Hampir tiap-tiap hari aku pergi ke kebun. Sewaktu bekerja dahulu aku hanya jenguk pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Itupun sekejap, tengok dari jauh sahaja. Kini aku turut serta bekerja tetapi sumbangan tenaga sangat terhad, maklumlah sudah melewati garis 65 pada 7 November 2019 yang lalu.
Ramai orang hairan mengapa aku memilih jalan menyusahkan diri, bekerja guna kudrat tulang empat kerat. Ah, jangan perdulikan mereka. Aku ada misi khas. Aku yakin dengan apa yang aku lakukan.
Dulu, waktu remaja aku melakukan tugas pelik iaitu belajar Matematik sendirian. Sewaktu menunggu keputusan SPM aku telah memulakan mentelaah buku Matematik tingkatan enam. Aku belajar tanpa disuruh oleh sesiapa. Tiap hari aku berjuang lima jam. Banyak kesukaran tetapi tetap aku hadapi. Tiga bulan pertama terasa amat perit tetapi selepas itu terasa seronok. Satu tahun sebelas bulan aku tempuh dengan tabah. Syukur alhamdulillah usahaku diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah swt. Aku berjaya lulus STP tahun 1973. Subjek Matematik aku perolehi prinsipal A. Usaha terasa perit tetapi hasilnya manis bak madu. Nikmatnya aku kecap hingga kini dan mungkin sampai akhir hayat. Usaha gigih waktu itu adalah satu trsnsformasi diri dalam mengubah kebolehan dalam belajar. Selepas beberapa bulan berusaha saya mula meyakini diri untuk mencapai kejayaan. Memang Tuhan telah makbulkan usaha aku. Tuhan maha kaya, memenuhi setiap usahaku dengan kejayaan. Tuhan maha kaya, Tuhan maha adil. Mana mungkin kita mendapat faedah tanpa usaha.
Melalui pengalaman manis waktu remaja aku mahu ulangi sekali lagi. Dulu aku memulakan usaha transformasi selepas mendengar kisah benar bagaimana seorang pelajar cemerlang Matematik peringkat Sijil Tinggi Persekolahan memperolihi A dalam subjek Matematik ditemu ramah ke udara dalam siran radio RTM. Peristiwa yang menggegar semangat aku berlaku pada pertengahan bulan Mac 1972, waktu itu usiaku 17 tahun empat bulan. Motivasi bermula kerana ada contoh yang mahu diteladani. Lantaran itu aku membeli sebuah buku matemaik bertajuk Analisa Permulaan Lanjutan, harganya hanya belasan ringgit sahaja. Aku memulakan usaha di rumah kami di Paya Baruh, Tanjung Berangan.
Kali ini aku meneruskan kerja bertani sepenuh masa di kampung Lompat. Sebelum bersara aku telah membeli tanah dua orang bapa saudaraku iaitu elong Soh dan engah Deris. Aku juga mengusahakan tanah arwah toki Tol dan tok Tijah. Luas keseluruhan tanah itu ialah 21.5 ekar. Inilah cabaranku untuk menukar permukaan tanah dipenuhi belukar kepada permukaan tanah yang dipenuhi pokok-pokok yang memberi faedah. Aku memulakan usaha menjayakan tanah ini sejak Jun 2014. Aku menyelia kerja pada hari cuti, Sabtu dan Ahad. Aku sediakan keperluan seperti anak benih kelapa, anak benih durian belanda. Baja, racun dan alat kerja juga aku sediakan. Namun begitu aku tidak dapat menyelia secara teliti. Empat tahun kemudian barulah aku dapat menggerakkan usaha secara sepenuh masa. Banyak wang telah dibelanjakan tetapi pulangan bulanan masih belum cukup untuk membayar upah dan kos operasi. Ini adalah satu bebanan besar. Wang dari poket sendiri masih diperlukan.
Pokok durian belanda paling awal berbuah. Ada yang mula berbuah pada usia setahun setengah. Sangat menyeronokkan. Namun begitu lama kelamaan hampir keseluruhan menjadi buruk apabila masak. Ada yang berulat di dalam buah dan ada banyak tompok hitam dan lebih teruk buruk dan busuk. Macam-macam akhtiar dilakukan tetapi tidak berjaya. Kos racun sersngga serta kos kerja tidak berbaloi dengan pendapatan. Aku sudah jemu melihat ratusan pokok durian belanda ini. Banyak yang mati kering. Ada yang dipanjat ulan, nampak pucuk sahaja. Aku ada terfikir untuk gergaji sahaja, habislah riwayatnya. Tetapi aku masih bersabar. Sejak bulan Mac 2019 aku mula menanam semula tempat pokok durian belanda yang mati dengan pokok durian jenis Duri Hitam, Musang King, 101, Udang Merah dan Teka. Aku berikan jarak tanam setiap teres. Dua orang pekerja menjalankan tugas menanam dan menyiram.
Pokok kelapa pula ada yang telah mula berbuah. Sewaktu membeli benih dahulu aku tidak tahu istilah F1 atau F2. Apa ciri F1 dan F2 langsung tidak tahu. Aku terlalu gairah untuk membeli benih Mataq. Empat tahun kemudian baru tahu benih yang ditanam ada kembali jadi baka ibunya bewarna kuning atau merah. Buahnya kecil, tidsk seperti buah mataq yang lebat dan besar. Pokok kelapa merah adalah Malayan Red Duaft dan yang kuning sdalah Malayan Yellow Duaft. Sehingga kini buah kelapa bersaiz kecil dan banyak yang cedera. Daun kelapa kering dan melidi. Pucuk pula banyak yang patah. Pokok kelapa juga dipanjat rumput, pelepah yang kering terjuntai tidak ditanggalkan. Aduh, sakitnya mata memandang. Jadual membaja tidak tentu. Kesannya hasil buah kelapa yang diperolehi jauh di bawah jangkaan.
Pada peringkat awal mengusahaksn tanah ini, aku langsung tidak mengutamaksn tanaman kontan yang boleh memberi pulangan segera. Pada waktu itu aku tidak ada masalah perbelanjaan. Gaji dan pencen pada waktu itu tidak menjadi hal. Aku terlupa tentang kemungkinan yang akan terjadi. Memang aku tidak dapat beri tumpuan kepada kebun, tiada fokus. Aku terlalu sibuk dengan tugas aku sebahai rektor sebuah kolej universiti.
Kebun aku ibarat muka seorang lelaki yang jangut dan misai tidak dicukur, kelihatan kusut masai. Aku ada dua orang pekerja penuh masa. Kerja mereka hari Isnin hingga Jumaat memang tidak pernah dipantau. Namun begitu aku percaya kepada kejujuran mrreka.
No comments:
Post a Comment