Sekali berjumpa kadang sampai 250 orang guru penuh di dalam dewan. Saya pergi
merata pelusuk misalnya Tembangau, Ringlet, Pelangai, Bandar Tun Razak Keratong,
Bukit Goh, Paya Teh, Ulu Dong, Bukit Goh, Bukit Betong dan banyak lagi. Pendek
kata walaupun tersorok tetapi tidak terpinggir. Saya menyediakan persembahan
menggunakan perisian Geometer’s Sketchpad. Saya gabungkan pengalaman dan
kemahiran agar persembahan saya mempau memberi sentuhan dan kesedaran baru
kepada guru. Paparan pertama merupakan refleksi guru sewaktu berada dalam
kelas. Guru membuat refleksi setiap item dan memberi skor antara 1 hingga 10.
Skor keseluruhan, K menggambarkan Keterampilan guru itu. Guru berpeluang bertanya
diri sendiri bagaimana mahu membaiki kelemahan diri jika nilaiannya amat
randah.

Dalam kes yang dipapar di atas ini,
item yang paling serious ialah guru tidak kenal muridnya secara dekat dan
kurang mesra. Nilai K pada tahap sederhana sahaja.
Dalam paparan kedua ini, kedudukan
guru yang bewarna biru itu memberi kesan besar terhadap Daya Tarikan
Pengajarannya.
Berdasarkan maklum balas yang saya
terima, penyampaian saya diterima baik dan mereka memberi nilaian cemerlang. Saya
mahu kehadiran guru yang berhimpun di dewan sekolah yang kurang selesa itu
berbaloi. Saya berharap sesi syarahan saya boleh mengubah sikap guru dan dapat
melakukan pengajaran yang lebih berkesan lagi. Saya ibarat orang jual minyak,
mesti mahu lariskan jualan dan minyak itu mujarab.
E
Pembelajaran Sektor Awam, EPSA memang menjadi keutamaan saya untuk keperluan
kursus secara maya. Saya telah mengikuti empat kursus. Saya telah mendapat
kerja sama erat dari pengurusan INTAN Cawangan Trengganu menjalankan kursus
pendedahan kepada pegawai di jabatan ini. Sebagai menghargai pegawai yang tamat
kursus diberikan hadiah sewaktu Perhimpunan Bulanan. EPSA telah disebar luas ke
Pejabat Pelajaran Daerah. Beberapa orang Pegawai Pelajaran Daerah telah
menamatkan beberapa kursus. JPN Pahang adalah jabatan yang aktif menggunakan
kemudahan kursus secara maya ini. Langkah ini boleh menjimatkan kewangan
kerajaan dan masa kerja pegawai.
Mengamalkan Belajar Dari Yang Cemerlang
Biasanya selepas keputusan UPSR
diumumkan kita tidak kisah sangat kepada guru yang menghasilkan keputusan yang
cemerlang. Kita setakat mengucap tahniah
kepada guru besar sekolah yang cemerlang. Kali ini sebaik sahaja keputusan UPSR
diumumkan, saya meminta Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Ketua Sektor
Pengurusan Akademik dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah menghimpunkan guru dan
guru besar yang menghasilkan keputusan UPSR yang cemerlang di Hotel Sri
Malaysia Temerloh pada hujung November 2011. Kini kita baru nampak SK Chat, SK
Selancar 2, SK Sentosa, SK Raub Indah, SK Pedah dan banyak lagi
turut menyinar. Kumpulan guru yang menghasilkan keputusan yang cemerlang itu
dipanggil Guru Nuklius. GN ini berbincang dan menulis pengalaman mereka menghasilkan
kecemerlangan mata pelajaran. Tulisan itu dimuatkan di dalam laman blog
GEMILANG PAHANG, www.gemilangpahang.net. Barisan GB pula ditugaskan memberi penerangan perkongsian
kecemerlanagn kepada GB sekolah lain. Pihak JPN telah mengatur jadual Road Show barisan GB ini ke
daearah-daerah. Saya masih ingat semua 26 orang guru besar sekolah orang asli
seluruh Pahang berkumpul di PPD Lipis mendengar ceramah pertama barisan GB
cemerlang itu. Kita baru berjumpa permata yang bersinar, selama ini tenggelam
di dalam lumpur. Kami baru tahu kehebatan Guru Besar SK Chat. Beliau berjaya
menggilap sekolahnya yang jauh diceruk. Cikgu Akid Huat, GB SK Tasik Chini
berjaya memujuk ibu bapa orang Asli agar memberi perhatian tentang persekolahan
anak mereka. Tokoh-tokoh ini sangat istemewa kepada kami. Pihak JPN berjaya
menemui best practises cikgu Norazan guru
Sains SMK Cliford yang menggunakan Kad Memori membantunya menghasilkan
keputusan cemerlang Sains. Pihak JPNP telah menambah baik kad itu dan
mencetaknya untuk dikongsikan ke semua sekolah di Pahang. Cikgu Fazli pula
menggunakan modul yang diciptanya membantu menghasilkan 17 orang daripada 19
dapat A Sains. Memalui bantuan Yayasan Pahang, modul itu dicetak untuk disebar
luaskan ke sekolah lain. Banyak sekali
perkongsian pintar telah berlaku.

