Elok saya terangkan mengapa saya pindah
ke Maran sebagai Pegawai Pelajaran Daerah. Isteri saya yang bercuti hampir
setahun setengah diperiksa oleh tiga orang doktor pakar. Mereka membuat ujian
percakapan dan ingatan, keputusannya 100% pulih. Selepas itu ujian berjalan,
juga pulih kerana boleh berjalan tanpa bantuan tungkat. Namun begitu langkahnya
lambat dan kurang teratur, nampak terdengkat sedikit. Peha kirinya terasa sakit
sewaktu melangkah. Doktor tidak membenarkan cuti sakit disambung lagi. Doktor
kata bekerja lebih baik. Doktor kata berjumpa kawan dan anak murid merupakan
terapi. Doktor memberitahu bahawa isteri saya perlu bertugas di sekolah
lamanya, SK Sntosa. Saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana menyembuhkan
isteri saya. Isteri saya memulakan tugas pada pertengahan Mei 2007. Kini saya
terpaksa berulang-alik ke Kuantan sejauh 85 kilometer setiap hari. Tiba-tiba
kerusi Pegawai Pelajaran Daerah Maran kosong kerana hjh Maimunah Taib dinaikkan
pangkat ke Jabatan Pelajaran Pahang sebagai Ketua Sektor Peperiksaan dan
Penilaian. Inilah peluang terbaik untuk saya ketika ini. Saya terus
mengemukakan permohonan pertukaran kepada Dato’ Pengarah. Kira-kira sebulan
kemudian apa yang saya hajati tercapai, syukur alhamdullah. Ramai juga rakan
dan pemerhati tertanya-tanya mengapa terjadi begini? Saya tidak kisah apa
andaian orang terhadap saya. Yang penting saya dapat terus jalankan tugas dan
selesa bersama isteri. Mulai 1 Julai 2007 saya memulakan tugas sebagai Pegawai
Pelajaran Daerah Maran.
Melawat
sekolah adalah keutamaan saya. Oleh kerana saya datang menyergah, nasiblah ada
kalanya GB atau pengetua tiada di sekolah. Semua sekolah dalam daerah Maran
sebanyak 69 buah itu sempat saya lawat sekurang-kurangnya sekali. Sewaktu
melawat sekolah, tempat utama yang saya jenguk ialah bilik darjah. Saya
berpeluang melihat guru mengajar dan murid belajar. Ada satu sekolah yang saya
lawati, waktu itu masih ada masa 10 minit lagi tetapi kelas darjah enam sudah
tiada murid. Saya tanya GB, mana pergi murid kelas ini? Beliau membalas, “Ini
kelas darjah enam yang terakhir, budak dah balik.” Saya terkejut besar dengan
jawapan itu. Lalu saya membalas, “Budak dahlah lemah, masa belajar dikurangkan
pula, makin corotlah mereka.” Saya diiringi oleh GB meneruskan perjalanan ke
hadapan, waktu itu masa belajar masih ada lima minit lagi. Murid kelihatan
masih tekun mengikuti pengajaran gurunya. Dua suasana yang berbeza, sewaktu
budak kelas top belajar, murid yang teruk di kelas hujung telah mengikuti acara
bebas tanpa kawlan guru. Aduh di tahap manakah maruah kita? Seminggu kemudian
saya datang lagi tetapi kali ini saya memberi syarahan kepada semua guru
sekolah ini.
Ada
kalanya saya terasa perit juga berada di Maran ini. Waktu di Kuantan dulu tidak
begini. Ada kalanya saya terpaksa menukarkan guru ke sekolah lain kerana
berbagai sebab, antaranya kerana guru berlebihan. Ramai yang protes tidak mahu
tukar, mereka mengadu kepada Yang Berhormat Wakil Rakyat. Ada kalanya YB telefon
saya, kadang-kadang saya terima surat minta pertukaran itu dibatalkan. Inilah
yang memeningkan saya, cikgu di Maran ini manja sangat dengan YB rupanya.
