nuff

Tuesday, December 4, 2012

Aku Guru Rumah Sukan Dato Bahaman

Nostalgia Satu tahun 1978 di SMK Jerantut

Saya lihat ada ramai, hampir sepuluh orang guru disenaraikan sebagai guru Rumah Dato Bahaman. Nama saya di aas sekali dan di hujung nama ada tanda (Ketua). Ini bermakna saya adalah ketua. Saya terkejut besar melihat hujung nama saya tercatat perkataan ketua. Saya baru melangkah masuk sebagai guru baru tiba-tiba jadi ketua pula. Terfikir bagimana hendak mengarah guru yang lain itu? Saya memang tidak makan cekak untuk memberi tugas kepada mereka. Jadual latihan menunjukkan latihan merentas desa dan latihan sukan seminggu sekali. Saya mengadakan perjumpaan rumah Dato’ Bahaman. Dalam perjumpaan itu, ahli rumah telah memilih barisan kepimpinan Rumah Dato’ Bahaman.  Saya mengatur jadual latihan ikut tingkatan. Tiap-tiap petang Rumah Dato’ Bahaman turun berlatih. Setiap peserta merasa berlari merentas desa seminggu sekali. Sewaktu merentas desa saya berlari bersama mereka. Kami berlari di atas batas paya, mendaki bukit dan merentas kebun getah. Saya rasa trek merentas desa sewaktu saya belajar di SMK Maran tahun 1969 tebih mencabar. Ada ketikanya kami berlari di tebing sungai dan merentas sungai, basah kuyup hingga paras pinggang. Itulah yang menyeronokkan. Pengalaman bersukan sewaktu di bangku sekolah sangat membantu tugas ketika jadi guru. Bila saya berlari bersama, pelajar seolah-olah dipaksa berlari juga. Seingat saya tiada guru rumah Dato’ Bahaman yang ikut berlari bersama-sama saya. Mereka menunggu pelajar di simpang jalan, itu pun di simpang yang hampir dengan sekolah sahaja. Saya ini penyapu baru, pantang diberi tugas.

Setiap orang pelajar mesti mengambil bahagian dalam acara Sukantara untuk acara lari 100 meter, 400 meter dan 800 meter. Acara padang pula ialah lempar cakra, lontar peluru, lompat jauh dan lompat tinggi. Markah diberi bila peserta melepasi satu jarak atau dalam jangka masa yang ditentukan. Saya mahu setiap pelajar memberi sumbangan mata untuk rumah Dato’ Bahaman. Saya lantik pelajar yang handal dalam acara tersebut dijadikan jurulatih dan mengawasi sesi latihan di padang. Kini kerja saya menjadi lebih ringan dan teratur. Berkat latihan yang bersungguh itu rumah Dato’ Bahaman berjaya menjadi johan sukantara. Dalam menguruskan latihan sukan ini saya tidak nampak seorang guru pun yang sanggup datang membantu. Mungkin mereka tidak tahu apa nak buat kerana saya telah melantik ramai pembantu dari kalangan pelajar sendiri tetapi masih sukar mengawal displin mereka. Selepas tamat sesi latihan untuk semua ahli, kini sampai ke sesi latihan untuk acara sukan tahunan. Peserta rumah Dato’ Bahaman berlatih tiap-tiap petang. Saya turun ke padang tiap-tiap petang menyelia perjalanan sesi latihan untuk menghadapi acara sukan tahunan. Saya beri tumpuan utama kepada teknik pertukaran baton bagi acara lari berganti-ganti, lompat jauh dan teknik baling cakra dan lontar peluru. Saya memang mahir dalam acara-acara ini kerana sewaktu di sekolah rendah hingga tingkatan lima dahulu inilah aktiviti yang saya minat dan mewakili sekolah hingga ke peringkat daerah. Pengalaman lalu rupanya sangat berguna. Saya masih ingat beberapa orang ayam tambatan saya seperti Syed, Samad, Vima, Noraini, Zainal dan ramai lagi tetapi telah lupa. Syed handal dalam acara balinagan dan tarik tali. Samad handal dalam acara balingan. Vima yang kurus tinggi handal dalam semua acara lari dari 100m hingga 800m. Dia mampu menang lima pingat emas. Noraini badannya kecil dan kurus tetapi handal dalam acara lari jarak sederhana dan jarak jauh. Zainal pula sprinter dan pelari akhir lari ganti-ganti 100m dan 400m. Memang seronok menguruskan aktiviti sukan sebab nampak kejayaannya. Musim berlatih sukan ini belanja di kantin meningkat mendadak. Budak-budak bila letih mahu minum air. Sesiapa yang berani mengadu, saya suruh mereka ambil minuman di kantin. Apa suah tulis sahaja dalam buku 555 saya. Cukup bulan saya kira jumlah hutang, terkejut juga menjangkau lebih RM300. Ini adalah belanja hangus untuk musim sukan selama dua bulan. Itulah pelaboran namanya. Duit habis tidak mengapa kerana nampak hasilnya. Jika mahu jadi juara mesti keluar belanja. Namun begitu saya tertanya-tanya mengapa saya tidak dapat sokongan guru untuk turut membantu? Saya memang segan mengarah guru yang senior. Saya tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbincangan. Inilah kelemahan saya sebagai guru novis.

