nuff

Thursday, February 2, 2012

Ayah berhenti merokok kerana aku?

Pengorbanan yang tidak ternilai.
Coretan ini telah lama tersorok bertahun-tahun dalam satu laman blog yang tidak ternama. Boleh dikatakan tiada siapa yang menjenguknya. Kalau simpan dalam memori komputer boleh jadi tidak selamat, misalnya komputer rosak atau terlupa apa nama failnya. Inilah kecanggihan yang saya nikmati hari ini. Tidak perlu simpan hasil penulisan di rumah. Saya menunggu masa yang sesuai untuk memaparkan kepada umum kerana bimbang emosi anak saya terganggu, maklumlah ada yang masih remaja jika dipaparkan terlalu awal. Sebab itulah saya brekkan beberapa tahun. Saya bimbang anak saya kata, "Boleh tahan juga nakalnya ayah aku ini sewaktu remaja, bolehlah aku cuba juga." Itulah ketakutan saya. Kalau boleh saya tidak mahu anak-anak saya menyentuh rokok ini, suatu yang membazir dan memudaratkan kesihatan. Kini anak bongsu saya telah besar dan matang. Dia sudah mampu berfikir secara rasional dan tahu yang baik untuk dirinya.

1973. Cubaan merokok pertama kali yang gagal

Pertama kali saya cuba menghisap rokok ketika di tingkatan enam atas. Ramai awan sekelas memang kaki rokok. Malam itu sebelum prep saya diberi sebatang rokok yang telah dihisap, hujungnya masih berasap. Saya terus menyedutnya. Mulut saya penuh dengan asap. Saya tak tahu apa nak buat dengan asap yang ada dalam mulut itu. Ada kawan kata, "cuba telan asap itu." Lalu saya menelannya. Tiba-tiba sahaja kepala saya pening. Badan rasa nak tumbang. Lalu saya susun tiga meja, terus baring di atasnya. Saya lihat siling, saya rasa kelas ini nak telingkup. Saya rasa duduk dalam perahu yang sedang dilambung ombak. Saya baring hingga habis waktu prep. Satu malam yang sia-sia! Peristiwa malang malam itu menyebabkan saya ambil keputusan tidak mahu menyentuh rokok hingga tamat tingkatan enam.

Januari 1974, Mula hisap rokok

Januari 1974, sewaktu menunggu keputusan STP, saya berpeluang menjadi guru GSTT di SMK Alor Akar, Kuantan. Saya tinggal bersama rakan sekampung yang juga saudara mara saya. Mereka ialah Shikh Jabok, Apak Atan dan Raja Kamal. Mereka semua ada kerja tetap sejak beberapa tahun lalu. Mereka ini memang kaki rokok. Pendek kata dalam rumah itu sentiasa berbau asap rokok. Saya juga menghidunya sepanjang masa. Beberapa minggu berlalu maka saya telah lali dengan bau itu. Saya mulalah belajar secara beransur-ansur menghisap rokok tetapi tidaklah selalu kerana belum dapat gaji. Kini saya tidak rasa pening atau loya. Bila sahaja dapat gaji, saya terus beli rokok dan belanja tiga orang rakan saya ini. Oh, kini saya telah jadi rakan serumah yang lebih akrab. Kini saya bukan murid sekolah lagi, berani bawa rokok ke bilik guru dan hisap rokok bersama guru lelaki.

20 Mei 1974, Kurang merokok sewaktu di kampus

Mulai Mei 1974 saya berjaya melanjutkan pelajaran di universiti. Kewangan saya sewaktu di universiti sangat ketat. Waktu jadi guru sementara dapat gaji bulanan rm350 tetapi kini biasiswa sahaja kira-kira rm2000 setahun. Wang biasiswa hanya untuk makan dan yuran. Saya beli rokok sebatang sahaja dari kedai makan di universiti. Waktu itu masih belum ada peraturan larangan merokok di sekolah atau universiti Kerap kali saya berjimat sebatang rokok hisap beberapa kali. Bila masuk bilik kuliah padamkan rokok yang membara itu lepas itu selitkan rokok dicelah dinding. Bila habis kuliah terus terkam rokok yang diselit itu dan sambung semula tetapi rasanya kurang enak, macam tengik. Ada kalanya kami berkongsi sepuntung rokok hisap bergilir-gilir. Ketika yang paling seronok bila cuti penggal/semester. Saya pulang ke kampung dan menoreh getah. Bila dapat wang hasil jualan getah rokoklah yang dibeli dulu. Ah lepaskan gian, merokok bersama rakan sekampung. Ketika yang paling seronok sekali ialah selepas main bola. Kami berkumpul di hadapan kedai runcit Ayah Mail P. Tekak terasa haus, maka saya beli air cc. Lepas seteguk masuk ke tekak, kini giliran menyedut rokok pula. Memang nikmat minum cc diselang dengan menghisap rokok. Orang yang tidak merokok tidak tahu bagaimana nikmat yang dimaksudkan. Namun begitu saya tidak pernah menghisap rokok di hadapan ayah. Selama empat tahun saya merokok cara begini. Ada kala sebatang sehari dan ada juga sekali sekala sebungkus (bungkus kecil) sehari.

