Saya belum terasa puas berada di
puncak bukit di Batu Satu Temerloh ini, tiba-tiba menerima surat tukar ke
Kuantan sebagai Pegawai Pelajaran Daerah. Saya rasa belum cukup cerdik sebagai
pengetua tiba-tiba diberi tugas menjaga pengetua dan guru besar puka. Yang
lebih mencabar ialah diberi tugas mengetuai daerah yang palaing besar pula.
Kebiasaannya sebelum ke Kuantan, seseorang itu jadi ketua di daerah yang lebih
kecil dahulu. Sifat saya tidak mahu ingkar arahan ketua, saya ikutkan sahaja
walaupun ada juga kecutnya. Yang membuatkan saya berani kerana saya pernah
belajar di Kuantan dan pernah muncul pelajar terbaik sewaktu peperksaan STP
tahun 1973. Itu sahajalah sandaran saya.
Tanggal
1 Ogos 2006, saya melangkah masuk ke Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan. Tidak seorangpun tahu apa yang sedang bermain
di kepala saya ketika memulakan tugas sebagai PPD. Ketika itu kalau saya
diibaratkan sebuah kereta, enjin saya dalam tiga selinder. Satu selinder tidak
berfungsi kerana satu spark plug
terbakar, sudah tentu lariannya tersengguk-sengguk. Sebenarnya waktu itu fokus
saya terhadap kerja tergugat kerana banyak teringat kepada isteri saya dalam
cuti sakit. Saya tak mahu panjangkan cerita tenatang isteri, cukuplah saya
katakan bahawa beliau satu ketika terpaksa bertarung nyawa. Allah SWT maha
kuasa dan takdir menentukan segalanya. Isteri saya selamat menjalani pembedahan
di kepala membuangkan tompok darah akibat tekanan darah terlalu tinggi. Tindakan
pantas pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan melakukan pembedahan sebelum tompok
darah itu beku saya anggap sebagai tindakan penyelamat . Kini isteri saya dalam
proses pemulihan. Dua kali seminggu dia berulang alik ke hospital untuk program
pemulihan gerakan tangan dan kaki. Sewaktu saya menghadiri mesyuarat PPD
Kebangsaan di Bintulu, saya tiada pilihan terpaksa membawa beliau bersama.
Isteri saya waktu itu telah boleh berpapah dan duduk di atas kerusi roda.
Berkat kesabaran dan rawatan hospital, isteri saya akhirnya disahkan oleh tiga
orang doktor pakar, berupaya menyambung tugas sebagai guru setelah bercuti
selama satu setenagah tahun.
Saya
terkejut bila didatangi masalah guru yang perlu diselesaikan. Saya mengaku
tidak arif menasihati guru yang bergaduh suami isteri. Ada kes main kayu tiga.
Ada isteri yang malang dipukul suami. Saya tidak sangka masalah begitu berlaku
pada guru. Mungkin saya berfikiran lurus, guru kononnya mesti orang yang setia
pada pasangan, boleh membuat pertimbangan yang waras, ada sifat sabar. Rupanya
tidak begitu. Ada juga kes guru yang tidak siuman. Mengapa guru dihingapi
masalah itu? Kita guru memperjuangkan JERI kepada anak murid kita. Sepatutnya
kita guru mengadunkan unsur jasmani, emosi, rohani dan intelek dalam kehidupan
kita. Ada yang meminjam wang berlebihan hingga dikejar along. Berpada-padalah
dalam kehidupan ini, pakai baju ikut ukuran badan sendiri. Maslah displin guru
seperti tidak hadir bertugas, gangguan sexsual dan bertindak kasar kepada murid
membuatkan saya mengelengkan kepada sambail berkata dalam hati, “Tak patut, tak
patut.” Baru saya tahu, antara tugas yang mencabar kini ialah menyelesaikan
masalah guru di daerah yang paling besar di Pahang ini.
