Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jengka
Sudah kerap kali saya terfikir untuk
berubah tempat kerja. Sekali itu, saya terima surat pertukaran ke Jabatan
Pelajaran Pahang dalam tahun 1993 sebagai Penolong Pengarah Sains dan Matematik
menggantikan encik Choo Tai Chin yang dinaikkan pangkat sebagai pengetua. Saya
sempat bertugas di JPNP tidak sampai dua minggu. Di daun pintu terpampang tanda
nama dan jawatan “YAHYA BIN ZAINAL ABIDIN, Penolong Pengarah Sains &
Matematik”. Belum sempat memanaskan kerusi saya terima surat pembatalan
pertukaran. Saya kembali ke sekolah SHAH semula. Ini adalah satu keganjilan. Macam
mana boleh jadi macam itu? Katanya Bahagian Sekolah Berasrama Penuh tidak tahu
menahu tentang pertukaran saya ini. Tiba-tiba sahaja saya ditarik keluar. Saya
tidak kesah sangat sebab tidak melibatkan turun gred.
Tanggal
16 November 1995 saya menerima surat pelantikan pengetua Sekolah Menengah
Kebangsaan Seri Jengka, ringkasnya SMKSJ. Saya menggantikan encik Wan Mustama
bin Wan Hayat yang dinaikkan pangkat sebagai pengetua SMK Cliford. Terasa
seronok juga dapat jawatan baru di sekolah rancangan khas. Saya tetap bangga
walaupun gred jawatan masih DG41 sebab SMK Seri Jengka pada waktu itu sekolah
gred B. Berbetulan beberapa hari sebelum bertukar ke sekolah baru, saya dan WM
mewakili Pahang dalam pertandingan Kuiz Pengetahuan dalam Pengurusan anjuran
IAB di Kota Baru. Semasa dalam kereta dari Kuantan ke Kota Bahru beberapa jam
itu WM memberi kuliah kepada saya. Banyaklah panduan yang saya dapat. Panduan
itu sangat berguna mengelakkan kepala saya terlanggar sarang tebuan atau kaki
saya tejerlus dalam perigi mainan anak orang bunian. Walau bagaimana pun ada
beberapa perkara tidak diceritakan kepada saya. Saya boleh agak. Ada guru mahu
membahari azam bila bersama pengetua baru. Oleh itu saya tidak perlu kobek
kelemahan lalu individu tertentu. Saya anggap semuanya putih, maka minda saya
juga bersih dari prasangka buruk. Selama setahun setengah saya jadi pengetua,
tidak ada panduan misalnya kursus yang dihadiri. Saya laksanakan tugas dengan
cara merenung kembali apakah amalan baik pengetua, guru sesar zaman persekolahan
saya dulu. Saya juga cuba pakai amalan berkesan pengetua sewaktu saya sebagai
guru biasa. Mereka ialah Dato Yaakub Isa, Tuan haji Ismali Abas, Tuan hj
Mohamad Kamal bin Abdul Hamid, Tuan Haji Abdul Aziz Abdullah, Tuan haji Yahya
bin Abas, Dato Abdul Rahim bin Mohamed, Tuan haji Mohd Radzi bin Abdul Rahim
dan Tuan haji Jamal bin Suboh. Saya buat perbandingan, analisis dan pakai yang
mana sesuai pada sesuatu ketika. Banyak pelajaran yang saya perolehi dari
mereka yang berwibawa.
SMKSJ
terletak di tepi jalan besar antara simpang Jengka dan Bandar Maran. Dari jalan
besar kita boleh nampak sekolah ini tetapi sedikit terlindung oleh belukar
antara pagar sekolah dan jalan besar itu. Saya sungguh tidak selesa melihat
belukar itu. Di situ juga merupakan tempat guru membuang sampah dan perabot
buruk. Saya bertanya guru kawasan belukar itu di luar pagar sekolah, tugas
pihak berkuasa tempatan membersihkannya. Pihak berkuasa tempatan pula memang
tidak ambil tahu. Mata saya sentiasa sakit melihat belukar itu dan mencalar
imej sekolah. Saya mengambil langkah mengupah orang menebang semua pokok besar
yang tumbuh liar itu. Dahan dan rantingnya dicantas dan dilonggokkan. Beberapa
minggu kemudian pokok itu kering. Mudahlah pokok kering itu dimamah api. Kini
tinggal rumput liar paras pinggang. Sampah sarap seperti tin, plastik dan
perabot pula dilonggokkan setempat. Langkah seterusnya ialah menebas rumput. Saya
membeli lima puluh bilah sabit beharga rm4 sebilah. Saya mengajak 50 orang
pelajar lelaki bergotong royong menebas pada waktu petang. Oleh kerana ramai,
mereka tidak terasa jemu malah seronok dapat tengok kenderaan yang lalu lalang.
