Monday, July 30, 2012

Dari PPD Maran menghilir ke PPD Pekan Pula

Pegawai Pelajaran Daerah Pekan

Saya belum terasa puas di Maran, baru satu tahun empat bulan berpindah pula ke Pekan mulai 2 November 2008, dapat naik gred DG52 kira bolehlah.  Beberapa hari selepas bertukar ke Pekan, saya bertemu dengan tuan haji Murad Jalil dari Jabatan Pelajaran Pahang. Tuan Haji Murad berkata, “Awak ini untung sabut timbul, inilah peluang awak, buat kerja elok-elok, tapak molek tu, tetapi silap hari bulan tenggelam di kuala.” Sangat tajam bacaan haji Murad dan saya faham yang tersirat.


            Saya menjalankan tugas yang pertama iaitu melawat sebuah sekolah rendah di kawasan Paloh Hinai/Chini. Sekolah ini terpencil di darat tetapi ada kemudahan jalan raya. Saya sampai di sekolah itu hampir tengah hari. Staf yang ada hanya pembantu tadbir dan jaga sahaja. Guru Besar bercuti rupanya. Saya melawat sekitar sekolah yang tiada penghuni, ketika itu cuti akhir tahun.  Perut mula terasa lapar tetapi tiada kedai makan dalam kampung ini. Saya nampak ada sepohon pokok kelapa yang rindang dalam pagar sekolah. Saya minta jaga kaitkan buah kelapa muda. Tengah hari itu hidangan saya ialah kelapa muda. Hari ini saya hanya dapat gambaran sebuah sekolah yang sunyi sepi. Hajat saya untuk berjumpa Guru Besar tidak tercapai. Melihat kepada keputusan peperiksaan UPSR dan keadaan sekolah yang hambar, saya fikir perlu ada tindakan. Tempat yang jauh seperti ini memerlukan pemimpin yang kuat stamina. Kalau kita duduk terlalu lama di suatu tempat, hingga kita terikut-ikut pula dengan persekitaran yang tidak maju itu maka kita elok beredar ke tempat lain pula. Masyarakat kampong hari ini sudah nampak kepentingan pendidikan. Jika terdapat sesuatu yang tidak kena, mereka berani melapor kepada pihak atasan. Kita mesti peka terhadap kehendak masyarakat. Mereka mahu khidmat yang terbaik. Sebaliknya jika kita boleh mengubah hingga semakin maju, kita boleh bertahan di tempat itu.   


            Sewaktu jadi pengetua di ABS Temerloh, saya dapati ada 13 orang pelajar yang masuk tingkatan satu tidak pandai membaca. Kini saya mahu tahu berapa orang pelajar yang naik tingkatan satu dalam daerah Pekan yang tidak pandai membaca? Setelah dijalankan tapisan, seramai 34 orang dari tujuh sekolah (SMK Nenasi, SMK Abdullah, SMK Pekan, SMK Peramu Jaya, SMK Mahmud Mat, SMK Indera Shahbandar dan SMK Ubai) tidak boleh membaca. Ini baru tujuh sekolah dalam daerah Pekan. Masih ada lima sekolah lagi yang belum diusik. Saya mengarahkan supaya diadakan program membaca secara intensif selama empat hari. Pasukan guru yang membimbing dari sekolah rendah. Hasilnya banyak kemajuan, kalau diulangi lagi pasti boleh. Selepas itu saya meminta panatia sekolah masing-masing mengadakan tindakan susulan. Saya dapati SMK Pekan berjaya mengadakan usaha pemulihan lanjutan, memang nampak kemajuan. Kalau dikira secara purata, bilangan pelajar yang tidak boleh membaca naik ke tingkatan satu di daerah ini dianggarkan 58 orang. Kalau dikumpulkan boleh dapat dua kelas.


            Saya masih ingat pada pertengahan tahun 2009, satu perjumpaan Tan Sri Alimuddin bin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dengan pegawai kanan Kementerian Pelajaran di Putra Jaya, saya dijemput sekali mengikutinya. KPPM memberi syarahan mengupas selogan bertajuk, “Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan” . Ini adalah satu agenda penting yang diilhamkan oleh YAB Dato’Sri Mohd Najib, Perdana Menteri Malaysia. Saya berasa bangga kerana KPPM telah mengambil tindakan pantas menyokong agenda Perdana Menteri itu. Selepas sesi ucapan, KPPM membuka sesi pandangan balas daripada hadirin. Selepas beberapa saat, nampak masih tiada yang memberi reaksi, saya memberanikan diri memberi pandangan. Saya bawa isu pelajar yang naik tingkatan satu tetapi masih belum pandai membaca. Adakah ini bukti kita mengutamakan pencapaian? Kalau dalam daerah Pekan terdapat 58 orang, maka seluruh Malaysia tentulah dianggarkan 9570 orang (58 x 11 daerah x 15 negeri ). Jika sebuah sekolah ada 600 orang pelajar, bermakna di Malaysia ini ada 16 buah sekolah menghimpunkan anak remaja yang tidak pandai membaca. Satu angka yang sangat besar. Ini adalah bukti kita pendidik tidak mengutamakan masa depan murid. Kita memandang remeh isu ini. Apakah tindakan kita? Apakah rancangan kita? Saya ceritakan tindakan awal yang telah dilakukan oleh kami di daerah Pekan. Tindakan itu sebenarnya tidak memadai. Selepas mendengar hujah saya itu, KPPM mengucapkan terima kasih. Seterusnya KPPM menyerahkan kepada PPD mengambil tindakan masing-masing. Saya berharap Kementerian Pelajaran ambil berat fenomena ini agar guru tidak diperlekehkan. Tindakan kerajaan pada awal tahun 2011, mewujudkan program LINUS adalah satu tindakan yang tepat. Tindakan pemulihan lebih awal tanpa menunggu hingga melarat ke sekolah menengah


Tugas utama PPD ialah bercakap. Saya selalu diundang ke sekolah merasmikan majlis. Selalunya tetamu yang mengikuti ucapan saya ialah kumpulan guru dan ibu bapa. Tempoh masa berucap terhad tidak lebih dua jam.




Tugas utama PPD ialah bercakap. Saya selalu diundang ke sekolah merasmikan majlis. Selalunya tetamu yang mengikuti ucapan saya ialah kumpulan guru dan ibu bapa. Tempoh masa berucap terhad tidak lebih dua jam. Terlalu banyak perkara yang hendak disampaikan dalam masa yang terhad itu. Saya mendapat satu idea untuk menulis sebuku bertajuk WATAK PENDIDIK IV yang akan menjadi rujukan guru. Plot buku ini banyak bentuk pengkisahan cerita guru yang mendidik saya sejak di sekolah rendah. Saya sebenarnya sangat beruntung dapat dididik oleh guru yang penyayang dan gigih. Saya mahu guru hari ini tahu walaupun saya anak kampong yang susah tetapi melalui pendidikan saya berjaya melepaskan diri dari kesusahan itu dan mendapat pekerjaan yang mulia. Saya berharap guru meniru amalan baik guru-guru saya itu. Buku WATAK PENDIDIK ini dicetak empat kali, jumlahnya 6000 naskah telah sampai ke tangan guru. Berdasarkan jumlah naskah yang banyak itu, buku ini ada daya tarikan yang tersendiri. Inilah cara saya mempelbagaikan komunikasi dengan guru di daerah Pekan ini.


Ingatan saya kepada Sekolah Kebangsaan Kota Perdana sangat mendalam. Nama sahaja kota tetapi terletak di dalam kampung yang jarahnya dari bandar Pekan lebih 60 kilometer.  Muridnya bercampur orang Asli dan Melayu. Budak Asli kebanyakannya dari kampung Sawar Batu dan Simpai. Mereka berulang alik ke sekolah menaiki lori melalui perjalanan yang sukar, turun naik bukit, meredah kebun sawit, melalui hutan dan merentas paya. Kalau musim panas berdebu, habis rambut mereka jadi merah. Kalau hujan, berselut dan kadang-kadang terus terkandas. Masa perjalanan dari rumah ke sekolah hampir dua jam.Jika mahu pergi ke sekolah kena turun dari rumah jam 5 pagi, naik lori macam “reban bergerak” berasak-asak. Bila masuk ke sekolah banyak memandang mereka dengan jijik. Saya sangat faham perasaan mereka ketika itu. Encik Mustafar bin Awang Kecil sangat menyedari msalah yang dihadapi lalu menyuruh mereka mandi dan pakai pakaian sekolah yang bersih. Namun begitu kadar tidak hadir ke sekolah sangat tinggi. Encik Mustafar memang penyayang orangnya, kira-kira sebulan sebelum peperiksaan budak Asli darjah enam dari kampung Sawar Batu dibawa duduk di rumahnya untuk memudahkan mereka menghadiri kelas tambahan. Isteri GB ini mengajar budak-budak itu menjaga kebersihan diri dan mengajar mereka membasuh pakaian. Berkat kegigihan Guru Besar dan guru sekolah ini, ramai budak Asli yang lulus UPSR. Budak-budak dari Kampung Simpai tidak lama lagi akan bersekolah di kampungnya kerana SK Kampung Simpai hampir siap dibina. Saya telah mengemukakan permohonan agar sebuah sekolah baru dibina juga di Kampung Sawar Batu.


