nuff

Saturday, February 11, 2012

Ayah jumpa Guru Besar & Guru Besar jumpa ayah.

Ayah jumpa Guru Besar

Sewaktu darjah satu, guru kelas ialah cikgu Samsiah binti Awang. Oleh kerana seronok belajar dan faham semua yang cikgu ajar, saya dapat nombor satu dalam peperiksaan akhir tahun. Selepas itu cuti akhir tahun selama sebulan lebih. Lepas itu bila buka tahun baru 1962, saya naik darjah dua. Kini guru yang mengajar ialah Cikgu Salleh yang juga Guru Besar. Dalam minggu pertama saya terasa keliru antara m dan n. Ada kala bila jumpa m tersebut n. Lagi satu terkeliru antara b dan d. Dalam masa cuti akhir tahun sebulan lebih itu saya tidak pernah buka buka. Tiap-tiap hari meresap dalam semak melastik burung dan mencari ikan di paya. Dalam pada itu saya dipanggil oleh Guru Besar yang menyuruh saya naik darjah tiga. Maksudnya saya melompat kelas dari darjah satu terus ke darjah tiga.

Kini saya belajar di darjah tiga bersama dengan kawan baru yang lebih tua setahun. Antara mereka yang saya masih ingat ialah Abang Aziz, Pak Aris, Mokhtar, Salasaton, Puteh dan Rejmah. Bilangan murid dalam kelas itu lebih 20 orang. Kebolehan saya sederhana sahaja. Guru kelas saya ialah cikgu Ishak. Setiap kali periksa penggal, pencapaian saya hanya sekitara tempat  kelima hingga kesembilan sahaja. Kebolehan saya kurang menyerlah.

Sebelum cuti ahkir tahun, ayah datang ke sekolah berjumpa dengan Guru Besar. Saya tidak tahu apa yang ayah mahukan? Inilah kali pertama ayah datang ke sekolah selepas menghantar saya pada hari pertama darjah satu dulu. Sejurus kemudian saya dipanggil masuk ke bilik Guru Besar. Guru Besar memberi tahu saya bahawa saya akan belajar dalam darjah tiga sekali lagi tahun hadapan. Baru saya tahu apa maksud ayah datang berjumpa Guru Besar. Ayah tidak puas hati pencapaian saya selama setahun melompat kelas. Guru Besar menerima pandangan ayah tentang pencapaian saya. Saya tidak terasa apa-apa pun, naik kelas boleh, tunggu pun tidak mengapa. Pada waktu itu, semua keputusan di tangan orang bergelar “bapa atau ayah”.

Mulai awal tahun 1963 saya kembali belajar bersama-sama rakan sebaya saya seperti Jama, Tapar, Mat Yee, Budin, Toje A, Toje B, Mail, Zainal, Umno, Noriah, Limah, Mee, Salmi, Harmah, Makchu, Abang Amin, Rohana, Rajak dan beberapa orang lagi. Kali ini saya boleh menguasai pelajaran sepenuhnya. Setiap kali periksa saya sentiasa dapat tempat pertama. Hingga darjah enam saya sentiasa dapat tempat pertama.

Walaupun ayah tidak pernah sekolah tetapi ada pandangan yang jauh terhadap persekolahan saya. Jika ayah tidak ambil hirau mungkin pencapaian persekolahan saya pada sederhana dan tidak dapat dipastikan apa akan terjadi pada masa hadapan?

Guru Besar pula datang ke rumah.
Sewaktu darjah enam ayah menghantar saya belajar kelas peralihan sekolah arab. Kelas itu diadakan sebelah petang di bawah rumah ketua kampong, Tokki Char. Kelas itu dijalankan di sebelah petang. Ustaz Mokhtar adalah guru yang mengajar kelas itu. Muridnya ialah budak darjah enam dan budak yang tua setahun dari saya. Jika lulus boleh masuk terus tingktan satu sekolah menengah agama/ arab. Pencaapaian saya boleh tahan juga. Saya dapat tempat ketiga dalam kelas itu.

Ayah bercadang mahu menghantar saya masuk Sekolah Menengah Agama Chenor tahun hadapan (tahun 1967). Ayah telah menempah kitab melalui Ustaz Mokhtar. Ayah telah membayar wang deposit RM7 untuk buku tersebut.