Sewaktu di Kuantan dulu memang tak pernah YB ganggu keputusan saya. Saya
terpaksa terangkan kepada YB mengapa guru itu ditukarkan. Suasana ini
kadang-kadang menjadi hangat sekejap, tetapi kami akhirnya baik semula, macam
carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum semula. Akhirnya YB YB itu semakin kurang
mengganggu keputusan saya sebab mereka mulai faham apa yang sedang saya
perjuangkan. Lagi pun semua YB di Maran ini saudara mara saya belaka. YB
bekerja membela rakyat, saya bekerja untuk memajukan pendidikan anak-anak.
Akhirnya saya mendapat sokongan penuh YB.
Saya
fikir menemui pemimpin sekolah dan memberi nasihat kepada mereka masih belum
berkesan. Saya mengambil pendekatan baru iaitu mengarang buku yang memasukkan
apa yang menjadi perjuangan utama. Saya berjaya menulis sebuah buku bertajuk
“Small Win and BIG JUMP”. Buku ini berteraskan corak kepimpinan dan penerapan
budaya membaca. Saya edarkan secara percuma kepada semua guru besar dan
pengetua daerah Maran. Inilah tindakan inovatif saya untuk memantapkan
kepimpinan sekolah ke arah kepimpinan instruksional.
Saya menerbitkan buku “Small win and BIG JUMP” khusus ditujukan kepada Pengetua dan Guru Besar daerah Maran. Menulis dan membaca adalah satu kaedah komunikasi yang baru saya teroka. Saya berharap idea saya boleh sampai melalui pembacaan.Saya meneragkan konsep “Small win and Big Jump”, Kepimpinan Penentu Kejayaan, Diari Seorang Pengetua, Aktiviti Membaca Di Sekolah, Nostalgia Guru Penolong Kana, Bagaimana mahu meneruskan kecemerlangan UPSR?, Memacu Kecemerlangan PMR, Pesanan Yang Perlu Dipatuhi dan Cabaran Minda.
Saya
dikejutkan oleh sepucuk surat daripada penjaga yang mewakili PIBG Sekolah
Menengah Kebangsaan Seri Jaya. Kandungan surat itu menyatakan kekesalan kerana
bekalan air ke sekolah itu kerap kali tiada, kalau ada pun sangat perlahan dan sekejap
pula. Ada kalanya sampai berminggu-minggu tiada bekalan air. Fenomena ini
berlaku sejak beberapa tahun yang lalu. Penulis mengugut akan membawa pemberita
akhbar ke sekolah jika tindakan tidak diambil dalam tempoh dua minggu. Kumpulan
yang paling menderita ialah guru yang menginap di rumah guru. Sebab itulah kebanyakan
rumah guru di situ kosong tiada penghuni, ini adalah satu pembaziran. Saya
ambil langkah turun padang serta merta memeriksa tandas sekolah, didapati
berbau hancing. Pengusaha kantin tidak boleh memasak di dapur kerana tiada air.
Mereka bawa makanan yang telah di masak di luar dan bawa air untuk minum.
Komplen penjaga itu adalah benar. Saya bersama Zainuri terus ke pejabat JBA
Maran bertanya mengapa boleh jadi begini? Pihak JBA Maran mengatakan urusan air
di sekolah itu di bawah urusan JBA daerah Kuantan. Mereka memberi maklumat
berguna iaitu air untuk penduduk kampong Paya Bungur datangnya dari Pam di
Sungai Lepar. Satu lagi maklumat berguna ialah sejak Pusat Latihan Khidmat
Negara di Lepar, bekalan air ke kampong Paya Bungur terjejas teruk. Pihak penduduk
kampong juga mengadu kepada Tok Penghulu. Rupanya baru saya tahu bahawa
kekuatan pam menyedut air tetap seperti dulu tetapi penggunanya bertambah
berlipat kali ganda. Saya mengadu masalah air ini kepada Dato’ Pengarah agar
dapat diketangahkan sewaktu mesyuarat tindakan negeri. Saya juga beritahu
bahawa, “Kita kesuntukan masa.” Saya
mohon Pengarah menghubungi Jabatan Bekalan Air Negeri untuk mengambil tindakan
segera. Tidak sampai dua minggu terjadilah pesta air di SMK Seri Jaya. Kalau
dulu paip pecah atau bocor tidak diketahui, kini baru tahu banyak tempat
berlaku kebocoran. Masalah baru ialah membaik pulih paip yang pecah. Pihak
sekolah mengucapkan terima kasih kerana masalah yang berlarutan bertahun-tahun
dapat diselesaikan dalam masa dua minggu sahaja. Ini semua kerana dua pucuk
surat. Surat pertama dari ibu bapa dan yang kedua surat saya kepada Dato
Pengarah. Terima kasih kepada ibu bapa yang berani kerana benar.
