CERMIN MATA ALIA
Alia
seorang gadis desa yang penyenyap bila di rumah tetapi aktif dalam permainan
bila di sekolah. Pelajarannya pula agak lemah. Alia menduduki peperiksaan SPM
tahun 1985. Dia hanya mampu dapat gred 3. Mata pelajarn Lukisan dapat A2 sementara
yang lain pada tahap lulus dan gagal. Mata pelajaran yang gagal ialah
Sejarah, Matematik dan Bahasa Inggeris.
Dunia persekolahan Alia sudah berakhir. Ayahnya bekerja kampung, kais pagi
makan pagi dan kais petang makan petang, seorang penoreh getah, menoreh getah
orang. Alia ramai adik beradik, beberapa orang masih belajar di sekolah rendah
dan menengah. Alia ada seorang abang, namanya
Majid yang berjaya dalam pelajaran, seorang guru berijazah.
Satu
hari Majid melihat keputusan SPM Alia, terus berkata kepada Alia, “Masih ada
harapan lulus lebih baik jika ambil sekali lagi. Awak ada bakat melukis, ini
satu kekuatan.”
Ayah
Alia terdengar kata-kata Majid, terus berkata, “Ah, alangkan berguru gagal, nak
ambil periksa sendiri tak nampak jalan.”
Pada
pandangan bapa Alia, dia memang tidak ada harapan lagi untuk maju dalam
pelajaran. Beliau tidak nampak jalan. Lagipun beliau ada banyak tanggungjawab
lagi hendak menyekolahkan ramai yang lain.
Majid
berkata, “Kita beri peluang kali kedua kepada dia. Saya akan tolong dia kali
ini.”
Beberapa
hari berikutnya Majid menguruskan pendaftaran peperiksaan SPM tahun 1986 untuk
Alia.
Majid
berkata kepada Alia, “Jom duduk bersama abang De (membahasakan dirinya kepada
Alia) beberapa bulan untuk belajar beberapa pelajaran.”
Kini
Alia tinggal bersama abangnya di Kuala Lipis. Majid mengatur strategi
membimbing dua mata pelajaran sahaja iaitu Sejarah dan Matematik. Pelajaran
lain Alia buat ulangkaji sendiri. Majid sebenarnya seorang guru yang mengajar
Sains Pertanian. Dia memang tiada pengetahuan tentang teknik pengajaran mata
pelajaran Sejarah. Majid mengatur strategi yang pelik. Majid meminjam skema
jawapan Sejarah SPM daripada kawannya, Raja Roha. Majid menyuruh Alia menjawab
semula soalan nombor satu mata pelajaran Sejarah tahun 1985 yang Alia dapat F9
(gagal) itu. Alia diberi masa 30 minit untuk menjawabnya. Dalam tempoh itu Alia
dibenarkan merujuk buku taks. Alia kelihatan begitu sibuk sekali menggunakan
masa 30 minit itu menulis jawapan dan sambil itu menyelak buku teks. Dia berjaya
menulis begitu panjang sekali. Kini giliran Majid pula membaca jawapan Alia
sambil itu Majid merujuk skema. Berkali-kali Majid membacanya untuk menanda
jawapan yang boleh diberi markah. Daripada dua puluh penuh, jawapan Alia hanya
dapat dua markah sahaja.
Alia
terkejut sekali sambil berkata, “Abang De, tak kanlah jawapan yang panjang
macam ini dapat dua markah aja?”
Majid
menerangkan 18 hujah yang tiada dalam jawapan Alia. Sambil menerang, Majid
menulis setiap fakta itu di papan hitam. Selepas itu Majid memberi masa
beberapa minit kepada Alia membaca dan menyalin semua fakta itu. Alia pergi
mendekati papan hitam, selepas itu dia menulis dalam notanya.
Kini
Alia dikehendaki menjawab soalan nombor dua pula. Selepas 30 minit, macam
biasalah Majid memberi markah kepada jawapan itu. Majid senyum, kerana jawapan
Alia telah ada peningkatan, terdapat enam hujah yang tepat. Kini Alia dapat
enam markah daripada 20, ada kemajuan. Alia kelihatan senyum dapat enam markah.
