Saya melangkah masuk ke SMK Maran
kali ketiga. Kali pertama pada 20 Jun 1969, saya menyambung pelajaran di
tingkatan tiga hingga lulus SRP. Saya sangat berterima kasih kepada arwah cikgu
Mohd bin Ghani, Guru Besar yang menerima saya tukar masuk ke sini. Saya juga
sanagat menghargai jasa guru yang dedikasi mendidik saya. Walau pun saya
belajar hanya lima bulan tetapi sentuhan mereka sangat bermakna.
Kali kedua
pada 15 Januari 1998 saya ditukarkan ke sini sebagai Guru Penolong Kanan HEM. Walau
bagaimana pun saya hanyak menjejakkan kaki selama seminggu sahaja. Saya
mengambil cuti tanpa gaji selama 360 hari. Dalam tempoh percutian itu, saya
menghantar surat letak jawatan ke Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Mengikut rancangannya, saya akan berhenti mulai Februari 1999. Tiba-tiba
sekitar awal Januari 1999 saya menerima surat tawaran jawatan guru cemerlang
Matematik DG48 dari KPM. Pada mulanya saya pandang sepi sahaja surat itu. Saya
tetap mahu tamatkan perkhidmatan saya dengan KPM. Tugas yang saya laksanakan
kini jauh lebih lumayan ganjarannya. Dalam pada itu saya mendengar pandangan
isteri dan anak-anak. Saya mula faham bahawa betapa sukarnya isteri menjaga
anak yang sedang membesar. Mereka lebih suka kalau saya kembali berkhidmat di
Malaysia. Demi menghormati suara semua orang dalam rumah ini, saya katakan akan
adakan undian pada satu pagi. Soalannya “Siapa suka ayah bekerja di Malaysia
sila angkat tangan?” Saya dapati lima orang angkat tangan. Undi itu datangnya
dari Wan Abzan, Hidayah, Syafik, Hanis dan Ami. Keputusannya 5-1. Saya akur
kepada kehendak isteri dan anak-anak. Maka saya menulis surat kepada KPM
menyatakan hasrat mahu menarik balik notis letak jawatan. KPM meluluskan
permohonan pembatalan hasrat berhenti saya itu.
Awal Februari 1999 saya
melangkah masuk ke SMK Maran kali ketiga sebagai guru cemerlang Matematik gred
DG48. Saya berasa seronok dapat pengiktirafan itu. Saya seronok duduk ramai-
ramai di bilik guru. Saya boleh menyesuaikan diri dengan cepat. Rakan sebilik
guru saya ialah Zolpatai, SA Azman, Ustaz Hadi, Ustaz Hashim, Rahim Jamari, Nik
Raman, Shukri, Hj Rahim, Mat Kilau, Hj Nor, Wahab, Che Abdullah, Wahab Kecik
dan Jamil. Saya
diberi tugas mengajar Matematik Tambahan dan Matematik. Pengetua memberi saya
tugas yang mencabar iaitu mengajar kelas yang hujung. Dua tahun yang pertama
saya rasa sungguh tercabar memahamkan pelajar. Mereka rata-rata sangat lemah
asas kiraan. Kadang-kadang ada rasa menyesal memegang jawatan GC ini. Akhirnya
saya faham tahap mana harus saya mulakan. Kini bila masuk kelas 5 Cempaka saya
beri latihan yang sangat mudah iaitu latihan tahap darjah lima. Saya
fotostatkan latihan dari buku tetapi tutup tajuk “Darjah 5” yang ada pada
kertas asal itu. Mereka kata, “Macam inilah bagus cikgu, baru boleh jawab.”
Saya menggunakan teknik ansur maju. Berikutnya saya gunakan bahan darjah enam.
