nuff

Tuesday, January 31, 2012

Ayah tinggalkan felda kerana saya?

Ayah ambil tindakan keluar dari Felda kerana saya?

Coretan ini saya tulis sewaktu berehat di lobby hotel selepas tamat mesyuarat di Hydro Hotel jam 1 petang. Saya ada masa dua jam di sini. Saya menunggu encik Teh, seorang pengetua yang ditugaskan sebagai LO menghantar saya terus ke LTPP. Duduk berjam-jam menunggu memang membosankan. Aktiviti yang boleh dilakukan ialah membaca atau menulis. Saya memilih melakar kembali kenangan lalu yang tidak boleh dilupakan. Manalah tahu, kot-kot boleh dijadikan teladan kepada anak-anak saya. Atau boleh menyedarkan mereka, betapa sukarnya untuk mencapai kejayaan. Saya tidak berniat untuk mengugut mereka tetapi untuk membawa minda mereka melihat betapa tingginya gelombang yang menghimpit kami pada waktu itu.

Hari Jumaat dalam bulan Ogos 1972, adalah hari terakhir persekolahan penggal dua. Kami semua akan pulang ke kampung. Saya membawa sebuah bag yang agak besar juga. Di dalamnya bercampur antara pakaian yang tidak berbasuh dan beberapa buah buku teks. Saya menaiki bas Leng Huat bewarna pink menghala ke Jerantut. Lama sungguh berada dalam bas, akhirnya saya turun di simpang tiga. Bas terus ke Jerantut tetapi saya mahu pulang ke Felda Padang Piol. Waktu itu sudah lewat petang, mungkin sekitar 6.30petang, saya berdiri di tepi simpang menunggu kenderaan yang lalu untuk ditumpangi. Kalau landrover felda lalu pasti saya boleh tumpang. Ada lori hantu lalu lalang, saya tahan tetapi pemandu berkata nak pergi ke kilang papan yang di sebelah itu sahaja. Saya berasa hampa. Kalau motosikal lalupun saya nak tahan. Seorang perempuan dewsa yang berjalan dari arah sawmill berjalan menuju ke kongsinya bertanya saya mahu ke mana? Saya beritahu bahawa saya hendak pulang ke Felda Padang Piol. Makcik itu mengatakan petang-petang begini memang tiada kenderaan yang masuk ke dalam. Lori yang keluar kadang-kadang ada. Pernyataan itu menyebabkan saya makin berdebar. Hari semakin gelap, saya tiada pilihan.

Saya rasa sangat bosan dan terfikir, “Dulu sewaktu duduk di kampung tiadalah susah macam ini nak pergi balik sekolah. Kalau senja, tak sempat menyemberang sungai boleh tidur di rumah Maklum Minah di Paya Pasir.”

Saya ambil keputusan, “Aku mesti balik juga, aku mahu jalan kaki.”

Saya memulakan langkah sambil menggalas beg yang buncit dengan pakaian tak berbasuh dan beberapa buah buku teks yang saya beli menggunakan wang rm283 yang ayah beri sewaktu memulakan persekolahan tingkatan enam ini. Satu daripadanya ialah buku fizik yang bertajuk Advanced Level Physics. Buku itu sangat tebal dan beratnya hampir sekilo. Sebuah lagi ialah buku matematik bertajuk Analisa Permulaan Lanjutan. Saya nak tunjukkan kepada ayah inilah sebahagian dari buku yang dibeli hasil titik peluh ayah menoreh getah. Kedua-dua buku ini saya gunakan sepenuhnya. Saya lulus cemerlang dalam mata pelajaran Matematik dan Fizik STP tahun 1973. Memang berbaloi.

