nuff

Wednesday, June 30, 2010

Makam Tok Belulang

Jun 2010

Di hadapan saya nampak sepasang batu nisan. Saya percaya masih ada lagi batu nisan dalam semak itu.

Jari tangan kiri dan tangan kanan menunjukkan batu nisan. Batu itu adalah yang asli. Beberapa tahun dahulu batu itu tegak tetapi kini terbaring. Kedudukan batu ini sangat hampir dengan jalan. Saya sangat khuatir kubur ini akan musnah. Kita patut buat sesuatu sebelum ia musnah.


Ini adalah kawasan kubur lama, lebih awal dari kubur di Dusun Kekabu. Terletak antara rumah Tokki Haji Daud dan rumah Tokki Haji Hamid (ayah apak Alim). Kubur ini, pada waktu dahulu dijadikan tempat orang bernazar, amalan zaman datok moyang(bertentangan dengan ajaran Islam?).
Mengikut cerita, Tok Belulang adalah orang yang pelek. Suka menolong orang, hingga semut yang jatuh ke permukaan air dihulurnya ranting untuk meniti ke darat. Banyak lagi.
Penerokaan sejarah baru bermula. Banyak khazanah di kampung kita.

29/4/17 yang lalu saya lalu lagi di sini selepas enam tahun. Nampak batu besar.

Batu besar telah beralih tempat, kini telah hampir dengan pangkal pokok. Mungkin dialih kerana ada pembinaan jalan tar.

Monday, June 28, 2010

Banyak rumah tidak bertuan

Bukit Cempedak, Kuala Jengka,
Bukit Sanding, Tanjung Belawan;
Haram tidak disangka-sangka,
Ayam ditanding tidak melawan.

Pulau Pesagi, Kuala Jengka,
Bukit Sending, Tanjung Belawan;
Haram sekali tidak disangka,
Ayam ditanding tidak melawan.

Bukit Sanding, Tanjung Belawan,
Batu Kunta, Kuala Jempul;
Ayam ditanding tidak melawan,
Itulah dia tandanya bacul.

Pantun di atas itu adalah dihasilkan oleh Budayawan Pahang, Allahyarham Dato’ Zakaria Hitam yang lebih dikenali dengan nama Pak Zek, dipetik dari http://sejarah-pendidikan.blogspot.com/ milik Dato’Yaakub Isa.

Satu ketika dahulu Kampung Pesagi sangat meriah. Setiap buah rumah ada penghuninya. Kini rumah ditinggalkan tanpa penghuni. Ke mana mereka? Telah berhijrah atau meninggal dunia?

Rumah 01. Ini ialah rumah pertama yang kita jumpa jika datang dari hulu. Rumah ini telah lama tinggal tiada penghuni. Kini rumah ini didiami oleh xxxx. Rumah ini masih kukuh. Di belakang rumah banyak pokok durian, ada yang berbuah. Pokok asam gelugur masih hidup subur. Tuan rumah ialah Tokki Dolah (Tuan Haji Abdullah bin Mohd Akhir, telah lama meninggal dunia). Anak-anak beliau Engah Hashim, kini dah menetap di Melaka. Eda Mamat, dah menentap di Kuantan. Apak Nasa di Jengka Pusat. Mereka bertiga tiga mungkin kembali ke desa ini. Hijrah membawa faedah. Tokki Dolah dan tokki saya ( Tokki Deraman) adik beradik. Seorang lagi adik beradik mereka ialah Tokki Haji Arih.

Tokki Dolah Tok Peeah,
Anak lelaki tiga beradik,
Semua anak dihantar sekolah,
Mudah mesra otak pun cerdik.


Rumah 02
Berjalan 200 meter ke hilir, selepas rumah Long Miah, kita lihat rumah Eda Aji yang ditinggalkan sekian lama. Sebelum meninggal dunia, Eda Aji dan Mak Awa berpindah ke Kampung Baru Chenor. Setelah lama tidak berpenghuni, Mak Awa yang terkenal dengan sikap penyayangnya membenarkan Sabri mendiami rumah ini. Saya tetap ingat jasa besar Mak Awa yang mengajar saya mengaji. Setiap malam saya berulang alik ke rumah ini sewaktu sekolah rendah antara tahun 1965 hingga 1966. Saya bersama abang Aziz, adik Yah dan Limi mengaji di rumah ini. Lepas mengaji kami bebas makan minum di dapur. Bila musim jambu dan limau, kami makan sepuas-puasnya. Abang Mizi dan abang Wawi sangat baik, tetapi saya selalu picit lengan abang Wawi sebab dia masuk bertanding angkat berat di sekolahnya. Abang Wawi adalah pelajar Sekolah Alam Shah. Saya suka tengok majalah SAS. Abang Wawi, abang Mizi dan Limah semuanya baik macam emak dia juga. Dulu rumah ini cantik dan banyak pokok bunga di sekelilingnya. Mak Awa adalah anak kepada Tokki Haji Daud.


Rumah 03
Sayang sekali, rumah yang kemas binaannya. Gelegar dilekat pada tiang guna kaedah puting. Binaannya kukuh. Rumah ini telah ditinggalkan tidak kurang 20 tahun lalu. Rumah ini bersebelahan rumah Eda Aji. Rumah ini milik Tokki Bakar. Tokki Bakar meninggal dunia pada tahun xxxx. Anak Tokki Bakar ialah Mokde Jah (isteri arwah Apak Din), abang Adi (tinggal di kampung Sentosa) dan Yah. Yah tinggal bersama anak saudaranya di kampung Sentosa juga. Saya tertanya-tanya siapakah tukang yang membina rumah ini?