Tiba-tiba satu hari, Eda Mamat, bapa saudara sepupu saya beritahu yang saya,

“Awak tak sesuailah sekolah arab sebab asrama sekolah itu kena masak sendiri. Eda rasa awak tak pandai memasak, nanti lapar awak.”

Bila mendengar kata-kata itu saya menjadi takut.

Saya bertanya, “Ngapa Eda sekolah situ dulu?”

“Eda pandai masak, sekaang Eda dah sekolah di tempat lain. Kalau Eda masih di sekolah itu tak apalah, Eda boleh ajar awak memasak.”

Saya termenung.

“Elok pergi Sekolah Menengah Kebangsaan Chenor lah. Asramanya lebih bagus, makanan disediakan oleh tukang masak. Balik sekolah terus makan.” Eda Mamat menokok.

Cakap Eda Mamat sangat mempengaruhi pemikiran saya. Masalahnya saya takut nak beritahu ayah.  Apa caranya?

Saya dapat satu idea iaitu mahu ceritakan hal ini kepada Guru Besar, Cikgu Salleh.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi saya masuk ke bilik Guru Besar.

Saya beritahu Guru Besar bahawa saya ada masalah.

“Apa masalahnya?”

Tiba-tiba sahaja saya rasa sebak, tak boleh cakap, rupanya air mata mula mengalir.

“Heh orang handal macam awak ni boleh menangis, apa kenanya?” Tanya Guru Besar.

“Saya tak mahu sekolah agama, ayah suruh juga, saya nak sekolah menengah.” Saya memulakan hujah.

Saya beritahu Guru Besar bahawa di sekolah arab kena masak sendiri. Saya tidak pandai memasak.

“Jangan menangis, petang ini saya datang ke rumah jumpa ayah. Saya akan beritahu hal ini.” Guru Besar memberi jaminan.

Saya keluar dengan rasa puas.

Sewaktu saya sedang jalan mundar mandir dalam kebun getah di belakang rumah pada waktu petang, tiba-tiba nampak Guru Besar yang mengayuh basikal menghala ke rumah saya. Saya nampak Guru Besar naik ke rumah, waktu itu ayah baru balik dari kebun menoreh getah. Saya hairan Guru Besar berani berhadapan dengan ayah yang garang itu. Saya pun balik ke rumah tetapi takut naik ke rumah. Saya duduk di bawah rumah aja.

“Cikgu jemput minum teo o aja.” Dengar ayah mengajak Guru Besar minum. Memang rumah saya ada tea O sahaja. Tak pernah hayat ada susu.

“Beginilah Bidin, ini hal persekolahan Yahya, tentang masa depan dia. Dia budak yang bagus belajar. Dia lebih minat belajar di sekolah menengah. Sekolah agama itu bukan tak bagus tetapi masa ini budak-budak kena masak sendiri. Saya tahu sangat perangai anak awak ini. Saya bimbang lapar dia  nanti.”

Saya dengar banyak juga soal jawab antara Guru Besar dengan ayah.

Akhirnya saya dengar ayah bercakap, “Baiklah cikgu, saya ikut cakap cikgu. Tapi mengapa cakap lewat sangat, saya dah habis 7 ringgit bayar cenkeram kitab.”

“Masa depan anak lebih mahal dari 7 ringgit.” Guru Besar menutup perbualannya.  
Saya sungguh gembira peguam saya menang bicara. Terima kasih Cikgu Salleh, Guru Besar SK Pesagi. Ayah juga sanggup dengar pandangan Guru Besar.

Dulu Guru Besar dengar capak ayah, kini ayah pula dengar cakap Guru Besar.


4 comments:

mfadlimusa said...

Saya suka membaca coretan en yahya. Cerita dulu dulu amat mencuit hati. Sungguh kuat ingatan en. Yahya..

TuaH DesA said...

Suatu hari nanti, kita akan berjumpa di pejabat tuan di jpnp.. Insyaallah..

aa-ziey02 said...
This comment has been removed by the author.
Yahya Zainal Abidin said...

Saudara TuaH DesA ... nampaknya hasrat nak jumpa saya di JPNP tak dapatlah sebab saya dah bersara. Kita boleh jumpa di Maran.

Post a Comment