nuff

Sunday, December 2, 2012

Sekolah Kebangsaan Pesagi cipta rekod UPSR 2012

Tahniah! Sekolah Kebangsaan Pesagi cipta sejarah
UPSR tahun 2012 adalah terbaik bagi sekolah ini.
Lulus 100%  GPS 1.44  dan 1 orang dapat 5A dari 5 orang calon.


Saya ucapkan setinggi -tinggi tahniah dan penghargaan kepada Guru Besar, Puan Radiah binti Mohamad dan barisan guru SK Pesagi.

Keputusan tahun 2012 mengatasi keputusan tahun 2011. Tahun 2011 juga cemerlang, lulus 100%, GPS 1.57 dan 2 orang dapat 5A dari 9 orang.

Segala-galanya terletak di tangan GB dan guru.

Diharapkan ibu bapa berilah sokongan kepada sekolah.

Kepada BG dan barisan guru, teruskan usaha yang hebat itu. Kini orang mula mahu belajar dari SK Pesagi.

Thursday, November 29, 2012

Ucapan di Perhimpunan SMK Cenderawasih

3 Oktober 2012, Rabu, jam 7.20 pagi,

Saya sampai di SMK Cenderawasih.

Pengetua, Datin Hjh Faudziah binti Ismail  dan AJK PIBG menunggu saya di pintu pagar. Saya terus menuju ke dataran perhimpunan. Pelajar seramai lebih 1500 orang dan guru lebih 100 orang telah bersiap sedia menunggu saya.

Selepas pengetua menyampaikan ucapan alu-aluan saya dijemput menyampaikan ucapan kepada pelajar dan guru.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada Pengetua, ajk PIBG, guru-guru dan anak-anak pelajar.”

“Pagi ini saya mahu bercerita tentang seorang remaja berumur 14 tahun namanya Ruddin. “

“Nak dengar tak.”

Kedengaran lantang sekali suara mengatakan, “Nak.”

Saya meneruskan cerita dengan lebih yakin lagi.

“Ruddin mudah naik darah bila berlaku sesuatu yang tidak menyenangkan hatinya.” 

 

“Satu hari sewaktu pulang dari sekolah, Ruddin makan hidangan yang dimasak oleh emaknya. Ruddin rasa terlebih masin, terus sahaja dia menepuk meja sehingga gelas tergolek dan jatuh pecah berderai di atas lantai. Emaknya sudah tidak larat menasihatinya. Emaknya membersihkan lantai dari serpihan kaca, sambil terlihat air mata mengalir di pipinya. Ibunya sangat sedih tetapi tidak mampu lagi menasihatinya. Menasihat Ruddin ibarat mencurah air di daun keladi.”

“Satu petang Ruddin memakai kasut bola pergi main bola bersama kawan-kawannya. Sewaktu Raddin menyepak bola tiba-tiba kasutnya tercabut. Kawan-kawannya menutup mulut mahu kertawakannya. Ruddin sangat geram sehingga menendang tiang gol. Dia tak puas hati, terus pulang ke rumah. Apabila sampai di muka pintu dia menanggalkan kasutnya dengan cara mernjis di hadapan pintu yang terbuka. Tiba- tiba kasutnya tercabut lagi terus terpelanting ke dalam rumah. Tak disengajakan kasutnya jatuh atas meja tempat kakaknya sedang belajar. Kasut itu jatuh atas buku latihan kakaknya. Kakaknya terkejut lalu memarahi Ruddin. Ruddin bertengkar pula dengan kakaknya.”

“Pak Ayub seorang bapa yang penyabar, terpaksa meredakan pertelagahan itu.”

“Banyak lagi tindakan Raddin yang menyusahkan keluarga, rakan sekelas dan juga gurunya. Raddin kini seperti kera sumbang.”

“Pak Ayub seorang yang kuat berfikir dan membaca. Akhirnya Pak Ayub mendapat satu helah untuk memadamkan sikap ganas anaknya Ruddin.”

“Satu petang Pak Ayub memanggil Ruddin.”

“Ini hadiah untuk Ruddin, ambillah ….”

bersambung lagi….

 

29 November 2012; 10.35 malam.    

Saturday, September 22, 2012

Buku MENDAKI 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
 
Saya sedang berjuang menerbitkan buku MENDAKI 2.   Penerbitnya ialah Tinta ZAINAB, milik anaknda saya Norhanis. Jika tiada aral, ia akan dilancarkan pada 2 Oktober 2012 di SK Bandar Temerloh.



Buku ini menyorot perjalanan 34 tahun saya sebagai guru. Bilangan muka surat ialah 158 m/s.
 

MENDAKI 2 adalah himpunan pengalaman 34 tahun saya sebagai guru. Bermula sebagai guru novis di SMK Jerantut. Lebih tujuh tahun saya di sana. Banyak sekali ilmu mendidik dipelajari. Rakan setugas, guru penolong kanan dan pengetua banyak mencorakkan pembawaan saya sebagai guru muda yang perlukan bimbingan. Entah apa yang dinilai, saya dilantik guru penolong kanan di SMK Jengka 2. Barangkali tempat ini kurang diminati, maka saya diberi peluang. Saya lakukan bersungguh-sungguh. Saya memperolehi hadiah istimewa, dapat biasiswa MOMBUSHO berkursus di Jepun. Banyak nilai baru yang dipelajari. Seterusnya selama lebih lima tahun bertugas di sekolah berasrama penuh, SHAH Pekan. Kini saya berada di antara pengetua dan guru. Corak kerjanya telah berubah.