Melawat
sekolah adalah tugas utama saya. Saya pergi ke sekolah tanpa memberitahu
pengetua atau guru besar terlebih dahulu. Ada sekolah yang saya lawati, nampak
GB SK Seri Mahkota sedang rancak
mengajar Pendidikan Moral kepada anak murid keturunan Iban. Satu sekolah
menengah yang saya lawati, saya bertanya mana penegetua? Mereka kata pengetua
sedang mengajar PJ. Saya pergi ke tepi padang melihat sekumpulan budak
perempuan memakai pakaian serba merah sedang bermain di tengah padang. Saya
menyelia mana pengetua? Dari tepi padang tidak kelihatan kelidat pengetua. Bila
masa PJ tamat baru saya nampak pengetua yang memakai serba merah juga keluar
dari kumpulan pelajar menuju ke arah saya. Saya mengucapkan tahniah kepada
pengetua kerana melatih pelajar melaksanakan aktiviti kemahiran sukan dan
memakai pakaian sukan yang lengkap. Saya juga melawat sekolah pada musim cuti.
Saya lihat sebuah sekolah di tepi pantai. Saya lihat guru gigih mengajar kelas
darjah enam. Tidak lama selepas itu GB mengayutkan air milo pada tombol pintu.
Ini adalah satu teknik pengurusan yang unik. Saya suka melawat makmal sains,
bilik sains dan bilik khas yang lain. Satu sekolah yang saya lawati, bilik
sainsnya nampak menjadi tempat amali yang menarik. Saya Nampak beberapa buah
tabung uji yang berisi air, minyak yang bercampur dengan paku besi. Murid
sedang menyiasat kejadian karat besi.
Pengalaman
lalu dicurahkan kepada guru pula. PPD Kuantan menganjurkan kursus Kajian
Tindakan Mengingat Nama Pelajar. Ramai guru mendapat faedahnya. Saya telah
melantik fasilitator dari kalangan guru SMK Pandan untuk memberi ceramah ke
sekolah-sekolah di daerah ini. Satu lagi pengalaman lalu yang saya praktikkan
ialah kempen membaca buku. Kali ini saya fokuskan kepada pengetua dan guru
besar. Setiap orang dikehendaki membaca sebuah buku. Seterusnya menulis
ringkasannya. Bila digabungkan semua tulisan itu maka jadilah sebuah buku yang
tebalnya 123 muka surat. Buku itu dinamakan RESENSI BUKU. Kemuncaknya PPD
Kuantan bersama Pusat Sumber Pendidikan Negeri Pahang menganjurkan Hari
Pelaporan di PSPN. Majlis itu dimeriahkan lagi dengan pembentangan buku Kanun
Undang Pahang oleh YH Dato Yaakub Isa. Dato Yaakub menceritakan pemerintahan
beraja negeri Pahang zaman dahulu. Sungguh menarik kupasan yang santai tetapi
mencuit hati.
Awal
bulan Julai 2007 satu Persidangan PPD Kebangsaan diadakan di Hotel Vistana.
Sebagai tuan rumah, saya bersama rakan sepejabat dibantu oleh pengetua dan guru
besar bertungkus lumus membuat persediaan. Tugas khusus saya ialah menguruskan majlis
perasmian dan penutup. Gimik adalah satu acara yang penting dalam majlis
perasmian itu. Inilah peluang kami mempraktikkan hasil kreativiti seni dan
mekanik. Kami mahu war-warkan lencana PPD yang diguna pakai di peringkat kebangsaan
itu hingga kini adalah hasil ciptaan Tuan Haji Nazri bin Wahab, PPD Jerantut.
Lencana PPD itu direka nampak bersinar di birainya diletakkan dalam satu
sarang. Sarang itu boleh berpusing, terangkat dan mengembang macam bunga
mengembang, akhirnya nampaklah lencana yang berpusing. Tugas saya yang kedua
ialah membentangkan satu kertas kerja bertajuk GELOMBANG NILAM. Saya
menyediakan bahan persembahan power point. Ini adalah pembentangan peringkat
kebangsaan kali kedua. Kali pertama ialah pembentangan di Johor Bahru sewaktu
saya bertugas sebagai guru cemerlang. Bahan pembentangan saya adalah
berdasarkan pengalaman sendiri menggalakkan amalan membaca sewaktu jadi
pengetua dan kini sebagai PPD. Bercakap berdasarkan pengalaman yang dilalui sangat
meyakinkan.