Berbulan juga latihan secara berurutan itu saya laksanakan. Akhirnya mereka
suka mengikuti pengajaran saya. Mengajar kelas 5 Cempaka ini memang banyak
sangat cabarannya. Seorang pelajar perempuan namanya Dilah, boleh tahan juga
lawarnya, selalu bergincu. Dia ini menjadi rebutan budak-budak lelaki kelas
ini. Ada sahaja gangguan. Dilah ini pula melayan semua orang menyebabkan ramai
yang pasang angan-angan. Kerja tambahan saya sewaktu mengajar ialah menjaga
kebajian dan keselamatan Dilah. Saya tidak kawal terlalu ketat bimbang pelajar
lelaki marah pula kepada saya. Atau bimbang saya dicap sebagai kacau daun. Saya
mengawal untuk mengelakkan huru hara sahaja. Kalau tak pandai berlabu, putus
tali pancing jawabnya. Ada guru perempuan keluar dari kelas ini menangis dan
merajuk. Anak anak kelas 5 Cempaka, walau pun tidak minat belajar, rupanya
mereka mengajar saya menjadi lebih kreatif dan menambahkan ilmu mendekati
pelajar yang tidak minat belajar. Mereka cukup gembira bila saya berbual dan
bertanyakan apa yang mereka buat pada hari cuti. Saya juga mereka cipta
berbagai alat bantu mengajar untuk menarik minat mereka.
Satu
hari saya juga dibuli oleh mereka. Bila saya masuk kelas ada tujuh orang
pelajar lelaki tidak berdiri. Mereka kelihatan menundukkan kepala, kononnya
macam orang tidur. Saya tahu mereka berpura-pura tidur. Kalau waktu muda dulu
tentu saya usik mereka dengan pembaris. Saya tolakkan pembaris ke perut dan
pulas. Perut terpulas dan pedih mesti bangun dan menjerit kesakitan. Kini saya
pakai baju guru cemerlang mesti pakai psikologi menggerakkan mereka. Saya menggunakan
pendekatan bercerita. Semua pelajar ketawa geli hati. Empat orang yang tidur
itu turut ketawa dan terus duduk tegak. Tiga orang masih tunduk, tidur sungguh
agaknya? Tidak mengapa, saya mencuba lagi dengan membawa cerita yang kedua
dengan harapan tiga orang yang tunduk itu ketawa dan bangun. Sedang saya
bercerita, tiba-tiba pengetua muncul masuk ke kelas. Beliau terus menegur saya,
“Mengapa biarkan tiga orang ini tidur?” Saya terkejut besar dan menyatakan
keadaan yang sebenarnya. Pengetua masih tidak puas hati dengan penerangan saya.
Nampaknya inilah risiko bila kita menggunakan pendekatan yang kreatif. Ia
memakan masa dan banyak risikonya. Sejak hari itu pelajar kelas 5 Cempaka tidak
lagi “tidur” sewaktu saya mengajar. Mereka tahu saya telah ditegur oleh
pengetua. Barang kali mereka bersimpati dengan saya. Yang peleknya budak budak
kelas inilah yang sangat rapat dengan saya walaupun telah bertahun mereka
meninggalkan bangku sekolah.
Bila
berhadapan dengan pelajar yang kurang minat belajar dan lambat faham menyebabkan
saya berfikir untuk mencari jalan. Saya mula berjinak dengan kajian tindakan.
Kajian tindakan itu memberi tenaga baru kepada saya. Saya berjaya menghasilkan
banyak kajian tindakan tetapi ada dua yang paling berkesan. Yang pertama ialah Kajian Memudahkan Memahami Nombor Asas Dua
dan Asas Lapan. Kajian ini menggunakan straw yang didikat dan diletakkan di
dalam kotak. Pelajar melakukan aktiviti. Pelajar suka melakukan aktiviti itu
dan berjaya memahami konsep yang abstrak itu. Kajian ini saya kongsikan dengan
guru-guru Pahang dalam satu Seminar Kajian Tindakan peringkat negeri di Swiss
Garden, Balok, Kuantan. Kajian yang kedua ialah Kajian Mengingati Nama Pelajar Adalah Satu Kaedah Pengajaran Mesra
Pelajar. Kajian ini saya lakukan kepada kelas 5 ERT. Kajian ini memberi satu impark besar dalam
pengajaran saya. Saya dapati pelajar lebih bersemangat belajar. Kajian ini
berjaya dipilih oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan dibentangkan
dalam seminar kebangsaan di Eden Hotel, Johor Bahru. Saya kerap kali dipanggil
oleh pihak sekolah lain membentang hasil kajian ini. Inilah kepuasan saya.
Laporan kajian tindakan ini diterbitkan dalam Jurnal PKPSM Kebangsaan tahun
2006.