Pendakian saya diteruskan lagi bila diberi amanah sebagai pengetua di sekolah rancangan khas, SMK Seri Jengka. Tidak disangka selepas itu saya menggelonsor turun bukit. Saya bercadang mahu berhenti tetapi ditawar pula jawatan guru cemerlang. Banyak sungguh cabaran yang dihadapi sebagai GC ini. Ketika inilah saya banyak menjalankan kajian tindakan untuk menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Sungguh tidak disangka, saya dilantik menjadi pengetua di ABS Temerloh. Kerap kali saya gembelingkan tenaga guru melaksanakan gotong-royong dan bersama-sama menguruskan displin pelajar. Tiba-tiba saya mendapat surat tukar ke PPD Kuantan sebagai Pegawai Pelajaran Daerah. Kini menjaga pengetua dan guru besar pula. Seterusnya berpindah ke PPD Maran dan PPD Pekan.

Dua tahun empat bulan yang terakhir saya bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri Pahang. Mulanya sebagai Timbalan Pengarah dan akhirnya sebagai Pengarah. Saya menggunakan masa sebelas bulan yang terakhir menggerakkan jentera yang besar ini. Saya cuba sedaya upaya, tetapi saya sampai ke garis penamat sebelum melihat hasilnya.

Saya gembira dapat jadi guru. Saya akan terus menyumbangkan idea memajukan pendidikan kita. Saya sungguh gembira bila dipanggil, “Cikgu Yahya …”


 

 

 
 
 
 


Friday, August 24, 2012

Ambil Amalan Yang Baik Dari Juara


Mahu Menuju Kejayaan Dengan Mencontohi Kejayaan Orang Lain?

 

Mahu maju seperti Bill Gate?

 



 

Ciri istemewa Bill Gate:

ü  Keunggulan

o   Baca sendiri buku bisnes dan keusahawanan. Membaca buku adalah sangat penting untuk meraih kejayaan.

ü  Keazaman yang tinggi

ü  Berfikiran positif

 

 

Apa rahsia kejayaan Tiger Wood?

 

Pada peringkat awal Tiger Wood sering kali terasa sakit pangkal peha kiri selepas berlatih. Jurulatih beliau membuat post mortem. Akhirnya jurulatihnya berjumpa dengan sesuatu yang aneh. Tiger Wood sewaktu menghayun ironnya, dia terkangkang 150 pada hal jaguh lain sekitar 120 sahaja. Jurulatih meminta Wood mengurangkan kangkangnya kepada 120 sewaktu menghayun ironnya. Inilah permulaan kejayaan setelah meniru kebiasaan jaguh lain. Wood sewaktu ditanya oleh Mical Fullan apakah rahsia kejayaannya?

Beliau menjawab, “Willing to change and consistency.”

 

Sunday, August 5, 2012

Pengkisan Sejarah Kampung Pesagi



Buku ini mengandungi 29 muka surat, di dalamnya diselitkan beberapa buah pantun, ada antaranya saya cedok dari koleksi pantun yang sedia ada dan ada juga yang saya reka sendiri.

Bukit Gebuk gunung melintang,
Nampak dari Pulau Pesagi,
Adik duduk sanggul telintang,
Bagai bunga kembang pagi.

(dipetik dari pantun yang sedia ada dalam koleksi pantun-pantun)

Batu Gajah Kampung Sanding,
Macham Gelap Bukit Belawan,
Berakit bergalah hilir beriring,
Menahan panas bak pahlawan.

Pulau berderet besar ke hilir,
Sekolah Pesagi di atas bukit,
Hilangkan penat perit dan getir,
Berehat di sini legalah sikit.

(Dua pantun ini saya cipta sendiri)





















Sambungannya ....





















...... bersambung lagi.




















Saturday, August 4, 2012

Jadi Orang Nombor Dua Di Jabatan Pelajaran Negeri Pahang

Melangkah masuk ke Jabatan Pelajaran Negeri Pahang sebagai orang nombor dua.
Saya melangkah masuk ke Jabatan Pelajaran Negeri Pahang buat kali keduanya. Kali pertama sewaktu diamanahkan jawatan Penolong Pengarah Sains dan Matematik tetapi hanya sempat dua minggu sahaja. Kini saya kembali jadi orang nombor dua di pejabat, seperti guru penolong kanan di sekolah. Saya mesti mengatur langkah mengikut langkah ketua saya, tidak jauh tertinggal di belakang dan tidak pula memotongnya. Kini ketua saya ialah Yang Hormat Dato’ Haji Abdul Aziz bin Abdul Latif. Inilah prinsip yang saya amalkan sewaktu memegang jawatan GPK di SMK Jengka Dua dan SHAH Pekan dahulu. Dalam struktur organisasi saya sentiasa jadi orang nombor dua. Sebaliknya Persatuan Pusat Sumber Negeri Pahang ringkasnya PERPUSPA dan Jawatan Kuasa Pengurusan Surau Al Falah, saya adalah pengerusinya.
 