Dapat lesen besar mulai Februari 1978

Mulai Februari 1978 saya jadi guru siswazah di sebuah sekolah menengah di Jerantut. Melalui pertolongan GPK, saya dapat menumpang di rumah no. 99, Taman LKNP. Penghuninya ialah Hamdan dan Rahman. Saya cepat mesra dengan mereka. Mereka berdua kaki rokok. Rahman nampaknya sangat murah hati, selalu offer rokoknya kepada saya, apa lagi pucuk dicita umlam yang datang. Bila dapat gaji, saya terus beli rokok dan offer kepada Rahman. "Kini aku ada gaji, maka aku ada lesen besar!"

Sebulan sekali (bila hujung bulan) saya pulang ke kampung. Kini saya sudah berani bawa rokok pulang ke rumah. Malam, makan nasi hidang berhadapan dengan ayah. Biasanya ayah bila lepas makan mesti capai rokok. Ye, kini saya juga begitu. Saya mahu belanja ayah rokok yang sedap. Bila sahaja siap makan saya terus hulurkan rokok yang tercabut sedikit dari kotaknya kepada ayah. Ayah tergamam, perlahan-lahan mengambilnya, sepantas kilat saya menghidupkan api dari lighter canggih kulitnya berkilat, tidak lagi mancis api yang selalu ayah gunakan. Kami hisap rokok dua beranak. Saya berasa puas kerana dapat belanja ayah. Ye, kita nak bagi ayah rasa kenikmatan hisap rokok berjenama.



Sebulan sekali saya pulang ke kampung. Sudah tentu saya bawa rokok berjenama. Rokok Banson ayah dah rasa. Berikutnya belanja ayah rokok Dunhill pula. Bulan seterusnya belanja rokok Peter Styverson. Saya seronok dapat belanja ayah rasa rokok yang sedap dan berjenama. Waktu saya kecil dulu ayah hisap rokok daun. Selalu juga saya tolong isikan tembakau ke dalam daun. Mengisi tembakau ke dalam daun perlu berhati-hati takut tumpah, lepas itu gulung perlahan jadi bentuk rokok tetapi bentuknya seperti kun panjang. Ayah bawa bekal rokok gulung itu semasa menoreh getah. Jika ayah ada duit lebih ayah suruh saya beli rokok kotak cap orang naik kuda sambil pegang senapang. Waktu kecil suka bantu ayah buat rokok gulong tetapi kini seronok belanja rokok berjenama. Kini kami ada hobi yang serupa. Kali ini saya nak belanja ayah rokok cap unta pula, Camel. Waktu makan malam saya makan sehidang dengan ayah. Saya letakkan rokok jenama Camel itu di sebelah kiri tempat duduk saya. Bila siap makan, saya terus mencapai kotak rokok di sebelah. Saya ambil sebatang terus letak di muncung, lepas itu cucuh kepada api lighter, sedut, wah bukan main enak merokok selepas makan. Sayu hulurkan rokok yang ditarik separuh dari kotak kepada ayah. Tiba-tiba tangan ayah menolak rokok yang sedap itu. Maksudnya ayah tidak mahu rokok itu. Harian juga ayah boleh tolak rokok yang sedap ini. Puas saya memikir mengapa ayah bertindak begitu? Lalu saya bertanya adik saya, Mamat.
"Mat, mengapa encik tidak hisab rokok?"
Mamat membalas, "Entah."

Saya tidak puas hati dengan jawapan itu. Terlintas dalam kepala, "Aku mesti siasat."
Selepas beberapa ketika, saya dapat idea. Saya mahu tanya kawan rapat ayah iaitu Pakandak Said. Saya mahu jumpa Pakandak Said malam ini juga. Tanpa lengah saya terus melangkah turun dan berjalan dalam malam yang gelap menuju rumah Pakandak Said.  Saya pasti akan dapat jawapan yang sebenarnya, tetapi apa ye?