            PPD Pekan sejak beberapa tahun lalu berhajat mahu menyertai acara berakit menghilir sungai Pahang tetapi sentiasa tidak menjadi kenyataan. Dalam bulan Mei 2009 kami berjaya menyertai aktiviti berakit dari Temerloh hingga ke Pekan. Pasukan kami terdiri dari dua kumpulan. Kumpulan pertama seramai enam orang yang menaiki rakit. Mereka ini mestilah pandai berenang. Rakit kami dihiasi rotan, buluh dan atap daun hutan. Kami dihadiahkan pengayuh yang diusahakan oleh orang Asli dari kampong Runcang. Satu kumpulan lagi bergerak di darat sebagai pasukan pembantu. Pasukan ini membawa peralatan berkhemah dan sumber makanan. Saya mengikuti pasukan berakit dari Kuala Semantan ke Kuala Bera. Saya berkayuh bersama-sama lima orang rakan sepasukan. Kami rasa sangat letih berkayuh selama enam jam yang mencabar mengendalikan rakit yang menghilir mengikut arus. Kami perlu mempastikan rakit tidak melentang dan pastikan tidak melanggar tebing atau rakit pasukan orang lain. Setelah bertungkus lumus selama satu minggu akhirnya kami sampai di Pekan dengan jayanya. Walaupun kulit dan muka lebam disinari mata hari tetapi kami terasa puas atas kejayaan teamwork itu.


            Bilangan pelajar dari kalangan anak orang Asli di daerah Pekan hampir 15%. Kebanyakan mereka tinggal di kelompok Paloh Hinai, Chini dan kawasan Nenasi. Saya dapati ramai murid dari kalangan mereka yang tidak pandai membaca dan mengira. Saya berpakat dengan pengetua SMK Ahmad dan SMK Chini untuk menganjurkan program pemulihan membaca yang akan dilaksanakan oleh pelajar tingkatan enam. Projek ini dijadikan program khidmat masyarakat pelajar tingkatan enam sekolah tersebut. Murid Asli yang mengikuti progam sangat seronok, ramai yang bertanya, “Abang datanglah lagi ajar kami.” Saya lihat kanak-kanak ini suka belajar dari abang dan kakak yang pandai mengambil hati mereka. Saya nampak program begini elok diteruskan.


            Daerah Pekan sebenarkan ada banyak keistemewaan yang perlu dieksploitasi.  Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad terdiri dari pelajar yang pandai, kami gunakan kebolehan mereka dalam Matematik memberi bimbingan kepada murid tahun enam di SK Ahmad. Kami adakan program bimbingan murid SK Seri Makmur. Murid-murid sekolah rendah memang suka belajar dengan abang dan kakak ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada cikgu Fazliaton dan puan Dalijatonseha yang menguruskan program ini. Pelajar Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah juga membantu kami memberi bimbingan kepada murid tahun enam sekolah-sekolah di kelompok Peramu. Yang penting di sini kita wujudkan jalinan antara pengetua dan guru besar sekolah-sekolah berkenaan.


            Puncak kejayaan team building sewaktu bertugas di PPD Pekan ialah bila mana pasukan saya bersama tujuh orang rakan setugas berjaya menjejak kaki di puncak Gunung Kinabalu pada 27 Julai 2010. Kejayaan ini sebenarnya melalui latihan fizikal dan mental yang berterusan berbulan-bulan. Kami selalu berlatih mendaki Bukit Pelindung, Gunung Berembun dan Gunung Brinchang beberapa kali. Sewaktu kami mendaki Bukit Pelindung, ramai rakan sepajabat ikut serta menjadikan aktiviti mendaki ini semakin popular di kalangan staf PPD Pekan.


            Dalam kesibukan tugas harian tiba-tiba saya didatangi satu permohonan dari Jabatan Pelajaran Negeri Pahang. Pihak JPNP meminta saya mewakili negeri untuk membentangkan satu kertas kerja dalam Seminar Pendidikan Matematik Kebangsaan dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Saya minta pihak JPNP memberi peluang kepada guru cemerlang matematik di negeri ini. Pihak JPNP kata tiada siapa yang sanggup. Wah kalau saya tolak, malulah negeri Pahang tiada wakil. Lalu saya memberanikan diri untuk ambil tanggungjawab itu. Saya memilih tajuk “Budak Bermain Kotak.” Setelah berjaya menyiapkan sinopsisnya lebih kurang 150 perkataan, terus e-mailkan kepada Dekan Fakulti Pendidikan UM itu. Selang 20 minit saya mendapat balasan menyatakan kertas kerja saya terpilih untuk pembentangan dalam seminar itu nanti. Kertas kerja saya lebih bercorak aktiviti hand’s on to maind’s on. Daripada aktiviti melipat kertas langkah demi langkah, hinggalah terbentuknya sebuah kotak. Selepas itu penyiasatan tentang ukuran birai kotak itu hinggalah terbentuknya satu rumus R/L = √2, di mana R ialah jumlah panjang sempadan birai kotak dan L ialah lebar asal kertas sebelum dilipat. Kertas kerja ini cuba mencabar peserta seminar bagaimana rumus R/L= √2 itu diperolehi? Syukur alhamdulilah saya berjaya menyampaikan pembentangkan kertas kerja itu dengan jayanya.
 

            Satu tahun tujuh bulan berada di daerah Pekan. Satu ruang masa yang cukup selesa bagi saya melawat semua sekolah, ada di antaranya berkali-kali. Saya boleh bayangkan siapa dan watak guru besar atau pengetua setiap sekolah itu. Misalnya di bucu tenggara, SK Mercung Jaya, ketuanya cikgu Malik. Di bucu timur laut pula SK Serandu, ketuanya ialah ustaz Shafie. Di bucu barat laut pula SK Seri Makmur, ketuanya ialah cikgu Abdul Raman yang menggantikan cikgu Jamal yang bertukar ke SK Tanjung Medang. Di bucu barat daya pula SK Tasik Chini, ketuanya ialah Aked Huat yang sangat arif dengan gelagat masyarakat orang Asli. Saya boleh mengingati sekolah mengikut jajaran sungai, jalan raya atau pantai. Saya beri contoh misalnya dari jambatan Paloh Hinai ke Pramu menyusur sungai Pahang bermula dari SK Pulau Manis. Cikgu Hamdan adalah Guru Besarnya. Sebelah hilirnya SK Pulau Rusa, cikgu Razak adalah ketuanya. Kehilir lagi ialah SK Ganchong diketuai oleh puan Rahmah. Beberapa kilometer ke hilir, kita akan jumpa SK Pahang Tua. Guru Besarnya ialah cikgu Zakaria. Akhir sekali ialah SK Langgar yang dikemudi oleh cikgu Abdullah. Kelompok Chini terdiri dari SK Chini 2, SK Chini 1&4, SK Chini 3&5, SMK Chini, SMK Chini 2, SK Chini Timur 1, SK Chini Timur 2 dan SMK Chini Timur. Guru Besar atau Pengetuanya ialah cikgu Azmi, cikgu Nasa, cikgu hj Ghani, cikgu Razak, cikgu Azmi, cikgu Mat Zain, cikgu Radzi dan cikgu Asruddin. Kalau mahu menyatakan semuanya habis beberapa muka surat. Pendek kata tiada satu sekolah pun yang terpinggir. Saya boleh menyatakan semua sekolah dan siapa ketuanya dengan pantas. Malah nombor telefon bimbit mereka saya simpan dalam handfon saya. Bila timbul sesuatu isu atau perkara penting saya terus menghubungi mereka.  
 

            Saya berasa sudah sampai ke kemuncak kerjaya. Ada kalanya saya berulang alik dari Kampung Sentosa, Maran. Perjalanannya 120km setiap pagi. Bila saya kira duit minyak dan belanja hangus dalam perjalanan, wang gaji saya hanya tinggal 60% sahaja. Amaun ini sama dengan duit pencen bulanan. Kalau pencen, duduk sahaja boleh dapat 60% dari gaji sekarang. Jauh lebih untung kalau saya bersara! Kalau bersara saya boleh duduk goyang kaki dapat seperti sekarang. Maka saya buat keputusan mahu bersara pilihan, lalu ambil tindakan menghantar surat permohonan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pengarah Pelajaran Negeri Pahang. Saya dipanggil oleh Dato’ Pengarah bertanya adakah saya benar-benar mahu bersara awal? Saya katakan ya. Beberapa minggu selepas itu Dato’ Azmi, mantan pengarah datang ke pejabat saya. Kami berbincang fasal peluang menyambung pelajaran selepas SPM bagi budak-budak miskin luar bandar. Tiba-tiba Nordin beritahu Dato’Azmi bahawa saya telah buat permohonan bersara awal. Terus sahaja Dato’Azmi kata tak perlu bersara sekarang, teruskan khidmat. Saya beritahu memang sudah fikir dan buat kira-kira maka saya pilih untuk bersara awal. Beberapa hari kemudian saya menerima panggilan telefon dari Dato’Azmi, beliau meminta saya menarik balik cadangan bercuti awal.

Saya tanya Dato’, “Mengapanya?”

Dato’ Azmi balas, “Kita perlukan awak, tarik baliklah cadangan bersara awal itu.”

Saya beri respon, “Nantilah saya fikirkan.”

