nuff

Sunday, July 15, 2012

Tinggi Terbang Bangau Hinggap di tanduk kerbau juga

Sekolah Menengah Kebangsaan Maran

Saya melangkah masuk ke SMK Maran kali ketiga. Kali pertama pada 20 Jun 1969, saya menyambung pelajaran di tingkatan tiga hingga lulus SRP. Saya sangat berterima kasih kepada arwah cikgu Mohd bin Ghani, Guru Besar yang menerima saya tukar masuk ke sini. Saya juga sanagat menghargai jasa guru yang dedikasi mendidik saya. Walau pun saya belajar hanya lima bulan tetapi sentuhan mereka sangat bermakna.

             Kali kedua pada 15 Januari 1998 saya ditukarkan ke sini sebagai Guru Penolong Kanan HEM. Walau bagaimana pun saya hanyak menjejakkan kaki selama seminggu sahaja. Saya mengambil cuti tanpa gaji selama 360 hari. Dalam tempoh percutian itu, saya menghantar surat letak jawatan ke Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Mengikut rancangannya, saya akan berhenti mulai Februari 1999. Tiba-tiba sekitar awal Januari 1999 saya menerima surat tawaran jawatan guru cemerlang Matematik DG48 dari KPM. Pada mulanya saya pandang sepi sahaja surat itu. Saya tetap mahu tamatkan perkhidmatan saya dengan KPM. Tugas yang saya laksanakan kini jauh lebih lumayan ganjarannya. Dalam pada itu saya mendengar pandangan isteri dan anak-anak. Saya mula faham bahawa betapa sukarnya isteri menjaga anak yang sedang membesar. Mereka lebih suka kalau saya kembali berkhidmat di Malaysia. Demi menghormati suara semua orang dalam rumah ini, saya katakan akan adakan undian pada satu pagi. Soalannya “Siapa suka ayah bekerja di Malaysia sila angkat tangan?” Saya dapati lima orang angkat tangan. Undi itu datangnya dari Wan Abzan, Hidayah, Syafik, Hanis dan Ami. Keputusannya 5-1. Saya akur kepada kehendak isteri dan anak-anak. Maka saya menulis surat kepada KPM menyatakan hasrat mahu menarik balik notis letak jawatan. KPM meluluskan permohonan pembatalan hasrat berhenti saya itu.

           Awal Februari 1999 saya melangkah masuk ke SMK Maran kali ketiga sebagai guru cemerlang Matematik gred DG48. Saya berasa seronok dapat pengiktirafan itu. Saya seronok duduk ramai- ramai di bilik guru. Saya boleh menyesuaikan diri dengan cepat. Rakan sebilik guru saya ialah Zolpatai, SA Azman, Ustaz Hadi, Ustaz Hashim, Rahim Jamari, Nik Raman, Shukri, Hj Rahim, Mat Kilau, Hj Nor, Wahab, Che Abdullah, Wahab Kecik dan Jamil. Saya diberi tugas mengajar Matematik Tambahan dan Matematik. Pengetua memberi saya tugas yang mencabar iaitu mengajar kelas yang hujung. Dua tahun yang pertama saya rasa sungguh tercabar memahamkan pelajar. Mereka rata-rata sangat lemah asas kiraan. Kadang-kadang ada rasa menyesal memegang jawatan GC ini. Akhirnya saya faham tahap mana harus saya mulakan. Kini bila masuk kelas 5 Cempaka saya beri latihan yang sangat mudah iaitu latihan tahap darjah lima. Saya fotostatkan latihan dari buku tetapi tutup tajuk “Darjah 5” yang ada pada kertas asal itu. Mereka kata, “Macam inilah bagus cikgu, baru boleh jawab.” Saya menggunakan teknik ansur maju. Berikutnya saya gunakan bahan darjah enam. Berbulan juga latihan secara berurutan itu saya laksanakan. Akhirnya mereka suka mengikuti pengajaran saya. Mengajar kelas 5 Cempaka ini memang banyak sangat cabarannya. Seorang pelajar perempuan namanya Dilah, boleh tahan juga lawarnya, selalu bergincu. Dia ini menjadi rebutan budak-budak lelaki kelas ini. Ada sahaja gangguan. Dilah ini pula melayan semua orang menyebabkan ramai yang pasang angan-angan. Kerja tambahan saya sewaktu mengajar ialah menjaga kebajian dan keselamatan Dilah. Saya tidak kawal terlalu ketat bimbang pelajar lelaki marah pula kepada saya. Atau bimbang saya dicap sebagai kacau daun. Saya mengawal untuk mengelakkan huru hara sahaja. Kalau tak pandai berlabu, putus tali pancing jawabnya. Ada guru perempuan keluar dari kelas ini menangis dan merajuk. Anak anak kelas 5 Cempaka, walau pun tidak minat belajar, rupanya mereka mengajar saya menjadi lebih kreatif dan menambahkan ilmu mendekati pelajar yang tidak minat belajar. Mereka cukup gembira bila saya berbual dan bertanyakan apa yang mereka buat pada hari cuti. Saya juga mereka cipta berbagai alat bantu mengajar untuk menarik minat mereka.