Inilah muka depan Blog GEMILANG
PAHANG, www.gemilangpahang.net. Di dalam sarat dengan cerita kecemerlangan yang dihasilkan oleh guru
UPSR dan PMR. Terima kasih cikgu.
Masyarakat Tidak Boleh Terima Kemerosotan
Keputusan peperiksaan awam UPSR,
PMR, SPM dan STPM negeri Pahang secara keseluruhannya meningkat. Namun begitu
ada terdapat beberapa buah sekolah merosot, ada yang merosot teruk. Misalnya
ada sekolah murid yang dapat 5A merosot dari 45 orang kepada 9 orang sahaja. Ada
sekolah yang tidak ada seorangpun yang dapat 5A tetapi tahun sebelumnya berjaya
menghasilkan 5 orang. Ada sebuah sekolah di felda merosot, peratus lulusnya
hanya 47%, menjadikannya tercorot dalam senarai sekolah felda di Malaysia. Masyarakat
tidak boleh terima keganjilan seperti itu. Saya mulai panas punggung, menanti
hari sahaja akan libas oleh ekor pari. Kemerosotan seperti itu sepatutnya dapat
dielakkan jika pemimpin sekolah sentiasa memerhati perjalanan proses pengajaran
dan pembelajaran di sekolahnya. Pengarah memang tidak dapat melihat secara
mikro apa yang berlaku di dalam bilik darjah setiap sekolah di negeri ini. Apa
yang saya ramal benar-benar terjadi, dipanggil oleh Dato Sri Sufian makan
tengah hari bersama Tan Sri Sidek. Tanggal 11 Februari 2012, saya bersama lima
orang pegawai kanan jabatan lain negeri Pahang duduk menghadapi makanan yang
enak. Saya nampak gulai kari kepala ikan, gulai tempoyak patin dan macam-macam
lagi. Saya duduk berhadapan dengan Tan Sri Sidek. Saya menyuap nasi
berhati-hati dan mencapai lauk yang dekat pinggan sahaja. Tan Sri Sidek menyoal
Pengarah Kemajuan Negeri, lepas itu giliran Yang Dipertua Majlis Perbandaran
Kuantan pula, lepas itu giliran saya pula. Tan Sri dalam bahasa yang lembut
tetapi tajam menyatakan kesalnya atas kemerosotan SK Ceruk Paloh. Memang
sepatutnya Tan Sri berkata begitu. Saya tahu penyebabnya, iaitu kemerosotan
Bahasa Inggeris. Tan Sri menyatakan tahun 2010 kerap memantau sekolah itu.
Sepatutnya pihak sekolah dan JPNP dan PPD mengambil tindakan yang serious pada
tahun 2011. Saya memang tidak mahu menyatakan alasan, saya banyak mendengar
sahaja. Pada waktu itu saya tiada selera walaupun di hadapan mata ada gulai
kelah. Saya memang tidak ingin menyentuh lauk yang enak-enak itu. Kalau boleh
saya mahu majlis makan itu cepat cepat selesai, saya mahu ambil tindakan segera
memulihkan SK Ceruk Paloh. Saya rasa jarang sekali pengarah negeri dapat duduk
berdepan dengan KSN. Saya terima teguran itu dengan dada yang terbuka. Kalau
sekolah kampung saya merosot saya juga akan mengamuk. Terima kasih Tan Sri.
15
Februari 2012. Saya memanggil Guru Besar, GPK SK Ceruk Paloh, PPD Kuantan dan
beberapa orang pegawai JPNP. Kami berbincang untuk mencari jalan memulihkan SK
Ceruk Paloh. Banyak keputusan dipersetujui antaranya mengadakan jalinan dengan
sekolah luar bandar yang cemerlang dan mengadakan aktiviti kokurikulum empat
penjuru di SK Convent Cameron Highland. Saya mahu budak Ceruk Paloh melihat
rakan di luar dan belajar dari orang yang cemerlang. Seterusnya saya melantik
seorang Guru Besar baharu mengambil tempat Guru Besar lama yang tamat
perkhidmatannya pada akhir April 2012. Saya memberi nasihat dan taklimat khusus
kepada encik Rosli sebagai bekalan untuk mengemudikan SK Ceruk Paloh. Saya
berharap sejarah hitam tidak berulang lagi.