Puas juga saya merenung maksud kata-kata mentor saya itu. Saya berbincang dengan isteri dan kawan. Saya buat pertimbangan setelah mengambil kira pandangan mereka. Akhirnya saya tarik balik hasrat mahu bersara awal itu. Selepas itu saya menghubungi Dato’Azmi mengatakan saya telah buat keputusan tarik balik hasrat bersara awal itu. Beliau mengucapkan terima kasih atas keputusan saya itu.


Tanggal 12 Julai 2010, jam 8.08 pagi, saya menerima satu  panggilan dari Dato’Aziz, Pengarah Pelajaran Pahang. Dato’ Aziz berkata sesuatu kepada saya, “Tahniah, encik Yahya dilantik Timbalan Pengarah mulai 10 Julai 2010, sila datang ke pejabat hari ini lapor diri dan ambil surat.” Saya tergamam mendengar kata-kata itu.


            Selamat tinggal Pekan. Terima kasih kepada teman-teman sepejabat di PPD Pekan. Anda semua telah memberikan komitmen yang padu dalam kerja dan memberi kerja sama penuh kepada saya. Saya teringat kepada kata-kata Tuan Haji Murad, rupanya saya dapat menimbulkan diri seperti sabut apabila dilempar ke sungai. Ini semua adalah kerja Allah Subha-nahuwa-taala.






Friday, July 27, 2012

Dari PPD Kuantan ke PPD Maran pula.

Pegawai Pelajaran Daerah Maran


Elok saya terangkan mengapa saya pindah ke Maran sebagai Pegawai Pelajaran Daerah. Isteri saya yang bercuti hampir setahun setengah diperiksa oleh tiga orang doktor pakar. Mereka membuat ujian percakapan dan ingatan, keputusannya 100% pulih. Selepas itu ujian berjalan, juga pulih kerana boleh berjalan tanpa bantuan tungkat. Namun begitu langkahnya lambat dan kurang teratur, nampak terdengkat sedikit. Peha kirinya terasa sakit sewaktu melangkah. Doktor tidak membenarkan cuti sakit disambung lagi. Doktor kata bekerja lebih baik. Doktor kata berjumpa kawan dan anak murid merupakan terapi. Doktor memberitahu bahawa isteri saya perlu bertugas di sekolah lamanya, SK Sntosa. Saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana menyembuhkan isteri saya. Isteri saya memulakan tugas pada pertengahan Mei 2007. Kini saya terpaksa berulang-alik ke Kuantan sejauh 85 kilometer setiap hari. Tiba-tiba kerusi Pegawai Pelajaran Daerah Maran kosong kerana hjh Maimunah Taib dinaikkan pangkat ke Jabatan Pelajaran Pahang sebagai Ketua Sektor Peperiksaan dan Penilaian. Inilah peluang terbaik untuk saya ketika ini. Saya terus mengemukakan permohonan pertukaran kepada Dato’ Pengarah. Kira-kira sebulan kemudian apa yang saya hajati tercapai, syukur alhamdullah. Ramai juga rakan dan pemerhati tertanya-tanya mengapa terjadi begini? Saya tidak kisah apa andaian orang terhadap saya. Yang penting saya dapat terus jalankan tugas dan selesa bersama isteri. Mulai 1 Julai 2007 saya memulakan tugas sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Maran.

 
            Melawat sekolah adalah keutamaan saya. Oleh kerana saya datang menyergah, nasiblah ada kalanya GB atau pengetua tiada di sekolah. Semua sekolah dalam daerah Maran sebanyak 69 buah itu sempat saya lawat sekurang-kurangnya sekali. Sewaktu melawat sekolah, tempat utama yang saya jenguk ialah bilik darjah. Saya berpeluang melihat guru mengajar dan murid belajar. Ada satu sekolah yang saya lawati, waktu itu masih ada masa 10 minit lagi tetapi kelas darjah enam sudah tiada murid. Saya tanya GB, mana pergi murid kelas ini? Beliau membalas, “Ini kelas darjah enam yang terakhir, budak dah balik.” Saya terkejut besar dengan jawapan itu. Lalu saya membalas, “Budak dahlah lemah, masa belajar dikurangkan pula, makin corotlah mereka.” Saya diiringi oleh GB meneruskan perjalanan ke hadapan, waktu itu masa belajar masih ada lima minit lagi. Murid kelihatan masih tekun mengikuti pengajaran gurunya. Dua suasana yang berbeza, sewaktu budak kelas top belajar, murid yang teruk di kelas hujung telah mengikuti acara bebas tanpa kawlan guru. Aduh di tahap manakah maruah kita? Seminggu kemudian saya datang lagi tetapi kali ini saya memberi syarahan kepada semua guru sekolah ini.

 
            Ada kalanya saya terasa perit juga berada di Maran ini. Waktu di Kuantan dulu tidak begini. Ada kalanya saya terpaksa menukarkan guru ke sekolah lain kerana berbagai sebab, antaranya kerana guru berlebihan. Ramai yang protes tidak mahu tukar, mereka mengadu kepada Yang Berhormat Wakil Rakyat. Ada kalanya YB telefon saya, kadang-kadang saya terima surat minta pertukaran itu dibatalkan. Inilah yang memeningkan saya, cikgu di Maran ini manja sangat dengan YB rupanya. Sewaktu di Kuantan dulu memang tak pernah YB ganggu keputusan saya. Saya terpaksa terangkan kepada YB mengapa guru itu ditukarkan. Suasana ini kadang-kadang menjadi hangat sekejap, tetapi kami akhirnya baik semula, macam carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum semula. Akhirnya YB YB itu semakin kurang mengganggu keputusan saya sebab mereka mulai faham apa yang sedang saya perjuangkan. Lagi pun semua YB di Maran ini saudara mara saya belaka. YB bekerja membela rakyat, saya bekerja untuk memajukan pendidikan anak-anak. Akhirnya saya mendapat sokongan penuh YB.

 
            Saya fikir menemui pemimpin sekolah dan memberi nasihat kepada mereka masih belum berkesan. Saya mengambil pendekatan baru iaitu mengarang buku yang memasukkan apa yang menjadi perjuangan utama. Saya berjaya menulis sebuah buku bertajuk “Small Win and BIG JUMP”. Buku ini berteraskan corak kepimpinan dan penerapan budaya membaca. Saya edarkan secara percuma kepada semua guru besar dan pengetua daerah Maran. Inilah tindakan inovatif saya untuk memantapkan kepimpinan sekolah ke arah kepimpinan instruksional.



Saya menerbitkan buku “Small win and BIG JUMP” khusus ditujukan kepada Pengetua dan Guru Besar daerah Maran. Menulis dan membaca adalah satu kaedah komunikasi yang baru saya teroka. Saya berharap idea saya boleh sampai melalui pembacaan.Saya meneragkan konsep “Small win and Big Jump”, Kepimpinan Penentu Kejayaan, Diari Seorang Pengetua, Aktiviti Membaca Di Sekolah, Nostalgia Guru Penolong Kana, Bagaimana mahu meneruskan kecemerlangan UPSR?, Memacu Kecemerlangan PMR, Pesanan Yang Perlu Dipatuhi dan Cabaran Minda.

            Saya dikejutkan oleh sepucuk surat daripada penjaga yang mewakili PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jaya. Kandungan surat itu menyatakan kekesalan kerana bekalan air ke sekolah itu kerap kali tiada, kalau ada pun sangat perlahan dan sekejap pula. Ada kalanya sampai berminggu-minggu tiada bekalan air. Fenomena ini berlaku sejak beberapa tahun yang lalu. Penulis mengugut akan membawa pemberita akhbar ke sekolah jika tindakan tidak diambil dalam tempoh dua minggu. Kumpulan yang paling menderita ialah guru yang menginap di rumah guru. Sebab itulah kebanyakan rumah guru di situ kosong tiada penghuni, ini adalah satu pembaziran. Saya ambil langkah turun padang serta merta memeriksa tandas sekolah, didapati berbau hancing. Pengusaha kantin tidak boleh memasak di dapur kerana tiada air. Mereka bawa makanan yang telah di masak di luar dan bawa air untuk minum. Komplen penjaga itu adalah benar. Saya bersama Zainuri terus ke pejabat JBA Maran bertanya mengapa boleh jadi begini? Pihak JBA Maran mengatakan urusan air di sekolah itu di bawah urusan JBA daerah Kuantan. Mereka memberi maklumat berguna iaitu air untuk penduduk kampong Paya Bungur datangnya dari Pam di Sungai Lepar. Satu lagi maklumat berguna ialah sejak Pusat Latihan Khidmat Negara di Lepar, bekalan air ke kampong Paya Bungur terjejas teruk. Pihak penduduk kampong juga mengadu kepada Tok Penghulu. Rupanya baru saya tahu bahawa kekuatan pam menyedut air tetap seperti dulu tetapi penggunanya bertambah berlipat kali ganda. Saya mengadu masalah air ini kepada Dato’ Pengarah agar dapat diketangahkan sewaktu mesyuarat tindakan negeri. Saya juga beritahu bahawa, “Kita kesuntukan masa.”  Saya mohon Pengarah menghubungi Jabatan Bekalan Air Negeri untuk mengambil tindakan segera. Tidak sampai dua minggu terjadilah pesta air di SMK Seri Jaya. Kalau dulu paip pecah atau bocor tidak diketahui, kini baru tahu banyak tempat berlaku kebocoran. Masalah baru ialah membaik pulih paip yang pecah. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kerana masalah yang berlarutan bertahun-tahun dapat diselesaikan dalam masa dua minggu sahaja. Ini semua kerana dua pucuk surat. Surat pertama dari ibu bapa dan yang kedua surat saya kepada Dato Pengarah. Terima kasih kepada ibu bapa yang berani kerana benar.