            Satu hari saya juga dibuli oleh mereka. Bila saya masuk kelas ada tujuh orang pelajar lelaki tidak berdiri. Mereka kelihatan menundukkan kepala, kononnya macam orang tidur. Saya tahu mereka berpura-pura tidur. Kalau waktu muda dulu tentu saya usik mereka dengan pembaris. Saya tolakkan pembaris ke perut dan pulas. Perut terpulas dan pedih mesti bangun dan menjerit kesakitan. Kini saya pakai baju guru cemerlang mesti pakai psikologi menggerakkan mereka. Saya menggunakan pendekatan bercerita. Semua pelajar ketawa geli hati. Empat orang yang tidur itu turut ketawa dan terus duduk tegak. Tiga orang masih tunduk, tidur sungguh agaknya? Tidak mengapa, saya mencuba lagi dengan membawa cerita yang kedua dengan harapan tiga orang yang tunduk itu ketawa dan bangun. Sedang saya bercerita, tiba-tiba pengetua muncul masuk ke kelas. Beliau terus menegur saya, “Mengapa biarkan tiga orang ini tidur?” Saya terkejut besar dan menyatakan keadaan yang sebenarnya. Pengetua masih tidak puas hati dengan penerangan saya. Nampaknya inilah risiko bila kita menggunakan pendekatan yang kreatif. Ia memakan masa dan banyak risikonya. Sejak hari itu pelajar kelas 5 Cempaka tidak lagi “tidur” sewaktu saya mengajar. Mereka tahu saya telah ditegur oleh pengetua. Barang kali mereka bersimpati dengan saya. Yang peleknya budak budak kelas inilah yang sangat rapat dengan saya walaupun telah bertahun mereka meninggalkan bangku sekolah.

            Bila berhadapan dengan pelajar yang kurang minat belajar dan lambat faham menyebabkan saya berfikir untuk mencari jalan. Saya mula berjinak dengan kajian tindakan. Kajian tindakan itu memberi tenaga baru kepada saya. Saya berjaya menghasilkan banyak kajian tindakan tetapi ada dua yang paling berkesan. Yang pertama ialah Kajian Memudahkan Memahami Nombor Asas Dua dan Asas Lapan. Kajian ini menggunakan straw yang didikat dan diletakkan di dalam kotak. Pelajar melakukan aktiviti. Pelajar suka melakukan aktiviti itu dan berjaya memahami konsep yang abstrak itu. Kajian ini saya kongsikan dengan guru-guru Pahang dalam satu Seminar Kajian Tindakan peringkat negeri di Swiss Garden, Balok, Kuantan. Kajian yang kedua ialah Kajian Mengingati Nama Pelajar Adalah Satu Kaedah Pengajaran Mesra Pelajar. Kajian ini saya lakukan kepada kelas 5 ERT.  Kajian ini memberi satu impark besar dalam pengajaran saya. Saya dapati pelajar lebih bersemangat belajar. Kajian ini berjaya dipilih oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan dibentangkan dalam seminar kebangsaan di Eden Hotel, Johor Bahru. Saya kerap kali dipanggil oleh pihak sekolah lain membentang hasil kajian ini. Inilah kepuasan saya. Laporan kajian tindakan ini diterbitkan dalam Jurnal PKPSM Kebangsaan tahun 2006.

