Thursday, July 5, 2012

Pengetua SMK Seri Jengka selama dua tahun dua bulan

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jengka



Sudah kerap kali saya terfikir untuk berubah tempat kerja. Sekali itu, saya terima surat pertukaran ke Jabatan Pelajaran Pahang dalam tahun 1993 sebagai Penolong Pengarah Sains dan Matematik menggantikan encik Choo Tai Chin yang dinaikkan pangkat sebagai pengetua. Saya sempat bertugas di JPNP tidak sampai dua minggu. Di daun pintu terpampang tanda nama dan jawatan “YAHYA BIN ZAINAL ABIDIN, Penolong Pengarah Sains & Matematik”. Belum sempat memanaskan kerusi saya terima surat pembatalan pertukaran. Saya kembali ke sekolah SHAH semula. Ini adalah satu keganjilan. Macam mana boleh jadi macam itu? Katanya Bahagian Sekolah Berasrama Penuh tidak tahu menahu tentang pertukaran saya ini. Tiba-tiba sahaja saya ditarik keluar. Saya tidak kesah sangat sebab tidak melibatkan turun gred.



Tanggal 16 November 1995 saya menerima surat pelantikan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jengka, ringkasnya SMKSJ. Saya menggantikan encik Wan Mustama bin Wan Hayat yang dinaikkan pangkat sebagai pengetua SMK Cliford. Terasa seronok juga dapat jawatan baru di sekolah rancangan khas. Saya tetap bangga walaupun gred jawatan masih DG41 sebab SMK Seri Jengka pada waktu itu sekolah gred B. Berbetulan beberapa hari sebelum bertukar ke sekolah baru, saya dan WM mewakili Pahang dalam pertandingan Kuiz Pengetahuan dalam Pengurusan anjuran IAB di Kota Baru. Semasa dalam kereta dari Kuantan ke Kota Bahru beberapa jam itu WM memberi kuliah kepada saya. Banyaklah panduan yang saya dapat. Panduan itu sangat berguna mengelakkan kepala saya terlanggar sarang tebuan atau kaki saya tejerlus dalam perigi mainan anak orang bunian. Walau bagaimana pun ada beberapa perkara tidak diceritakan kepada saya. Saya boleh agak. Ada guru mahu membahari azam bila bersama pengetua baru. Oleh itu saya tidak perlu kobek kelemahan lalu individu tertentu. Saya anggap semuanya putih, maka minda saya juga bersih dari prasangka buruk. Selama setahun setengah saya jadi pengetua, tidak ada panduan misalnya kursus yang dihadiri. Saya laksanakan tugas dengan cara merenung kembali apakah amalan baik pengetua, guru sesar zaman persekolahan saya dulu. Saya juga cuba pakai amalan berkesan pengetua sewaktu saya sebagai guru biasa. Mereka ialah Dato Yaakub Isa, Tuan haji Ismali Abas, Tuan hj Mohamad Kamal bin Abdul Hamid, Tuan Haji Abdul Aziz Abdullah, Tuan haji Yahya bin Abas, Dato Abdul Rahim bin Mohamed, Tuan haji Mohd Radzi bin Abdul Rahim dan Tuan haji Jamal bin Suboh. Saya buat perbandingan, analisis dan pakai yang mana sesuai pada sesuatu ketika. Banyak pelajaran yang saya perolehi dari mereka yang berwibawa.