 
Saya mengamalkan kaedah pengurusan yang mudah. Banyak tindakan saya berdasarkan pengalaman yang saya lalui. Bila saya memantau sekolah menengah, banyak sekolah menghadapi kes ponteng kelas tetapi tiada rekod, lebih teruk lagi tiada tindakan pembetulan. Sewaktu jadi pengetua di ABS dulu, saya gunakan Buku Kawalan Kelas sebagai pengawal yang berkesan. BKK itu mesti disemak setiap hari oleh Guru Penolong Kanan HEM dan saya sendiri. Sewaktu jadi PPD Kuantan, saya dapati SMK Air Putih juga menggunakan BKK secara berkesan malah lebih bagus dari apa yang saya laksanakan di ABS dulu. Apabila bercakap kepada pengetua daerah Maran, saya tunjukkan Buku Kawalan Kelas SMK Abu Bakar Temerloh dan SMK Air Putih Kuantan sebagai contoh untuk mereka amalkan di sekolah masing-masing.  

 
Saya mengajak encik Ramli Yahya melawat asrama pada waktu malam pada musim peperiksaan SPM dan STPM. Saya lihat bilik asrama lelaki lintang pukang, berbau hapak dan banyak sisa makanan. Kucing juga duduk sekali menandakan ada makanan kucing di dalam bilik tidur. Pelajar tidak makan di dewan makan sebaliknya mereka angkut makan ke bilik tidur. Saya mengarahkan pengetua membetulkan keadaan yang berkecamuk itu. Jika dibiarkan boleh mendatangkan penyakit. Di samping itu saya meminta pengetua menyusun jadual makan agar ada makanan tambahan. Saya minta pengetua mengatur jadual tugas guru agar penyeliaan berjalan terus hingga hari terakhir. Saya sangat arif dengan perangai penghuni asrama. Saya meneruskan lawatan ke semua asrama, rupanya mereka telah tahu saya telah menggempur satu asrama, kesannya semua asrama kelihatan kemas teratur.
Hari guru daerah Maran di SMK Desa Jaya tahun 2008 kami sambut dengan meriah sekali. Pada sebelah pagi tiga kumpulan besar melakukan tugas masing-masing. Satu kumpulan di SK Desa Jaya menumbang, melapah dan memasak lauk, sayur dan nasi. Sungguh padu gandingan mereka. Ketuanya sudah tentu Tuan Haji Abu Hasan bin Kasan. Satu kumpulan lagi berhimpun di dewan SMK Jengka Pusat 2. Kumpulan GPK sekolah menengah membentangkan hasil kajian tindakan mereka. Kumpulan guru sekolah rendah berkursus di SK Jengka Pusat. Kira-kira jam 11 pagi semua kumpulan berhimpun di Dewan SMK Desa Jaya, penuh sesak dewan hingga ramai yang berada di luar dewan. Tokoh perasmi ialah Tuan Haji Abdul Hamid bin Bakar, Timbalan Pengarah. Beliau sangat gembira melihat kehadiran guru yang begini ramai. Cikgu Hamzah bin Mohamed pula diumumkan sebagai tokoh guru daerah. Tahniah cikgu Hamzah, ucapan masih bersemangat, darah guru tetap mengalir segar. Terima kasih kepada semua yang menjayakan Hari Guru kita kali ini. Anda semualah yang membuat majlis kita meriah.

            Satu ingatan yang paling istemewa ialah bila saya diundang menyaksikan majlis berkaitan membaca buku di sekolah-sekolah rendah. Misalnya SK Bandar Pusat Dua mengadakan majlis lakunan oleh murid-murid tahun lima. Mereka melakonkan watak-watak dalam buku cerita yang mereka baca. Malam itu penuh sesak dengan kehadiran ibu bapa. SK Jengka Sembilan pula mengadakan majlis menyoal murid tentang hasil bacaan buku cerita. Ibu bapa yang menyoal. Tuan Haji Ibrahim, GPK mengatakan seorang bapa mengalirkan air mata melihat anaknya boleh menjawab soalan menandakan anaknya sudah boleh faham apa yang dibacanya. Pada malam itu tuan pengurus Felda turut memberi syarahan motivasi kepada murid dan ibubapa. Saya kagum dengan kehebatan tuan pengurus memanaskan suasana malam. Majlis di SK Jengka Tujuh juga hebat. Penglibatan komuniti sangat positif. Murid membuat persembahan hasil pembacaan mereka. Saya lihat encik Bakaruddin bersama-sama gurunya begitu seronok sekali bila majlis yang diadakan mendapat sambutan yang meriah. Ada banyak lagi cerita menarik dari sekolah yang saya hadir. Semua sekolah rendah di Maran mengadakan majlis berkaitan membaca buku. Kami pegawai dari PPD berpecah hadir ke sekolah melihat sendiri kemeriahan majlis. Perasmi majlis ditetapkan dirasmi oleh tokoh setempat misalnya ketua kampong atau pengurus atau pengerusi PIBG. Kesimpulan yang saya dapat ialah ibubapa dan komuniti sangat menyokong majlis berkaitan dengan buku ini. Ini adalah satu peluang yang perlu dieksploitasi secara berterusan.
 
            Saya memperkenalkan aktiviti membaca pada waktu awal pagi selama 10 hingga 20 minit. Ada berbagai nama seperti Perhimpunan Senyap, Jom Membaca dan macam-macam lagi. Selepas membaca guru menjemput beberapa orang menceritakan apa yang dibaca tanpa melihat buku. Sewaktu aktiviti berjalan guru dan Guru Besar hadir sekali. Guru berada dalam kumpulan kecil murid-murid. Ada sekolah menyediakan tikar, murid duduk dalam kelompok di atas tikar. Saya lihat jika program ini dapat diteruskan misalnya sekali seminggu, ia akan memberi kesan besar terhadap minat membaca. Saya perhatikan SK Sentosa, SK Bukit Tajau, SK Pesagi, SK Keramat dan beberapa buah lagi sentiasa berjaya melaksanakan program membaca waktu pagi ini secara berterusan. Kejayaan program ini bergantung sepenuhnya kepada komitmen Guru Besar. Kepimpinan melalui teladan ketua adalah teras kejayaan program ini. Tepuk dada tanya selera. Kejayaan program ini tidak boleh dilihat dalam masa yang singkat, malah bertahun-tahun kemudian. Saya mahu melihat aktiviti membaca ini terus disuburkan. Inilah satu jalan yang boleh melahirkan modal insan yang hebat.

            Saya lihat pencapaian UPSR daerah Maran semakin baik hingga berjaya memintas Kuantan yang sentiasa mengagungkan moto “Kuantan Sentiasa Di Hadapan”. Ada banyak sebab mengapa Maran berjaya merampas kedudukan yang pertama. Satu daripada sebabnya ialah pakatan yang erat guru besar dalam kelompok. Dalam daerah Maran diwujudkan Kelompok Luit, Kelompok Chenor, Kelompok Jempol dan Kelompok Jengka. Aktiviti kelompok yang paling berjaya ialah pemantauan pengajaran oleh guru besar dalam kelompok. Mereka menyusun sendiri jadual dan melaksanakan pemantauan. Yang bagusnya mereka tidak membuat tuntutan perjalanan dan makan kepada PPD. Kalau mengharapkan tuntutan dari PPD memang tidak diluluskan kerana belanjanya besar. Mereka juga mengadakan program kelas tambahan berpusat untuk kecemerlangan Bahasa Inggeris. Murid terpilih berkumpul di suatu sekolah, guru yang membimbing datangnya kelompok tersebut. Perancangannya memang bagus tetapi bila dilaksanakan banyak masalah. Ada kalanya guru tidak hadir dan penyeliaan yang lemah. Saya kerap kali memantau perjalanan kelas tersebut pada hari Sabtu, memang banyak masalah. Jarang sekali bertemu dengan guru besar, mereka kurang turun padang. Saya boleh katakan komitmen  yang agak kurang. Program ini patut disemak semula atau dibatalkan terus.
      

   

Membaca buku Raising Boys ini banyak memberi kesedaran tentang gelagat dan halangan yang dihadapi oleh pelajar lelaki menghadapi kehidupan social dan alam persekolahannya. Pelajar lelaki selalu dikaitkan kemerosotan dalam belajar dan masalah displin. Bila saya baca buku ini, banyak yang saya faham tentang anak lelaki. Saya fikir pengetua sekolah patut baca dan bahaskan buku ini. Saya beri tugasan kepada sepuluh orang pengetua, satu bab seorang. Kemuncaknya mereka mengadakan sesi pembentangan, semua pengetua mengikutinya. Saya harap buku ini akan terus dibaca oleh guru.