Saya menapak melalui jalan tanah merah. Hari semakin gelap, penglihatan saya ke arah jalan semakin samar. Jalan berliku dan beralun turun naik bukit, tetap saya tempuh. Sebenarnya saya telah biasa berjalan kaki. Saya memang suka ambil bahagian merentas desa sewaktu sekolah menengah, selalu juga dapat hadiah antara 10 yang terbaik. Saya juga banyak pengalaman berjalan kaki dari rumah moyang saya di Kampung Pejing ke rumah saya di Tanjung Berangan, jaraknya empat kilometer. Kali ini perjalanan sangat mencabar, berjalan seorang diri pada waktu malam gelap gelita. Jarak perjalanan lebih 10 kilometer. Saya dengar bunyi suara cengkerik dan macam-macam lagi bunyi penghuni rimba. Saya tidak kisah kepada bunyi itu tetapi perasaan takut ada juga, kadang seram juga bulu tengkuk bila dengar bunyi siamang menyahut dengan nyaringnya. Saya melihat langit yang cerah sebagai pemandu arah. Kalau berjalan lenggang tangan saya tak kisah tetapi menggalas beban memang sangat siksa, rasa beg ini semakin berat. Ikutkan hati yang panas hendak dibuang aja beg itu tetapi teringatkan ada buku di dalamnya, saya gagahi juga. Badan saya basah kuyup dibasahi peluh. Akhirnya saya tanggal baju, kini saya berjalan separuh boleng. Bahu saya rasa nak rebeh kerana menaggung tali beg yang amat berat itu.

Selepas berjalan hampir tiga jam, saya sampai ke pondok pengawal. Ketika itu palang penghadang melintang menyekat jalan. Saya menyusup palang itu sambil itu menyapa pengawal yang sedang baring atau tidur? Pengawal itu terus bingkas dan menyuluh saya menggunakan lampu picitnya.

Pengawal itu terus bertanya, “Oi, awak orang ke hantu.” Agaknya pengawal itu terkejut melihat saya yang tidak berbaju dan basah kuyup itu.

“Oranglah pakcik.” Saya membalas.

“Oi berani betul awak, awak tahu tak rimau lalu lalang di jalan itu pada waktu malam begini.” Pengawal itu menambah.

“Awak nak balik ke mana ni?” Tanya pengawal.

“Saya nak balik ke Blok D, Felda Padang Piol.” Saya membalas.

“Dua kilometer lagi tau tak?” Pengawal menambah.

Saya menganggukkan kepala.

“OK, jom saya hantar awak naik motosikal buruk ini.” Tambah Pengawal.

Saya sangat seronok mendengar kata-kata itu. Saya terus membonceng tetapi kaki saya tidak dapat berpijak kerana alas kaki motosikal untuk penumpangnya telah patah. Lengoh juga kaki terpaksa dikangkangkan. Selepas beberapa minit, kini sampai di laman rumah. Saya melompat turun sambil mengucapkan terima kasih kepada pengawal itu.

Saya terus melompat ke pelantar rumah dan meluru masuk ke dalam rumah. Saya terus lepaskan beg yang berat itu ke satu penjuru. Saya terasa sangat letih bercampur geram. Tiba-tiba ayah menghampiri saya bertanya, “Awak naik apa tadi?”

Tiba-tiba saya terasa sebak, saya tidak dapat membalas soalan ayah itu. Ada adik saya yang belum tidur menghampiri saya, saya dah lupa, mungkin Selemah atau Sabariah? Yang lain saya nampak sudah tidur bergelempangan di tengah rumah.  Mereka terasa hairan agaknya melihat badan saya basah kuyup. Saya tidak dapat berkata-kata. Tiba-tiba tanpa disedari air mata saya mengalir membasahi pipi. (Ketika saya menulis ayat ini terasa sebak juga, terpaksa berhenti sebentar mengesat mata, bimbang peristiwa lama berulang kembali).

Terhenti di sini kerana encik Teh telah sampai. Saya akan sambung semula bila sampai di LTPP.


Kini saya berada di Golden Lounge LTPP. Sambil menikmait makanan yang enak-enak itu, saya meneruskan penulisan ini. Saya tidak perdulikan tetamu lain. Saya mahu lepaskan gian saya meneruskan coretan indah ini. Kebanyakan mereka menonton TV, berbual-bual dan khusyuk menatap handphon masing- masing. Seperti yang saya katakan semalam, nikmat yang saya rasai ini adalah kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Tiket kapal terbang dibayar oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Saya agak ayah nampak air mata saya mengalir ke pipi. Saya cepat-cepat mengesat dengan tangan. Tiba-tiba ayah lari masuk masuk bilik. Kira-kira setengah jam kemudian ayah muncul semula.

