nuff

Friday, January 25, 2013

Tanah terbiar di Padang Kerbau, Lompat, Pesagi

Tanah tiga ekar di Padang Kerbau

24 Januari 2013. Kini jam 11.45 malam, mata masih tidak mengantuk. Saya tuliskan kisah ini.
Arwah emak berpesan supaya usahakan tanah tiga ekar itu. Berbelas tahun saya biarkan naik hutan. Sebelum ini ada pokok getah tetapi saya jual sewaktu harga pokok getah mencecah RM2,500 seekar. Lepas itu naik belukar. Tiga tahun yang lalu saya ambil tindakan membersihkan tanah itu dan buat longkang keliling. Tanah sudah gondol menanti untuk ditanam getah atau sawit. Hari demi hari tertangguh kerana kesibukan kerja hingga naik belukar semula.

Kini saya telah bersara, tiada alasan lagi. Saya menyuruh Din membersihkan tanah itu. Din masuk beberapa hari membersihkan menggunakan JCBnya. Dia terdaya setakah sesuku sahaja. Din tiada kemahiran membersihkan permukaan condong, dia menarik diri. Gagal lagi.
Beberapa hari kemudian saya berjumpa dengan Khairul bin Omar. Anak muda ini nampaknya sangat mahir kerja kampung. Dia sanggup memagar dan membersihkan tanah itu. Khairul menyelaraskan kerja. Dia mencari operator JCB yang mahir. Dua hari kemudian saya melawat, nampak ada kemajuan. Khairul menghantar turus pagar dari pokok tembesu sebanyak 131 batang. Oleh kerana dia bekerja pantas, saya juga perlu pantas buat bayaran. Saya beri pendahuluan sebanyak RM1,400.

 Khairul menyambung kerjanya hingga siap. Saya sangat berpuas hati dengan mutu kerjanya. Sebagai balasannya, saya bayar RM2700 untuk kerja cuci kawasan dan RM2500 untuk pagar elektrik.

23/2/2013
Saya telah berjaya memulakan kerja menanam getah bersama Ami, anak bongsu saya. Saya sangat gembira berjaya memulakan satu marathon yang mencabar. Kini baru 41 pokok dari 600 berjaya ditanam. Kebiasaannya saya mendaki gunung atau mengayuh basikal pada jarak puluhan kilometer, kini marathon yang berlainan sedikit tetapi yang sama ialah perlukan kekuatan fizikal dan kekuatan minda!


25 Disember 2013
Hari ini cuti umum, saya mengambil peluang menjenguk kebun getah di Kampung Lompat. Hati rasa terhibur melihat pokok getah telah mula melonjak. Kini usia pokok getah ini telah menjangkau 10 bulan.



Akak pokok getah ini klon 350. Setiap tiga bulan sekali saya bersama Shahmi menabur baja. Sementara kerja meracun saya suruh pekerja Indonesia yang bekerja dengan Bakri.


 Sementara anak pokok di lereng bukit ini jenis 1Malaysia. Jenis ini kelihatan lebih cepat besar dan banyak susu. Usia pokok ini telah melewati 10 bulan.

1 Januari 2014
Saya mengambil peluang cuti tahun baharu, saya membaja dan memotong dahan yang tumbuh pada batang pokok. Dalam pada nampak segar dan subur, ada terdapat beberapa batang telah mati, perlu ditanam semula. Kali ini saya menanam semula sebanyak 19 pokok. Selepas itu membaja pula. Kali ini habis dua setengah kampit baja 15-15-15. Kosnya ialah RM338. Ada beberapa batang pangkalnya dipenuhi rumput halus yang degil. Saya ambil peluang menanam keledek untuk percubaan. Jika menjadi ia akan jadi penutup bumi. Saya juga mencucuk batang ubi kayu. Terasa sangat terhibur bila melihat pokok hidup subur.


31 Januari 2104
Sudah dua minggu tiada hujan. Pokok yang baru ditanam itu mula layu dan warnanya kuning, daunnya mula gugur. Pokok ini jika tidak disiram pasti akan mati kering. Saya memberi bantuan dengan menyiramnya.
Dalam pada kelihatan melonjak tinggi, masih ada beberapa batang anak pokok getah yang masih rendah dan tidak subur. Rupanya seperti kanak-kanak sekolah juga. Dalam satu sekolah seramai 600 orang, ada yang terencat fizikalnya. Perlukan perhatian khusus untuk memulihkannya.

21 Disember 2014
Sudah tiga bulan saya tidak jenguk. Banyak dahan yang patut dipotong sudah lebih besar dari ibu jari. Kena guna parang untuk memotongnya. Pokok kelihatan subur. Bawah pokok masih terang. Hanyak suku ekar penuh dengan rumput dan anak pokok.


Sudah berusia satu tahun sembilan bulan.

15 September 2015
Inilah pemandangan terkini. Sudah berusia dua tahun tujuh bulan.


Suruh Sawal Indon meracun dan membaja minggu hadapan. Sawal telah racun pada19/9/15. Racun habis. Dia minta lagi. 21/9/15 saya hantar racun yang dimintanya. Saya juga memberi upah rm100. Bakinya akan beri bila siap kerja. Kerja seterusnya ialah membaja.

26 Sept. 2015.
Sempat melawat kebun sebentar. Nampak rumput telah kuning.

30/4/2017
Alhamdulilah..... dah dapat gran. Mohon tahun 2013.

26/6/17
Pokok sudah semakin besar, ada yang boleh toreh dah.

25/3/18
Banyak yang telah boleh ditoreh. Lima baris di puncak bukit kira2 100 pokok tidak subur dan kecil. Perlu buat sesuatu untuk tingkatkan produktiviti.

19/9/19
Telah mula toreh sejak dua bulan yang lalu Hasil jualan dibahagi dua. Telah merasa rm475. Syukur alhamdulillah. Usahaku 5 tahun setengah yang lalu telah mula makan hasil. Berbudi kepada tanah pasti diberi balasan yang baik. Untuk mendapat hasil kena berusaha ambil masa lama, hingga enam tahun, perlukan kesabaran dan pengorbanan masa dan wang. Belanja mengusahakan tanah ini dianggsrkan rm20,000. Wang yang diperolehi baru 2.38% daripada modal.
27/9/19
Dapat rm324, jumlah terkumpul rm799, dapat 3.99% daripada modal.
300 pokok telah toreh sejak tiga bulan lalu.
7/11/20... semua 500 pokok telah ditoreh.



4 comments:

Anonymous said...

salam, tak ada minta bantuan baja dari RISDA ker?

Anonymous said...

cantik pokok getah awak ni

Yahya Zainal Abidin said...

Terima kasih.

puan syu said...

Salam..nak tanya, semasa anak pokok getah 2 tahun, kekerapan meracun dan menabur baja tu berapa bulan sekali ye? Dan kerja mencantas mesti buat sebelum getah 2 tahun ke?

Post a Comment