Sewaktu
sidang dewan undangan negeri, ramai ahli Yang Berhormat mengambil bahagian berbahas,
tiba-tiba seorang YB membangkitkan sebuah sekolah di dalam DUN Pulau Manis
merosot dari 45 orang dapat 5A hanya 9 orang dapat 5A. YB itu tidak puas hati mengapa
terjadi begitu? Seorang YB lain mencelah, mengatakan itulah akibat pemimpin sekolah
yang tidak utamakan kemajuan murid. YB itu seterusnya meminta pihak JPN dan PPD
mengambil tindakan memulihkan prestasi yang menjunam itu. Saya terkejut besar dan
sangat malu mendengar isu sebuah sekolah merosot keputusan UPSR dibahas di dalam
dewan. Kami ketua jabatan hanya boleh mendengar dan jika ada cadangan jawapan
boleh tulis dan serahkan kepada EXCO. Saya menulis jawapan yang mengandungi jawapan
diserahkan kepada YAB Menteri Besar yang merangkap jawatan EXCO Pelajaran. Keesokan harinya cerita sekolah merosot itu
keluar pula dalam surat khabar. Nampaknya kegembiraan kami atas kejayaan
keseluruhan yang meningkat sudah tenggelam dek kerana sebuah sekolah yang
merosot teruk itu. Pada mulanya saya rasa marah kepada YB itu tetapi selepas
difikirkan sehalus-halusnya memang wajar beliau mengungkit isu itu sebagai
tanda YB itu cakne terhadap untung nasib rakyat dalam kawasan beliau. Lagi
sekali saya dilibas oleh ekor pari. Sangat pedih rupanya. Saya telah tahu apa
sebabnya. Pada tahun 2010, seorang guru cemerlang telah berjaya mengangkat
keputusan Bahasa Inggeris. Pada tahun berikutnya beberapa bulan terakhir, guru
itu jatuh sakit. Tugas beliau diambil alih oleh guru lain. Itulah sebab utama
terjadi keganjilan itu. Saya telah mengambil langkah menghantar seorang guru
Bahasa Inggeris yeng berpengalaman mengajar di sekolah itu.
Masyarakat Tidak Mahu Kerja Yang Tidak Bermutu
Saya ada pengalaman masuk ke kedai
kopitiam, terus kopi kurang manis. Beberapa minit kemudian pelayan menghantar
secawan kopi di bawahnya ada piring alas. Saya kurang senang melihat kopi
tumpah ke dalam piring. Saya beritahu pelayan itu, “Minuman di sini mahal
harganya, patutnya piring pengalas ini kering.” Pelayan itu tersengeh dan terus
lari ke belakang. Saya tidak puas hati terus mengadu kepada pekerja yang jaga
meja casher. Tidak berapa lama
selepas itu saya menerima secawan kopi yang baru. Saya serik minum di kedai
itu. Beberapa bulan kemudian kedai itu didapati tidak beroperasi lagi, mengapa?
Saya
menerima banyak surat aduan dan surat layang. Saya suruh pegawai yang berkenaan
siasat dan laporkan kepada saya. Biasanya saya mendapat maklum balas antara
seminggu hingga sebulan. Kali ini saya menerima sepucuk surat aduan terhadap
seorang guru yang jarang memeriksa buku latihan muridnya. Penjaga itu sebut
kelas mana dan nama guru itu. Saya cukup sensitif bila menerima aduan begini.
Kali ini saya terus telefon guru besar minta beliau siasat dan ambil tindakan
segera.
Saya beritahu guru besar itu, “GB
sepatutnya semak kerja guru. Antara kerja yang perlu disemak ialah buku latihan
murid. Kita boleh nampak terus mutu kerja guru, teliti, cingcai atau tidak buat
apa-apa? Inilah kerja utama GB. Bila nampak kepincangan mesti tegur terus.
Inilah hak GB, jangan abaikan tugas ini. Ibubapa mahu kerja yang bermutu. Saya
harap GB faham komen saya ini.”
GB terdiam tak sangka tiba-tiba disergah
oleh pengarah agaknya. Kemudiannya
beliau berjanji akan siasat. Sampai sekarang saya masih belum dapat jawapan.