Saya
sempat melarikan diri dari kesibukan tugas. Pada suatu pagi Sabtu, saya bersama
beberapa orang rakan sepejabat dan guru meredah hutan Sungai Lembing menaiki ketera
pacuan empat roda, turun naik bukit ikut jalan balak, ada kalanya melintas
sungai kecil, akhirnya kami sampai di satu kawasan lapang di tepi sungai Jin.
Kami berkhemah di satu tanjung. Di hadapan tanjung itu ada satu lubuk yang
dalam, namanya Lubuk Beruk. Katanya di
lubuk itu banyak ikan termasuk ikan kelah. Mulanya kami menjala dan memancing,
hasilnya hanya dapat ikan lebar dua jari sahaja. Saya tidak siakan rezeki
walaupun kecil. Saya siang dan panggang. Kami cubit sedikit seorang. Lepas
makan tengah hari, kami turun memukat pula. Kali ini pukat yang panjang dan
labuh itu melingkungi lubuk yang dalam itu. Pukat itu ditarik mengepung lubuk,
kepungan dikecilkan lagi untuk memerangkap ikan. Kami kecilkan lagi kepungan,
kini sudah terasa ada sesuatu melanggar betis, ikan agaknya. Tiba-tiba beberapa
ekor ikan melompat melepasi jaring. Saya terkejut melihat ikan sebarau berusaha
melepaskan dirinya dari perangkap kepungan, tetapi masih banyak yang
teperangkap. Kami kecilkan lagi kepungan hingga ikan sebarau dan kelah tidak
dapat lari lagi tetapi sukar juga untuk memerdapnya, mereka mengelupur. Inilah
ketika yang paling seronok dapat menangkap sebarau dan kelah hidup-hidup. Selepas
itu saya mengambil tugas menyiang ikan yang segar itu dan terus meletakan di
atas bara api, tujuh ekor semuanya. Inilah hidangan untuk malam ini.
Rosdi bertanya saya, “Bos tahu ke
berapa nilai ikan yang tersusun di atas bara api itu?”
Saya membalas, “Entah.”
Rosdi berkata lagi, “Satu ribu lima puluh
ringgit.”
Saya membalas, “Waw, malam ini kita
makan duit.”
Saya rasa hilang segala kepenatan
dan kecamuk di kepala bila berada di Lubuk Beruk ini. Inilah kenangan paling
manis ketika bertugas di PPD Kuantan. Entah siapa yang bawa cerita kepada Tuan
Haji Daud, Ketua Sektor Pengurusan Akademik dan encik Amiruddin, Timbalan
Pengarah. Saya dipanggil oleh dua orang bos ini dan dimarahi oleh mereka
berdua, “Mengapa tidak ajak kami?”
Cepat-cepat saya membalas, “Maaf
bos, saya terlupa sungguh, ingat bos tak suka meresap dalam hutan. Tak sangka dapat memedap ikan, hoi sedapnya
bertarung dengan kelah.”
Rupanya
hayat tugas saya di Kuantan hanya sebelas bulan sahaja. Mulai 1 Julai saya
berpindah ke Maran sebagai Pegawai Pelajaran Daerah. Saya memohon pindah ke
Maran kerana kerusi di situ kosongkan oleh puan hjh Maimunah yang dinaikkan
pangkat sebagai Ketua Sektor Penilaian Dan Peperiksaan di Jabatan Pelajaran
Pahang. Ramai orang tidak tahu mengapa saya pindah ke Maran? Ada yang
menganggap macam turun darjat. Saya tidak perduli apa yang orang fikirkan. Saya
undur setapak untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Hanya YH Dato Pengarah
dan saya sahaja yang tahu cerita sebenarnya.
Selamat
tinggal Kuantan, saya berpatah ke hulu pula.
…. Bersambung
Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita. Selamat bersara.
ReplyDelete