 
            Saya perlu berhati-hati melalui jalan yang agak licin ini. Sewaktu menerima watikah perlantikan daripada Tan Sri Alimuddin Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, beliau berpesan, “Yahya, awak telah langkau ramai orang, mesti tunjukkan kerja yang cemerlang.” Saya sentiasa ingat pesanan KPPM itu.  
 
 
            Satu pagi saya dipanggil oleh Dato’ Pengarah ke biliknya. Saya diberi satu tugas pertama yang mencabar iaitu menyelesaikan masalah seorang pegawai kerap tidak hadir sejak beberapa bulan yang lalu. Saya difahamkan pegawai itu menghadapi masalah kesihatan yang serious. Saya berjaya menemuai pegawai itu, kasihan juga melihat kulitnya yang bengkak bengkal macam terbakar dan kerap bergaru. Saya menasihatkan beliau mendapat rawatan hospital. Beliau kata telah pergi tetapi tidak berkesan. Ada kalanya bengkak kulitnya susut, beberapa minggu kemudian datang semula. Saya tahu beliau sedang berhadapan dengan masalah kesihatan yang amat sangat. Setelah gagal pulih melalui perubatan hospital beliau menggunakan kaedah tradiosional. Masalah pegawai ini tidak mudah diselesaikan, mengambil masa yang panjang. Banyak kerja pegawai ini dipikul oleh pembantunya. Namun begitu ada juga kerja yang tidak beres. Setelah berbincang dengan Pengarah, pegawai ini ditukarkan ke sekolah tetapi saya masih lagi ditugaskan mengikuti perkembangannya. Kadang-kadang terasa kohot juga berlabu ikan yang degil. Sewaktu dia mengganas, saya terpaksa lepaskan tali. Bila dia reda, saya gulung tali. Jangan biarkan ia terlalu jauh dan jangan terlalu tegang hingga putus. Saya tetap melayan hingga dia dapat disauk. Marathon ini masih jauh.

            Satu hari saya melawat SMK Paya Besar. Saya mengajak encik Nandakumaran, Pengetua melawat kelas demi kelas. Sambil berjalan encik Nanda menerangkan apa yang dilaksnakannya, macam bertih goring, sambil itu tangannya berputar. Memang encik Nanda sentiasa bersungguh melaksanakan tanggungjawab. Memang nampak ada kemajuannya. Saya lihat ketokohan encik Nanda telah dapat diterima baik oleh guru dan ibu bapa. Saya lihat muka pelajar tingkatan satu, dua, tiga dan empat semuanya kelihatan ceria. Bila menjenguk kelas tingkatan lima saya nampak ada yang berkerut, boleh jadi memikirkan tentang peperiksaan SPM hunjung tahun ini. Akhir sekali saya menjenguk kelas tingkatan enam atas. Saya terkejut melihat suasana yang muram, nampak macam kurang semangat. Saya terus bertanya encik Nanda, “Apa telah jadi Nanda?” Saya tidak pasti apakah jawapan encik Nanda. Saya rasa encik Nanda susah hati mendengar komen saya sebentar tadi.  Saya tidak mahu tinggalkan Nanda dalam keadaan susah hati. Saya beritahu Nanda bahawa saya sangat berminat untuk memberi ceramah motivasi kepada pelajar tingkatan enam dalam masa terdekat ini. Saya lihat mukanya ceria semula sambil mengucapkan terima kasih. Diringkaskan cerita, saya tunaikan janji memberi ceramah motivasi selama satu jam kepada mereka. Saya katakan kepada pelajar, “Saya dapat motivasi belajar setelah mendengar temuramah di radio selama lima belas minit, tetapi hari ini anda dapat satu jam.” Seterusnya saya berbincang dengan Nanda untuk melaksanakan aktiviti lanjutan bercorak Team building and physical challenge. Saya mengajak guru dan pelajar tingkatan enam mendaki Bukit Pelindung. Pegawai saya, encik Supian dan beberapa orang lagi mengatur strategi. Apabila sampai harinya, kami mendaki bersama guru dan pelajar. Walaupun sangat mencabar bagi mereka yang tidak pernah mendaki tetapi akhirnya sampai juga ke puncak. Ketika di puncak saya memberi ceramah ringkas menerangkan agenda tersembunyi disebalik pendakian bukit ini. Beberapa minggu berikutnya encik Nanda melaporkan telah nampak perubahan positif. Memang betul, beberapa bulan berikutnya,apabila keputusan STPM 2011 diumumkan, berlaku lonjakan yang ketara. Tahniah pengetua, guru dan anak-anak pelajar.


            Kalau ikutkan sibuk memang tidak boleh pergi ke mana-mana walau hari minggu. Saya untukkan masa melakukan aktiviti lasak bersama rakan sepejabat. Kali ini kami menaiki kereta pacuan empat roda meredah hutan Sungai Lembing melalui jalan balak yang mencabar berjam-jam hingga sampai di Lubuk Beruk. Ini adalah kehadiran kali kedua ke sini. Kali pertama dahulu kami bertarung menewaskan kelah dan sebarau tetapi kali ini kami bermalam dan melakukan aktiviti mendaki. Kami mendaki bukit dan mengharung sungai hingga sampai ke Air Terjun Pelangi. Sungguh cantik tempat ini, air terjunnya tinggi dan kelihatan pelangi di pinggir permukaan batu yang terhampar itu. Dikatakan Air Terjun Pelangi adalah kedua tertinggi di Asia Tenggara. Kami berendam sepaus-puasnya. Hilang rasa tekanan kerja dek kerana percikan air terjun yang membasahi kepala. Saya tidak jemu, mahu datang lagi ke sini.


