nuff

Sunday, July 28, 2013

Cermin Mata Alia


CERMIN MATA ALIA

Alia seorang gadis desa yang penyenyap bila di rumah tetapi aktif dalam permainan bila di sekolah. Pelajarannya pula agak lemah. Alia menduduki peperiksaan SPM tahun 1985. Dia hanya mampu dapat gred 3. Mata pelajarn Lukisan dapat A2 sementara yang lain pada tahap lulus dan gagal. Mata pelajaran yang gagal ialah Sejarah,  Matematik dan Bahasa Inggeris. Dunia persekolahan Alia sudah berakhir. Ayahnya bekerja kampung, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, seorang penoreh getah, menoreh getah orang. Alia ramai adik beradik, beberapa orang masih belajar di sekolah rendah dan menengah.  Alia ada seorang abang, namanya Majid yang berjaya dalam pelajaran, seorang guru berijazah.

Satu hari Majid melihat keputusan SPM Alia, terus berkata kepada Alia, “Masih ada harapan lulus lebih baik jika ambil sekali lagi. Awak ada bakat melukis, ini satu kekuatan.”

Ayah Alia terdengar kata-kata Majid, terus berkata, “Ah, alangkan berguru gagal, nak ambil periksa sendiri tak nampak jalan.”

Pada pandangan bapa Alia, dia memang tidak ada harapan lagi untuk maju dalam pelajaran. Beliau tidak nampak jalan. Lagipun beliau ada banyak tanggungjawab lagi hendak menyekolahkan ramai yang lain.

Majid berkata, “Kita beri peluang kali kedua kepada dia. Saya akan tolong dia kali ini.”

Beberapa hari berikutnya Majid menguruskan pendaftaran peperiksaan SPM tahun 1986 untuk Alia.

Majid berkata kepada Alia, “Jom duduk bersama abang De (membahasakan dirinya kepada Alia) beberapa bulan untuk belajar beberapa pelajaran.”

Kini Alia tinggal bersama abangnya di Kuala Lipis. Majid mengatur strategi membimbing dua mata pelajaran sahaja iaitu Sejarah dan Matematik. Pelajaran lain Alia buat ulangkaji sendiri. Majid sebenarnya seorang guru yang mengajar Sains Pertanian. Dia memang tiada pengetahuan tentang teknik pengajaran mata pelajaran Sejarah. Majid mengatur strategi yang pelik. Majid meminjam skema jawapan Sejarah SPM daripada kawannya, Raja Roha. Majid menyuruh Alia menjawab semula soalan nombor satu mata pelajaran Sejarah tahun 1985 yang Alia dapat F9 (gagal) itu. Alia diberi masa 30 minit untuk menjawabnya. Dalam tempoh itu Alia dibenarkan merujuk buku taks. Alia kelihatan begitu sibuk sekali menggunakan masa 30 minit itu menulis jawapan dan sambil itu menyelak buku teks. Dia berjaya menulis begitu panjang sekali. Kini giliran Majid pula membaca jawapan Alia sambil itu Majid merujuk skema. Berkali-kali Majid membacanya untuk menanda jawapan yang boleh diberi markah. Daripada dua puluh penuh, jawapan Alia hanya dapat dua markah sahaja.

Alia terkejut sekali sambil berkata, “Abang De, tak kanlah jawapan yang panjang macam ini dapat dua markah aja?”

Majid menerangkan 18 hujah yang tiada dalam jawapan Alia. Sambil menerang, Majid menulis setiap fakta itu di papan hitam. Selepas itu Majid memberi masa beberapa minit kepada Alia membaca dan menyalin semua fakta itu. Alia pergi mendekati papan hitam, selepas itu dia menulis dalam notanya.

Kini Alia dikehendaki menjawab soalan nombor dua pula. Selepas 30 minit, macam biasalah Majid memberi markah kepada jawapan itu. Majid senyum, kerana jawapan Alia telah ada peningkatan, terdapat enam hujah yang tepat. Kini Alia dapat enam markah daripada 20, ada kemajuan. Alia kelihatan senyum dapat enam markah. Macam tadi juga, Majid menerangkan 14 fakta yang tiada dalam jawapan Alia. Sambil itu Majid menulis 14 fakta di papan hitam. Seterusnya Alia menghampiri papan hitam dan menyalin fakta itu.