            Sewaktu memegang jawatan pengetua di ABS Temerloh, saya menyediakan kertas jawapan objektif OMR dan mesin memeriksa jawapan objektif. Kertas jawapan diperiksa dengan pantas dan dapat melihat analisis jawapan. Kini saya menyediakan mesin pengimbas itu di beberapa buah sekolah. Kemudahan itu boleh dikongsikan bersama sekolah berdekatan. Saya mahu melihat analisis jawapan objektif calon ikut kelompok. Saya meneliti jawapan Sains kelompok Jengka. Calonnya lebih 500 orang. Saya dapati satu soalan itu jawapan betul tidak sampai 10%. Kebanyakan calon memilih jawapan A yang salah. Mereka menjawab ikut logik bukan berdasarkan dari pengalaman memerhati  eksprimen. Saya terus merujuk kepada hjh Saimah, penolong PPD Sains dan Matematik. Beliau kata murid tiada kemahiran proses sains bagi soalan tersebut. Solan ini berkaitan dengan litar elektrik yang mengandungi dua mentol dan suis yang dipasang secara selari. Bila satu suis ditutup, apa jadi kepada nyalaan mentol yang satu lagi? Ramai yang menjawab nyalaan lebih cerah. Ikut logic, arus eletik bertumpu pada satu wayer sahaja, tentulah menyebabkan nyalaan lebih cerah. Sebenarnya nyalaan tetap seperti asal. Kesimpulan yang kami dapat ialah ramai guru tidak membuat demonstrasi kepada murid atau guru tidak menyediakan eksprimen. Dapatan ini menjadi modal saya ketika bercakap kepada guru untuk membaiki mutu pengajaran mereka. Kita perlu beralih kepada rekaan teknologi untuk memudahkan kerja dan boleh meningkatkan tahap profesionalsme.
 
            Satu hari, saya dihubungi oleh Timbalan Pengarah, beliau mengatakan saya diminta memberi khidmat di kampung saya yang kedua. Maksudnya saya akan ditukarkan ke PPD Pekan. Pekan adalah kampung isteri saya.  Saya ikut sahaja cadangan itu. Pekan bukanlah asing bagi saya. Saya ada sedikit pengalaman dengan pihak istana. Beberapa minggu kemudian saya menerima surat tukar ke Pekan mulai 2 November 2008. Kali ini gred dinaikkan dari DG48 ke DG52. Selamat tinggal Maran, kini saya menghilir ke Pekan pula.

Monday, July 23, 2012

Dilantik Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan

Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan pula.



Saya belum terasa puas berada di puncak bukit di Batu Satu Temerloh ini, tiba-tiba menerima surat tukar ke Kuantan sebagai Pegawai Pelajaran Daerah. Saya rasa belum cukup cerdik sebagai pengetua tiba-tiba diberi tugas menjaga pengetua dan guru besar puka. Yang lebih mencabar ialah diberi tugas mengetuai daerah yang palaing besar pula. Kebiasaannya sebelum ke Kuantan, seseorang itu jadi ketua di daerah yang lebih kecil dahulu. Sifat saya tidak mahu ingkar arahan ketua, saya ikutkan sahaja walaupun ada juga kecutnya. Yang membuatkan saya berani kerana saya pernah belajar di Kuantan dan pernah muncul pelajar terbaik sewaktu peperksaan STP tahun 1973. Itu sahajalah sandaran saya.


            Tanggal 1 Ogos 2006, saya melangkah masuk ke Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan.  Tidak seorangpun tahu apa yang sedang bermain di kepala saya ketika memulakan tugas sebagai PPD. Ketika itu kalau saya diibaratkan sebuah kereta, enjin saya dalam tiga selinder. Satu selinder tidak berfungsi kerana satu spark plug terbakar, sudah tentu lariannya tersengguk-sengguk. Sebenarnya waktu itu fokus saya terhadap kerja tergugat kerana banyak teringat kepada isteri saya dalam cuti sakit. Saya tak mahu panjangkan cerita tenatang isteri, cukuplah saya katakan bahawa beliau satu ketika terpaksa bertarung nyawa. Allah SWT maha kuasa dan takdir menentukan segalanya. Isteri saya selamat menjalani pembedahan di kepala membuangkan tompok darah akibat tekanan darah terlalu tinggi. Tindakan pantas pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan melakukan pembedahan sebelum tompok darah itu beku saya anggap sebagai tindakan penyelamat . Kini isteri saya dalam proses pemulihan. Dua kali seminggu dia berulang alik ke hospital untuk program pemulihan gerakan tangan dan kaki. Sewaktu saya menghadiri mesyuarat PPD Kebangsaan di Bintulu, saya tiada pilihan terpaksa membawa beliau bersama. Isteri saya waktu itu telah boleh berpapah dan duduk di atas kerusi roda. Berkat kesabaran dan rawatan hospital, isteri saya akhirnya disahkan oleh tiga orang doktor pakar, berupaya menyambung tugas sebagai guru setelah bercuti selama satu setenagah tahun.


            Saya terkejut bila didatangi masalah guru yang perlu diselesaikan. Saya mengaku tidak arif menasihati guru yang bergaduh suami isteri. Ada kes main kayu tiga. Ada isteri yang malang dipukul suami. Saya tidak sangka masalah begitu berlaku pada guru. Mungkin saya berfikiran lurus, guru kononnya mesti orang yang setia pada pasangan, boleh membuat pertimbangan yang waras, ada sifat sabar. Rupanya tidak begitu. Ada juga kes guru yang tidak siuman. Mengapa guru dihingapi masalah itu? Kita guru memperjuangkan JERI kepada anak murid kita. Sepatutnya kita guru mengadunkan unsur jasmani, emosi, rohani dan intelek dalam kehidupan kita. Ada yang meminjam wang berlebihan hingga dikejar along. Berpada-padalah dalam kehidupan ini, pakai baju ikut ukuran badan sendiri. Maslah displin guru seperti tidak hadir bertugas, gangguan sexsual dan bertindak kasar kepada murid membuatkan saya mengelengkan kepada sambail berkata dalam hati, “Tak patut, tak patut.” Baru saya tahu, antara tugas yang mencabar kini ialah menyelesaikan masalah guru di daerah yang paling besar di Pahang ini.


            Melawat sekolah adalah tugas utama saya. Saya pergi ke sekolah tanpa memberitahu pengetua atau guru besar terlebih dahulu. Ada sekolah yang saya lawati, nampak GB SK Seri Mahkota  sedang rancak mengajar Pendidikan Moral kepada anak murid keturunan Iban. Satu sekolah menengah yang saya lawati, saya bertanya mana penegetua? Mereka kata pengetua sedang mengajar PJ. Saya pergi ke tepi padang melihat sekumpulan budak perempuan memakai pakaian serba merah sedang bermain di tengah padang. Saya menyelia mana pengetua? Dari tepi padang tidak kelihatan kelidat pengetua. Bila masa PJ tamat baru saya nampak pengetua yang memakai serba merah juga keluar dari kumpulan pelajar menuju ke arah saya. Saya mengucapkan tahniah kepada pengetua kerana melatih pelajar melaksanakan aktiviti kemahiran sukan dan memakai pakaian sukan yang lengkap. Saya juga melawat sekolah pada musim cuti. Saya lihat sebuah sekolah di tepi pantai. Saya lihat guru gigih mengajar kelas darjah enam. Tidak lama selepas itu GB mengayutkan air milo pada tombol pintu. Ini adalah satu teknik pengurusan yang unik. Saya suka melawat makmal sains, bilik sains dan bilik khas yang lain. Satu sekolah yang saya lawati, bilik sainsnya nampak menjadi tempat amali yang menarik. Saya Nampak beberapa buah tabung uji yang berisi air, minyak yang bercampur dengan paku besi. Murid sedang menyiasat kejadian karat besi.


            Pengalaman lalu dicurahkan kepada guru pula. PPD Kuantan menganjurkan kursus Kajian Tindakan Mengingat Nama Pelajar. Ramai guru mendapat faedahnya. Saya telah melantik fasilitator dari kalangan guru SMK Pandan untuk memberi ceramah ke sekolah-sekolah di daerah ini. Satu lagi pengalaman lalu yang saya praktikkan ialah kempen membaca buku. Kali ini saya fokuskan kepada pengetua dan guru besar. Setiap orang dikehendaki membaca sebuah buku. Seterusnya menulis ringkasannya. Bila digabungkan semua tulisan itu maka jadilah sebuah buku yang tebalnya 123 muka surat. Buku itu dinamakan RESENSI BUKU. Kemuncaknya PPD Kuantan bersama Pusat Sumber Pendidikan Negeri Pahang menganjurkan Hari Pelaporan di PSPN. Majlis itu dimeriahkan lagi dengan pembentangan buku Kanun Undang Pahang oleh YH Dato Yaakub Isa. Dato Yaakub menceritakan pemerintahan beraja negeri Pahang zaman dahulu. Sungguh menarik kupasan yang santai tetapi mencuit hati.