SMKSJ terletak di tepi jalan besar antara simpang Jengka dan Bandar Maran. Dari jalan besar kita boleh nampak sekolah ini tetapi sedikit terlindung oleh belukar antara pagar sekolah dan jalan besar itu. Saya sungguh tidak selesa melihat belukar itu. Di situ juga merupakan tempat guru membuang sampah dan perabot buruk. Saya bertanya guru kawasan belukar itu di luar pagar sekolah, tugas pihak berkuasa tempatan membersihkannya. Pihak berkuasa tempatan pula memang tidak ambil tahu. Mata saya sentiasa sakit melihat belukar itu dan mencalar imej sekolah. Saya mengambil langkah mengupah orang menebang semua pokok besar yang tumbuh liar itu. Dahan dan rantingnya dicantas dan dilonggokkan. Beberapa minggu kemudian pokok itu kering. Mudahlah pokok kering itu dimamah api. Kini tinggal rumput liar paras pinggang. Sampah sarap seperti tin, plastik dan perabot pula dilonggokkan setempat.   Langkah seterusnya ialah menebas rumput. Saya membeli lima puluh bilah sabit beharga rm4 sebilah. Saya mengajak 50 orang pelajar lelaki bergotong royong menebas pada waktu petang. Oleh kerana ramai, mereka tidak terasa jemu malah seronok dapat tengok kenderaan yang lalu lalang. Keesokan harinya 50 orang yang lain pula. Dalam satu minggu sahaja rumput paras pinggang itu licin. Kini lereng di luar pagar hingga ke jalan raya sudah Nampak seperti kepala orang bergunting pendek. Akhir sekali saya menulis surat kepada Majlis Daerah Maran meminta kawasan itu dimasukkan dalam kawsan pinggir jalan yang mesti diselenggara setiap bulan. Longkang antara padang dan kaki bukit telah tertimbus menyebabkan air hujan terus mengalir ke padang menyebabkan sebahagian padang lembek. Sejalur padang bahagian yang hampir dengan bukit tidak boleh digunakan. Kali ini saya ajak warden dan pelajar lakukan gotong royong setiap hari minggu. Syarantnya nasi lemak dan air tea mesti ada. Selepas penat bekerja kami makan bersama-sama. Akhirnya padang berjaya dipulihkan. Budak lelaki boleh bermain bola dan bersukan dengan selesa. Selama berada di sekolah ini, kami selalu melaksanakan gotong royong.



Semua pelajar SMKSJ tinggal di asrama. Saya memerhati mereka belajar waktu malam. Budak lelaki bila Nampak pengetua datang melawat kelas mereka pun meluru duduk di kerusi. Ada diantaranya tak sempat kembali ke bilik kelas asal mereka. Mereka bertengek di kerusi kawan kononnya berbincang. Nampak dua orang berkongsi satu kerusi. Melalui pemerhatian saya, secara umumnya pelajar lelaki hanya boleh bertahan duduk belajar sendiri di tempat masing-masing tidak lebih dari setengah jam. Lepas itu mereka mulalah berbual-bual dan merayau. Pada mulanya saya ambil tindakan merotan pelajar yang merayau itu. Namun tidak reda juga. Budak perempuan boleh bertahan lebih lama lagi tetapi akhirnya berborak juga. Mereka kurang merayau tetapi suka main cit-cat. Mereka suka tulis pada kertas kecil lepas itu lipat jadi kcil. Ada juga dibolot-bolot jadi bentuk bola. Lepas itu jentik atau baling kepada kawan. Kawan ambil, baca, tulis dan kembalikan kepada kawan yang hantar tadi. Masalah ini tidak boleh dibiarkan. Untuk mengatasi saya menugaskan warden membuat penyeliaan. Bukan setakat menyelia dari luar kelas tetapi mesti memerhati dari dekat apa yang dilakukan oleh pelajar. Kesimpulannya, pelajar perlu diselia agar masa ulangkaji dimanfaat sepenuhnya.



Saya terkejut besar bila melihat keputusan peperksaan percubaan SPM Matematik Tambahan, semua pelajar gagal. Guru yang mengajar ialah cikgu Mariam Zaini. Saya berbincang dengan beliau untuk membantu pelajar. Waktu itu masih ada masa belajar masih dua bulan lagi. Saya ambil tugas menlaksanakan kelas pemulihan kepada separuh yang bawah kira-kira dua puluh orang. Yang lain dikendalikan oleh cikgu Mariam.  Tiap-tiap petang lepas asar saya himpunkan mereka di Makmal Komputer. Belajar di situ amat selesa sekali kerana ada aircondision. Selepas dua minggu bertungkus lumus, saya percaya sudah boleh lulus. Seorang pelajar telah kecundang, dia sudah menyerah kalah. Puas kawan-kawan memujuknya agar hadir ke kelas tambahan tetapi tetap dengan keputusannya. Khaldai walau pun kepalanya dibenamkan ke dalam air, tetap juga tidak mahu minum. Saya serahkan balik mereka kepada cikgu Mariam. Bila keputusan SPM diumumkan, hanya seorang sahaja yang gagal. Kami gembira anak murid kami berjaya malah ada yang cemerlang.