        

     
            Oleh kerana usaha yang saya lakukan di SMK Paya Besar mendapat sambutan maka saya terfikir untuk melaksanakan marathon ke seluruh Pahang untuk berjumpa dengan pelajar tingkatan enam di serata ceruk dalam negeri Pahang ini. Ada 45 buah sekolah semuanya tetapi saya sempat jenguk 35 buah sekolah sahaja. Dalam ceramah itu, saya bawa cerita bagaimana saya berjaya melakukan lonjakan sewaktu di tingkatan enam kerana mengubah kaedah belajar. Sewaktu di tingkatan lima, saya hanya akan belajar jika ada guru dan berbincang dengan kawan. Sewaktu di tingkatan enam, saya belajar dahulu sebelum guru mengajar. Saya sentiasa membuat persediaan awal. Itulah yang menghasilkan kecemerlangan. Tidak cukup dengan usaha itu, saya melaksanakan usaha menulis kembali pengalaman berubah hingga lahirnya sebuah buku motivasi berjudul MENDAKI. Buku ini ditujukan kepada pelajar menengah atas yang masih tercari-cari kaedah belajar yang berkesan serta kepada orang dewasa yang mahu mengembalikan kecergasan fizikal. Alhamdullilah buku ini mendapat sambutan yang hangat. Inilah cara saya berkomunikasi dengan pelajar, guru dan ibu bapa. Secara tidak langsung saya melaksanakan kempen membaca buku.  

            Selaku Yang Dipertua Persatuan Pusat Sumber (PERPUSPA), saya mahu amalan membaca disuburkan di kalangan murid sejak dari darjah satu lagi. Amalan yang ada sekarang memilih tokoh membaca. Kita hanya memberi tumpuan kepada beberapa orang individu sahaja. Langkah pertama saya ialah melancarkan kempen membaca di setiap daerah. Saya memulakannya di SK Bukit Tajau bagi daerah Maran. Suasana sangat meriah, ibu bapa dilibatkan menyoal murid. Saya juga  merasmikan program di SK Purun bagi daerah Bera. Sambutan yang paling hebat di SK Lepar Hilir Tiga. Suasana meriah macam kenduri kampong. Kaum ibu memberi sokongan penuh. Mereka turut membaca novel dan menyoal anak-anak mereka. Saya juga pergi ke SK Paya Pulai merasmikan program membaca ini bagi daerah Temerloh. Walaupun kita tahu membaca terlalu banyak faedahnya tetapi terasa amat sukar menanamkan sikap ini kepada murid, guru dan ibu bapa. Kadang-kadang terasa jemu juga. Namun begitu saya tetap membaca. Saya tetapkan target sekurang-kurang 12 buah buku setahun.

            Saya mengajak rakan-rakan di JPN dan PPD menawan tiga puncak gunung di Cameron Highland. Aktiviti riadah ini semakin meriah bila mana banyak sekolah ikut serta. Ada sekolah yang menjadikan aktiviti mendaki ini sebagai kebitaraan sekolah mereka. Saya berjaya mendaki Gunung Berembun sebanyak dua kali. Selepas itu kami mendaki Gunung Berincang pula. Keadan trek yang licin dan berlumpur menyukarkan pendakian tetapi berjaya sampai juga di puncak. Mendaki bersama PPD Pahang ke Gunung Irau sangat mencabar dan terasa serik untuk mendaki kali kedua. Untuk sampai ke puncak Irau terpaksa mendaki turun naik beberapa kali gunung lain di antaranya. Semangat bersaing dengan rakan sahaja yang mendorong kami terus merangkak ke puncak. Di puncak Irau kami dapat melihat pemandangan yang istemewa. Banyak periuk kera yang besar dan berbagai corak terdapat di sini.  Beberapa orang murid sekolah rendah ikut serta. Mereka lebih gagah dari kami.
            Saya selalu mewakiti pengarah ke majlis peringkata sekolah, daerah dan negeri lain. Ada kalanya mewakiti pengarah ke mesyuarat peringkat kementerian. Aktiviti rutin ini tidak meninggalkan nostalgia. Dalam banyak tugas menggantikan pengarah, ada satu tugas yang tidak akan dilupakan. Pengarah mengarahkan saya menggantikan beliau menghadiri mesyuarat sukan di Johor Bahru dan seterusnya menghadiri majlis perasmian penutup Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Singapura. Hari pertama seharian mesyuarat sukan. Keesokan harinya kami Pengarah dan Timbalan Pengarah menaiki bas menuju ke Singapura. Pemandu bas rupanya tersilap jalan menyebabkan kami sudah hilang arah. Perut sudah terasa lapar, nasib baik dapat berhenti hampir kedai mamak. Kami makan sepuas-puasnya. Selepas itu pemandu itu cuba mencari jalan menuju ke komplek sukan tetapi masih gagal. Akhirnya kami terbabas hingga menaiki Bukit Sentosa. Kami berehat di situ hingga petang. Ini betul-betul acara makan angina. Bila disiasat didapati pemandu itu baru tiga minggu bertugas di Johor Bahru dan baru dua kali memandu bas masuk ke Singapura. Saya merasa dibawa berjalan seharian di dalam bas di Singapura tanpa arah tujuan.

