nuff

Saturday, December 21, 2019

RENUNGAN ENAM BULAN PERTAMA 02

19/6/19 adalah hari kedua aku bebas dari tugas sebagai Rektor. Aku berasa lega dilabel sebagai YB, iaitu Yang Bersara. Ini kali kedua aku merasai alam persaraan. Kali pertama pada hujung tahun 2012. Aku qp bersara pada umur 58. Aku bukan main seronok dapat membersihkan belukar di belakang rumah seluas suku ekar itu. Dua minggu sahaja belukar bertukar wajah menjadi sebuah taman. Ada berbagai pokok. Aku namakan Loving Garden. Aku meneruskan penerokaan ke sebidang tanah tiga ekar di Padang Kerbau peninggalan bondaku Zainab. Tanah seluas tiga ekar itu aku bersihkan dan tanam pokok getah, 600 pokok semuanya. Aku ambil masa dua bulan setengah menyiapkannya. Anakku Syafik dan Shahmi turut membantu. Kini kebun getah yang berusia enam tahun itu telah mula ditoreh. Aku telah merasai hasilnya, syukur alhamdulillah. Aku percaya, jika kita berusaha bercucuk tanam memang ada balasannya. Berbudi kepada tanah memang berbaloi. 
Sebaik siap menanam pokok getah atas tanah tiga ekar itu, saya ditawarkan mengetuai Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, ringkasnya KIPSAS. Kebun getah aku tinjau dua minggu sekali untuk awasi pagar, baja dan meracun. Pokok hidup subur. Ada yang mati aku bubun. Pertumbuhan hingga kini ada 99%.
Awal tahun 2014, sepupu saya, abang Mizi mahu menjual tanah arwah ayah dan emak dia. Keluasan keseluruhan 7 ekar. Saya ada nostalgia dengan tanah itu. Apa tidaknya, saya selalu menoreh getah di situ. Saya masih ingat, emak sentiasa menolong memesin getah di situ. 
Kami dapat kata sepakat tentang jual beli tanah itu atas dasar pertimbangan anak beranak. Walaupun harganya amat menusabah tetapi saya masih perlukan wang juga untuk menjayakannya. Saya ambil peluang mohon pinjaman bank. Umur waktu itu sudah hampir 60 tahun. Ikutkan umur memang tidak layak. Oleh kerana saya bekerja dengan sebuah institusi milik kerajaan negeri maka saya diluluskan pinjaman peribadi untuk beli dan menjaya tanah tersebut. Mulai Februari 2014 aku yang membayar pinjaman setiap bulan. Bayaran bulanan aku selesaikan dengan tanpa sebarang masalah maklumlah gaji dan pencen. Selama hampir enam tahun aku membayar pinjaman sewaktu bertugas di KUIPSAS. Memang tidak jadi masalah. Pinjaman telah bayar dengan jayanya selama hampir 6 tahun. Masih ada 4 tahun lagi berbaki.
Kini pendapatan bulanan hanya duit pencen. Duit pencen tidak boleh digunakan untuk projek. Wang pencen hanya untuk biaya kehidupan harian kami.  Kini terasa amat berat untuk membayar setiap bulan. Hasil dari kebun tidak cukup untuk bayar upah pekerja. Beli baja dan racun keluar dari poket sendiri, ini amat menyakitkan. Keluarkan wang simpanan ASB. Akhirnya simpanan ASB semakin nipis. 
Masuk bulan Disember 2019, kedudukan kewangan aku semakin kritikal. Aku tidak boleh berdiam diri. Timbul idea untuk mendapatkan hasil dalam tempoh dua bulan. Idea pertama menanam lada kecil dan idea kedua tut dahan pokok limau nipis dan limau kasturi.
Akhir bulan Disember berjaya tanam 30 pokok lada kecil. Pokok lada kelihatan subur. Telah nampat beberapa batang telah mula berbuah. Dahan limau yang ditut hampir semua keluar akar. Kini ada 60 dahan dahan yang telah dipindahkan ke polibag. Selepas 30 hari dalam polibag boleh jual untuk mendapatkan wang segera.
Aku berharap akan dapat wang dari lada kecil dan anak pokok limau nipis. 
"Ya Allah ya Tuhanku yang maha kuasa lagi penyayang, tunjukkanlah kepadaku jalan penyelamat."