Saya
dapat rasakan bahawa tugas sampingan semakin banyak. Di sekolah saya adalah
pengerusi kelab guru. Di luar, saya dilantik Yang Dipertua Majlis Guru
Cemerlang Pahang. Saya dan AJK MGC menggerakkan aktiviti seperti bengkel dan
khidmat nasihat kepada guru mata pelajaran. Saya juga dilantik panel penggubal
kurikulum dan kerja kursus Matematik Tambahan oleh Pusat Perkembaangan
Kurikulum. Ini adalah kerja yang mencabar tetapi saya suka tugas ini. Kami
memeras otak mereka cipta soalan kerja kursus Matematik Tambahan. Selepas
berjaya mebina soalan kena beri penerangan pula kepada Jurulatih Negeri. Saya
antara guru matematik yang mahir dalam perisian Geometer Skecth Pad. Saya
mengikuti kursus GSP ini di RECSEM selama seminggu. Selepas itu saya selalu
mencuba memahirkan diri. Kerap kali saya gunakan perisian GSP ini sebagai alat
bantu mengajar. Berikutnya saya dilantik menjadi Fasilitator GSP Kebangsaan
oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Banyak juga masa mengajar rasmi ditinggalkan.
Walau pun ada guru ganti tetapi mereka tidak mampu menerangkan isi kandunagan
pelajaran yang sepatutnya diajar. Saya selalu adakan kelas ganti tetapi
beberapa orang tidak dapat hadir. Situasi
ini nampak menjejaskan prestasi pelajar. Saya mula rasa serba salah.
Sebagai
pengerusi kelab guru, banyak juga aktiviti yang kami lakukan tetapi yang paling
seronok sekali ialah aktiviti perkelahan. Aktiviti perkelhan yang paling
melekat dalam kepala saya ialah perkhemahan di tepi sungai Tembeling. Kami
berkhemah di satu tanjung berpasir antara Kampung Pagi dan Kampung Kuala Sat.
Antara guru yang ikut serta ialah Ustaz Hadi dan Wahab. Kami memasang beberapa
buah khemah di atas permukaan pasir di tepi tebing yang tinggi. Sebelah petang
ada rakan saya bersama belia Kampung Pagi merentang jaring di tengah sungai.
Jaring itu hanyut beberapa kilometre. Banyak juga ikan lawang yang tersangkut
di jarring. Itulah yang dijadikan lauk makan malam. Ada juga kawan yang
memancing tetapi dapat ikan kecil sahaja. Saya dan Wahab pula mandi di tepi
lubuk. Wahab mengajak saya berenang ke seberang sana. Jarak ke tebing seberang
sana kelihatan dekat sahaja tetapi aliran air di seberang sana sangat laju
menerjah ke tanjung berbatu. Kalau waktu remaja dulu jarak yang lebih jauh dari
ini saya renangi tetapi kini saya sudah berusia. Saya tidak mahu menanggung
risiko, maka saya pakai life jaket.
Saya nampak Wahab berenang ke seberang sana tanpa pakai life jaket. Akhirnya
dia sampai di berberang. Wahab memanggil saya. Saya terus memulakan renangan.
Sara terpaksa berjuang sekuat hati untuk sampai ke hujung julai jambu air di
seberang sana. Kira-kira 10 meter lagi hendak sampai, saya rasa arus menerjah
badan sangat kuat, saya terpaksa menguak sepenuh tenaga. Saya tidak boleh
berpatah balik, mesti teruskan. Kini saya bertarung dengan arus yang ganas.
Nasib baik saya pakai life jaket, kalau tidak rasanya lemas dibawa arus yang
laju itu. Saya menjangkau sekuat hati dan kaki juga menguak ke belakang,
akhirnya berjaya mencapai dahan jambu air. Saya rasa nafas macam nak putus.
Selepas beberapa saat saya merangkak naik ke atas batu. Saya terlentang di atas
batu itu hampir setengah jam untuk membetulkan pernafasan. Dalam pada itu Wahab
mengajak saya berenang semula ke seberang. Saya kata mahu rehat lagi. Wahab
terus terjun dan berenag ke seberang. Tiba-tiba Wahab menjerit minta tolong
sambil tangannya melambai-lambai minta pertolongan. Saya yang masih
tercungap-cungap tidak tahu apa nak buat. Tiba-tiba nampak sebuah bot menghilir
sungai. Saya terus melambai tangan meminta lemparkan pelampung kea rah Wahab.