            Tanggal 21 Oktober 2011 saya menerima surat perlantikan sebagai Pengarah Pelajaran Pahang. Surat lantikan itu saya terima dari YH Dato’Haji Mazlan bin Mohamad yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian di Pejabat Pelajaran Raub. Saya menerima watikah di hadapan pengetua dan guru besar daerah Raub. Penyerahan watikah di Raub ini memberi satu macam makna yang tersendiri. Saya terpaksa berfikir mengapa di Raub? Satu simbolok?


TAMAT





Monday, July 30, 2012

Dari PPD Maran menghilir ke PPD Pekan Pula

Pegawai Pelajaran Daerah Pekan

Saya belum terasa puas di Maran, baru satu tahun empat bulan berpindah pula ke Pekan mulai 2 November 2008, dapat naik gred DG52 kira bolehlah.  Beberapa hari selepas bertukar ke Pekan, saya bertemu dengan tuan haji Murad Jalil dari Jabatan Pelajaran Pahang. Tuan Haji Murad berkata, “Awak ini untung sabut timbul, inilah peluang awak, buat kerja elok-elok, tapak molek tu, tetapi silap hari bulan tenggelam di kuala.” Sangat tajam bacaan haji Murad dan saya faham yang tersirat.


            Saya menjalankan tugas yang pertama iaitu melawat sebuah sekolah rendah di kawasan Paloh Hinai/Chini. Sekolah ini terpencil di darat tetapi ada kemudahan jalan raya. Saya sampai di sekolah itu hampir tengah hari. Staf yang ada hanya pembantu tadbir dan jaga sahaja. Guru Besar bercuti rupanya. Saya melawat sekitar sekolah yang tiada penghuni, ketika itu cuti akhir tahun.  Perut mula terasa lapar tetapi tiada kedai makan dalam kampung ini. Saya nampak ada sepohon pokok kelapa yang rindang dalam pagar sekolah. Saya minta jaga kaitkan buah kelapa muda. Tengah hari itu hidangan saya ialah kelapa muda. Hari ini saya hanya dapat gambaran sebuah sekolah yang sunyi sepi. Hajat saya untuk berjumpa Guru Besar tidak tercapai. Melihat kepada keputusan peperiksaan UPSR dan keadaan sekolah yang hambar, saya fikir perlu ada tindakan. Tempat yang jauh seperti ini memerlukan pemimpin yang kuat stamina. Kalau kita duduk terlalu lama di suatu tempat, hingga kita terikut-ikut pula dengan persekitaran yang tidak maju itu maka kita elok beredar ke tempat lain pula. Masyarakat kampong hari ini sudah nampak kepentingan pendidikan. Jika terdapat sesuatu yang tidak kena, mereka berani melapor kepada pihak atasan. Kita mesti peka terhadap kehendak masyarakat. Mereka mahu khidmat yang terbaik. Sebaliknya jika kita boleh mengubah hingga semakin maju, kita boleh bertahan di tempat itu.   


            Sewaktu jadi pengetua di ABS Temerloh, saya dapati ada 13 orang pelajar yang masuk tingkatan satu tidak pandai membaca. Kini saya mahu tahu berapa orang pelajar yang naik tingkatan satu dalam daerah Pekan yang tidak pandai membaca? Setelah dijalankan tapisan, seramai 34 orang dari tujuh sekolah (SMK Nenasi, SMK Abdullah, SMK Pekan, SMK Peramu Jaya, SMK Mahmud Mat, SMK Indera Shahbandar dan SMK Ubai) tidak boleh membaca. Ini baru tujuh sekolah dalam daerah Pekan. Masih ada lima sekolah lagi yang belum diusik. Saya mengarahkan supaya diadakan program membaca secara intensif selama empat hari. Pasukan guru yang membimbing dari sekolah rendah. Hasilnya banyak kemajuan, kalau diulangi lagi pasti boleh. Selepas itu saya meminta panatia sekolah masing-masing mengadakan tindakan susulan. Saya dapati SMK Pekan berjaya mengadakan usaha pemulihan lanjutan, memang nampak kemajuan. Kalau dikira secara purata, bilangan pelajar yang tidak boleh membaca naik ke tingkatan satu di daerah ini dianggarkan 58 orang. Kalau dikumpulkan boleh dapat dua kelas.