Saya tetap ingat tugas yang belum selesai ini. Satu hari nanti saya akan tanya
GB ini. Betapa ruginya murid yang menerima pengajaran dari guru ini. Terima
kasih kepada bapa yang memberi maklumat sebegini. Tugas saya belum selesai.
Memperksakan Pegawai Pelajaran Daerah
Pengarah tidak sempat mendekatkan diri dengan
semua guru. Bilangan guru melebihi 27,000 orang seluruh negeri Pahang, tidak
mungkin boleh berjumpa dan memberi motivasi kepada semua dalam masa tidak
sampai setahun ini. Saya mengambil pendekatan Pengarah dekat dengan PPD, PPD
pula dekat dengan pengetua dan guru besar, Pengetua dan Guru Besar dekat dengan
guru dan guru dekat dengan anak pelajar. Rasa salin hormat menghormati terjalin
dan semangat pasukan terbentuk dek kerana pendekatan Pengarah Turun Padang. Untuk memberi nilai tambah, PPD perlu
diperkasakan, perlu diberi pengalaman memantau dan mempraktik inovasi. Saya
mahu PPD Pahang mengkaji amalan terbaik di beberapa buah sekolah yang mencapai
bai’ah di daearah lain. Saya mahu mereka mendapatkan kelainan dan kehebatan
sekolah-sekolah tersebut dan seterusnya boleh dipraktikkan di daerah
masing-masing. PPD juga telah memulakan program Resensi Buku di perigkat daerah
masing-masing. Ada banyak lagi tindakan inovasi yang PPD telah lakukan. Saya
telah wujudkan satu laman blog Anjung PPD Pahang, www.anjungppdpahang.com
sebagai satu medan PPD Pahang memuatkan artikal masing-masing untuk perkongsian
dengan PPD lain. Penulisan dalam blog boleh dianggap penulisan peringkat
kebangsaan kerana tulisan dalam blog itu dibaca oleh segenap pelusuk alam.

Rekreasi dan Team
Building
Walau sibuk macam manapun saya tetap untukkan
masa untuk riadah dan rekriasi. Saya bersama guru SMK Sultanah Kalsum mendaki
Bukit Pelindung. Saya bersama pelajar tingkatan enam SMK Maran mendaki Bukit
Macro Maran. Berikutnya saya bersama pelajar dan guru SMK Sungai Lembing
mendaki Bukit Panorama. Pada bulan Mac saya bersama pegawai PPD Maran, PPD
Pekan dan guru SMK Seberang Temerloh mendaki Gunung Kinabalu. Walau
bagaimanapun saya hanya sampai ke Laban Rata sahaja. Kali ini saya tewas dengan
cuaca yang sejuk. Walau bagaimanapun tujuh orang rakan saya berjaya sampai ke
puncak Gunung Kinabalu. Saya bersama-sama guru dan pelajar berbasikal sejauh 33
kilometer dari SMK Sungai Soi Kuantan ke Pejabat PPD Pekan. Saya melayani
murid-murid sekolah rendah mendaki, menuruni bukit dan mengharungi sungai di
belakang Kampung Sentosa, Maran. Saya bersama pemandu dan pegawai JPN Pahang
meredah hutan, mendaki bukit hingga sampai di Air Terjun Jerangkang. Ada di
antara kami hampir tewas mendaki bukit lebih dua jam tetapi diberi galakan
akhirnya sampai juga. Inilah kursus Team Building yang sangat mencabar.
Apabila dapat berendam dalam kolam yang sejuk hilang segala kekusutan.
Lagi Belajar Dari Mereka Yang Cemerlang
Memerhati pola keputusan peperiksaan
boleh memberi sesatu yang sangat berguna. Melalui pemerhatian itu kami bertemu
beberapa orang guru yang menghasilkan keputusan yang cemerlang. Misalnya cikgu Aminah
dari SMK Peramu Jaya dan cikgu Rosidah dari SMK Ubai boleh menghasilkan lebih
40% pelajarnya yang menduduki PMR memperolehi A mata pelajaran Geografi. Ustaz
Fatthul Mueim dari SMK Seri Bentong berjaya menghasilkan 90% pelajarnya daapat
A Bahasa Arab PMR. Ustaz Fatthul membuktikan melalui kaedah mengajar yang
istemewa berjaya memecahkan kebuntuan untuk menghasilkan kecemerlangan mata
pelajaran Bahasa Arab ini. Saya meminta pegawai saya di JPN dan PPD memasarkan
idea dan best practises ini ke sekolah
menengah seluruh negeri Pahang. Saya masukkan cerita kecemerlangan ini di dalam
blog Memori Pengetua Pahang, http://memoripengetua.blogspot.com
untuk rujukan lebih ramai guru.