Keesokan harinya 50 orang yang lain pula. Dalam satu minggu sahaja rumput paras
pinggang itu licin. Kini lereng di luar pagar hingga ke jalan raya sudah Nampak
seperti kepala orang bergunting pendek. Akhir sekali saya menulis surat kepada
Majlis Daerah Maran meminta kawasan itu dimasukkan dalam kawsan pinggir jalan
yang mesti diselenggara setiap bulan. Longkang antara padang dan kaki bukit
telah tertimbus menyebabkan air hujan terus mengalir ke padang menyebabkan
sebahagian padang lembek. Sejalur padang bahagian yang hampir dengan bukit
tidak boleh digunakan. Kali ini saya ajak warden dan pelajar lakukan gotong
royong setiap hari minggu. Syarantnya nasi lemak dan air tea mesti ada. Selepas
penat bekerja kami makan bersama-sama. Akhirnya padang berjaya dipulihkan.
Budak lelaki boleh bermain bola dan bersukan dengan selesa. Selama berada di
sekolah ini, kami selalu melaksanakan gotong royong.
Semua
pelajar SMKSJ tinggal di asrama. Saya memerhati mereka belajar waktu malam.
Budak lelaki bila Nampak pengetua datang melawat kelas mereka pun meluru duduk
di kerusi. Ada diantaranya tak sempat kembali ke bilik kelas asal mereka. Mereka
bertengek di kerusi kawan kononnya berbincang. Nampak dua orang berkongsi satu
kerusi. Melalui pemerhatian saya, secara umumnya pelajar lelaki hanya boleh
bertahan duduk belajar sendiri di tempat masing-masing tidak lebih dari
setengah jam. Lepas itu mereka mulalah berbual-bual dan merayau. Pada mulanya
saya ambil tindakan merotan pelajar yang merayau itu. Namun tidak reda juga.
Budak perempuan boleh bertahan lebih lama lagi tetapi akhirnya berborak juga.
Mereka kurang merayau tetapi suka main cit-cat. Mereka suka tulis pada kertas
kecil lepas itu lipat jadi kcil. Ada juga dibolot-bolot jadi bentuk bola. Lepas
itu jentik atau baling kepada kawan. Kawan ambil, baca, tulis dan kembalikan
kepada kawan yang hantar tadi. Masalah ini tidak boleh dibiarkan. Untuk
mengatasi saya menugaskan warden membuat penyeliaan. Bukan setakat menyelia
dari luar kelas tetapi mesti memerhati dari dekat apa yang dilakukan oleh
pelajar. Kesimpulannya, pelajar perlu diselia agar masa ulangkaji dimanfaat
sepenuhnya.
Saya
terkejut besar bila melihat keputusan peperksaan percubaan SPM Matematik
Tambahan, semua pelajar gagal. Guru yang mengajar ialah cikgu Mariam Zaini.
Saya berbincang dengan beliau untuk membantu pelajar. Waktu itu masih ada masa
belajar masih dua bulan lagi. Saya ambil tugas menlaksanakan kelas pemulihan
kepada separuh yang bawah kira-kira dua puluh orang. Yang lain dikendalikan
oleh cikgu Mariam. Tiap-tiap petang
lepas asar saya himpunkan mereka di Makmal Komputer. Belajar di situ amat selesa
sekali kerana ada aircondision. Selepas dua minggu bertungkus lumus, saya
percaya sudah boleh lulus. Seorang pelajar telah kecundang, dia sudah menyerah
kalah. Puas kawan-kawan memujuknya agar hadir ke kelas tambahan tetapi tetap
dengan keputusannya. Khaldai walau pun kepalanya dibenamkan ke dalam air, tetap
juga tidak mahu minum. Saya serahkan balik mereka kepada cikgu Mariam. Bila
keputusan SPM diumumkan, hanya seorang sahaja yang gagal. Kami gembira anak
murid kami berjaya malah ada yang cemerlang.