Saya sangat menitik beratkan kejayaan bila menyetai apa sahaja pertandingan. Setiap tahun diadakan Karnivel Sekolah Rancagan Khas. Tahun 1997 diadakan di SMKA Tengkau Ampuan Afzan Jerantut. Banyak permainan dipertandingkan. Ada acara syarahan, bahas, permainan padang dan permainan dalaman seperti cator. Kami bertungkus lumus melatih pelajar. Kami mahukan kejayaan. Memang seperti dirancang, banyak kejayaan dan tidak diduga bahawa kami berjaya membawa pulang piala pusingan. Kami berjaya mengalahkan semua sekolah rancangan khas di Pahang. Pada tahun berikutnya carnival tahunan itu diadakan di SMK Cliford. Kali ini persaingan paling sengit. Kali kedua berturut-turut kami berjaya membawa pulang piala pusingan itu. Kali ini pasukan kami satu mata sahaja menewaskan SMART.



Saya tetap mengingati seorang pelajar ini, cukup saya panggil N. Budak ini boleh tahan juga nakalnya. Banyak sekali kesalahan yang dilakukannya dan kerap juga menerima hukuman. Satu hari saya mempengurusikan mesyuarat jawatan kuasa displin pelajar. Ramai guru hadir. Kesalahannya yang terakhir ialah melawan guru. Daripada hujah ahli, semua mencadangkan budak ini ditukar ke sekolah lain. Saya percaya jika N tukar sekolah, dia akan tetap datang periksa di sekolah ini kerana waktu itu sudah hampir dengan musim periksa. Lagi pening mengawalnya. Saya mengambil keputusan sendiri iaitu merehatkan N seminggu di rumahnya. Saya lihat ada wajah guru yang berkerut. Petang itu saya sendiri menghantarnya pulang ke rumahnya di Rompin. Sewaktu sampai di rumahnya, saya terkejut melihat tangga rumahnya adalah susunan kayu bulat. Waktu itu ibunya sahaja di rumah. Saya terangkan maksud kedatangan saya. Saya lihat ibu N sayu sahaja selepas mendengar penerangan saya. Bila saya berada dalam rumah terasa suasana sangat malap. Mentol rumahnya jenis bulat, agaknya mentol 20 Watt? Saya menunggu ayahnya pergi ke sawah menutup empang. Tidak lama kemudian bapa N sampai di rumah. Saya lihat bapa N kurus kering, kuat kerja guna tulang empat kerat agaknya. Ini membuatkan rasa saya semakin hiba. Saya rasa sangat zalim menggantung persekolahan N. Serta merta saya beritahu ibu bapanya bahawa saya mahu bawa N pulang semula ke sekolah tetapi N tidak boleh tinggal di asrama. Saya mahu N tinggal di rumah saya. Serta merta saya lihat ibu N mengesat matanya. Ibu dan bapa N menyerahkan segalanya kepada saya. Apabila sampai di rumah, saya terangkan bahawa N akan jadi anak angkat kami dan tinggal di rumah kami hingga tamat periksa. N pergi sekolah naik kereta bersama saya dan makan berhadapan dengan saya. Nasib baiklah isteri saya memahami usaha saya ini. Guru di sekolah berasa hairan dengan tindakan pelek saya itu. Selepas seminggu, N mohon untuk pulang semula ke asrama dan berjanji mahu mengubah kelakuannya. Saya mempercayai hasrat N lalu menghantarnya pulang ke asrama. Saya beritahu N agar dia menepati janjinya. N mengangguk-anggukkan kepalanya. Saya tahu N tidak boleh dilayan dengan kasar, dia perlukan kasih sayang. Bila saya bayangkan ibu bapa N, saya teringatkan ibu bapa saya. Beberapa tahun kemudian saya dapat berita bahawa N telah berjaya menamatkan pengajian ijazahnya di UPM. Syukur N berjaya dalam pelajarannya. Harap N terus berjaya dalam hidupnya.