Awal bulan Julai 2007 satu Persidangan PPD Kebangsaan diadakan di Hotel Vistana. Sebagai tuan rumah, saya bersama rakan sepejabat dibantu oleh pengetua dan guru besar bertungkus lumus membuat persediaan. Tugas khusus saya ialah menguruskan majlis perasmian dan penutup. Gimik adalah satu acara yang penting dalam majlis perasmian itu. Inilah peluang kami mempraktikkan hasil kreativiti seni dan mekanik. Kami mahu war-warkan lencana PPD yang diguna pakai di peringkat kebangsaan itu hingga kini adalah hasil ciptaan Tuan Haji Nazri bin Wahab, PPD Jerantut. Lencana PPD itu direka nampak bersinar di birainya diletakkan dalam satu sarang. Sarang itu boleh berpusing, terangkat dan mengembang macam bunga mengembang, akhirnya nampaklah lencana yang berpusing. Tugas saya yang kedua ialah membentangkan satu kertas kerja bertajuk GELOMBANG NILAM. Saya menyediakan bahan persembahan power point. Ini adalah pembentangan peringkat kebangsaan kali kedua. Kali pertama ialah pembentangan di Johor Bahru sewaktu saya bertugas sebagai guru cemerlang. Bahan pembentangan saya adalah berdasarkan pengalaman sendiri menggalakkan amalan membaca sewaktu jadi pengetua dan kini sebagai PPD. Bercakap berdasarkan pengalaman yang dilalui sangat meyakinkan.


            Saya sempat melarikan diri dari kesibukan tugas. Pada suatu pagi Sabtu, saya bersama beberapa orang rakan sepejabat dan guru  meredah hutan Sungai Lembing menaiki ketera pacuan empat roda, turun naik bukit ikut jalan balak, ada kalanya melintas sungai kecil, akhirnya kami sampai di satu kawasan lapang di tepi sungai Jin. Kami berkhemah di satu tanjung. Di hadapan tanjung itu ada satu lubuk yang dalam, namanya Lubuk Beruk.  Katanya di lubuk itu banyak ikan termasuk ikan kelah. Mulanya kami menjala dan memancing, hasilnya hanya dapat ikan lebar dua jari sahaja. Saya tidak siakan rezeki walaupun kecil. Saya siang dan panggang. Kami cubit sedikit seorang. Lepas makan tengah hari, kami turun memukat pula. Kali ini pukat yang panjang dan labuh itu melingkungi lubuk yang dalam itu. Pukat itu ditarik mengepung lubuk, kepungan dikecilkan lagi untuk memerangkap ikan. Kami kecilkan lagi kepungan, kini sudah terasa ada sesuatu melanggar betis, ikan agaknya. Tiba-tiba beberapa ekor ikan melompat melepasi jaring. Saya terkejut melihat ikan sebarau berusaha melepaskan dirinya dari perangkap kepungan, tetapi masih banyak yang teperangkap. Kami kecilkan lagi kepungan hingga ikan sebarau dan kelah tidak dapat lari lagi tetapi sukar juga untuk memerdapnya, mereka mengelupur. Inilah ketika yang paling seronok dapat menangkap sebarau dan kelah hidup-hidup. Selepas itu saya mengambil tugas menyiang ikan yang segar itu dan terus meletakan di atas bara api, tujuh ekor semuanya. Inilah hidangan untuk malam ini.

Rosdi bertanya saya, “Bos tahu ke berapa nilai ikan yang tersusun di atas bara api itu?”

Saya membalas, “Entah.”

Rosdi berkata lagi, “Satu ribu lima puluh ringgit.”

Saya membalas, “Waw, malam ini kita makan duit.”

Saya rasa hilang segala kepenatan dan kecamuk di kepala bila berada di Lubuk Beruk ini. Inilah kenangan paling manis ketika bertugas di PPD Kuantan. Entah siapa yang bawa cerita kepada Tuan Haji Daud, Ketua Sektor Pengurusan Akademik dan encik Amiruddin, Timbalan Pengarah. Saya dipanggil oleh dua orang bos ini dan dimarahi oleh mereka berdua, “Mengapa tidak ajak kami?”

Cepat-cepat saya membalas, “Maaf bos, saya terlupa sungguh, ingat bos tak suka meresap dalam hutan. Tak sangka dapat memedap ikan, hoi sedapnya bertarung dengan kelah.”


            Rupanya hayat tugas saya di Kuantan hanya sebelas bulan sahaja. Mulai 1 Julai saya berpindah ke Maran sebagai Pegawai Pelajaran Daerah. Saya memohon pindah ke Maran kerana kerusi di situ kosongkan oleh puan hjh Maimunah yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Sektor Penilaian Dan Peperiksaan di Jabatan Pelajaran Pahang. Ramai orang tidak tahu mengapa saya pindah ke Maran? Ada yang menganggap macam turun darjat. Saya tidak perduli apa yang orang fikirkan. Saya undur setapak untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Hanya YH Dato Pengarah dan saya sahaja yang tahu cerita sebenarnya.



            Selamat tinggal Kuantan, saya berpatah ke hulu pula.

…. Bersambung

           




Sunday, July 15, 2012

Terasa Berbelah Bagi Meninggalkan Jawatan Guru Cemerlang

Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar

Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar atau nama popularnya ialah ABS bermaksud Abu Bakar School. ABS adalah sebuah sekolah primer yang gah kerana ramai orang besar mendapat pendidikan di sini. Secara psikologinya saya berasa yakin memimpin sekolah ini berasaskan dua pengalaman lalu. Pertamanya dalam tahun 1969, sekolah saya SMRK Chenor berentap dengan ABS dalam permainan hoki lelaki 15 tahun. Pasukan hoki sekolah saya dilatih oleh cikgu Abdullah. Kami bertembung di padang ABS. Mulanya memang terasa seram sejuk, makumlah kami pasukan kampungan sementara ABS cukup gah. Mulanya gugup juga tetapi cikgu Abdullah berkata anggap mereka pasukan kampungan yang boleh ditewaskan. Kami bermain bersungguh-sungguh hingga dapat menewaskan lawan 3-0. Rupanya tidak mustahil menumbangkan lawan yang ternama. Keduanya sekitar tahun 1997, saya membentang kertas kerja berkaitan pembangunan kelab komputer. Waktu itu saya bertugas di SMK Seri Jengka. Waktu itu kelab komputer SMK Seri Jengka telah beroperasi dengan rancank sekali.  Kebanyakan sekolah menengah di negeri Pahang menghantar wakil mendengar pembentangan saya di dewan kuliah ABS. Saya sangat seronok diberi peluang bercakap di sekolah ternama ini. Lebih seronok lagi mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Pahang. Tidak sangka pegalaman sewaktu remaja dalam bidang sukan merupakan bekal penguat semangat. Terima kasih cikgu Abdullah. Pengalaman membentang kertas kerja juga menambahkan keyakinan untuk menjadi ketua.
Sebelum melangkah masuk ke gelanggang baru ini saya telah beberapa kali berbual dengan puan Minah binti Hamzah, pengetua sebelum saya. Beliau kini adalah Pegawai Pelajaran Daerah Raub. Saya mendapatkan senaskah buku perancangan sekolah tahun 2005. Saya meneliti nama setiap orang guru dan staf serta tugas masing- masing. Saya melapor diri kepada encik Abdullah bin Ismail, Pegawai Pelajaran Daerah Temerloh di pejabatnya. Encik Abdullah memberi nasihatnya. Ketika ini saya menjadi pendengar yang baik. Nasihat yang paling saya ingati ialah, “Cuba awak hidupkan ABS pada hari Sabtu dan Ahad.” Pesanan ini membawa maksud memeriahkan sekolah dengan aktiviti sukan dan kokurikulum. PPD dan pengetua sebelum saya adalah tempat rujukan utama saya.
            Saya melangkah masuk dengan berhati-hati. Sewaktu melintas pintu pagar saya ternampak sekeping atap asbestos menutup pagar yang berlubang betul-betul sebelah tiang pagar. Saya telah memasang strategi mahu mengingati nama dan tugas setiap orang guru dan staf sokongan ABS dalam masa sebulan. Orang pertama yang saya jumpa ialah Johari yang sedang mengumpul daun yang berguguran di bawah pokok rendang di belakang pondok jaga. Saya berbual sebentar dengan Johari. Selepas itu saya melangkah menghala ke bangunan pentadbiran. Saya bertembung pula dengan cikgu Ong, GPK Kokurikulum. Beliau memakai baju pengakap. Saya berkenalan dan berbual sebentar dengan Ong. Ong mahu ke Gunung Senyum membawa pasukan pengakap ABS menyertai perkhemahan daerah. Sesampai di pintu pejabat, puan hajah Fatimah GPK menunggu saya. Beliau adalah senior saya sewaktu belajar di SMART tahun 1972 dahulu. Barisan GPK, Ketua Bidang dan guru cemerlang menunggu saya. Dalam ramai-ramai itu saya boleh kenal Mat Izan senior saya sewaktu di SMK Chenor tahun 1967. Hajah Narimah Ismail ialah rakan sama tingkatan enam di SMART tetapi kami berlainan kelas. Saya kenal Tay Bee Lian , kami adalah rakan dalam Majlis Guru Cemerlang dan selalu berjumpa dalam seminar dan kursus.   