Saya
mengamalkan kaedah pengurusan yang mudah. Banyak tindakan saya berdasarkan pengalaman
yang saya lalui. Bila saya memantau sekolah menengah, banyak sekolah menghadapi
kes ponteng kelas tetapi tiada rekod, lebih teruk lagi tiada tindakan
pembetulan. Sewaktu jadi pengetua di ABS dulu, saya gunakan Buku Kawalan Kelas
sebagai pengawal yang berkesan. BKK itu mesti disemak setiap hari oleh Guru
Penolong Kanan HEM dan saya sendiri. Sewaktu jadi PPD Kuantan, saya dapati SMK
Air Putih juga menggunakan BKK secara berkesan malah lebih bagus dari apa yang
saya laksanakan di ABS dulu. Apabila bercakap kepada pengetua daerah Maran,
saya tunjukkan Buku Kawalan Kelas SMK Abu Bakar Temerloh dan SMK Air Putih
Kuantan sebagai contoh untuk mereka amalkan di sekolah masing-masing.
Saya
mengajak encik Ramli Yahya melawat asrama pada waktu malam pada musim
peperiksaan SPM dan STPM. Saya lihat bilik asrama lelaki lintang pukang, berbau
hapak dan banyak sisa makanan. Kucing juga duduk sekali menandakan ada makanan
kucing di dalam bilik tidur. Pelajar tidak makan di dewan makan sebaliknya
mereka angkut makan ke bilik tidur. Saya mengarahkan pengetua membetulkan
keadaan yang berkecamuk itu. Jika dibiarkan boleh mendatangkan penyakit. Di
samping itu saya meminta pengetua menyusun jadual makan agar ada makanan
tambahan. Saya minta pengetua mengatur jadual tugas guru agar penyeliaan
berjalan terus hingga hari terakhir. Saya sangat arif dengan perangai penghuni
asrama. Saya meneruskan lawatan ke semua asrama, rupanya mereka telah tahu saya
telah menggempur satu asrama, kesannya semua asrama kelihatan kemas teratur.
Hari
guru daerah Maran di SMK Desa Jaya tahun 2008 kami sambut dengan meriah sekali.
Pada sebelah pagi tiga kumpulan besar melakukan tugas masing-masing. Satu
kumpulan di SK Desa Jaya menumbang, melapah dan memasak lauk, sayur dan nasi.
Sungguh padu gandingan mereka. Ketuanya sudah tentu Tuan Haji Abu Hasan bin
Kasan. Satu kumpulan lagi berhimpun di dewan SMK Jengka Pusat 2. Kumpulan GPK
sekolah menengah membentangkan hasil kajian tindakan mereka. Kumpulan guru
sekolah rendah berkursus di SK Jengka Pusat. Kira-kira jam 11 pagi semua
kumpulan berhimpun di Dewan SMK Desa Jaya, penuh sesak dewan hingga ramai yang
berada di luar dewan. Tokoh perasmi ialah Tuan Haji Abdul Hamid bin Bakar,
Timbalan Pengarah. Beliau sangat gembira melihat kehadiran guru yang begini
ramai. Cikgu Hamzah bin Mohamed pula diumumkan sebagai tokoh guru daerah.