Pakandak Said adalah rakan karib ayah. Mereka selalu bederau menebas di kebun.

“Pakandak, mengapa orang tua saya tak mahu rokok yang saya beri?”

“Hah, awak jaga sikit, orang tua awak dah mula berhenti merokok. Dia suruh awak berhenti juga. Dia kata awak tu cikgu, tak elok hisap rokok.” Jelas Pakkandak Said.

“Boleh berhenti ke? Dah 31 tahun hisap rokok boleh berhenti ke? Saya cabar ayah saya jika dia berhenti dalam tempoh tiga bulan maka saya akan berhenti juga.” Saya mengemukakan hujah.

“Ayah awak tu dah seminggu tak hisap rokok. Hari pertama dia berhenti hisap, bila dia pergi menorah getah bila dia pandang ke sebatang pokok nampak pokok 10 batang. Tak boleh bediri lama rasa nak tumbang.” Pakandak menambah lagi.

Sejak itu saya sudah tidak berani menghisap rokok di hadepan ayah. Bila lepas makan saya akan menghisap rokok di balik busut. Saya juga akan mengintip pergerakan ayah. Manalah tahu di rumah pura-pura tidak hisap rokok tetapi sewaktu di kebun getah manalah tahu hisap pula maklumlah nyamuk dan agas banyak.

Setiap kali saya balik kampung, saya akan tanya adik-adik saya, “Ada nampak encik beli rokok?”. Semua adik kata tak nampak. Seterusnya saya tanya Pakndak Said. Beliau juga kata tidak. Ada seorang lagi yang saya mahu soal siasat iaitu Ayah awang Pet. Toke kedai runcit dekat kubur. Di situlah tempat ayah jual getah skrap dan membeli barang keperluan rumah. Ayah Awang Pet juga kata ayah dah tidak beli rokok beberapa bulan terakhir ini. Kini saya mulai percaya ayah memang sudah berhenti merokok.

Mulai saat itu saya ambil tindakan berhenti juga. Saya menjangka ayah akan memberi kuliah kepada saya tentang buruknya perbuatan merokok ini. Kalau ayah beri kuliah bukan nak sekejap. Sesi kuliahnya kadang-kadang sampai dua jam. Saya memang jemu betul, nak lari waktu kuliah berjalan memang tak manis. Oleh itu lebih baik saya ambil tindakan proaktif, berhenti dahulu sebelum dipaksa mendengar kuliah panjang.

Cuba bayangkan kalau ayah saya tidak berhenti merokok sudah pasti saya tidak akan berhenti juga. Begitu kuat pengaruh model rupanya. Kami akan berkongsi rokok agaknya? Adik-adik saya pula akan merokok juga. Memang saya nampak ada yang berpotensi mengikut jejak langkah abangnya. Jawabnya kami adik beradik akan berlonggok di bawah pokok manggis menghisap setiap kali lepas makan sewaktu di kampung. Anak pula bagaimana? Kalau ada anak kami pula yang menghisap rokok, bagimana hendak menghalangnya? Ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus?  

Rupanya kami berjaya menjauhkan diri dari rokok. Saya angkat tabik kepada ayah.


Tuesday, January 31, 2012

Ayah tinggalkan felda kerana saya?

Ayah ambil tindakan keluar dari Felda kerana saya?

Coretan ini saya tulis sewaktu berehat di lobby hotel selepas tamat mesyuarat di Hydro Hotel jam 1 petang. Saya ada masa dua jam di sini. Saya menunggu encik Teh, seorang pengetua yang ditugaskan sebagai LO menghantar saya terus ke LTPP. Duduk berjam-jam menunggu memang membosankan. Aktiviti yang boleh dilakukan ialah membaca atau menulis. Saya memilih melakar kembali kenangan lalu yang tidak boleh dilupakan. Manalah tahu, kot-kot boleh dijadikan teladan kepada anak-anak saya. Atau boleh menyedarkan mereka, betapa sukarnya untuk mencapai kejayaan. Saya tidak berniat untuk mengugut mereka tetapi untuk membawa minda mereka melihat betapa tingginya gelombang yang menghimpit kami pada waktu itu.