Majid berasa hairan mengapa Alia menghampiri papan hitam sewaktu mahu menyalin jawapan?

Majid bertanya, “Mengapa pergi menghampiri papan hitam?”

Alia menjawab, “Tak nampak.”

Majid terkejut dengan jawapan itu sambil bertanya lagi, “Sejak bila tak nampak?”

Alia menjawab, “Sejak tingkatan dua.”

Majid terkejut mendengar jawapan Alia. “Selama ini macam mana awak belajar?”

“Dengar sajalah.”

“Mengapa tak buat cermin mata?”

“Cikgu ada cakap suruh buat cermin mata. Lepas itu saya beri tahu ayah. Ayah kata mengada sangat. Orang keluar U tak pakai cermin mata, ini awak baru tingkatan dua dah nak pakai cermin mata.”

Majid cukup belas mendengar jawapan Alia. Keesokan harinya Majid mengajak Alia ke kedai cermin mata untuk buat cermin mata. Seminggu kemudian Alia mula memakai cermin mata sewaktu Majid memberi bimbingan Sejarah. Kini Alia tidak perlu lagi menghampiri papan hitam untuk menyalin jawapan. Alia dapat membaca buku teks dengan selesa.

Selepas dua bulan duduk bersama abangnya di Kuala Lipis, Alia berkata kini dia boleh belajar sendiri di kampung. Majid tahu perasaan Alia. Alia kurang selesa duduk bersamanya. Majid membenarkan Alia pulang ke kampung. Kini Alia pulang bersama cermin mata barunya.

Diringkaskan cerita berkat usahanya Alia berjaya dapat gred dua SPM pada kali kedua. Alia membuat rayuan kepada Kementerian Pelajaran untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam. Beberapa minggu berikutnya Alia mendapat berita gembira diterima menyambung pelajaran ke tingkatan enam sastera di sebuah sekolah menengah di Raub.

Dipendekkan cerita, Alia berjaya dalam pelajarannya dan kini bertugas sebagai seorang guru terlatih. Guru Besar di sekolah tempat Alia bertugas mengatakan Alia seorang guru yang dedikasi.

Alia ada menulis di dalam dairinya, “Aku mati hidup semula.”

 

*************************

Alia mula mendapat motivasi setelah mendapat pengakuan abangnya bahawa dia mampu belajar lagi.

Masalah yang membelenggu Alia berjaya diatasi bila dia mendapat cermin mata. Satu penantian yang begitu lama.

Inilah dua faktor utama peringkat awal yang mengupayakan Alia dalam pelajaran. Akhirnya Alia dapat meneruskan lariannya mengekori rakan yang lain. Walaupun tidak dapat memintas, dia tidak tercicir jauh di belakang, akhirnya berjaya sampai juga ke garis penamat.  


Kesimpulannya;

SESEORANG YANG GAGAL BOLEH BERJAYA JIKA MENDAPAT MOTIVASI DAN BANTUAN AWAL. MOTIVASI ITU BOLEH JADI BERBENTUK KATA NASIHAT YANG BERUNSUR MEMUJUK DAN MEMUJI SEHIGGA MEYAKINKAN. SETERUSNYA KITA HARUS MENGESAN APAKAH MASALAH UTAMA YANG MENGHALANGNYA. BANTU MEREKA MELEPASKAN HALANGAN ITU. SELEPAS ITU MEREKA MAMPU BERDIKARI MEMBUKTIKAN YANG DIA JUGA BOLEH.


 

2 comments:

zeman machanggelap said...

Jangan cepat membuat kesimpulan ... selami masaalah dan usahakan penyelesaian ...
Tapi sukar untuk berjumpa manusia yang mahu membimbing kerana kebanyakkan suka berpaling dari tanggungjawab ... Tahniah kepada Majid juga kepada Alia ...

Anonymous said...

Semua masalah pembelajaran Aliya selesai dengan satu tindakan.

Post a Comment