Saya dapat rasakan bahawa tugas sampingan semakin banyak. Di sekolah saya adalah pengerusi kelab guru. Di luar, saya dilantik Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Pahang. Saya dan AJK MGC menggerakkan aktiviti seperti bengkel dan khidmat nasihat kepada guru mata pelajaran. Saya juga dilantik panel penggubal kurikulum dan kerja kursus Matematik Tambahan oleh Pusat Perkembaangan Kurikulum. Ini adalah kerja yang mencabar tetapi saya suka tugas ini. Kami memeras otak mereka cipta soalan kerja kursus Matematik Tambahan. Selepas berjaya mebina soalan kena beri penerangan pula kepada Jurulatih Negeri. Saya antara guru matematik yang mahir dalam perisian Geometer Skecth Pad. Saya mengikuti kursus GSP ini di RECSEM selama seminggu. Selepas itu saya selalu mencuba memahirkan diri. Kerap kali saya gunakan perisian GSP ini sebagai alat bantu mengajar. Berikutnya saya dilantik menjadi Fasilitator GSP Kebangsaan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum.  Banyak juga masa mengajar rasmi ditinggalkan. Walau pun ada guru ganti tetapi mereka tidak mampu menerangkan isi kandunagan pelajaran yang sepatutnya diajar. Saya selalu adakan kelas ganti tetapi beberapa orang tidak dapat hadir.  Situasi ini nampak menjejaskan prestasi pelajar. Saya mula rasa serba salah.

            Sebagai pengerusi kelab guru, banyak juga aktiviti yang kami lakukan tetapi yang paling seronok sekali ialah aktiviti perkelahan. Aktiviti perkelhan yang paling melekat dalam kepala saya ialah perkhemahan di tepi sungai Tembeling. Kami berkhemah di satu tanjung berpasir antara Kampung Pagi dan Kampung Kuala Sat. Antara guru yang ikut serta ialah Ustaz Hadi dan Wahab. Kami memasang beberapa buah khemah di atas permukaan pasir di tepi tebing yang tinggi. Sebelah petang ada rakan saya bersama belia Kampung Pagi merentang jaring di tengah sungai. Jaring itu hanyut beberapa kilometre. Banyak juga ikan lawang yang tersangkut di jarring. Itulah yang dijadikan lauk makan malam. Ada juga kawan yang memancing tetapi dapat ikan kecil sahaja. Saya dan Wahab pula mandi di tepi lubuk. Wahab mengajak saya berenang ke seberang sana. Jarak ke tebing seberang sana kelihatan dekat sahaja tetapi aliran air di seberang sana sangat laju menerjah ke tanjung berbatu. Kalau waktu remaja dulu jarak yang lebih jauh dari ini saya renangi tetapi kini saya sudah berusia. Saya tidak mahu menanggung risiko, maka saya pakai life jaket. Saya nampak Wahab berenang ke seberang sana tanpa pakai life jaket. Akhirnya dia sampai di berberang. Wahab memanggil saya. Saya terus memulakan renangan. Sara terpaksa berjuang sekuat hati untuk sampai ke hujung julai jambu air di seberang sana. Kira-kira 10 meter lagi hendak sampai, saya rasa arus menerjah badan sangat kuat, saya terpaksa menguak sepenuh tenaga. Saya tidak boleh berpatah balik, mesti teruskan. Kini saya bertarung dengan arus yang ganas. Nasib baik saya pakai life jaket, kalau tidak rasanya lemas dibawa arus yang laju itu. Saya menjangkau sekuat hati dan kaki juga menguak ke belakang, akhirnya berjaya mencapai dahan jambu air. Saya rasa nafas macam nak putus. Selepas beberapa saat saya merangkak naik ke atas batu. Saya terlentang di atas batu itu hampir setengah jam untuk membetulkan pernafasan. Dalam pada itu Wahab mengajak saya berenang semula ke seberang. Saya kata mahu rehat lagi. Wahab terus terjun dan berenag ke seberang. Tiba-tiba Wahab menjerit minta tolong sambil tangannya melambai-lambai minta pertolongan. Saya yang masih tercungap-cungap tidak tahu apa nak buat. Tiba-tiba nampak sebuah bot menghilir sungai. Saya terus melambai tangan meminta lemparkan pelampung kea rah Wahab. Nasib baik pemandu bot itu bertindak pantas. Wahab berpaut pada pelampung dan ditarik ke tepi gigi air. Saya tidak boleh bayangkan apa yang akan terjadi jika tiada bantuan dari bot itu? Saya mengambil masa yang lama memulihkan semula nafas. Setelah berasa yakin, saya menyusur ke hulu dahulu lepas itu saya berenang perlahan-lahan melayan diri sikit demi sedikit meredah sungai, akhirnya saya berjaya mendarat di hujung pasir di sebelah hilir. Saya telah biasa dengan sungai. Saya tahu betapa ganasnya arus air. Tidak boleh dilawan sebaliknya melayan diri berkuak sedikit demi sedikit, akhirnya sampai juga tetapi akan hinggap di sebelah hilir. Saya pernah belajar Ilmu Pelayaran sewaktu tingkatan lima dahulu. Saya juga di besarkan di tepi sungai Pahang. Pengalaman lalu amat berguna untuk menyelamat diri di air.  Langkah berjaga-jaga sangat penting. Jangan lakukan aktiviti air jika tiada langkah keselamatan, elakkan risiko.