Namun begitu, kejayaan nyata dalam tempoh enam bulan ini adalah pertahanan kebun semakin kuat. Pagar keliling telah dibaik pulih. Bilangan turus pagar ditambah dan setiap temba pagar dihentak lebih dalam, tidak bergolang. Tiga urat dawai ditegsng dan dialas dengan penebat getah dan dipaku ketat pada temba. Kawasan pagar diracun hingga tiada lagi rumput yang memanjat. Kekuatan pagar kebun belakang juga dibaik pulih seperti kebun hadapan. Kedua-duanya disambung dengan dawai yang boleh mengalirkan denyutan elektrik. Dawai itu melintas kebun getah dan paya. Sukar juga memasangnya. Ibu elektrik disambung kepada energizer 30 disangkut pada dinding pondok. Jika tersentuh terasa kuat juga denyutannya. Kerja ini perlu dilakukan oleh orang mahir. Tugas ini diserah kepada Nawaz. Pagar yang elektrik ini ssngat berkesan menghalang kerbau, lembu dan babi dari menceroboh masuk.
Kawalan kebun diperkuatkan lagi dengan adanya pengawal terdiri dari tujuh ekor anjing. Pengawal ini sangat berkesan menghalau monyet yang cuba masuk kebun. Pengawal ini sentiasa diberi makan palet makanan kucing. Belanja makanan pengawal ini kira-kira rm300 sebulan, tetapi badan mereka agak kurus. Macam tidak cukup makan. 
Satu hari anak bongsu saya Shahmi melawat kebun telah melihat pengawal itu. Dia terus beri komen, "Mengapa anjing itu kurus sangat?"
Saya dan Lihi terkedu mendengar komen sepontan itu. Lihi menimbangkan pandangan Ami itu secara halus, akhirnya mencadangkan perubahan menu makanan. Lihi mahu memberi makan nasi pula. Dia bersetuju untuk memasak nasi tiap-tiap hari. Lihi campurkan beras dengan beberapa ekor ikan bilis yang ada kepala. Terasa ada aroma tersendiri  bila nasi itu masak. Kini pengawal dapat makan nasi fresh yang beraroma ikan bilis. Kumpulan pengawal ini tidak dilatih meninjau kawasan, banyak lepak di tempat teduh sahaja. Sekali sekala sahaja terdengar suara salaknya. Mungkin juga pengawal ini kekurangan tenaga untuk menyalak.
Kekurangan yang nyata ialah pokok kelapa yang tidak sihat dan comot. Ada pelepah muda yang patah menandakan bahagian pangkalnya dikerit oleh serangga atau kumbang. Daunnya melidi kerana menjadi hidangan ulat. Pokok pula penuh dengan pelepah mati yang tidak dibuang. Ada juga pokok dipusu oleh rumput memanjat. Tidak kurang 50 pokok telah berbuah tetapi buahnya tidak melebihi lima biji setandan. Ada yang komen dan banyak yang bersaiz kecil. Sungguh hiba melihatnya. Dalam masa terdekat ini banyak lagi pokok yang akan keluar mayang. Nyata sekali pokok kelapa ini terbiar dan kekurangan baja. Setakat ini baru 70 pokok di kebun hadapan telah dibersihkan. Amir pula telah taruk furadan di celah pelepah untuk menghalau agen perosak pucuk dan pelepah. Racun serangga telah sembur kepada pelepah. Garam kasar telah ditabur di keliling pokok. Pokok yang telah berbuah diberi baja. Namun begitu pokok di kebun belakang masih belum terurus. 
Banyaknya kerja yang belum selesai.
Nanas MD2 masih banyak yang belum berbuah tidak kurang 5000 pokok. Banyak yang telah matang. Aku suruh Amir sembur hormon untuk menggalakkan keluar bunga serentak. Kelompok itu akan berbunga sebulan lagi. Bulan November lalu ada sekelompok telah masak. Memang menjadi minat ramai pelanggan. Semua mereka kata manis dan enak. Mereka ternanti-nanti untuk membeli lagi. Nanas memang ada pasaran yang baik kerana penghasilan nanas kawasan Maran ini tidak mencukupi. Ada bekalan dibawa dari Johor. Harganya tentu lebih mahal dan buahnya kurang manis kerana dipetik sebelum cukup tua. Tetapi aku tidak berhasrat untuk menanam semula nanas kerana kekurangan kawasan dan juga terpaksa tunggu lama iaitu sekitar 16 bulan untuk mendapatkan hasilnya. 
Ini satu lagi cabaran besar yang sangat membebankan iaitu pokok durian belanda. Dua tahun lepas waktu mula berbuah memang sangat cantik, isinya sedap dan ramai peminat. Lama kelamaan buah jadi buruk apabila masak. Sudah puas aku cuba bermacam racun serangga. Wang belanja maintamace lebih mahal dari hasil. Kala pada kulit kelihatan jalur atau tompok hitam itu menandakan buah telah rosak. Ikutkan hati yang kecewa mahu gergaji pokok itu semuanya. 
Allah yang maha kuasa menemukan aku dengan seorang kawan, namanya Saad. Saad menceritakan pokok limau menghasilkan buah yang cantik, tiada sedikitpun buruk. Saad kata dia gantung botol, di dalamnya ada air setinggi dua inci. Beberapa titis racun xxxxx dimasukkan ke dalam air itu. Dinding botol ditebuk dua atau tiga lubang. Seranga mendapat bau yang menarik. Serangga akan hinggap pada botol dan merayap mencari lubang untuk masuk ke dalam botol. Apabila masuk, serangga itu jadi pening. Beberapa ketika kemudian serangga itu jaruh dan tenggelam dalam air. Aku cuba buat seperti Saad cakap itu. Aku cuba gantung 50 botol. Satu pokok pasang satu botol. Beberapa hari kemudian banyak mangsa tenggelam dalam botol itu. Kebanyakan mangsa itu ialah lalat buah. Lalat buah selalu merosakkan buah yang telah matang.
Satu lagi usaha baru aku untuk mengurangkan gangguan serangga dengan menggantung kepingan Stiker Pad.
SP ini bewarna kuning cerah dan bergam. Serangga terbang sangat tertarik dengan warna kuning, terus terbang menyentuh SP itu. Terus sahaja ia melekat di permukaan SP itu. Dalam tempoh seminggu penuh dengan serangga berbagai jenis melekat di situ. Selepas seminggu perlu ganti dengan kepingan yang baru. Kepingan Stiker Pad ini elok juga digantung pada dahan pokok durian.