Macam tadi juga, Majid menerangkan 14 fakta yang tiada dalam jawapan Alia.
Sambil itu Majid menulis 14 fakta di papan hitam. Seterusnya Alia menghampiri
papan hitam dan menyalin fakta itu.
Majid
berasa hairan mengapa Alia menghampiri papan hitam sewaktu mahu menyalin
jawapan?
Majid
bertanya, “Mengapa pergi menghampiri papan hitam?”
Alia
menjawab, “Tak nampak.”
Majid
terkejut dengan jawapan itu sambil bertanya lagi, “Sejak bila tak nampak?”
Alia
menjawab, “Sejak tingkatan dua.”
Majid
terkejut mendengar jawapan Alia. “Selama ini macam mana awak belajar?”
“Dengar
sajalah.”
“Mengapa
tak buat cermin mata?”
“Cikgu
ada cakap suruh buat cermin mata. Lepas itu saya beri tahu ayah. Ayah kata
mengada sangat. Orang keluar U tak pakai cermin mata, ini awak baru tingkatan
dua dah nak pakai cermin mata.”
Majid
cukup belas mendengar jawapan Alia. Keesokan harinya Majid mengajak Alia ke
kedai cermin mata untuk buat cermin mata. Seminggu kemudian Alia mula memakai
cermin mata sewaktu Majid memberi bimbingan Sejarah. Kini Alia tidak perlu lagi
menghampiri papan hitam untuk menyalin jawapan. Alia dapat membaca buku teks
dengan selesa.
Selepas
dua bulan duduk bersama abangnya di Kuala Lipis, Alia berkata kini dia boleh
belajar sendiri di kampung. Majid tahu perasaan Alia. Alia kurang selesa duduk
bersamanya. Majid membenarkan Alia pulang ke kampung. Kini Alia pulang bersama
cermin mata barunya.
Diringkaskan
cerita berkat usahanya Alia berjaya dapat gred dua SPM pada kali kedua. Alia
membuat rayuan kepada Kementerian Pelajaran untuk menyambung pelajaran ke tingkatan
enam. Beberapa minggu berikutnya Alia mendapat berita gembira diterima menyambung
pelajaran ke tingkatan enam sastera di sebuah sekolah menengah di Raub.
Dipendekkan
cerita, Alia berjaya dalam pelajarannya dan kini bertugas sebagai seorang guru
terlatih. Guru Besar di sekolah tempat Alia bertugas mengatakan Alia seorang
guru yang dedikasi.
Alia
ada menulis di dalam dairinya, “Aku mati hidup semula.”
*************************
Alia
mula mendapat motivasi setelah
mendapat pengakuan abangnya bahawa dia mampu belajar lagi.
Masalah yang membelenggu Alia
berjaya diatasi bila dia
mendapat cermin mata. Satu penantian yang begitu lama.
Inilah
dua faktor utama peringkat awal yang mengupayakan Alia dalam pelajaran.
Akhirnya Alia dapat meneruskan lariannya mengekori rakan yang lain. Walaupun
tidak dapat memintas, dia tidak tercicir jauh di belakang, akhirnya berjaya
sampai juga ke garis penamat.
Kesimpulannya;
SESEORANG
YANG GAGAL BOLEH BERJAYA JIKA MENDAPAT MOTIVASI DAN BANTUAN AWAL. MOTIVASI ITU
BOLEH JADI BERBENTUK KATA NASIHAT YANG BERUNSUR MEMUJUK DAN MEMUJI SEHIGGA
MEYAKINKAN. SETERUSNYA KITA HARUS MENGESAN APAKAH MASALAH UTAMA YANG
MENGHALANGNYA. BANTU MEREKA MELEPASKAN HALANGAN ITU. SELEPAS ITU MEREKA MAMPU
BERDIKARI MEMBUKTIKAN YANG DIA JUGA BOLEH.
2 comments:
Jangan cepat membuat kesimpulan ... selami masaalah dan usahakan penyelesaian ...
Tapi sukar untuk berjumpa manusia yang mahu membimbing kerana kebanyakkan suka berpaling dari tanggungjawab ... Tahniah kepada Majid juga kepada Alia ...
Semua masalah pembelajaran Aliya selesai dengan satu tindakan.
Post a Comment