            Saya masih ingat pada pertengahan tahun 2009, satu perjumpaan Tan Sri Alimuddin bin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dengan pegawai kanan Kementerian Pelajaran di Putra Jaya, saya dijemput sekali mengikutinya. KPPM memberi syarahan mengupas selogan bertajuk, “Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan” . Ini adalah satu agenda penting yang diilhamkan oleh YAB Dato’Sri Mohd Najib, Perdana Menteri Malaysia. Saya berasa bangga kerana KPPM telah mengambil tindakan pantas menyokong agenda Perdana Menteri itu. Selepas sesi ucapan, KPPM membuka sesi pandangan balas daripada hadirin. Selepas beberapa saat, nampak masih tiada yang memberi reaksi, saya memberanikan diri memberi pandangan. Saya bawa isu pelajar yang naik tingkatan satu tetapi masih belum pandai membaca. Adakah ini bukti kita mengutamakan pencapaian? Kalau dalam daerah Pekan terdapat 58 orang, maka seluruh Malaysia tentulah dianggarkan 9570 orang (58 x 11 daerah x 15 negeri ). Jika sebuah sekolah ada 600 orang pelajar, bermakna di Malaysia ini ada 16 buah sekolah menghimpunkan anak remaja yang tidak pandai membaca. Satu angka yang sangat besar. Ini adalah bukti kita pendidik tidak mengutamakan masa depan murid. Kita memandang remeh isu ini. Apakah tindakan kita? Apakah rancangan kita? Saya ceritakan tindakan awal yang telah dilakukan oleh kami di daerah Pekan. Tindakan itu sebenarnya tidak memadai. Selepas mendengar hujah saya itu, KPPM mengucapkan terima kasih. Seterusnya KPPM menyerahkan kepada PPD mengambil tindakan masing-masing. Saya berharap Kementerian Pelajaran ambil berat fenomena ini agar guru tidak diperlekehkan. Tindakan kerajaan pada awal tahun 2011, mewujudkan program LINUS adalah satu tindakan yang tepat. Tindakan pemulihan lebih awal tanpa menunggu hingga melarat ke sekolah menengah


Tugas utama PPD ialah bercakap. Saya selalu diundang ke sekolah merasmikan majlis. Selalunya tetamu yang mengikuti ucapan saya ialah kumpulan guru dan ibu bapa. Tempoh masa berucap terhad tidak lebih dua jam.




Tugas utama PPD ialah bercakap. Saya selalu diundang ke sekolah merasmikan majlis. Selalunya tetamu yang mengikuti ucapan saya ialah kumpulan guru dan ibu bapa. Tempoh masa berucap terhad tidak lebih dua jam. Terlalu banyak perkara yang hendak disampaikan dalam masa yang terhad itu. Saya mendapat satu idea untuk menulis sebuku bertajuk WATAK PENDIDIK IV yang akan menjadi rujukan guru. Plot buku ini banyak bentuk pengkisahan cerita guru yang mendidik saya sejak di sekolah rendah. Saya sebenarnya sangat beruntung dapat dididik oleh guru yang penyayang dan gigih. Saya mahu guru hari ini tahu walaupun saya anak kampong yang susah tetapi melalui pendidikan saya berjaya melepaskan diri dari kesusahan itu dan mendapat pekerjaan yang mulia. Saya berharap guru meniru amalan baik guru-guru saya itu. Buku WATAK PENDIDIK ini dicetak empat kali, jumlahnya 6000 naskah telah sampai ke tangan guru. Berdasarkan jumlah naskah yang banyak itu, buku ini ada daya tarikan yang tersendiri. Inilah cara saya mempelbagaikan komunikasi dengan guru di daerah Pekan ini.


Ingatan saya kepada Sekolah Kebangsaan Kota Perdana sangat mendalam. Nama sahaja kota tetapi terletak di dalam kampung yang jarahnya dari bandar Pekan lebih 60 kilometer.  Muridnya bercampur orang Asli dan Melayu. Budak Asli kebanyakannya dari kampung Sawar Batu dan Simpai. Mereka berulang alik ke sekolah menaiki lori melalui perjalanan yang sukar, turun naik bukit, meredah kebun sawit, melalui hutan dan merentas paya. Kalau musim panas berdebu, habis rambut mereka jadi merah. Kalau hujan, berselut dan kadang-kadang terus terkandas. Masa perjalanan dari rumah ke sekolah hampir dua jam.Jika mahu pergi ke sekolah kena turun dari rumah jam 5 pagi, naik lori macam “reban bergerak” berasak-asak. Bila masuk ke sekolah banyak memandang mereka dengan jijik. Saya sangat faham perasaan mereka ketika itu. Encik Mustafar bin Awang Kecil sangat menyedari msalah yang dihadapi lalu menyuruh mereka mandi dan pakai pakaian sekolah yang bersih. Namun begitu kadar tidak hadir ke sekolah sangat tinggi. Encik Mustafar memang penyayang orangnya, kira-kira sebulan sebelum peperiksaan budak Asli darjah enam dari kampung Sawar Batu dibawa duduk di rumahnya untuk memudahkan mereka menghadiri kelas tambahan. Isteri GB ini mengajar budak-budak itu menjaga kebersihan diri dan mengajar mereka membasuh pakaian. Berkat kegigihan Guru Besar dan guru sekolah ini, ramai budak Asli yang lulus UPSR. Budak-budak dari Kampung Simpai tidak lama lagi akan bersekolah di kampungnya kerana SK Kampung Simpai hampir siap dibina. Saya telah mengemukakan permohonan agar sebuah sekolah baru dibina juga di Kampung Sawar Batu.