Satu suasa murang datang juga akhirnya. Upah untuk Amir tidak mampu dibayar penuh pada akhir bulan Disember ini. Pendapatan daripada jualan hasil kebun dan hasil dari torehan pokok getah tidak cukup rm313. Aku terpaksa menjual dahulu hasil jualan pisang dan getah skrap untuk membayar baki upah. 
Ini menandakan daya produktiviti kebun aku masih rendah. Aku tetap berusaha untuk meningkatkan hasil. Agi idup agi menglaban. Memetik kata-kata motivasi dari pejuang Iban.
Hingga kini semua unjuran pendapatan sentiasa tidak tercapai. Sejak enam bulan ini sentiasa lakukan suntikan dana. Akhirnya air perigi itu hampir kering. Aku terpaksa teruskan. Jika undur? aduh rugi modal sudah banyak keluar dan beban hutang tetap berjalan untuk tempoh empat tahun lagi. Untuk hapuskan hutang kena jual tanah. Jika itu pilihannya, aku akan dapat sedikit baki selepas tolak hutang. Tetapi ada ke orang yang mahu beli tanah di kampung? Aku tidak mahu pilihan itu. Aku mahu terus ke hadapan.
Aku percaya masih ada ruang untuk bergerak. 
 

No comments:

Post a Comment