Saya
sangat menitik beratkan kejayaan bila menyetai apa sahaja pertandingan. Setiap
tahun diadakan Karnivel Sekolah Rancagan Khas. Tahun 1997 diadakan di SMKA
Tengkau Ampuan Afzan Jerantut. Banyak permainan dipertandingkan. Ada acara
syarahan, bahas, permainan padang dan permainan dalaman seperti cator. Kami
bertungkus lumus melatih pelajar. Kami mahukan kejayaan. Memang seperti
dirancang, banyak kejayaan dan tidak diduga bahawa kami berjaya membawa pulang
piala pusingan. Kami berjaya mengalahkan semua sekolah rancangan khas di
Pahang. Pada tahun berikutnya carnival tahunan itu diadakan di SMK Cliford.
Kali ini persaingan paling sengit. Kali kedua berturut-turut kami berjaya
membawa pulang piala pusingan itu. Kali ini pasukan kami satu mata sahaja
menewaskan SMART.
Saya
tetap mengingati seorang pelajar ini, cukup saya panggil N. Budak ini boleh
tahan juga nakalnya. Banyak sekali kesalahan yang dilakukannya dan kerap juga
menerima hukuman. Satu hari saya mempengurusikan mesyuarat jawatan kuasa
displin pelajar. Ramai guru hadir. Kesalahannya yang terakhir ialah melawan
guru. Daripada hujah ahli, semua mencadangkan budak ini ditukar ke sekolah
lain. Saya percaya jika N tukar sekolah, dia akan tetap datang periksa di
sekolah ini kerana waktu itu sudah hampir dengan musim periksa. Lagi pening mengawalnya.
Saya mengambil keputusan sendiri iaitu merehatkan N seminggu di rumahnya. Saya
lihat ada wajah guru yang berkerut. Petang itu saya sendiri menghantarnya
pulang ke rumahnya di Rompin. Sewaktu sampai di rumahnya, saya terkejut melihat
tangga rumahnya adalah susunan kayu bulat. Waktu itu ibunya sahaja di rumah.
Saya terangkan maksud kedatangan saya. Saya lihat ibu N sayu sahaja selepas
mendengar penerangan saya. Bila saya berada dalam rumah terasa suasana sangat
malap. Mentol rumahnya jenis bulat, agaknya mentol 20 Watt? Saya menunggu
ayahnya pergi ke sawah menutup empang. Tidak lama kemudian bapa N sampai di
rumah. Saya lihat bapa N kurus kering, kuat kerja guna tulang empat kerat
agaknya. Ini membuatkan rasa saya semakin hiba. Saya rasa sangat zalim
menggantung persekolahan N. Serta merta saya beritahu ibu bapanya bahawa saya
mahu bawa N pulang semula ke sekolah tetapi N tidak boleh tinggal di asrama.
Saya mahu N tinggal di rumah saya. Serta merta saya lihat ibu N mengesat
matanya. Ibu dan bapa N menyerahkan segalanya kepada saya. Apabila sampai di
rumah, saya terangkan bahawa N akan jadi anak angkat kami dan tinggal di rumah
kami hingga tamat periksa. N pergi sekolah naik kereta bersama saya dan makan
berhadapan dengan saya. Nasib baiklah isteri saya memahami usaha saya ini. Guru
di sekolah berasa hairan dengan tindakan pelek saya itu. Selepas seminggu, N
mohon untuk pulang semula ke asrama dan berjanji mahu mengubah kelakuannya.
Saya mempercayai hasrat N lalu menghantarnya pulang ke asrama. Saya beritahu N agar
dia menepati janjinya. N mengangguk-anggukkan kepalanya. Saya tahu N tidak
boleh dilayan dengan kasar, dia perlukan kasih sayang. Bila saya bayangkan ibu
bapa N, saya teringatkan ibu bapa saya. Beberapa tahun kemudian saya dapat
berita bahawa N telah berjaya menamatkan pengajian ijazahnya di UPM. Syukur N
berjaya dalam pelajarannya. Harap N terus berjaya dalam hidupnya.