Hari Jumaat dalam bulan Ogos 1972, adalah hari terakhir persekolahan penggal dua. Kami semua akan pulang ke kampung. Saya membawa sebuah bag yang agak besar juga. Di dalamnya bercampur antara pakaian yang tidak berbasuh dan beberapa buah buku teks. Saya menaiki bas Leng Huat bewarna pink menghala ke Jerantut. Lama sungguh berada dalam bas, akhirnya saya turun di simpang tiga. Bas terus ke Jerantut tetapi saya mahu pulang ke Felda Padang Piol. Waktu itu sudah lewat petang, mungkin sekitar 6.30petang, saya berdiri di tepi simpang menunggu kenderaan yang lalu untuk ditumpangi. Kalau landrover felda lalu pasti saya boleh tumpang. Ada lori hantu lalu lalang, saya tahan tetapi pemandu berkata nak pergi ke kilang papan yang di sebelah itu sahaja. Saya berasa hampa. Kalau motosikal lalupun saya nak tahan. Seorang perempuan dewsa yang berjalan dari arah sawmill berjalan menuju ke kongsinya bertanya saya mahu ke mana? Saya beritahu bahawa saya hendak pulang ke Felda Padang Piol. Makcik itu mengatakan petang-petang begini memang tiada kenderaan yang masuk ke dalam. Lori yang keluar kadang-kadang ada. Pernyataan itu menyebabkan saya makin berdebar. Hari semakin gelap, saya tiada pilihan.

Saya rasa sangat bosan dan terfikir, “Dulu sewaktu duduk di kampung tiadalah susah macam ini nak pergi balik sekolah. Kalau senja, tak sempat menyemberang sungai boleh tidur di rumah Maklum Minah di Paya Pasir.”

Saya ambil keputusan, “Aku mesti balik juga, aku mahu jalan kaki.”

Saya memulakan langkah sambil menggalas beg yang buncit dengan pakaian tak berbasuh dan beberapa buah buku teks yang saya beli menggunakan wang rm283 yang ayah beri sewaktu memulakan persekolahan tingkatan enam ini. Satu daripadanya ialah buku fizik yang bertajuk Advanced Level Physics. Buku itu sangat tebal dan beratnya hampir sekilo. Sebuah lagi ialah buku matematik bertajuk Analisa Permulaan Lanjutan. Saya nak tunjukkan kepada ayah inilah sebahagian dari buku yang dibeli hasil titik peluh ayah menoreh getah. Kedua-dua buku ini saya gunakan sepenuhnya. Saya lulus cemerlang dalam mata pelajaran Matematik dan Fizik STP tahun 1973. Memang berbaloi.

Saya menapak melalui jalan tanah merah. Hari semakin gelap, penglihatan saya ke arah jalan semakin samar. Jalan berliku dan beralun turun naik bukit, tetap saya tempuh. Sebenarnya saya telah biasa berjalan kaki. Saya memang suka ambil bahagian merentas desa sewaktu sekolah menengah, selalu juga dapat hadiah antara 10 yang terbaik. Saya juga banyak pengalaman berjalan kaki dari rumah moyang saya di Kampung Pejing ke rumah saya di Tanjung Berangan, jaraknya empat kilometer. Kali ini perjalanan sangat mencabar, berjalan seorang diri pada waktu malam gelap gelita. Jarak perjalanan lebih 10 kilometer. Saya dengar bunyi suara cengkerik dan macam-macam lagi bunyi penghuni rimba. Saya tidak kisah kepada bunyi itu tetapi perasaan takut ada juga, kadang seram juga bulu tengkuk bila dengar bunyi siamang menyahut dengan nyaringnya. Saya melihat langit yang cerah sebagai pemandu arah. Kalau berjalan lenggang tangan saya tak kisah tetapi menggalas beban memang sangat siksa, rasa beg ini semakin berat. Ikutkan hati yang panas hendak dibuang aja beg itu tetapi teringatkan ada buku di dalamnya, saya gagahi juga. Badan saya basah kuyup dibasahi peluh. Akhirnya saya tanggal baju, kini saya berjalan separuh boleng. Bahu saya rasa nak rebeh kerana menaggung tali beg yang amat berat itu.

Selepas berjalan hampir tiga jam, saya sampai ke pondok pengawal. Ketika itu palang penghadang melintang menyekat jalan. Saya menyusup palang itu sambil itu menyapa pengawal yang sedang baring atau tidur? Pengawal itu terus bingkas dan menyuluh saya menggunakan lampu picitnya.

Pengawal itu terus bertanya, “Oi, awak orang ke hantu.” Agaknya pengawal itu terkejut melihat saya yang tidak berbaju dan basah kuyup itu.

“Oranglah pakcik.” Saya membalas.

“Oi berani betul awak, awak tahu tak rimau lalu lalang di jalan itu pada waktu malam begini.” Pengawal itu menambah.

“Awak nak balik ke mana ni?” Tanya pengawal.

“Saya nak balik ke Blok D, Felda Padang Piol.” Saya membalas.