Selama hampir dua tahun dua bulan di SMKSJ terasa sangat sekejap. Saya perhatikan tiada permohonan tukar keluar. Ada satu dua sahaja kerana mengikut suami. Ini memberi tanda mereka suka bekerja di sekolah ini. Memanglah bekerja dengan saya sangat sibuk, aktiviti tidak putus-putus. Saya mengambil peluang berehat sepenuhnya bila semua penghuni pulang ke rumah sebulan sekali. Inilah masa saya melayan anak dan isteri. Bebetulan ketika itu anak bongsu saya Ami tengah kemaruk mandi laut. Saya selalu melayaninya mandi di pantai Sepat. Rasa penat bekerja hilang selepas pergi mandi laut bersama Ami.



Pada waktu 1996 saya masih tidak faham apa itu internet? Tetapi saya sangat berminat untuk menguasainya dan sekali gus mahu mendedahkan kepada guru dan pelajar sekolah saya. Saya mengarahkan Roslan GPK HEM berunding dengan Utusan Malaysia untuk menganjurkan kem Komputer Dalam Pendidikan.  Diringkaskan cerita SMKSJ terpilih mengnajurkan Kem Komputer. Majlis itu sungguh meriah. Wakil pelajar sekolah seluruh Pahang hadir. Majlis hari itu dirasmikan oleh YAB Tun Khalil Yaakub, Menteri Besar Pahang. Dato Johan Jaafar selaku Pengarah Urusan Utusan Malaysia turut hadir. Barulah kami tahu apa itu internet. Berikutnya kami meneruskan kursus pendedahan internet dengan memanggil mereka yang mahir memberi kursus secara hand’s on. Kini guru SMKSJ sudah berada di saf hadapan.



Ada cerita lucu. Cikgu Zamri bertanya saya adakah SMKSJ mahu menyertai pertandingan hoki? Saya sememangnya pemain hoki sewaktu sekolah menengah. Saya mahu pelajar diberi peluang ambil bahagian. Cikgu Zamri kata sekolah kita tiada kayu hoki walau sebatang pun. Saya terkejut besar. Saya mendapat tahu SMK Maran 2 ada kelengkapan hoki tetapi tidak ambil bahagian. Saya berbincang dengan puan hjh Maimunah, pengetua SMKM2 untuk meminjam set hoki sekolahnya. Saya tidak menyangka beliau membenarkan kami memakainya dengan syarat dipulangkan balik. Cikgu Zamri berjaya membentuk pasukan yang dikira mantap. Saya ada juga sekali sekala menjenguk mereka berlatih. Saya lihat masih banyak kelemahan tetapi pelajar bersemangat tinggi. Diringkaskan cerita, pasukan kami berjaya menang dalam setiap kali perlawanan. Akhirnya kami masuk final bertemu dengan pasukan SMK Tengku Ampuan Afzan Chnnor. Saya membekalkan buku permainan hoki kepada cikgu Zamri. Ditakdirkan dalam pertandingan akhir itu kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 hingga habis masa tambahan. Kini pemenang ditentukan oleh penalty flick. Pemain pertama menghayun kayu hoki ke arah bola. Bola meluru laju ke gawang lawan. Semua pemain kami gembira. Seketika kemudian refri membatalkan gol tersebut. Pemain dan guru kami kehairanan. Saya tidak hadir sewaktu perlawanan akhir itu. Cikgu Zamri serta merta membuka buku, kini beliau tahu apa sebenarnya harus dilakukan. Peserta lawan menghayun kayu hokinya sekuat hati kena tepat, maka bola itu masuk ke gawang, penjaga gol tidak terdaya menampannya. Refri membatalkan jaringan itu. Kini giliran SMK Seri Jengka pula. Pemain itu pantas menolak bola ke gawang. Kali ini jaringannya disahkan. Kini giliran pemain lawan pula, wakilnya masih menghayun stick sekuat hati, bola terbang masuk ke gawang tetapi pengadil membatalnya. Maknanya mereka juga tidak tahu. Diringkaskan cerita, pasukan kami menang dan dinobatkan juara daerah menggunakan set hoki pinjam. Banyak juga stik yang patah, tercabut dan banyak kain pembalutnya terhurai. Cikgu Zamri bertanya saya apa nak buat dengan kayu yang separuh hancur itu? Saya beritahu cikgu Zamri bahawa sekolah kita akan beli set yang baru dan beri yang baru itu kepada SMK Maran 2.