Selama
hampir dua tahun dua bulan di SMKSJ terasa sangat sekejap. Saya perhatikan
tiada permohonan tukar keluar. Ada satu dua sahaja kerana mengikut suami. Ini
memberi tanda mereka suka bekerja di sekolah ini. Memanglah bekerja dengan saya
sangat sibuk, aktiviti tidak putus-putus. Saya mengambil peluang berehat
sepenuhnya bila semua penghuni pulang ke rumah sebulan sekali. Inilah masa saya
melayan anak dan isteri. Bebetulan ketika itu anak bongsu saya Ami tengah
kemaruk mandi laut. Saya selalu melayaninya mandi di pantai Sepat. Rasa penat
bekerja hilang selepas pergi mandi laut bersama Ami.
Pada
waktu 1996 saya masih tidak faham apa itu internet? Tetapi saya sangat berminat
untuk menguasainya dan sekali gus mahu mendedahkan kepada guru dan pelajar
sekolah saya. Saya mengarahkan Roslan GPK HEM berunding dengan Utusan Malaysia
untuk menganjurkan kem Komputer Dalam Pendidikan. Diringkaskan cerita SMKSJ terpilih
mengnajurkan Kem Komputer. Majlis itu sungguh meriah. Wakil pelajar sekolah
seluruh Pahang hadir. Majlis hari itu dirasmikan oleh YAB Tun Khalil Yaakub,
Menteri Besar Pahang. Dato Johan Jaafar selaku Pengarah Urusan Utusan Malaysia
turut hadir. Barulah kami tahu apa itu internet. Berikutnya kami meneruskan
kursus pendedahan internet dengan memanggil mereka yang mahir memberi kursus
secara hand’s on. Kini guru SMKSJ
sudah berada di saf hadapan.
Ada
cerita lucu. Cikgu Zamri bertanya saya adakah SMKSJ mahu menyertai pertandingan
hoki? Saya sememangnya pemain hoki sewaktu sekolah menengah. Saya mahu pelajar
diberi peluang ambil bahagian. Cikgu Zamri kata sekolah kita tiada kayu hoki
walau sebatang pun. Saya terkejut besar. Saya mendapat tahu SMK Maran 2 ada
kelengkapan hoki tetapi tidak ambil bahagian. Saya berbincang dengan puan hjh
Maimunah, pengetua SMKM2 untuk meminjam set hoki sekolahnya. Saya tidak
menyangka beliau membenarkan kami memakainya dengan syarat dipulangkan balik.
Cikgu Zamri berjaya membentuk pasukan yang dikira mantap. Saya ada juga sekali
sekala menjenguk mereka berlatih. Saya lihat masih banyak kelemahan tetapi
pelajar bersemangat tinggi. Diringkaskan cerita, pasukan kami berjaya menang
dalam setiap kali perlawanan. Akhirnya kami masuk final bertemu dengan pasukan
SMK Tengku Ampuan Afzan Chnnor. Saya membekalkan buku permainan hoki kepada
cikgu Zamri. Ditakdirkan dalam pertandingan akhir itu kedua-dua pasukan terikat
seri 2-2 hingga habis masa tambahan. Kini pemenang ditentukan oleh penalty flick. Pemain pertama menghayun
kayu hoki ke arah bola. Bola meluru laju ke gawang lawan. Semua pemain kami
gembira. Seketika kemudian refri membatalkan gol tersebut. Pemain dan guru kami
kehairanan. Saya tidak hadir sewaktu perlawanan akhir itu. Cikgu Zamri serta
merta membuka buku, kini beliau tahu apa sebenarnya harus dilakukan. Peserta
lawan menghayun kayu hokinya sekuat hati kena tepat, maka bola itu masuk ke
gawang, penjaga gol tidak terdaya menampannya. Refri membatalkan jaringan itu.
Kini giliran SMK Seri Jengka pula. Pemain itu pantas menolak bola ke gawang.
Kali ini jaringannya disahkan. Kini giliran pemain lawan pula, wakilnya masih
menghayun stick sekuat hati, bola terbang masuk ke gawang tetapi pengadil
membatalnya. Maknanya mereka juga tidak tahu. Diringkaskan cerita, pasukan kami
menang dan dinobatkan juara daerah menggunakan set hoki pinjam. Banyak juga
stik yang patah, tercabut dan banyak kain pembalutnya terhurai. Cikgu Zamri
bertanya saya apa nak buat dengan kayu yang separuh hancur itu? Saya beritahu
cikgu Zamri bahawa sekolah kita akan beli set yang baru dan beri yang baru itu
kepada SMK Maran 2.