Saya akan meneroka dari aspek sosial dan pertalian keluarga. Banyak bukti kehebatan dan kepandaian orang tua kita yang perlu kita dedahkan untuk pengajaran dan motivasi kita. Walau pun terlambat, saya akan cuba setakat termampu untuk memperlihatkan ikatan kekeluargaan yang hampir dilupakan.

Saya juga mengalu-alukan tokok tambah dari anda semua. Saya jemput anda turut menyumbang dalam ruangan komen. Selepas itu saya akan berbincang dengan anda untuk dimasukkan secara sah dalam blog ini.

Sunday, June 27, 2010

Kampung Pesagi, Chenor, Pahang



Saya menoleh ke belakang,
Saya terkenang kampung halaman yang telah saya tinggalkan,
Kampung yang banyak jasa kepada saya.

Bukit Gebuk gunung melintang,
Nampak dari Pulau Pesagi,
Adik duduk sanggul melintang,
Bagai bunga kembang pagi.

Seingat saya,
Sewaktu kecil saya tinggal bersama ayah, emak, abang Long dan adik Lan di Kampung Padang Kerbau. Saya ingat lagi, sebelum sekolah saya mengaji di rumah Tokki Yaakub. Waktu petang ikut emak belajar di kelas dewasa. Lepas itu saya ikut ayah berpindah ke Kampung Tanjung Berangan. Saya mula masuk sekolah di SK Pesagi tahun 1961. Cikgu Shamsiah ajar saya. Rakan sekelas ramai lebih 25 orang. Antara yang saya ingat ialah Abang Amin (abang sepupu), De Noriah (sepupu saya/ kakak Ipar), Makcu (emak saudara, dah arwah), Jamaludin (Sepupu saya), Budin, Tapar Tok Amah, Salmi, Umno ayah Karim, Rajak ( anak Pakteh Seleman), Zainal( kami panggil Siwang), Harmah (Tanung Palas), Halimah(anak mak Awa, tok guru mengaji saya), Toje Apak Musin, Toje Ayah Yusof(misai melentang), Mi Jamil (adik Rajmah, dua pupu saya), Ismail (Kg Sanding), Rohana (duduk di Cedung, anak Kasim Kampar), Mat Yee (Tanjung Palas), Ramlah bt Ramli (cucu Tokguru Tokki Hamid), Yang (waris saya tinggal di Pejing) Pea'ah ayah Aw. Pet dan Kak Ros (isteri abang Midin). SK Pesagi sangat meriah. Ramai murid dari SK Paya Pasir bersekolah di Pesagi untuk menyambung pelajaran darjaha enam. Mereka menyemberang sungai naik perahu dua kali sehari. Mengikut kata Etam Mamud, SK Pesagi mula beroperasi sebelum tahun 1931.

Suasana Kampung Pesagi sangat meriah. Musim menanam padi, semua penduduk turun ke paya. Buat tapak semaian, lepas itu baiki pagar. Tok Pengulu Engku Malik akan melawat paya. Ketika yang seronok ialah menolak tunda dalam paya. Bila pokok padi tinggi sejengkal, ramai kaum bapa mengenjut untuk mendapatkan ikan bapak haruan. Bila pokok padi bunting, kaum muda mulalah berlawan gasing. Kami kanak-kanak sibuk main gasing lonjong.



Sekitar tahun 1964 hingga 1966, inilah tempat kami bermain gasing selepas mengaji Quraan di rumah Mak Awa. Tapak main gasing ini di halaman hadapan rumah Etam Mamud. Saya bersama Abang Aziz, Limi, Ismail dan Amin selalu bertemu di laman ini. Kini semuanya telah berubah, dah jadi belukar.

Mail Sanding letih memusing,
Aya Bidin seronok memangkah,
Memang adat bermain gasing,
Banyak memusing maknanya kalah.
Memangkah debus menyepir ratak,
Letih memusing ketiak hangit,
Gasing tercampak dalam semak,
Bermain tak pandai kalah lengit.

Bila padi mula masak, lesung pun berbunyilah pada waktu malam, kami ikut emak mengemping.
Hari minggu kami main boyan tunggal dibuat dari akar yang bergayut pada dahan pokok besar tebing sungai depan rumah Tokki Abah (tokki Lihi/ Shekh Jabok/ Ani). Bila boyan dihayun ke tengah sungai, kami pun melayang ke permukaan air sungai. Ada kalanya jatuh macam batu, kalau menjadi terjun lembing. Ada kalanya jatuh tertiarap (wah bukan main sakitnya). Itulah keseronokan kami waktu itu.

Di tebing depan rumah Tokki Abah. Di sinilah saya bersama Lihi, Jabok, Mat Pilus, Kamar, Harun, Zamri dan Jama ayah Talib main boyan tunggal dan terjun tarzan. Cukup meriah ketika itu sekitar tahun 1966 hingga 1971. Kini tebing ini telah sunyi sepi dan semak. Kini orang kampung tidak ke sungai lagi, telah ada air paip, mandi di rumah aja. Inilah tanda kemajuan.

Di tebing sungai ada pokok,
Tergayut akar jadikan boyan,
Mandi terjun sangat seronok,
Itulah tandanya anak jantan.

Itulah sedikit cebisan kisah silam di Kampung Pesagi tahun 1959 hingga 1971.

Saya akan cerita lagi.