Saya terdengar ayah berkata, “Mulai cuti penggal depan awak tak perlu balik ke sini lagi, awak balik kampung bila cuti.”

Tiba-tiba air mata saya mengalir semula, kini lagi banyak. Saya tidak tahu mengapa ini terjadi? Saya tidak berapa pasti apa maksud kata-kata ayah itu.

Keesokan harinya ayah pergi berjumpa tuan pengurus sekali lagi. Saya ikut sekali.

“Tuan pengurus, dulu saya minta cuti sebulan tetapi sekarang saya minta cuti terus.” Ayah berkata kepada tuan Pengurus.

“Saya tidak faham maksud abang Zainal.” Tanya tuan pengurus.

“Tuan nak tahu, senja semalam anak saya balik dari sekolah jalan kaki seorang diri dari simpang jalan luar hingga ke sini. Dia sampai di rumah hampir jam 10 malam. Saya tak mahu dia jalan kaki lagi. Saya tak mahu anak saya bahan dek rimau.” Ayah menjelaskan kepada tuan pengurus.

Tuan pengurus mengeleng-gelengkan kepalanya.

“Kaedaan saya tidak seperti orang lain. Peneroka lain tiada anak besar yang sekolah. Saya tak mahu korbankan persekolahan anak saya. Oleh itu saya mahu balik ke kampung semula. Bukan felda tak bagus tetapi buat masa ini saya tidak sesuai tinggal di sini.” Ayah menjelaskan kepada pengurus.

Lama juga pengurus terdiam.

“Abang Zainal kena ingat, keluar felda bermakna hilang 10 ekar kebun sawit.” Tegas Pengurus.

“Saya tak kisah, saya nak selamatkan anak dulu, lepas itu baru saya cari ganti di luar sana.” Kata ayah.

“Macam inilah, saya sangat faham dengan semangat abang Zainal dan saya tidak dapat buat apa-apa. Kalau ini jalan yang terbaik, saya terima. Saya beri abang Zainal peluang berfikir setahun. Manalah tahu dalam tempoh setahun abang Zainal mahu masuk semula ke felda ini saya terima. Saya tidak akan isi peneroka baru ke rumah abang Zainal itu.” Jelas tuan pengurus.

Barulah saya faham maksud kata-kata ayah malam tadi. Kami adik beradik sangat suka kerana ayah mahu pulang semula ke kampung. Adik-adik lelaki saya memang suka duduk di kampung, mereka macam saya juga, boleh meresap dan boleh menangkap ikan di paya. Mereka juga ramai kawan di kampung. Adik perempuan saya kata di kampung bagus sebab rumah kita di sana lebih bagus tidak panas macam di sini.

Ramai kawan-kawan ayah mengatakan ayah rugi meninggalkan tanah kebun 10 ekar. Mereka hairan terhadap tindakan ganjil ayah itu. Biasanya ada peneroka dibuang dari felda kerana masalah displin yang berat tetapi ayah keluar felda kerana menghadapi masalah yang kecil sahaja. Ini anggapan mereka. Mereka tidak faham apa yang ayah fikirkan.

Hanya ayah sahaja yang tahu.

Saya tahu, sebab utama ayah keluar felda adalah kerana saya. Satu pengorbanan yang sangat besar.

Saya akan masukkan coretan ini ke dalam blog Warisan Pesagi ( http://warisanpesagi.blogspot.com )


7 comments:

Izudin MA said...

Salam ayahanda. Terima kasih atas nukilan yang begitu bermakna. Mungkin kerana zaman saya tidak secabar itu yang membuatkan kadang-kadang alpa dalam segala kenikmatan. Justeru tak dapat saya bayangkan bagaimana pula anak-anak saya nanti yang mungkin sedikitpun tak pernah merasai kesukaran. Semoga ayahanda akan terus berkongsi agar menjadi ingatan kepada kami. Tahniah dan terima kasih.