Sewaktu
diadakan mesyuarat agung Persatuan Kebangsaan Pengetua Seluruh Malaaysia
(PKPSM) cawangan daerah Maran, saya dilantik memegang jawatan pengerusi
sementara setia usahanya ialah encik Abdul Aziz bin Latif (kini Dato). Waktu
itu cikgu Aziz adalah pengetua SMK Maran. Saya harian juga mengapa mereka pilih
saya? Adakah ini satu bully? Satu penghormatan? Sepatutnya mereka tidak lantik
saya, sebabnya saya baru jadi pengetua dan gred saya ialah DG41, ramai lagi
yang gerid DG48. Oleh kerana ini adalah suara ramai, saya terpaksa pikul juga.
Antara aktiviti yang kami laksanakan ialah kursus kemahiran computer. Waktu itu
kebanyakan pengetua masih belum biasa menggunakan komputer untuk menulis
laporan menggunakan perisisan word star dan lotus123. Satu hari dipanggil oleh
Tuan Haji Jusoh Hasan, Pegawai Pelajaran Daerah Maran ke pejabatnya. Beliau
mengarahkan saya membuat siri lawatan ke SMK Jengka xx untuk membetulkan sikap
dan meningkatakan mutu kerja pengetuanya. Tugas saya macam mentor. Saya beri
tahu bahawa saya tidak layak menegur, menasihat dan memberi cadangan kepada
pengetua yang lebih tua dan lebih tinggi grednya. Pada waktu itu gred saya ialah DG41 sementara pengetua itu ialah DG48. Oleh kerana Sifat saya tidak berani melawan maka saya terima tugas itu
dengan perasaan yang amat berat. Saya melangkah masuk ke SMK Jengka XX.
Pengetua tercegat menunggu saya. Seterusnya pengetua mempelawa saya ke kantin
untuk membasah tekak. Saya puji kantin nampak bersih dan menarik. Pengetua
mengucap terima kasih. Beliau mengatakan pertama kali dia mendapat pujian sejak
jadi pengetua di sini. Kami meneruskan perbualan di pejabatnya tetapi saya beri
peluang beliau menerangkan apa yang dirancang, apa yang dilakukan dan apa
kejayaannya. Daripada penerangannya memang nampak apa yang dirancang kurang
menjadi dan kurang berjaya dalam pembentukan pasukan kerja. Selepas itu saya
bertemu dengan GPK1, GPK HEM, GPK Koko dan semua ketua bidang. Perbincangan
tidak disertai oleh Pengetua. Berbagai-bagai komen yang mereka berikan.
Kebanyakannya memburukkan pihak lain. Di akhir pertemuan itu saya menasihatkan
mereka agar memberi sokongan dan membantu pengetua. Inilah sahaja satu jalan
yang boleh mengangkat marwah sekolah. Saya nasihatkan mereka dengan berkata,
“Ketua kita kelihatan kurang stamina tiba-tiba seorang sengkang betisnya maka
tersungkurlah dia. Lepas itu ada orang di belakang pijak pula, habislah tak
bangunlah dia.” Adakah ini cara yang baik? “Anda semua masih muda, perjalanan
masih panjang, kita sepatutnya mencari kerja, mencari pengalaman, bila sampai
masa jadi ketua nanti tidak kekok.” Itulah kesimpulan kepada orang kanan
pengetua itu. Saya berjumpa pula dengan pengetua memberi sedikit nasihat agar
menguatkan pasukan kerja. Cuba adakan aktiviti bersama guru-guru. Saya
tinggalkan pengetua itu dengan penuh keraguan. Saya tidak yakin kehadiran saya
sekerat hari itu telah menyedarkan pasukan pemimpin SMK Jengka XX? Saya
laporkan tugas yang diarahkan itu kepada Pegawai Pelajaran Daerah. Saya rasa
tugas ini sangat janggal. Saya bimbang hubungan mesra saya dengan pengetua itu
menjadi renggang. Beberapa waktu berikutnya saya cuba rapatkan diri dengan
pengetua itu. Tiba-tiba satu hari pengetua itu berkata kepada saya, “Adinda,
saya telah buat apa yang adinda cadangkan itu, sekarang tolong cakapkan kepada
PPD kalau ada peluang rasa nak bertukar dekat sikit ke Trengganu.”
Saya membalas, “Kalau fasal itu
kekanda kena cakap sendirilah.”