Sewaktu diadakan mesyuarat agung Persatuan Kebangsaan Pengetua Seluruh Malaaysia (PKPSM) cawangan daerah Maran, saya dilantik memegang jawatan pengerusi sementara setia usahanya ialah encik Abdul Aziz bin Latif (kini Dato). Waktu itu cikgu Aziz adalah pengetua SMK Maran. Saya harian juga mengapa mereka pilih saya? Adakah ini satu bully? Satu penghormatan? Sepatutnya mereka tidak lantik saya, sebabnya saya baru jadi pengetua dan gred saya ialah DG41, ramai lagi yang gerid DG48. Oleh kerana ini adalah suara ramai, saya terpaksa pikul juga. Antara aktiviti yang kami laksanakan ialah kursus kemahiran computer. Waktu itu kebanyakan pengetua masih belum biasa menggunakan komputer untuk menulis laporan menggunakan perisisan word star dan lotus123. Satu hari dipanggil oleh Tuan Haji Jusoh Hasan, Pegawai Pelajaran Daerah Maran ke pejabatnya. Beliau mengarahkan saya membuat siri lawatan ke SMK Jengka xx untuk membetulkan sikap dan meningkatakan mutu kerja pengetuanya. Tugas saya macam mentor. Saya beri tahu bahawa saya tidak layak menegur, menasihat dan memberi cadangan kepada pengetua yang lebih tua dan lebih tinggi grednya. Pada waktu itu gred saya ialah DG41 sementara pengetua itu ialah DG48. Oleh kerana Sifat saya tidak berani melawan maka saya terima tugas itu dengan perasaan yang amat berat. Saya melangkah masuk ke SMK Jengka XX. Pengetua tercegat menunggu saya. Seterusnya pengetua mempelawa saya ke kantin untuk membasah tekak. Saya puji kantin nampak bersih dan menarik. Pengetua mengucap terima kasih. Beliau mengatakan pertama kali dia mendapat pujian sejak jadi pengetua di sini. Kami meneruskan perbualan di pejabatnya tetapi saya beri peluang beliau menerangkan apa yang dirancang, apa yang dilakukan dan apa kejayaannya. Daripada penerangannya memang nampak apa yang dirancang kurang menjadi dan kurang berjaya dalam pembentukan pasukan kerja. Selepas itu saya bertemu dengan GPK1, GPK HEM, GPK Koko dan semua ketua bidang. Perbincangan tidak disertai oleh Pengetua. Berbagai-bagai komen yang mereka berikan. Kebanyakannya memburukkan pihak lain. Di akhir pertemuan itu saya menasihatkan mereka agar memberi sokongan dan membantu pengetua. Inilah sahaja satu jalan yang boleh mengangkat marwah sekolah. Saya nasihatkan mereka dengan berkata, “Ketua kita kelihatan kurang stamina tiba-tiba seorang sengkang betisnya maka tersungkurlah dia. Lepas itu ada orang di belakang pijak pula, habislah tak bangunlah dia.” Adakah ini cara yang baik? “Anda semua masih muda, perjalanan masih panjang, kita sepatutnya mencari kerja, mencari pengalaman, bila sampai masa jadi ketua nanti tidak kekok.” Itulah kesimpulan kepada orang kanan pengetua itu. Saya berjumpa pula dengan pengetua memberi sedikit nasihat agar menguatkan pasukan kerja. Cuba adakan aktiviti bersama guru-guru. Saya tinggalkan pengetua itu dengan penuh keraguan. Saya tidak yakin kehadiran saya sekerat hari itu telah menyedarkan pasukan pemimpin SMK Jengka XX? Saya laporkan tugas yang diarahkan itu kepada Pegawai Pelajaran Daerah. Saya rasa tugas ini sangat janggal. Saya bimbang hubungan mesra saya dengan pengetua itu menjadi renggang. Beberapa waktu berikutnya saya cuba rapatkan diri dengan pengetua itu. Tiba-tiba satu hari pengetua itu berkata kepada saya, “Adinda, saya telah buat apa yang adinda cadangkan itu, sekarang tolong cakapkan kepada PPD kalau ada peluang rasa nak bertukar dekat sikit ke Trengganu.”

Saya membalas, “Kalau fasal itu kekanda kena cakap sendirilah.”   

Pengetua itu membalas, “Takutlah.”