“Dua kilometer lagi tau tak?” Pengawal menambah.

Saya menganggukkan kepala.

“OK, jom saya hantar awak naik motosikal buruk ini.” Tambah Pengawal.

Saya sangat seronok mendengar kata-kata itu. Saya terus membonceng tetapi kaki saya tidak dapat berpijak kerana alas kaki motosikal untuk penumpangnya telah patah. Lengoh juga kaki terpaksa dikangkangkan. Selepas beberapa minit, kini sampai di laman rumah. Saya melompat turun sambil mengucapkan terima kasih kepada pengawal itu.

Saya terus melompat ke pelantar rumah dan meluru masuk ke dalam rumah. Saya terus lepaskan beg yang berat itu ke satu penjuru. Saya terasa sangat letih bercampur geram. Tiba-tiba ayah menghampiri saya bertanya, “Awak naik apa tadi?”

Tiba-tiba saya terasa sebak, saya tidak dapat membalas soalan ayah itu. Ada adik saya yang belum tidur menghampiri saya, saya dah lupa, mungkin Selemah atau Sabariah? Yang lain saya nampak sudah tidur bergelempangan di tengah rumah.  Mereka terasa hairan agaknya melihat badan saya basah kuyup. Saya tidak dapat berkata-kata. Tiba-tiba tanpa disedari air mata saya mengalir membasahi pipi. (Ketika saya menulis ayat ini terasa sebak juga, terpaksa berhenti sebentar mengesat mata, bimbang peristiwa lama berulang kembali).

Terhenti di sini kerana encik Teh telah sampai. Saya akan sambung semula bila sampai di LTPP.


Kini saya berada di Golden Lounge LTPP. Sambil menikmait makanan yang enak-enak itu, saya meneruskan penulisan ini. Saya tidak perdulikan tetamu lain. Saya mahu lepaskan gian saya meneruskan coretan indah ini. Kebanyakan mereka menonton TV, berbual-bual dan khusyuk menatap handphon masing- masing. Seperti yang saya katakan semalam, nikmat yang saya rasai ini adalah kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Tiket kapal terbang dibayar oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Saya agak ayah nampak air mata saya mengalir ke pipi. Saya cepat-cepat mengesat dengan tangan. Tiba-tiba ayah lari masuk masuk bilik. Kira-kira setengah jam kemudian ayah muncul semula.

Saya terdengar ayah berkata, “Mulai cuti penggal depan awak tak perlu balik ke sini lagi, awak balik kampung bila cuti.”

Tiba-tiba air mata saya mengalir semula, kini lagi banyak. Saya tidak tahu mengapa ini terjadi? Saya tidak berapa pasti apa maksud kata-kata ayah itu.

Keesokan harinya ayah pergi berjumpa tuan pengurus sekali lagi. Saya ikut sekali.

“Tuan pengurus, dulu saya minta cuti sebulan tetapi sekarang saya minta cuti terus.” Ayah berkata kepada tuan Pengurus.

“Saya tidak faham maksud abang Zainal.” Tanya tuan pengurus.

“Tuan nak tahu, senja semalam anak saya balik dari sekolah jalan kaki seorang diri dari simpang jalan luar hingga ke sini. Dia sampai di rumah hampir jam 10 malam. Saya tak mahu dia jalan kaki lagi. Saya tak mahu anak saya bahan dek rimau.” Ayah menjelaskan kepada tuan pengurus.

Tuan pengurus mengeleng-gelengkan kepalanya.

“Kaedaan saya tidak seperti orang lain. Peneroka lain tiada anak besar yang sekolah. Saya tak mahu korbankan persekolahan anak saya. Oleh itu saya mahu balik ke kampung semula. Bukan felda tak bagus tetapi buat masa ini saya tidak sesuai tinggal di sini.” Ayah menjelaskan kepada pengurus.

Lama juga pengurus terdiam.

“Abang Zainal kena ingat, keluar felda bermakna hilang 10 ekar kebun sawit.” Tegas Pengurus.

“Saya tak kisah, saya nak selamatkan anak dulu, lepas itu baru saya cari ganti di luar sana.” Kata ayah.

“Macam inilah, saya sangat faham dengan semangat abang Zainal dan saya tidak dapat buat apa-apa. Kalau ini jalan yang terbaik, saya terima. Saya beri abang Zainal peluang berfikir setahun. Manalah tahu dalam tempoh setahun abang Zainal mahu masuk semula ke felda ini saya terima. Saya tidak akan isi peneroka baru ke rumah abang Zainal itu.” Jelas tuan pengurus.