Pengetua itu membalas, “Takutlah.”
Pengetua itu bergantung harap kepada saya. Ini memberi makna hubungan kami masih rapat
seperti dulu, Alhamdullillah.
Memang
banyak sekali nostalgia di SMKSJ. Semuanya masih melekat dalam kepala saya.
Bila saya renugkan, pelajar SMKSJ memang berkebolehan dan berbakat. Kita guru
perlu aktifkan mereka kalau tidak banyak masalah displin akan timbul. Macam-macam
hal, ada sahaja yang dilakukan. Ada yang pergi main bola di muara sungai
Jempol. Ada yang buat meriam buluh dan gunakan bahan letupan kobait. Aktiviti
belajar juga perlu dipelb agaikan, misalnya mengadakan kem kecemerlangna PMR di
Hotel Seri Malaysia Temerloh. Mengadakan perkampungan ilmu untuk pelajar
tingkatan lima di Komplek Kemas Jengka. Ada juga cerita kononnya pejabat SMKSJ
berhantu pada waktu malam. Kononnya mesin taip berbunyi pada waktu malam.
Mereka kata hantu yang menaip surat. Saya selalu berada di pejabat sekolah
seorang diri hingga larut malam, tiada apa pun gangguan. Adakah ini satu rekaan
atau hantu takut kepada orang yang berani? Saya rasa cukup puas menggerakan
sekolah ini. Satu hari saya menerima sepucuk surat pertukaran saya ke SMK Maran
sebagai Guru Penolong Kanan HEM. Saya terkejut besar dan berasa amat sedih.
Saya dapat tahu sekolah ini dinaik gred keg red A yang mana pengetuanya
mestilah gred DG48. Saya faham hakikat itu tetapi saya tawar hati untuk
melaksanakan tugas GPK semula. Sewaktu di SMKJ2 dan SHAH saya telah
melaksanakan tugas itu lebih lapan tahun. Saya tidak mahu mengulagi kerja lama. Bak kata
pepatah Cina, kuda belang tidak akan datang meragut rumput di padang ragut yang
lama. Inilah ketika yang paling memilukan dalam sejarah perkhidmatan saya
sebagai guru. Walau pun amat pedih, saya tidak memprotes pihak Jabatan
Pelajaran Pahang. Saya tawar hati hendak melaksanakan tugas jawatan terkini
itu. Sebaliknya saya mengambil tindakan berani iaitu mengambil cuti tanpa gaji
selama 360 hari. Ramai kawan kata saya merajuk. Mereka tidak tahu apa rancangan
saya? Biasanya hero keluar dari pintu depan tetapi kali ini saya seperti orang
tewas keluar dari pintu belakang. Jangan tanya ke mana saya pergi. Sama sekali
saya tidak menyangka begini jadinya. Apa yang boleh saya katakan, saya berjaya dalam
temuduga jawatan di luar negara. Sewaktu temuduga saya ditanya bertubi-tubi.
Soalannya ialah “How to teach weak student to understand trigonometry.” “How to
prove Phytogrous Theorem?”, “How to teach weak student to understand algebra?”
dan banyak lagi. Semuanya bertanyakan bagaimana hendak mengajar budak yang
lemah. Saya diberi maker pen dan diminta menerangkan di papan putih. Sesi
temuduga itu jadi macam sesi mengajar. Hampir dua jam saya diuji. Saya terpaksa
memerah segala kemahiran dan pengalaman yang ada. Bila difikir kembali seronok
juga ditemuduga begitu. Rupanya kelulusan dan kebolehan saya layak bekerja di
negara asing yang mewah! Terubat sedikit kekecewaan bila dapat kerja di luar
negara. Saya melangkah dengan perasaan yang bercampur. Seronok kerana kebolehan
dan pengalaman diberi nilai yang tinggi. Sebaliknya terasa pilu meninggalkan
isteri dan anak-anak.
3 comments:
Perkongsian pengalaman yang sangat bermakna.Kadang-kadang Allah menguji manusia untuk sesuatu yang lebih baik.
Terima kasih cikgu.. pengetua yg mengenalkan ict kepada pelajar smksj.. sy batch pertama belajar ict dan tuanku sultan phg dtg melawat kami belajar.. yab mb masa tu exco pendidikan lg.
Respect and that i have a dandy proposal: Where To Start House Remodeling home renovation victoria
Post a Comment