            Saya puji perancangan pengetua mengilirkan semua GPK dan Ketua Bidang berucap mewakili pengetua sewaktu perhimpunan pagi Isnin. Sewaktu mereka berucap, guru bercakap juga. Pelajar pula tidak beri perhatian, ada yang berborak menyebabkan ada guru meminta pelajar “berikan telinga kepada saya.” Kasihan cikgu, ucapan mereka sering diganggu. Satu pagi giliran cikgu Fauziah Rashid pula berucap. Biasanya kalau cikgu Fauziah bercakap pelajar akan bercakap juga. Pagi ini cikgu Fauziah memulakan ucapan dengan bertanya, “Nak dengar cerita tak?”Secara spontan dengar suara yang serentak, “Nak, nak.” Cikgu Fauziah mulalah bercerita fasal tiga orang budak tiga beradik miskin kedana. Mereka adalah anak yatim piatu. Panjang juga ceritanya. Sepanjang celoteh itu, suasana sunyi sepi, sangat berkesan dan meyakinkan. Saya sendiri terdiam dan memasang teliga, sungguh berkesan. Cikgu Fauziah berkata cerita ini beliau dapat dari novel. Maknanya kalau saya banyak membaca, saya juga mampu menarik minat pelajar atau guru mendengar ucapan saya. Mulai saat itu saya tanamkan sikap berjinak dengan buku. Buku yang menjadi pilihan saya ialah buku autobiografi.
            Satu hari pengetua saya, puan Hjh Hatijah Gan binti Abdullah beritahu saya, “Cikgu Yahya patutnya jadi pengetua.” Saya tak ambil kisah sangat kata-kata itu. Tuan Haji Otmhan Ramly waktu itu Ketua Sektor di Jabatan Pelajaran Pahang juga berkata begitu. Satu hari saya dihubungi oleh pegawai khas YH Dato Azmi, pengarah Jabatan Pelajaran Pahang meminta saya menulis surat melepaskan jawatan guru cemerlang kerana saya akan dilantik pengetua di Temerloh. Saya tidak tahu menahu percatoran itu. Rupa-rupanya satu hari saya menerima surat pelantikan sebagai pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar, Temerloh. Sebelum melangkah keluar, saya mahukan nasihat daripada rakan guru di SMK Maran. Saya memang mesra dengan guru perempuan juga. Saya minta mereka beri panduan kepada saya. Ada yang kata beli pakaian baru. Ada yang kata jangan berbual dengan guru yang muda sahaja ( maksudnya guru perempuan muda). Ada yang kata mesra dengan guru boleh tetapi jangan terlalu mendalam. Nampaknya mereka semua memberi nasihat tentang batas- batas pergaulan. Saya ambil kira pandangan mereka, itu adalah pandangan yang ikhlas.
            Selamat tinggal SMK Maran. Sekolah ini sangat banyak jasanya kepada saya. Saya menanggalkan baju Guru Cemerlang dan menyarung baju Pengetua pula.

No comments:

Post a Comment