Barulah saya faham maksud kata-kata ayah malam tadi. Kami adik beradik sangat suka kerana ayah mahu pulang semula ke kampung. Adik-adik lelaki saya memang suka duduk di kampung, mereka macam saya juga, boleh meresap dan boleh menangkap ikan di paya. Mereka juga ramai kawan di kampung. Adik perempuan saya kata di kampung bagus sebab rumah kita di sana lebih bagus tidak panas macam di sini.

Ramai kawan-kawan ayah mengatakan ayah rugi meninggalkan tanah kebun 10 ekar. Mereka hairan terhadap tindakan ganjil ayah itu. Biasanya ada peneroka dibuang dari felda kerana masalah displin yang berat tetapi ayah keluar felda kerana menghadapi masalah yang kecil sahaja. Ini anggapan mereka. Mereka tidak faham apa yang ayah fikirkan.

Hanya ayah sahaja yang tahu.

Saya tahu, sebab utama ayah keluar felda adalah kerana saya. Satu pengorbanan yang sangat besar.

Saya akan masukkan coretan ini ke dalam blog Warisan Pesagi ( http://warisanpesagi.blogspot.com )

13.10.22


Monday, January 30, 2012

Ayah cari duit RM283 untuk sekolahkan saya

Coretan ini saya tulis sewaktu dalam kereta dari Maran ke KLIA, jam 4 petang, 30 Januari 2012. Saya memulakan penulisan ini ketika kereta melintas Segenting Sempah. Saya tiada apa nak buat, nak tidurpun tak mahu.  Saya terkenang kesah silam yang melekat dalam fikiran… saya ambil tindakan menulisnya ke dalam computer riba. Walaupun kadang-kadang computer melompat tetapi saya kuatkan semangat.

Tarikh yang tepat tidak pasti tetapi sekitar pertengahan April 1972. Saya menerima sepucuk surat yang dikirim oleh Pengetua Sekolah Menengah Abdul Ramhan Talib (ringkasnya SMART). Kandungan surat itu memberi tahu bahawa saya ditawar melanjutkan pelajaran di tingkatan enam rendah sains di sekolah itu. Tarikh mula persekolahan ialah pertengahan bulan Mei 1972. Saya sungguh gembira dapat menyambung pelajaran ke tingkatan enam sains. Bersama surat itu dikepil sekali senarai buku teks dan peralatan yang mesti dibeli, wah alangkah terkejutnya jumlah wangnya RM283. Saya terus tawar hati, mana nak cari wang sebanyak itu. Ayah saya baru dua bulan jadi peneroka felda di Felda Padang Piol, Jerantut. Elaun sara hidup yang ayah terima ialah RM75 sebulan. Saya berfikir sudah tentu ayah tidak mampu untuk menyekolahkan saya.

Saya ceritakan kepada ayah maksud surat itu. Ayah kelihatan gembira. Saya ceritakan bahawa kena bayar RM283. Saya katakan kepada ayah tak mahu sekolah. Saya hendak mohon kerja aja.
“Kerja apa yang awak nak buat?”, sergah ayah.

“Nak kerja FA ladang, kelulusan gred 2 memang layak, orang gred 3 pun boleh dapat kerja.” Jelas saya kepada ayah. Waktu itu saya memang minat nak jadi FA sebab mereka semua pakai motosikal keluar masuk ladang.
“Awak budak-budak lagi mana boleh kerja lagi, kerja FA itu payah tahu, bukan senang jaga peneroka, peneroka degil-degil tau. Awak mesti sekolah dulu.” Jelas ayah. Saya pelek juga mengapa ayah kata peneroka degil, padahal dia peneroka juga. Ayah menilai diri sendiri ke? Jangan-jangan ayah aku dari golongan bermasalah?

“Macam mana nak sekolah, encik mana ada duit banyak itu.” Saya membalas cakap ayah. Saya panggil ayah saya dengan panggilan “encik”.

“Tugas awak sekolah, tugas kon cari duit.” Ayah membalas dengan suara yang semakin meninggi. Nampaknya ayah dah mula naik angin.  Saya tidak tertarik dengan pengakuan ayah. Pada saya semangat tinggi tidak berguna kalau dalam poket tiada duit. Saya memang tawar hati untuk menyambung pelajaran bedasarkan keadaan ayah yang serba kekurangan. Perbualan kami terhenti di sini.

Keesokan pagi ayah mengajak saya berjumpa pengurus Felda Padang Piol. Nama pegawai itu saya telah lupa tetapi kalau nak dapatkan nama itu saya boleh dapat. Isteri pengurus itu juga staf felda itu, dia adalah kakak kepada rakan sekelas saya sewaktu tingkatan lima. Nama kawan saya itu ialah Zaimun binti Othman. 

