Tarikh yang tepat tidak pasti tetapi sekitar pertengahan April 1972. Saya menerima sepucuk surat yang dikirim oleh Pengetua Sekolah Menengah Abdul Ramhan Talib (ringkasnya SMART). Kandungan surat itu memberi tahu bahawa saya ditawar melanjutkan pelajaran di tingkatan enam rendah sains di sekolah itu. Tarikh mula persekolahan ialah pertengahan bulan Mei 1972. Saya sungguh gembira dapat menyambung pelajaran ke tingkatan enam sains. Bersama surat itu dikepil sekali senarai buku teks dan peralatan yang mesti dibeli, wah alangkah terkejutnya jumlah wangnya RM283. Saya terus tawar hati, mana nak cari wang sebanyak itu. Ayah saya baru dua bulan jadi peneroka felda di Felda Padang Piol, Jerantut. Elaun sara hidup yang ayah terima ialah RM75 sebulan. Saya berfikir sudah tentu ayah tidak mampu untuk menyekolahkan saya.
Saya ceritakan kepada ayah maksud surat itu. Ayah kelihatan gembira. Saya ceritakan bahawa kena bayar RM283. Saya katakan kepada ayah tak mahu sekolah. Saya hendak mohon kerja aja.
“Kerja apa yang awak nak buat?”, sergah ayah.“Nak kerja FA ladang, kelulusan gred 2 memang layak, orang gred 3 pun boleh dapat kerja.” Jelas saya kepada ayah. Waktu itu saya memang minat nak jadi FA sebab mereka semua pakai motosikal keluar masuk ladang.
“Awak budak-budak lagi mana boleh kerja lagi, kerja FA itu payah tahu, bukan senang jaga peneroka, peneroka degil-degil tau. Awak mesti sekolah dulu.” Jelas ayah. Saya pelek juga mengapa ayah kata peneroka degil, padahal dia peneroka juga. Ayah menilai diri sendiri ke? Jangan-jangan ayah aku dari golongan bermasalah?“Macam mana nak sekolah, encik mana ada duit banyak itu.” Saya membalas cakap ayah. Saya panggil ayah saya dengan panggilan “encik”.
“Tugas awak sekolah, tugas kon cari duit.” Ayah membalas dengan suara yang semakin meninggi. Nampaknya ayah dah mula naik angin. Saya tidak tertarik dengan pengakuan ayah. Pada saya semangat tinggi tidak berguna kalau dalam poket tiada duit. Saya memang tawar hati untuk menyambung pelajaran bedasarkan keadaan ayah yang serba kekurangan. Perbualan kami terhenti di sini.
Keesokan pagi ayah mengajak saya berjumpa pengurus Felda Padang Piol. Nama pegawai itu saya telah lupa tetapi kalau nak dapatkan nama itu saya boleh dapat. Isteri pengurus itu juga staf felda itu, dia adalah kakak kepada rakan sekelas saya sewaktu tingkatan lima. Nama kawan saya itu ialah Zaimun binti Othman.
Ayah menyatakan kepada pengurus bahawa saya dapat tawaran menyambung pelajaran ke tingkatan enam dan bayarannya RM283. Ayah menyatakan mahu mohon pinjaman dari tabung pendidikan felda.
“Maaf abang Zainal, felda kita ini baru buka masih belum ada tabung pendidikan itu.”
“Macam mana ni encik? Kerajaan kata masuk felda bagus, cerah masa depan. Kalau macam ini apa bagusnya?” ayah melepaskan hujahnya dengan nada geram. Saya nampak muka pengurus itu dalam keadaan serbasalah. Saya agak dia bersimpati juga.
Kami pulang ke rumah dengan rasa hampa.
Keesokan harinya ayah pergi ke pejabat felda sekali lagi. Saya ikut juga nak tahu apa ceritanya. Ayah terus berjumpa pengurus.
“Beginilah encik, kalau felda tak ada duit, saya ada satu cadangan.” Ayah melontarkan hujuah awalnya kepada pengurus.
“Apa cadangan abang Zainal?”, Tanya pengurus.
“Encik beri saya cuti sebulan, saya nak balik kampong, saya nak menoreh getah, saya yakin dapat duit untuk sekolahkan anak saya.” Kata ayah kepada pengurus. Saya lihat pengurus termenung seketika.