Tahniah cikgu Hamzah, ucapan masih bersemangat, darah guru tetap mengalir
segar. Terima kasih kepada semua yang menjayakan Hari Guru kita kali ini. Anda
semualah yang membuat majlis kita meriah.
Satu
ingatan yang paling istemewa ialah bila saya diundang menyaksikan majlis
berkaitan membaca buku di sekolah-sekolah rendah. Misalnya SK Bandar Pusat Dua
mengadakan majlis lakunan oleh murid-murid tahun lima. Mereka melakonkan
watak-watak dalam buku cerita yang mereka baca. Malam itu penuh sesak dengan
kehadiran ibu bapa. SK Jengka Sembilan pula mengadakan majlis menyoal murid
tentang hasil bacaan buku cerita. Ibu bapa yang menyoal. Tuan Haji Ibrahim, GPK
mengatakan seorang bapa mengalirkan air mata melihat anaknya boleh menjawab
soalan menandakan anaknya sudah boleh faham apa yang dibacanya. Pada malam itu
tuan pengurus Felda turut memberi syarahan motivasi kepada murid dan ibubapa.
Saya kagum dengan kehebatan tuan pengurus memanaskan suasana malam. Majlis di
SK Jengka Tujuh juga hebat. Penglibatan komuniti sangat positif. Murid membuat
persembahan hasil pembacaan mereka. Saya lihat encik Bakaruddin bersama-sama
gurunya begitu seronok sekali bila majlis yang diadakan mendapat sambutan yang
meriah. Ada banyak lagi cerita menarik dari sekolah yang saya hadir. Semua
sekolah rendah di Maran mengadakan majlis berkaitan membaca buku. Kami pegawai
dari PPD berpecah hadir ke sekolah melihat sendiri kemeriahan majlis. Perasmi
majlis ditetapkan dirasmi oleh tokoh setempat misalnya ketua kampong atau
pengurus atau pengerusi PIBG. Kesimpulan yang saya dapat ialah ibubapa dan
komuniti sangat menyokong majlis berkaitan dengan buku ini. Ini adalah satu
peluang yang perlu dieksploitasi secara berterusan.
Saya
memperkenalkan aktiviti membaca pada waktu awal pagi selama 10 hingga 20 minit.
Ada berbagai nama seperti Perhimpunan Senyap, Jom Membaca dan macam-macam lagi.
Selepas membaca guru menjemput beberapa orang menceritakan apa yang dibaca
tanpa melihat buku. Sewaktu aktiviti berjalan guru dan Guru Besar hadir sekali.
Guru berada dalam kumpulan kecil murid-murid. Ada sekolah menyediakan tikar,
murid duduk dalam kelompok di atas tikar. Saya lihat jika program ini dapat
diteruskan misalnya sekali seminggu, ia akan memberi kesan besar terhadap minat
membaca. Saya perhatikan SK Sentosa, SK Bukit Tajau, SK Pesagi, SK Keramat dan
beberapa buah lagi sentiasa berjaya melaksanakan program membaca waktu pagi ini
secara berterusan. Kejayaan program ini bergantung sepenuhnya kepada komitmen
Guru Besar. Kepimpinan melalui teladan ketua adalah teras kejayaan program ini.
Tepuk dada tanya selera. Kejayaan program ini tidak boleh dilihat dalam masa
yang singkat, malah bertahun-tahun kemudian. Saya mahu melihat aktiviti membaca
ini terus disuburkan. Inilah satu jalan yang boleh melahirkan modal insan yang
hebat.
Saya
lihat pencapaian UPSR daerah Maran semakin baik hingga berjaya memintas Kuantan
yang sentiasa mengagungkan moto “Kuantan Sentiasa Di Hadapan”. Ada banyak sebab
mengapa Maran berjaya merampas kedudukan yang pertama. Satu daripada sebabnya
ialah pakatan yang erat guru besar dalam kelompok. Dalam daerah Maran
diwujudkan Kelompok Luit, Kelompok Chenor, Kelompok Jempol dan Kelompok Jengka.