Saya dipandu oleh cikgu Yahya Awang, GPK HEM melawat semua bangnan sekolah, sambil itu menjeling ke dalam kelas. Akhir sekali kami melawat kantin dan berbual dengan pengusaha kantin. Saya nampak tompok-tompok hitam seperti tar atau getah melekat pada lantai kantin. Saya hanya pandang dan simpan  dahulu. Saya tidak mahu membuat komen pada hari pertama ini. Selepas itu saya melawat dewan kuliah, melihat sekumpulan pelajar sedang berlatih untuk persembahan Hari Jubli Emas awal bulan April. Saya ternampak satu meja panjang terjongket kerana kakinya telah patah. Kami meneruskan rondaan, kini menghala ke dewan dan asrama. Terkejut juga melihat siling dewan yang terkulai dan pecah, banyak saeang di bahagian atas dan sisir angin di bahagian atas berkarah. Memang sukar membaikinya perlu memanjat tangga. Dinding dewan kelihatan usang. Selepas itu saya melawat surau. Pagar surau telah runtuh. Kawasan luar sekeliling surau berbatu dan gersang. Di bahagian belakang banyak pokok pisang yang tidak terurus. Saya teruskan pemerhatian hari pertama ke asrama putera dan asrama puteri. Yahya Awang kata asrama puteri kerap diceroboh, orang menginatai penghuni asrama pada waktu malam. Saya menelilingi asrama. Saya nampak dahan pokok di luar pagar menjulur masuk ke kawasan asrama. Luar pagar pula sangat semak. Melihat dahan pokok itu, saya telah mendapat jawapan kepada kenyataan GPK MEM itu. Saya sudah dapat gambaran tentang persekitaran sekolah ini dan telah boleh mengagak mutu kerja pekerja pembersih kawasan.
Saya mengadakan perjumpaan dengan guru dan semua staf sokongan selepas tamat waktu pengajaran. Ucapan sulung saya dimulakan dengan memuji repotasi ABS. Saya sebut beberapa orang tokoh yang dilahirkan. Saya juga sebut kejayaan masa kini ABS. Ucapan kali pertama ini tidak sedikitpun menyentuh perkara yang buruk pada hal banyak yang menyakitkan mata saya. Penutupnya, saya memberi pengakuan bahawa saya berani memikul amanah yang diberikan. Selepas itu puan hajjah Fatimah GPK memberi taklimatnya. Mulai hari ini saya berusaha mengingati nama, bertegur sapa dengan guru dan staf. Dalam masa satu bulan saya berjaya mengingati nama semua guru seramai 76 orang itu. Saya telah membina hubungan kerja yang mesra.
Langkah seterusnya saya ingin melihat perjalanan pengajaran dan pembelajaran. Saya meronda setiap kelas dan masuk ke kelas sewaktu guru mengajar untuk seketika. Saya memeriksa Buku Rekod Kawalan Kelas (BRKK). Saya anggap BRKK ini sangat bagus sebab boleh mengesan rekod kehadiran murid dan guru. Walau bagaimana pun rekod kehadiran murid dan guru kurang memuaskan. Saya semak dan turunkan tanda tangan. Saya beritahu GPK HEM agar buku BRKK mesti diuruskan dengan sempurna. Sistem kawalan telah ada tetapi kurang penguat kuasaan. Saya mahu buku itu dimanfaatkan sebaiknya. Saya kerap memeriksa buku BRKK ini sewaktu meninjau perjalanan kelas. Sambil memeriksa buku GRKK saya dapat meninjau pengajaran guru, sambil menyelam minum air. Saya mula membina keberanian untuk menengok guru mengajar di dalam kelas.
Saya mengajukan satu soalan kepada semua guru yang mengajar kelas Lima Perdagangan. Soalannya ialah “Berapa orang pelajar yang cikgu boleh sebut nama bila menyoal?” Saya memilih Lima Perdagangan kerana laporan BRKK menunjukkan peratus ponteng yang paling tinggi. Yang paling teruk, seorang guru N ingat nama dua orang sahaja. Secara purata hanya 19% pelajar kelas ini, namanya diingati oleh guru yang mengajar mereka. Jika dalam kelas ada 25 orang, hanya 5 orang sahaja namanya dipanggil dengan betul bila guru mahu menyoal mereka. Apakah perasaan 20 orang lagi itu? Berdasarkan dapatan ini saya memberi kuliah bertajuk “Mengingati Nama Pelajar Adalah Kaedah Pengajaran Mesra Pelajar” kepada semua guru ABS. Seterusnya saya melancarkan kempen mengingati nama pelajar yang guru itu ajar. Saya beri tempoh sebulan. Guru dikehendaki menulis nama pelajar yang mereka baru ingati dalam ruangan refleksi buku rancangan mengajar masing-masing. Ramai guru bercakap-cakap fasal kerja tambahan yang dipaksa oleh pengetua baru. Sewaktu minum di kantin saya bercakap kepada Mokhtar, Azhar, Mahadi, ustaz Raman, Zaimi dan beberapa orang lagi. Saya boleh ingat nama semua guru ABS dalam masa satu bulan, kini saya cabar cikgu ingat nama pelajar yang cikgu ajar pula. Hubungan mesra saya dengan guru terjalin pantas bila saya boleh menyebut nama mereka. Saya percaya guru telah mula boleh menerima pembaharuan yang saya ajukan. Sebulan kemudian guru yang mengajar kelas Lima Perdagangan boleh menyebut nama pelajar bila menyoal. Kini pelajar kelas ini kelihatan lebih seronok belajar. Berdasarkan laporan buku BRKK didapati kadar ponteng kelas dan ponteng sekolah telah berkurang.
Hujung Mei 2005, hampir tiga bulan saya di sini. Saya mahu memupuk amalan gotong royong dan budaya selengara di sekolah ini. Saya mengajak guru bergotong royong membina tembok dari pintu pagar menyusur di tepi jalan sepanjang 30 meter dan membaiki pagar yang berlubang dekat pintu masuk. Kerja ini gotong royong selama dua hari ini sangat meriah. Ada antara ahli keluarga guru yang turut serta da nada yang derma batu bata. Encik Abdullah PPD Temerloh juga menghadiahkan bata bunga. Johari atau panggilan ringkasnya Jo adalah ketua kami kerana dia sangat cekap dalam kerja simen. Selepas tembok berjaya dibina, kami mengutip bongkah batu sisa binaan yang bertaburan dalam kawasan sekolah dan dipunggah di belakang tembok. Seterusnya kami tabur pasir. Kini kelihatan permukaan rata yang catik di atasnya tersusun bata bunga menutup lereng yang berbahaya. Pagar yang berlubang tepi pintu masuk juga berjaya dibaiki. Kami pasang pintu kecil untuk pejalan kaki. Sebelum bersurai kami berdiri di atas tembok bergambar untuk kenangan kejayaan program gotong royong.
Ada juga kerosakan yang tidak sesuai dipulihkan secara gotong royong misalnya membaiki kaki bangku dewan kuliah yang patah. Ini adalah kerja yang memerlukan kemahiran dan rumit. Saya tahu Jo ada kemahiran itu dan saya faham selok belok kerja itu kerana saya ada pengalaman kerja bertukang. Waktu cuti penggal ini adalah ketika paling sesuai membaiki bangku yang rosak itu. Saya mengajak Jo melaksanakan misi yang mencabar ini. Saya mulakan kerja memecahkan simen untuk mengeluarkan tunggul kaki bangku yang patah itu. Selepas 10 minit berjuang badan saya berpeluh seterusnya Jo menyambung tugas. Ruang kerja sempit kena bergilir-gilir tetapi Jo lebih lama melaksanakan kerja yang mencabar ini. Akhirnya tunggul berjaya dicabut. Kini kami memasang kaki yang baru. Ini adalah kerja yang senang. Bahagian atas diskrew dan bawah diikat dengan simen. Akhir sekali tiang baru itu dicat. Bila penggal baru bermula, bangku yang dulu terjongket kini bersedia untuk diduduki. Terima kasih Jo. Saya tetap ingat pertolongan dan jasa Jo.
Sewaktu hampir dengan peperiksaan saya kerapkan menjenguk kelas tingkatan lima dan enam. Selepas beberapa kali melawat, saya dapati masih ramai pelajar tingkatan enam masih merayau-rayau dan berkumpul di kaki lima jika guru tiada di dalam kelas, pelajar tingkatan lima lagi teruk. Satu hari saya melawat kelas tingkatan lima, didapati satu kelas tiada guru, saya terus masuk. Saya Tanya mana guru? Pelajar kata cikgu suruh buat ulangkaji sendiri. Saya minta mereka keluarkan kertas jawapan mata pelajaran itu. Saya nampak banyak markah rendah dari 40%. Jawapan yang salah masih tiada pembetulan. Sepatutnya ada “correction” ditulis di sisi jawapan yang salah itu. Kita tidak boleh berharap pelajar membuat ulangkaji sendiri tanpa dibimbing atau diselia oleh gurunya. Bila ada murid mesti ada guru! Saya duduk di kelas itu hampir 30 minit, guru itu tidak muncul sampai sudah. Sewaktu berada dalam kelas itu ramai pelajar mengambil peluang bertanya soalan Matematik, itulah yang penghibur saya bila ada murid bertanya. Saya keluar bila guru mata pelajaran Pendidikan Islam menunggu di muka pintu. Seorang pelajar berkata, “Cikgu tatanglah lagi kelas kami.” Masih pelat menyebut datang disebut tatang. Saya membalas dengan senyuman sahaja. Saya terus menemui guru itu dan bertanya mengapa tidak masuk kelas? Beliau kata suruh pelajar berbincang sesama mereka mencari jawapan yang betul. Saya membalas hujahnya mengatakan pelajar tidak berbincang fasal pelajaran tetapi berborak sahaja. Kertas jawapan mereka masih belum ada tanda pembetulan.  
Menyemak buku latihan pelajar adalah antara kerja utama saya. Saya mahu menyemak buku latihan setiap orang pelajar dalam sesuatu kelas itu. Jika bilangan buku kurang dari bilangan pelajar dalam kelas itu, saya akan memberi arahan kepada Wan Suzana supaya menghubungi guru mata pelajaran tersebut supaya menghantar baki buku yang belum diserahkan. Kerja menyemak ini dikhusus untuk mengesan semakan guru, apakah mutu semakannya? Berapa lama tidak disemak? Apakah bentuk komen yang diberikan? Saya nampak laporan buku amali pelajaran sains (ada tiga pelajaran iaitu Biologi, Kimia dan Fizik) ada keganjilan. Rajah yang dilikis oleh pelajar adalah salah tetapi ditanda betul oleh gurunya, ternyata cuai. Saya membuat komen meminta guru itu menyemak semula latihan dalam muka surat tersebut. Dalam pada itu saya ada melukis alur cahaya dari objek menuju kapada kanta cembong dan melukis kedudukan objek maya itu. Saya melukis menggunakan perisian Geometer Skecth Pad. Seterusnya saya memanggil guru itu untuk berbincang tentang kefahaman murid dalam mata pelajaran Fizik. Keesokan harinya guru itu menggunakan alat bantu mengajar yang saya reka khas itu. Guru fizik itu mohon untuk dipinjangkan perisian yang saya karang itu.  Pengalaman sebagai guru mata pelajaran yang bergelumang dengan pelajar dalam kelas sangat membantu saya memimpin guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