            PPD Pekan sejak beberapa tahun lalu berhajat mahu menyertai acara berakit menghilir sungai Pahang tetapi sentiasa tidak menjadi kenyataan. Dalam bulan Mei 2009 kami berjaya menyertai aktiviti berakit dari Temerloh hingga ke Pekan. Pasukan kami terdiri dari dua kumpulan. Kumpulan pertama seramai enam orang yang menaiki rakit. Mereka ini mestilah pandai berenang. Rakit kami dihiasi rotan, buluh dan atap daun hutan. Kami dihadiahkan pengayuh yang diusahakan oleh orang Asli dari kampong Runcang. Satu kumpulan lagi bergerak di darat sebagai pasukan pembantu. Pasukan ini membawa peralatan berkhemah dan sumber makanan. Saya mengikuti pasukan berakit dari Kuala Semantan ke Kuala Bera. Saya berkayuh bersama-sama lima orang rakan sepasukan. Kami rasa sangat letih berkayuh selama enam jam yang mencabar mengendalikan rakit yang menghilir mengikut arus. Kami perlu mempastikan rakit tidak melentang dan pastikan tidak melanggar tebing atau rakit pasukan orang lain. Setelah bertungkus lumus selama satu minggu akhirnya kami sampai di Pekan dengan jayanya. Walaupun kulit dan muka lebam disinari mata hari tetapi kami terasa puas atas kejayaan teamwork itu.


            Bilangan pelajar dari kalangan anak orang Asli di daerah Pekan hampir 15%. Kebanyakan mereka tinggal di kelompok Paloh Hinai, Chini dan kawasan Nenasi. Saya dapati ramai murid dari kalangan mereka yang tidak pandai membaca dan mengira. Saya berpakat dengan pengetua SMK Ahmad dan SMK Chini untuk menganjurkan program pemulihan membaca yang akan dilaksanakan oleh pelajar tingkatan enam. Projek ini dijadikan program khidmat masyarakat pelajar tingkatan enam sekolah tersebut. Murid Asli yang mengikuti progam sangat seronok, ramai yang bertanya, “Abang datanglah lagi ajar kami.” Saya lihat kanak-kanak ini suka belajar dari abang dan kakak yang pandai mengambil hati mereka. Saya nampak program begini elok diteruskan.


            Daerah Pekan sebenarkan ada banyak keistemewaan yang perlu dieksploitasi.  Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad terdiri dari pelajar yang pandai, kami gunakan kebolehan mereka dalam Matematik memberi bimbingan kepada murid tahun enam di SK Ahmad. Kami adakan program bimbingan murid SK Seri Makmur. Murid-murid sekolah rendah memang suka belajar dengan abang dan kakak ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada cikgu Fazliaton dan puan Dalijatonseha yang menguruskan program ini. Pelajar Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah juga membantu kami memberi bimbingan kepada murid tahun enam sekolah-sekolah di kelompok Peramu. Yang penting di sini kita wujudkan jalinan antara pengetua dan guru besar sekolah-sekolah berkenaan.


            Puncak kejayaan team building sewaktu bertugas di PPD Pekan ialah bila mana pasukan saya bersama tujuh orang rakan setugas berjaya menjejak kaki di puncak Gunung Kinabalu pada 27 Julai 2010. Kejayaan ini sebenarnya melalui latihan fizikal dan mental yang berterusan berbulan-bulan. Kami selalu berlatih mendaki Bukit Pelindung, Gunung Berembun dan Gunung Brinchang beberapa kali. Sewaktu kami mendaki Bukit Pelindung, ramai rakan sepajabat ikut serta menjadikan aktiviti mendaki ini semakin popular di kalangan staf PPD Pekan.


            Dalam kesibukan tugas harian tiba-tiba saya didatangi satu permohonan dari Jabatan Pelajaran Negeri Pahang. Pihak JPNP meminta saya mewakili negeri untuk membentangkan satu kertas kerja dalam Seminar Pendidikan Matematik Kebangsaan dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Saya minta pihak JPNP memberi peluang kepada guru cemerlang matematik di negeri ini. Pihak JPNP kata tiada siapa yang sanggup. Wah kalau saya tolak, malulah negeri Pahang tiada wakil. Lalu saya memberanikan diri untuk ambil tanggungjawab itu. Saya memilih tajuk “Budak Bermain Kotak.” Setelah berjaya menyiapkan sinopsisnya lebih kurang 150 perkataan, terus e-mailkan kepada Dekan Fakulti Pendidikan UM itu. Selang 20 minit saya mendapat balasan menyatakan kertas kerja saya terpilih untuk pembentangan dalam seminar itu nanti. Kertas kerja saya lebih bercorak aktiviti hand’s on to maind’s on. Daripada aktiviti melipat kertas langkah demi langkah, hinggalah terbentuknya sebuah kotak. Selepas itu penyiasatan tentang ukuran birai kotak itu hinggalah terbentuknya satu rumus R/L = √2, di mana R ialah jumlah panjang sempadan birai kotak dan L ialah lebar asal kertas sebelum dilipat. Kertas kerja ini cuba mencabar peserta seminar bagaimana rumus R/L= √2 itu diperolehi? Syukur alhamdulilah saya berjaya menyampaikan pembentangkan kertas kerja itu dengan jayanya.
 