Pengetua itu bergantung harap kepada saya. Ini memberi makna hubungan kami masih rapat seperti dulu, Alhamdullillah.

  

            Memang banyak sekali nostalgia di SMKSJ. Semuanya masih melekat dalam kepala saya. Bila saya renugkan, pelajar SMKSJ memang berkebolehan dan berbakat. Kita guru perlu aktifkan mereka kalau tidak banyak masalah displin akan timbul. Macam-macam hal, ada sahaja yang dilakukan. Ada yang pergi main bola di muara sungai Jempol. Ada yang buat meriam buluh dan gunakan bahan letupan kobait. Aktiviti belajar juga perlu dipelb agaikan, misalnya mengadakan kem kecemerlangna PMR di Hotel Seri Malaysia Temerloh. Mengadakan perkampungan ilmu untuk pelajar tingkatan lima di Komplek Kemas Jengka. Ada juga cerita kononnya pejabat SMKSJ berhantu pada waktu malam. Kononnya mesin taip berbunyi pada waktu malam. Mereka kata hantu yang menaip surat. Saya selalu berada di pejabat sekolah seorang diri hingga larut malam, tiada apa pun gangguan. Adakah ini satu rekaan atau hantu takut kepada orang yang berani? Saya rasa cukup puas menggerakan sekolah ini. Satu hari saya menerima sepucuk surat pertukaran saya ke SMK Maran sebagai Guru Penolong Kanan HEM. Saya terkejut besar dan berasa amat sedih. Saya dapat tahu sekolah ini dinaik gred keg red A yang mana pengetuanya mestilah gred DG48. Saya faham hakikat itu tetapi saya tawar hati untuk melaksanakan tugas GPK semula. Sewaktu di SMKJ2 dan SHAH saya telah melaksanakan tugas itu lebih lapan tahun.  Saya tidak mahu mengulagi kerja lama. Bak kata pepatah Cina, kuda belang tidak akan datang meragut rumput di padang ragut yang lama. Inilah ketika yang paling memilukan dalam sejarah perkhidmatan saya sebagai guru. Walau pun amat pedih, saya tidak memprotes pihak Jabatan Pelajaran Pahang. Saya tawar hati hendak melaksanakan tugas jawatan terkini itu. Sebaliknya saya mengambil tindakan berani iaitu mengambil cuti tanpa gaji selama 360 hari. Ramai kawan kata saya merajuk. Mereka tidak tahu apa rancangan saya? Biasanya hero keluar dari pintu depan tetapi kali ini saya seperti orang tewas keluar dari pintu belakang. Jangan tanya ke mana saya pergi. Sama sekali saya tidak menyangka begini jadinya. Apa yang boleh saya katakan, saya berjaya dalam temuduga jawatan di luar negara. Sewaktu temuduga saya ditanya bertubi-tubi. Soalannya ialah “How to teach weak student to understand trigonometry.” “How to prove Phytogrous Theorem?”, “How to teach weak student to understand algebra?” dan banyak lagi. Semuanya bertanyakan bagaimana hendak mengajar budak yang lemah. Saya diberi maker pen dan diminta menerangkan di papan putih. Sesi temuduga itu jadi macam sesi mengajar. Hampir dua jam saya diuji. Saya terpaksa memerah segala kemahiran dan pengalaman yang ada. Bila difikir kembali seronok juga ditemuduga begitu. Rupanya kelulusan dan kebolehan saya layak bekerja di negara asing yang mewah! Terubat sedikit kekecewaan bila dapat kerja di luar negara. Saya melangkah dengan perasaan yang bercampur. Seronok kerana kebolehan dan pengalaman diberi nilai yang tinggi. Sebaliknya terasa pilu meninggalkan isteri dan anak-anak.




3 comments:

  1. Perkongsian pengalaman yang sangat bermakna.Kadang-kadang Allah menguji manusia untuk sesuatu yang lebih baik.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih cikgu.. pengetua yg mengenalkan ict kepada pelajar smksj.. sy batch pertama belajar ict dan tuanku sultan phg dtg melawat kami belajar.. yab mb masa tu exco pendidikan lg.

    ReplyDelete
  3. Respect and that i have a dandy proposal: Where To Start House Remodeling home renovation victoria

    ReplyDelete