 Saya menjenguk Pusat Sumber Sekolah. PSS sekolah ini memang ada nombor dalam negeri Pahang. Cikgu Norliza Mohd Amin adalah guru yang diberi amanah mengelolakan PSS ini. Saya memeriksa rak buku yang dikatakan telah using. Saya terpandang sebuah buku yang kelihatan dimakan hari tetapi masih belum diusik. Saya terus capai buku yang bertajuk “Dari Kuala Sepetang Ke Tanjung”. Saya tertarik untuk membacanya. Baru saya tahu bahawa Kuala itu merujuk kepada Kuala Sepetang, Perak dan Tanjung itu merujuk kepada Tanjung Gemuk. Penulisnya ialah Ghazali Uda mantan Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang. Saya meminjam buku ini dan mula membacanya dengan penuh minat hingga tamat. Saya mendapat banyak motivasi dari cerita perjuangan penulis terutama sewaktu di bangku sekolah rendah. Saya mula sedar bahawa betapa pentingnya memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak. Selepas itu saya meminjam buku bertajuk “Pendita Zaaba Dalam Kenangan”. Tebal buku ini hampir tiga inci. Saya berazam menatap buku ini hingga tamat. Saya hadapi seminggu sahaja. Dalam tempoh seminggu itu saya dikehendaki menghadiri satu kursus di Kuala Trengganu. Saya tidak mahu memandu kereta sebaliknya memilih naik bas dari Temerloh ke Kuala Trengganu. Sewaktu dalam bas saya boleh membaca kisah pendita Zaaba ini. Saya berjaya menghabiskan buku yang tebal itu sewaktu dalam bas pulang dari Kuala Trengganu. Buku ini cukup memberi kesan yang mendalam kepada pemikiran saya. Mereka yang paling berperanan besar membentuk perwatakan dan kehebatan Zaaba adalah bapanya seorang guru agama yang mengajarnya mengaji Quran, gurunya sewaktu di sekolah rendah Batu Kikir yang menyuruhnya membaca banyak buku cerita dan gurunya sewaktu di King George V Secendory School yang mengajarnya Bahasa Inggeris dan Sastera Inggeris. Kini saya semakin yakin bahawa perlu satu tindakan yang berani memupuk amalan membaca di sekolah ini.

Saya tertanya sendiri adakah pelajar tingkatan lima telah tamat baca novel komsas? Saya menyiasat kelas 5 Perdagangan dan kelas 5 Sains Hayat. Keputusannya sangat memeranjatkan. Secara purata 5 Perdagangan baru dua muka surat dan kelas satu lagi yang terbaik baru separuh buku. Kini sudah bulan Julai, tidak boleh dibiarkan. Saya memanggil semua GPK dan ketu bidang berbincang


Jasa saya di ABS sangat kecil. Saya percaya Mesin Pengimbas Jawapan Objektif sangat membantu guru memeriksa jawapan objektif pelajar. Saya berbincang dengan GPK untuk menyediakan kemudahan memeriksa jawapan objektif menggunakan mesin OMR. Memang menjimatkan masa dan boleh memberi maklumat analisa jawapan yang pantas. Guru kata tak perlu lagi tebuk master dengan ubat nyamuk. Saya difahamkan hingga kini mesin pengimbas itu masih berfungsi. Ada seorang guru berkata, “Jika gunakan mesin OMR ini mesti teringat kepada cikgu Yahya.” Inilah satu jasa saya yang kecil itu gamaknya?


untuk mengadakan perhimpunan membaca buku yang dipanggil Perhimpunan Senyap. Selepas idea dilontarkan dan kata sepakat dicapai, kami melaksnakan perhimpunan senyap dua kali seminggu pada waktu pagi di paadang. Saya dan semua guru guru turut membaca sambil mengawasi pelajar. Selepas dua bulan, buku novel komsas itu habis dibaca. Kini mereka membaca buku yang lain pula.



Saya menyertai penghuni asrama melaksanakan majlis khatam Al Quran di asrama. Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan yang kuat. Saya tahu itu adalah bunyi mercun. Bunyi itu berturutan, sungguh mengganggu. Saya mendapat laporan bahawa ada pelajar main mercun di dalam tandas. Inilah kebiasaan budak ABS bila dekat hari raya. Cikgu Mahadi kata esok hari terakhir sekolah, mereka akan adalah pesta mercun. Saya terkejut sungguh dengan hasil siasatan cikgu Mahadi itu. Saya terpaksa melaksanakan plan tindakan yang pantas. Selepas pelajar pulang, saya berjumpa dengan semua guru membentangkan satu plan menghapuskan mercun. Saya kelompokkan guru kepada empat kumpulan. Setiap kumpulan jaga satu pintu masuk. Saya minta mereka datang awal 7 pagi dan minta rahsiakan operasi ini. Semua guru diberi kuasa memeriksa beg pelajar. Sewaktu saya sampai keesokan pagi, saya lihat ramai guru sedang memeriksa pelajar secara berhemah, mereka tidak memarahi pelajar sebaliknya merampas semua jenis mercun. Ada pelajar yang sempat membuang mercunnya di dalam longkang di luar pagar. Pagi itu kami berjaya mengumpul sebaldi mercun. Cikgu Mokhtar kata mercun bentuk bola warna hijau muda paling power.  Persekolahan hari ini berjalan dengan tenang. Tahniah cikgu. Jika kita kerja dalam satu pasukan pasti dapat hasil yang cemerlang. Seberkas membawa berkat.



Kebiasaannya ABS menjemput pensyarah atau tokoh menyampaiakn ceramah untuk program peningkatan profesionalsme tetapi kali ini saya mahu buat kelainan sedikit. Saya berikan buku bertajuk “19 Tip Pendidik Cemerlang” hasil tulisan Mohamad Shatar Sabran, Jasni Sabri dan Azali Mohamed. Setiap tajuk diberikan kepada tiga orang guru. Mereka dikendaki membaca, memahami dan membuat penyelidikan tambahan. Kemuncaknya ialah pembentangan di Hotel Sri Malaysia Temerloh. Setiap kumpulan membenatangkan tajuk masing-masing menggunakan Power Point. Terdapat macam-macam inovasi. Ada yang membuat rakaman video dan ada juga yang merujuk kepada internet. Semua kami berasa puas. Walaupun persembahan kumpulan tidak diberi nilaian tetapi mereka cuba buat yang terbaik. Ramai guru mengatakan mahu program ini elok diadakan lagi. Kita boleh tingkatkan tahap profesionalsme melalui pembacaan dan berkongsi dengan rakan-rakan.
Kalau hendak diceritakan semua harus sampai 50 muka surat kisah ABS ini, saya pilih yang difikirkan paling penting untuk dikongsikan bersama. Sebenarnya jika terlibat dalam proses merancang dan melaksana sesuatu tugas memang ingatannya kekal dalam otak kita. Saya terasa bertugas di ABS terlalu sekejap, memang sekejap pun, hanya sempat satu tahun empat bulan. Tanggal 1 Ogos 2006 saya diamanahkan memikul tugas baru sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan. Selama tempoh itu saya dapat lihat banyak sekali kejayaan kokurikulum dan permainan yang dicipta oleh pelajar ABS. Kejayaan ini adalah hasil kegigihan guru melatih dan membantu pelajar yang mengambil bahagian.


Saat bersama guru dan staf sokongan ABS memang tetap dalam ingatan saya. Barangkali pelauang menjadi pengetua di ABS adalah tapak untuk saya memanjat ke atas?  Hanya Allah SWT yang maha kuasa mengetahui segala-galanya.
Bersambung ......