Sebiji
permata tiba-tiba bersinar. Permata itu ialah adik Nor Aini Aminah binti Mohd Fuad, pelajar terbaik
Pahang yang dapat 4A STPM tahun 2011. Nor Aini dari SMK Temerloh dianugerah
Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang. Nor Aini seorang tokoh pelajar
yang cerdik, serba boleh dan pandai berpidato. Kami gunakan kesempatan buat
road show menemukan beliau dengan semua pelajar tingkatan enam atas seluruh
Pahang. Ceramah beliau sangat berkesan dan memberi kesedaran yang mendalam kepada
pelajar untuk mengikut jejak langkahnya. Saya sewaktu mendengar ceramahnya
pertama kali di Dewan Ampiteater Pekan tidak sedar air mata mengalir ke pipi.
Bukan saya seorang sahaja, malah ramai guru dan peserta yang lain juga.
Saya juga meminta pegawai JPN dan PPD
mengadakan jalinan antara sekolah berasrama penuh dengan sekolah harian di
sekitarnya. Satu usaha yang bermakna telah dilaksanakan. Pelajar cemerlang mata
pelajaran Kimia SBPI Temerloh, SBPI Pekan dan SM Sains Tengku Abdullah Raub
telah menjadi fasilitator membimbing seramai 180 orang pelajar sekolah
rancangan khas seluruh negeri Pahang. Pelajar yang mengikuti program ini
memberi maklum balas yang sangat positif. Mereka cadangkan diadakan banyak lagi
program seperti ini. Terima kasih Puan Normah binti Ismail (Pengetua SBPI
Temerloh), Puan Lailatun Zalaliah binti Hussain (Pengetua SBPI Pekan), Puan Wan
Azizah binti Wan Abd Rafar (Pengetua SM Sains Tengku Abdullah Raub), guru-guru
dan pelajar yang menjadi fasilitator yang telah memberi layanan istemewa dan
dedikasi melayani pelajar yang bertandang ke sekolah mereka. Hanya Allah SWT
yang dapat membalas jasa mereka itu. Saya sempat bergambar dengan peserta dari
SMKA Tengku Ampuan Afzan yang mengikuti Program
A+ Kimia di SBPI Temerloh.

Tindakan
Yang Kreatif
Kami mahu menunjukkan rasa prihatin
dan sokongan kepada semua anak kami seramai 27000 orang yang akan menduduki
UPSR tahun 2012 ini dengan cara menghadiahkan kad ucap selamat yang mengandungi
kod JSB bermaksud Jawab Sampai Betul.
Timbalan Pengarah, Semua Ketua Sektor dan PPD akan menyerahkan kad ini kepada setiap
orang murid dua minggu sebelum mereka menduduki ujian UPSR. Kod JSB
mengingatkan murid agar menjawab semula setiap jawapan yang salah. Untuk
mendapatkan jawapan yang betul mereka mestilah bertanya guru, berbincang dengan
kawan atau merujuk buku. Mereka boleh juga bertanya ibu bapa. Usaha ini adalah hasil kreativiti pegawai di
Sektor Pengurusan Sekolah. Sementara pantun itu adalah hasil ciptaan encik
Saruchi bin Sawal. Terima kasih semua.

Saya bersama rakan-rakan tidak henti-henti
mencari jalan untuk memajukan pendidikan anak didik di bumi Tok Gajah ini.
Sesungguhnya saya bukanlah seorang
pengurus yang handal dan bukanlah seorang pengarah yang hebat. Saya juga amat
kurang pengalaman sebagai ketua kepada organisasi yang besar ini. Hingga ke
saat saya menulis kalimah ini, tempoh perkhidmatan saya sebagai pengarah baru
mencecah Sembilan bulan 19 hari atau baru mencecah 324 hari. Hanya tinggal beberapa tapak sahaja lagi untuk
sampai ke penghujung jalan. Jika anda fikir ada di antara tindakan yang saya
paparkan ini boleh mendatangkan kebaikan, harap dapat diteruskan. Sesungguhnya
inilah sahaja keupayaan yang dapat saya laksanakan. Saya memohon kemaafan atas
sebarang kekurangan. Saya sangat menghargai sumbangan anda semua. Hanya Allah
SWT yang akan membalas segala kebaikan yang anda curahkan. Wassalam.
TAMAT