            Satu tahun tujuh bulan berada di daerah Pekan. Satu ruang masa yang cukup selesa bagi saya melawat semua sekolah, ada di antaranya berkali-kali. Saya boleh bayangkan siapa dan watak guru besar atau pengetua setiap sekolah itu. Misalnya di bucu tenggara, SK Mercung Jaya, ketuanya cikgu Malik. Di bucu timur laut pula SK Serandu, ketuanya ialah ustaz Shafie. Di bucu barat laut pula SK Seri Makmur, ketuanya ialah cikgu Abdul Raman yang menggantikan cikgu Jamal yang bertukar ke SK Tanjung Medang. Di bucu barat daya pula SK Tasik Chini, ketuanya ialah Aked Huat yang sangat arif dengan gelagat masyarakat orang Asli. Saya boleh mengingati sekolah mengikut jajaran sungai, jalan raya atau pantai. Saya beri contoh misalnya dari jambatan Paloh Hinai ke Pramu menyusur sungai Pahang bermula dari SK Pulau Manis. Cikgu Hamdan adalah Guru Besarnya. Sebelah hilirnya SK Pulau Rusa, cikgu Razak adalah ketuanya. Kehilir lagi ialah SK Ganchong diketuai oleh puan Rahmah. Beberapa kilometer ke hilir, kita akan jumpa SK Pahang Tua. Guru Besarnya ialah cikgu Zakaria. Akhir sekali ialah SK Langgar yang dikemudi oleh cikgu Abdullah. Kelompok Chini terdiri dari SK Chini 2, SK Chini 1&4, SK Chini 3&5, SMK Chini, SMK Chini 2, SK Chini Timur 1, SK Chini Timur 2 dan SMK Chini Timur. Guru Besar atau Pengetuanya ialah cikgu Azmi, cikgu Nasa, cikgu hj Ghani, cikgu Razak, cikgu Azmi, cikgu Mat Zain, cikgu Radzi dan cikgu Asruddin. Kalau mahu menyatakan semuanya habis beberapa muka surat. Pendek kata tiada satu sekolah pun yang terpinggir. Saya boleh menyatakan semua sekolah dan siapa ketuanya dengan pantas. Malah nombor telefon bimbit mereka saya simpan dalam handfon saya. Bila timbul sesuatu isu atau perkara penting saya terus menghubungi mereka.  
 

            Saya berasa sudah sampai ke kemuncak kerjaya. Ada kalanya saya berulang alik dari Kampung Sentosa, Maran. Perjalanannya 120km setiap pagi. Bila saya kira duit minyak dan belanja hangus dalam perjalanan, wang gaji saya hanya tinggal 60% sahaja. Amaun ini sama dengan duit pencen bulanan. Kalau pencen, duduk sahaja boleh dapat 60% dari gaji sekarang. Jauh lebih untung kalau saya bersara! Kalau bersara saya boleh duduk goyang kaki dapat seperti sekarang. Maka saya buat keputusan mahu bersara pilihan, lalu ambil tindakan menghantar surat permohonan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pengarah Pelajaran Negeri Pahang. Saya dipanggil oleh Dato’ Pengarah bertanya adakah saya benar-benar mahu bersara awal? Saya katakan ya. Beberapa minggu selepas itu Dato’ Azmi, mantan pengarah datang ke pejabat saya. Kami berbincang fasal peluang menyambung pelajaran selepas SPM bagi budak-budak miskin luar bandar. Tiba-tiba Nordin beritahu Dato’Azmi bahawa saya telah buat permohonan bersara awal. Terus sahaja Dato’Azmi kata tak perlu bersara sekarang, teruskan khidmat. Saya beritahu memang sudah fikir dan buat kira-kira maka saya pilih untuk bersara awal. Beberapa hari kemudian saya menerima panggilan telefon dari Dato’Azmi, beliau meminta saya menarik balik cadangan bercuti awal.

Saya tanya Dato’, “Mengapanya?”

Dato’ Azmi balas, “Kita perlukan awak, tarik baliklah cadangan bersara awal itu.”

Saya beri respon, “Nantilah saya fikirkan.”

Puas juga saya merenung maksud kata-kata mentor saya itu. Saya berbincang dengan isteri dan kawan. Saya buat pertimbangan setelah mengambil kira pandangan mereka. Akhirnya saya tarik balik hasrat mahu bersara awal itu. Selepas itu saya menghubungi Dato’Azmi mengatakan saya telah buat keputusan tarik balik hasrat bersara awal itu. Beliau mengucapkan terima kasih atas keputusan saya itu.


Tanggal 12 Julai 2010, jam 8.08 pagi, saya menerima satu  panggilan dari Dato’Aziz, Pengarah Pelajaran Pahang. Dato’ Aziz berkata sesuatu kepada saya, “Tahniah, encik Yahya dilantik Timbalan Pengarah mulai 10 Julai 2010, sila datang ke pejabat hari ini lapor diri dan ambil surat.” Saya tergamam mendengar kata-kata itu.


            Selamat tinggal Pekan. Terima kasih kepada teman-teman sepejabat di PPD Pekan. Anda semua telah memberikan komitmen yang padu dalam kerja dan memberi kerja sama penuh kepada saya. Saya teringat kepada kata-kata Tuan Haji Murad, rupanya saya dapat menimbulkan diri seperti sabut apabila dilempar ke sungai. Ini semua adalah kerja Allah Subha-nahuwa-taala.