Persekolahan tahun 1978 sudah sampai ke penghujungnya. Pengetua menghimpunkan semua guru di dewan untuk mengadakan mesyuarat guru akhir tahun. Di penghujung mesyuarat, pengetua menjemput guru-guru yang ada masalah atau pertanyaan mengemukakan soalan. Saya mengambil peluang keemasan ini. Saya terus bercakap, “Guru rumah sukan saya tidak turun padang untuk melatih ahli rumah Dato’ Bahaman. Saya buat kerja seorang diri.”

Suasana terus menjadi bising. Ada yang kata tak patut lepas tangan. Ada juga kata tak patut cakap macam itu tengah ramai.

Pengetua meminta guru bertenang dan berkata, “Rumah sukan awak jadi johan, ada masalah juga? Nampak berjalan lancer.  Habis siapa yang bantu awak?”

Saya menjawab, “Saya gunakan pelajar yang handal-handal itu bantu saya.”

Pengetua membalas, “Kita kena buat kerja sama-samalah.”

Saya difahamkan selepas mesyuarat itu beberapa orang guru wanita masuk bilik pengetua. Katanya mereka mengadu kepada pengetua melahirkan rasa tidak puas hati kepada saya kerana bantai mereka dalam mesyuarat. Ada di antaranya menangis. Mereka tidak mahu lagi berada di rumah Dato’ Bahaman bersama saya. Pengetua dengan tegas tidak mahu mengikut rayuan mereka. Pengetua kata mesti buat kerja bersama-sama di rumah Dato’ Bahaman. Saya berasa lega kerana tidak dipanggil oleh pengetua.

Bila sesi persekolahan tahun 1979, rumah Dato’ Bahaman semakin mantap kerana semua guru berganding bahu mengambil bahagian. Saya mula berani mengagih tugas. Guru wanita yang tidak tahu apa-apa tentang sukan diberi tugas menyediakan air masak untuk minuman ahli rumah yang dahaga. Belanja saya dapat dijimatkan. Ternyata rumah Dato’ Bahaman tidak dapat ditumbangkan selama tiga tahun. Selepas tiga tahun menjadi ketua guru rumah Dato’ Bahaman, saya dinaikkan pangkat membantu setia usaha sukan. Saya mula mempelajari teknik mengendalikan sukan. Setia usaha sukan waktu itu ialah saudara Yusof Osman dan penolongnya ialah saudara Basir Khatib Choh. Saya adalah anak murid mereka dalam selok belok pengurusan sukan.

Beberapa tahun kemudian, saya terfikir semula peristiwa guru wanita menangis mengadu kepada pengetua. Saya rasa menyesal kerana bercakap terus terang dalam mesyuarat itu. Ada yang terguris rupanya. Barang kali komunikasi saya kurang sesuai. Bila saya renung kembali, usia saya waktu itu baru masuk 24 tahun, kurang memikirkan perasaan orang dan bahasa pun kurang. Itulah kelemahan seorang guru novis. Saya melaksanakan kerja tetapi ada yang terluka. Saya minta maaf kepada rakan setugas yang terguris perasaan. Sejak itu saya semakin berhati-hati bila memberi pendapat dalam mesyuarat.  

TAMAT

    

No comments:

Post a Comment