Aktiviti kelompok yang paling berjaya ialah pemantauan pengajaran oleh guru
besar dalam kelompok. Mereka menyusun sendiri jadual dan melaksanakan
pemantauan. Yang bagusnya mereka tidak membuat tuntutan perjalanan dan makan
kepada PPD. Kalau mengharapkan tuntutan dari PPD memang tidak diluluskan kerana
belanjanya besar. Mereka juga mengadakan program kelas tambahan berpusat untuk
kecemerlangan Bahasa Inggeris. Murid terpilih berkumpul di suatu sekolah, guru
yang membimbing datangnya kelompok tersebut. Perancangannya memang bagus tetapi
bila dilaksanakan banyak masalah. Ada kalanya guru tidak hadir dan penyeliaan
yang lemah. Saya kerap kali memantau perjalanan kelas tersebut pada hari Sabtu,
memang banyak masalah. Jarang sekali bertemu dengan guru besar, mereka kurang
turun padang. Saya boleh katakan komitmen yang agak kurang. Program ini patut disemak
semula atau dibatalkan terus.
Sewaktu
memegang jawatan pengetua di ABS Temerloh, saya menyediakan kertas jawapan
objektif OMR dan mesin memeriksa jawapan objektif. Kertas jawapan diperiksa
dengan pantas dan dapat melihat analisis jawapan. Kini saya menyediakan mesin
pengimbas itu di beberapa buah sekolah. Kemudahan itu boleh dikongsikan bersama
sekolah berdekatan. Saya mahu melihat analisis jawapan objektif calon ikut
kelompok. Saya meneliti jawapan Sains kelompok Jengka. Calonnya lebih 500
orang. Saya dapati satu soalan itu jawapan betul tidak sampai 10%. Kebanyakan
calon memilih jawapan A yang salah. Mereka menjawab ikut logik bukan
berdasarkan dari pengalaman memerhati eksprimen.
Saya terus merujuk kepada hjh Saimah, penolong PPD Sains dan Matematik. Beliau
kata murid tiada kemahiran proses sains bagi soalan tersebut. Solan ini
berkaitan dengan litar elektrik yang mengandungi dua mentol dan suis yang
dipasang secara selari. Bila satu suis ditutup, apa jadi kepada nyalaan mentol
yang satu lagi? Ramai yang menjawab nyalaan lebih cerah. Ikut logic, arus
eletik bertumpu pada satu wayer sahaja, tentulah menyebabkan nyalaan lebih
cerah. Sebenarnya nyalaan tetap seperti asal. Kesimpulan yang kami dapat ialah
ramai guru tidak membuat demonstrasi kepada murid atau guru tidak menyediakan
eksprimen. Dapatan ini menjadi modal saya ketika bercakap kepada guru untuk
membaiki mutu pengajaran mereka. Kita perlu beralih kepada rekaan teknologi
untuk memudahkan kerja dan boleh meningkatkan tahap profesionalsme.
Satu
hari, saya dihubungi oleh Timbalan Pengarah, beliau mengatakan saya diminta memberi
khidmat di kampung saya yang kedua. Maksudnya saya akan ditukarkan ke PPD
Pekan. Pekan adalah kampung isteri saya. Saya ikut sahaja cadangan itu. Pekan bukanlah
asing bagi saya. Saya ada sedikit pengalaman dengan pihak istana. Beberapa
minggu kemudian saya menerima surat tukar ke Pekan mulai 2 November 2008. Kali
ini gred dinaikkan dari DG48 ke DG52. Selamat tinggal Maran, kini saya
menghilir ke Pekan pula.
Pengalaman yang sangat berguna utk mematangkan pegawai juga
ReplyDeletesemoga semua guru mengikuti jejak perjuangan tuan pengarah..
ReplyDeleteHarap-harap begitulah...
Delete