Ayah menyatakan kepada pengurus bahawa saya dapat tawaran menyambung pelajaran ke tingkatan enam dan bayarannya RM283. Ayah menyatakan mahu mohon pinjaman dari tabung pendidikan felda.

“Maaf abang Zainal, felda kita ini baru buka masih belum ada tabung pendidikan itu.”

“Macam mana ni encik? Kerajaan kata masuk felda bagus, cerah masa depan. Kalau macam ini apa bagusnya?” ayah melepaskan hujahnya dengan nada geram. Saya nampak muka pengurus itu dalam keadaan serbasalah. Saya agak dia bersimpati juga.

Kami pulang ke rumah dengan rasa hampa.

Keesokan harinya ayah pergi ke pejabat felda sekali lagi. Saya ikut juga nak tahu apa ceritanya. Ayah terus berjumpa pengurus.

“Beginilah encik, kalau felda tak ada duit, saya ada satu cadangan.” Ayah melontarkan hujuah awalnya kepada pengurus.

“Apa cadangan abang Zainal?”, Tanya pengurus.

“Encik beri saya cuti sebulan, saya nak balik kampong, saya nak menoreh getah, saya yakin dapat duit untuk sekolahkan anak saya.” Kata ayah kepada pengurus. Saya lihat pengurus termenung seketika.

“Beginilah, memang tidak ada peruntukan membenarkan peneroka keluar hingga sebulan, tetapi saya sungguh simpati dengan abang Zainal, saya benarkan abang Zainal cuti sebulan tetapi elaun RM75 itu tak layak terima, sanggup ke?” Balas pengurus.
“Tak apa encik, saya tak kesah hilang rm75, saya lebih bimbang kalau anak saya tak sekolah. Terima kasih banyak encik.” Balas ayah dengan gembiranya.

“Saya gembira semanagat abang Zainal. Harap abang Zainal dapat wang yang dihajatkan itu. Bila nak balik kampong?” Tanya pengurus.

“Esok saya akan balik kampong.” Balas ayah.

Berhenti di sini kerana kereta dah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Kini jam menunjukan 4.55 petang.


                                                                                                 
Kini saya berada di Golden Lounge KLIA, bilik menunggu bagi penumpang Buisniess Class. Saya akan naik kapal terbang MAS ke Pulau Pinang jam 8.20 malam. Sementara menunggu saya menikmati makanan yang enak enak belaka. Tempat duduk juga amat selesa. Orang yang berehat di sini datang dari berbagai negara dan berbagai warna kulit. Agaknya mereka ini dari golongan banyak duit. Saya hanya menggunakan kemudahan yang kerajaan sediakan. Langsung tidak terfikir yang saya dapat menikmati kemewahan dunia ini, jika dibandingkan sewaktu kecil dahulu jauh panggang dari api. Makanan yang paling saya suka ialah jeruk putik timun dan macam-macam lagi, semuanya sedap. Lepas minum mango sejuk, minum rooibos tea pula. Tea ini jarang saya jumpa di luar, rooibos tea ini adalah hasil adunan Dr. NORTIER’S. Kalau isteri saya, Wan Abzan membaca tulisan ini tentu dia terliur juga. Saya sedar, nikmat ini tidak mungkin muncul jika peluang bersekolah tidak diberikan kepada saya.


Ayah pulang ke kampung seorang diri. Saya pula mengambil upah meracun. Tiap-tiap pagi pikul pam galas. Kalau tong pam itu penuh dengan air yang dibancuh racun memang amat berat, rasa bengkok pinggang. Saya dan beberapa orang lagi diselia olah abang Kamarulzaman sebagai mandurnya. Abang Kamarulzaman adalah ketua belia di felda ini. Kalau beri arahan, wah sangat tegas, memang tiada peluang hendak tuang. Upah satu hari ialah rm2.80. Saya rasa sangat jemu melakukan kerja ini. Tiap-tiap hari memikul beban, lepas itu sentisa kena arah oleh mandor. Ikut hati mahu berhenti aja, tetapi ayah pesan mesti cari duit untuk pergi sekolah.

Sebulan kemudian, tiba-tiba ayah pulang. Saya terkejut besar lihat badan ayah kurus dan kulitnya gelap mungkin berjemur. Saya kasihan sangat lihat keadaan ayah jadi begitu kurus, mungkin banyak kerja dan kurang makan?