Nasib baik pemandu bot itu bertindak pantas. Wahab berpaut pada pelampung dan
ditarik ke tepi gigi air. Saya tidak boleh bayangkan apa yang akan terjadi jika
tiada bantuan dari bot itu? Saya mengambil masa yang lama memulihkan semula
nafas. Setelah berasa yakin, saya menyusur ke hulu dahulu lepas itu saya
berenang perlahan-lahan melayan diri sikit demi sedikit meredah sungai,
akhirnya saya berjaya mendarat di hujung pasir di sebelah hilir. Saya telah
biasa dengan sungai. Saya tahu betapa ganasnya arus air. Tidak boleh dilawan
sebaliknya melayan diri berkuak sedikit demi sedikit, akhirnya sampai juga
tetapi akan hinggap di sebelah hilir. Saya pernah belajar Ilmu Pelayaran
sewaktu tingkatan lima dahulu. Saya juga di besarkan di tepi sungai Pahang.
Pengalaman lalu amat berguna untuk menyelamat diri di air. Langkah berjaga-jaga sangat penting. Jangan
lakukan aktiviti air jika tiada langkah keselamatan, elakkan risiko.
Saya puji perancangan pengetua
mengilirkan semua GPK dan Ketua Bidang berucap mewakili pengetua sewaktu
perhimpunan pagi Isnin. Sewaktu mereka berucap, guru bercakap juga. Pelajar
pula tidak beri perhatian, ada yang berborak menyebabkan ada guru meminta
pelajar “berikan telinga kepada saya.” Kasihan cikgu, ucapan mereka sering
diganggu. Satu pagi giliran cikgu Fauziah Rashid pula berucap. Biasanya kalau
cikgu Fauziah bercakap pelajar akan bercakap juga. Pagi ini cikgu Fauziah
memulakan ucapan dengan bertanya, “Nak dengar cerita tak?”Secara spontan dengar
suara yang serentak, “Nak, nak.” Cikgu Fauziah mulalah bercerita fasal tiga
orang budak tiga beradik miskin kedana. Mereka adalah anak yatim piatu. Panjang
juga ceritanya. Sepanjang celoteh itu, suasana sunyi sepi, sangat berkesan dan
meyakinkan. Saya sendiri terdiam dan memasang teliga, sungguh berkesan. Cikgu
Fauziah berkata cerita ini beliau dapat dari novel. Maknanya kalau saya banyak
membaca, saya juga mampu menarik minat pelajar atau guru mendengar ucapan saya.
Mulai saat itu saya tanamkan sikap berjinak dengan buku. Buku yang menjadi
pilihan saya ialah buku autobiografi.
Satu hari pengetua saya, puan Hjh
Hatijah Gan binti Abdullah beritahu saya, “Cikgu Yahya patutnya jadi pengetua.”
Saya tak ambil kisah sangat kata-kata itu. Tuan Haji Otmhan Ramly waktu itu
Ketua Sektor di Jabatan Pelajaran Pahang juga berkata begitu. Satu hari saya
dihubungi oleh pegawai khas YH Dato Azmi, pengarah Jabatan Pelajaran Pahang
meminta saya menulis surat melepaskan jawatan guru cemerlang kerana saya akan
dilantik pengetua di Temerloh. Saya tidak tahu menahu percatoran itu.
Rupa-rupanya satu hari saya menerima surat pelantikan sebagai pengetua di
Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar, Temerloh. Sebelum melangkah keluar, saya
mahukan nasihat daripada rakan guru di SMK Maran. Saya memang mesra dengan guru
perempuan juga. Saya minta mereka beri panduan kepada saya. Ada yang kata beli
pakaian baru. Ada yang kata jangan berbual dengan guru yang muda sahaja (
maksudnya guru perempuan muda). Ada yang kata mesra dengan guru boleh tetapi
jangan terlalu mendalam. Nampaknya mereka semua memberi nasihat tentang batas-
batas pergaulan. Saya ambil kira pandangan mereka, itu adalah pandangan yang
ikhlas.
Selamat tinggal SMK Maran. Sekolah
ini sangat banyak jasanya kepada saya. Saya menanggalkan baju Guru Cemerlang
dan menyarung baju Pengetua pula.
No comments:
Post a Comment