Rizdaham said...

Menarik cerita Tuan...Sama seperti keluarga Tuan keluarga saya berpindah juga ke Felda (Jengka 15) dari Kg Kuala Wau. Encik (panggilan untuk ayah ) bukan tak byk tanah tapi hambatan kederat yang semakin berkurangan menyebabkan Encik membuat keputusan agar kami berpindah ke Jengka 15. Terus menetap di sana sehingga Encik dijemput Ilahi 6 tahun yg lalu. Kesan yang nyata, terasa rindu teramat kpd suasana dan kenangan di Kg Kuala Wau.Imbauan kerap benar menerjah ke kotak fikiran.--Cgu Mahadzir

hza said...

T kasih kerana coretan ini. Byk yg sy x tahu rupanya.

temansejati said...

salam cikgu..
pengalaman yang tiada galang gantinya..moga anak-anak zaman ini mengerti.

Cikgu Ohm said...

〔“Tuan nak tahu, senja semalam anak saya balik dari sekolah jalan kaki seorang diri dari simpang jalan luar hingga ke sini. Dia sampai di rumah hampir jam 10 malam. Saya tak mahu dia jalan kaki lagi. Saya tak mahu anak saya bahan dek rimau."〕- petikan cerita duka tuan.

MIRIPNYA...

Dalam tahun 1973, apabila musim persekolahan bermula, cerita sama akan kedengaran. "Cherok Perahu tu, tempat rimau melintas." Dialog ini meniti dari bibir ke bibir penduduk Kampung Burau Jerantut, Pahang, kampung tempat tumpah darahku 48 tahun dulu. Sekolah Kebangsaan Bukit Nikmat, Jerantut, Pahang adalah sekokah baru. (sekolah lama; Sekolah Kebangsaan Burau) Setiap pagi saya terpaksa berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya +- 8 batu (16 batu sehari). Ketika itu saya berumur 9 tahun (darjah 3). Selepas subuh +- pukul 7 pagi waktu Semenanjung, 7.30 pagi waktu Sabah dan Sarawak, saya mula menghayun langkah ke sekolah. Dalam kesamaran di penghujung subuh, 80 meter sebelum tiba di "Cherok Perahu," saya mecebek kasut sekokah saya (kasut plastik yang dah koyak 2, 3 kali di bahagian tumit) lalu berlari sekuat hati melintasi tempat "rimau melintas". Masa tu popaleh takutnya, tuhan saja yang tahu. Takut dibaham rimau. Begitulah selama setahun sehingga ayah berpindah ke Rumah Banjir Bukit Nikmat; dekat dengan sekolah. Syukur, kerana tak dibaham rimau.

Alhamdulillah, dek kerana "kedegilan" ayah yang inginkan anak-anak terus bersekolah, kini saya adalah seorang cikgu, walaupun hanya "cikgu kecil" aje.

Terima kasih kerana cerita tuan tentang "rimau" dapat mengembalikan nostalgia dalam hidup saya.

Yahya Zainal Abidin said...

Cikgu OHM, tak kira kecil atau besar, dalam tangan ada saham masa hadapan anak murid kita. Jadilah guru kecil berjiwa besar, berperanan besar dalam memajukan budak2 masa kini. Saya juga dididik oleh guru-guru kecil yang amat dedikasi. Beberapa orang guru2 kecil ini sangat besar jasanya. Kalau tidak kerana jasa mereka saya tidak boleh berjaya. Kejayaan saya adalah gabungan guru dan ayah.

Haslina said...

Salam, Sedih saya baca coretan ini.. betapa kepayahan masa lalu telah menjadikan cikgu sebagaimana cikgu hari ini.Saya bukan lahir dalam era kepayahan itu kerana saya bersekolah asrama penuh sejak tingkatan 1 dan ibubapa saya bekerja sebagai guru. Cerita ini menyedarkan saya bahawa pendidikan itu bukan 'percuma'. Satu hari saya berharap penulisan cikgu dapat dibukukan.

Post a Comment