Esok saya akan melangkah ke sekolah semula, menyambung pelajaran ke tingkatan enam rendah. Ayah menghulurkan wang sambil berkata, “ini duit rm300 untuk awak pergi sekolah.”

Saya terkejut kerana ayah kotakan janjinya.

Saya memulakan persekolahan di tingkatan enam rendah bulan Mei tahun 1972 dengan semangat yang berkobar-kobar.

Kini jam 7.05 malam. Saya akan masukkan catatan ini ke dalam blog Warisan Pesagi, http://warisanpesagi.blogspot.com/


Saturday, November 26, 2011

Tahniah UPSR 2011 Cemerlang

Sebenarnya kita mampu melakukan lonjakan. Guru Besar dan guru-guru SK Pesagi telah buktikan, semua calon seramai sembilan lulus, maknanya 100% . Lebih membanggakan dua orang dapat 5A, satu rekod baru. Lebih menghairankan semua calon sembilan orang itu lelaki. Maknanya budak lelaki, jika kena gayanya juga boleh belajar malah boleh cemerlang.

Saya juga kagum kerana murid-murid ini berani mengambil bahagian dalam lakunan, buat persembahan di sekolah orang di CH. Hebat! Semua ini bermula dengan VISI, MISI dan pelan strategik.

Katanya Pak Chik ( Ketua Kampung Pesagi) nak buat kenduri kesyukuran, nak berjamu rusa, kami sokong. Sangat elok, kita rayakan kejayaan cemerlang ini.

Saya adalah hasil dari SK Pesagi tahun 1961 hingga 1966. Kalau tidak kerana jasa guru besar arwah cikgu Salleh dan barisan guru yang dedikasi, saya tidak mungkin sampai hingga ke tahap ini.

Terima kasih cikgu yang berjasa kepada kami dan anak kampung Pesagi. Hanya Allah yang membalas jasa cikgu semua.

Friday, June 24, 2011

SK Pesagi hari ini.

Sudah berbulan bulan saya tak jenguk Kampung Pesagi. Walau bagaimanapun beritanya tetap saya terima.

Berita gempar tentang SK Pesagi. Hingga tahun 2010 pencapaian SK Pesagi nombor dua akhir dalam daerah Maran. Saya malu betul. Macam macam komen yang negatif.

Hari ini saya dapat tahu pencapaian budak-budak darjah enam SK Pesagi nombor dua teratas. Ramai orang (GB sekolah lain) tertanya-tanya.

Tahniah kepada Guru Besar, guru-guru, murid2 dan PIBG yang telah mengubah prestasi sekolah, mengubah cara kerja guru & mengubah sikap ibu bapa.

TIADA YANG MUSTAHIL !

Kepada saudara mara saya di Pesagi (Dari Tanjung Berangan hingga ke Pejing) berilah sokongan kepada sekolah. Itulah harta kita yang paling berharga!

Apa sebabnya?

Sunday, December 19, 2010

18 Disember 2010
Saya sempat jenguk Kampung Lompat, singgah di warung depan rumah Man T ( teka sendiri nama penuhnya), berborak dgn beberapa orang saedara mara termasuklah Harun Basir dan Kor (nama penuh Sukor? anak makngah Nab dengan ayahandak Seman). Kami minum dan makan kueh. Perbualan hangat fasal harga getah dan sawit melambung. Bila nak bayar tuan kedai kata dah bayar oleh toke getah. Wah nampak kehidupan orang kampung mewah masa ini. Banyak tanah dibersihkan nak ditanam semula. Baguslah ambil kesempatan waktu mewah ini tambah harta. Saya tumpang gembira.

Friday, September 3, 2010

Mari kita bantu SK Pesagi, kita pakat tubuh Persatuan Murid Tua

Waktu saya sekolah, rasa sangat meriah walaupun bangunannya tak gah seperti sekarang. Dulu murid lebih 150 orang. Beratus-ratus orang jadi pandai bila keluar dari SK Pesagi. Kini bilangan murid lebih kurang 70 orang sahaja. Inilah akibat banjir besar tahun 1970 dan 1971, ramai yang berhijrah ke felda dan pindah ke perumahan banjir kampung Sentosa.
Elok kita tubuhkan persatuan murid tua, kita berpakat ramai-ramai boleh bantu majukan pendidikan waris kita. Saya percaya ada ruang yang boleh kita berikan khidmat. Lepas raya cadangnya nak buat perjumpaan. Kita berhimpun di sekolah, sambil bincang2, kita makan, lepas itu cari idea, kumpul duit.

Selamat menunaikan ibadat puasa dan selamat menyambut hari raya aidilfitri.