“Beginilah, memang tidak ada peruntukan membenarkan peneroka keluar hingga sebulan, tetapi saya sungguh simpati dengan abang Zainal, saya benarkan abang Zainal cuti sebulan tetapi elaun RM75 itu tak layak terima, sanggup ke?” Balas pengurus.
“Tak apa encik, saya tak kesah hilang rm75, saya lebih bimbang kalau anak saya tak sekolah. Terima kasih banyak encik.” Balas ayah dengan gembiranya.“Saya gembira semanagat abang Zainal. Harap abang Zainal dapat wang yang dihajatkan itu. Bila nak balik kampong?” Tanya pengurus.
“Esok saya akan balik kampong.” Balas ayah.
Berhenti di sini kerana kereta dah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Kini jam menunjukan 4.55 petang.
Ayah pulang ke kampung seorang diri. Saya pula mengambil upah meracun. Tiap-tiap pagi pikul pam galas. Kalau tong pam itu penuh dengan air yang dibancuh racun memang amat berat, rasa bengkok pinggang. Saya dan beberapa orang lagi diselia olah abang Kamarulzaman sebagai mandurnya. Abang Kamarulzaman adalah ketua belia di felda ini. Kalau beri arahan, wah sangat tegas, memang tiada peluang hendak tuang. Upah satu hari ialah rm2.80. Saya rasa sangat jemu melakukan kerja ini. Tiap-tiap hari memikul beban, lepas itu sentisa kena arah oleh mandor. Ikut hati mahu berhenti aja, tetapi ayah pesan mesti cari duit untuk pergi sekolah.
Sebulan kemudian, tiba-tiba ayah pulang. Saya terkejut besar lihat badan ayah kurus dan kulitnya gelap mungkin berjemur. Saya kasihan sangat lihat keadaan ayah jadi begitu kurus, mungkin banyak kerja dan kurang makan?
Esok saya akan melangkah ke sekolah semula, menyambung pelajaran ke tingkatan enam rendah. Ayah menghulurkan wang sambil berkata, “ini duit rm300 untuk awak pergi sekolah.”
Saya terkejut kerana ayah kotakan janjinya.
Saya memulakan persekolahan di tingkatan enam rendah bulan Mei tahun 1972 dengan semangat yang berkobar-kobar.
Kini jam 7.05 malam. Saya akan masukkan catatan ini ke dalam blog Warisan Pesagi, http://warisanpesagi.blogspot.com/
Assalamualaikom. Saya begitu tertarik dengan cerita tuan. Membaca coretan tuan mengingatkan peristiwa saya begitu berterima kasih kepada bapa saya. pada tahun 1985 saya mengambil SPM dan ketika itu Yuran SPM bernilai RM106.00. Saya adalah antara orang yang terakhir membayar yuran SPM berkenaan kerana kemiskinan kami. Kalau tuan bertuah enjadi sebahagian dari peneroka dan bapa tuan berpeluang menoreh getah untuk mencari wang membiayai tuan, bapa saya telah melakukan kesalahan dengan menjual baja bantuan kerajaan beberapa guni untuk membayar yuran. Saya sungguh terharu dan masih ingat sehingga kini apa yang arwah bapa saya nyatakan sewaktu selepas malam bila menyerahkan wang berkenaan kepada saya." ini duit Rm106.00 untuk menbayar yuran SPM kamu" jangan cakap kat orang yang ayah jual baja bantuan kerajaan tadi untuk dapatkan yuran kamu". Saya tergamam dan sehingga kini saya masih teringat lagi akan peristiwa itu... Terima kasih ayahku. Al fatihah.
ReplyDeleteUKPC, sebenarnya kita beruntung ada ayah yg sayang dan bersemangat tinggi. Tak terbalas pengorbanan ibu dan ayah.
ReplyDeleteAyahanda berbudi berjasa, anakanda berkobar penuhi ilmu di dada, jasa ayah dikenang, akhirnya anak hidup senang. Terima kasih ayah, budimu dilupa amatlah payah..
ReplyDeleteBangga campur sedih bila membaca kisah ni.
ReplyDeleteBaca kisah Unit Kaunseling PPD Cameron lagi menyayat hati. Itu felda zaman dulu, mula2 buka dan ketika buah sawit tiada harga. Kini felda dah kukuh dan peneroka felda dah senang. Ayah saya walaupun keluar felda, kehidupan dia kira ok lah. Ayah kuat kerja, jadinya adalah sikit kebun sawit.
ReplyDelete