Saturday, June 30, 2012

Aku guru novis 1978 di SMK Jerantut


Memulakan kerjaya guru di SMK Jerantut

Saya berjaya lulus penuh Sijil Tinggi Pelajaran tahun 1973. Saya adalah pelajar pertama lulus STP aliran sains Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib sejak tahun 1971. Saya berjaya memecahkan badi selama dua tahun sebelum ini tiada seorang pun yang lulus sijil penuh STP aliran sains sekolah itu. Saya gembira dengan pencapaian cemerlang itu. Saya rasa inilah pencapaian peribadi saya yang paling manis. Memang saya berusaha bersungguh-sungguh selama hampir  dua tahun menghadapi peperiksaan itu. Saya yakin dengan kebolehan sendiri untuk menghadapi cabaran getir itu. Saya bercadang untuk belajar dalam jurusan kejuruteraan di universiti tetapi ayah mahu saya jadi guru. Saya ikutkan kemahuan ayah lalu mengikuti kursus ijazah sains dan diploma pendidikan. Saya tidak faham mengapa ayah beria-ia sangat menyuruh saya jadi guru?

Sebaik sahaja tamat pengajian ijazah di UKM, saya memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerantut.  Perkara pertama yang difikirkan ialah tempat tinggal. Selepas melapor diri di sekolah saya terus mencari rumah sewa. Saya ingin menumpang rumah yang disewa guru bujang. Setelah bertanya beberapa orang guru lelaki, saya diperkenalkan dengan seorang guru yang mengajar di SJK Tamil Jerantut, namanya Abdul Rahman. Raman menyewa rumah nombor 99 Taman LKNP. Beliua menyewa bersama kawannya Hamdan. Saya diterima menumpang di rumahnya hingga saya dapat rumah sewa sendiri. Selepas beberapa minggu, Raman mesra dengan saya. Pada waktu malam beliau selalu memberi ubat nyamuk lengkor kepada saya. Tanpa ubat nyamuk pasti tidak boleh tidur. Raman juga kerap belanja saya maklumlah saya baru kerja, gajipun belum dapat. Selepas beberapa bulan, saya berpindah menyewa rumah nombor 4 Taman LKNP  bersama Daud Talib. Saya sangat terhutang budi terhadap budi baik saudara Raman.  

Saya diberi tugas mengajar mata pelajaran Rampaian Sains tingkatan lima, lima kelas semuanya. Saya mengajar 25 waktu seminggu. Tanpa banyak soal, saya hadapi tugas itu dengan tabah. Saya dapati sukatan pelajaran telah berubah sama sekali dengan apa yang saya pelajari tahun 1971 dahulu. Saya terpaksa belajar semula, saya telitikan semua kandungan dalam buku teks itu. Walaupun saya banyak membuat persediaan tetapi kebolehan saya mengawal kelas agak lemah. Saya seolah-olah bercakap dengan papan hitam. Jarang sekali saya menjenguk apa pelajar belakang lakukan sewaktu saya bercakap di hadapan. Kini baru saya sedar betapa banyaknya kesilapan saya sewaktu menjadi guru novis dahulu.

Saya juga diberi satu lagi tugas yang mencabar iaitu Ketua Guru Rumah Sukan Dato Bahaman. Saya hairan mengapa tugas itu diberikan kepada saya? Ada ramai lagi guru yang lebih senior. Ini akan menimbulkan masalah bagaimana hendak mengajak dan mengarah guru-guru yang lebih tua itu turut sama menguruskan ahli rumah Dato Bahaman? Berbekalkan pengalaman sebagai pelajar yang aktif dalam sukan dan permainan sewaktu di bangku sekolah, saya laksanakan tugas itu dengan baik. Apa tidaknya, Rumah Dato Bahaman berjaya menjadi johan keseluruhan tiga tahun berturut-turut. Saya rasa inilah kejayaan yang nyata dalam tugas kokokulikulum saya selama tiga tahun pertama sebagai guru.

Tugas penting saya yang ketiga ialah Guru Pembantu Displin Murid. Ketuanya ialah Tuan Haji Shahruddin bin Samsuddin, Guru Penolong Kanan yang sangat tegas. Saya tidak berapa minat melaksanakan tugas ini tetapi saya ikut sahaja apa yang disuruh. Saya terasa sukar menguruskan budak-budak yang nakal. Mereka sering kali ingkar arahan pengawas. Inilah yang memeningkan kepala saya. Saya sewaktu di bangu sekolah dulu nakal juga. Baru saya sedar betapa sukarnya guru menjinakkan saya. Syukurlah saya jadi “orang”.

Sewaktu saya sampai di Jerantut, wang dalam poket saya hanya ada beberapa puluh ringgit sahaja. Saya terpaksa berjimat untuk sampai ke hujung bulan. Apabila sampai hujung bulan, Tuan Haji Yaakub Isa, pengetua memanggil saya ke biliknya. Beliau berkata sesuatu kepada saya, “Awak memang tiada duit kan?” Saya terkejut mendengar kata-kata itu. Saya hanya memandang muka pengetua sambil memberi senyuman separuh. Saya terfikir, macam mana pengetua tahu? Pengetua terus menghulurkan wang kepada saya. “Ini wang pendahuluan RM400 untuk belanja.” Saya tersipu-sipu terus menyambut pemberian itu. “Bila dapat gaji nanti bayar balik kepada saya.” Masuk akhir bulan kedua saya menerima cek pula daripada pengetua. Saya masih ingat, dua kali saya menerima cek daripada pengetua. Ini bermakna saya kena pulangkan RM1200 kepada pengetua bila dapat gaji nanti. Akhirnya baru saya tahu bahawa pengetua mendahulukan wangnya sendiri untuk menyelesaikan masalah kewangan saya. Bila dapat gaji saya bayar dua kali. Pengetua tanya mengapa bayar beransur? Saya kata mahu beli reket tenis. Pengetua membenarkan saya bayar dua kali. Bila saya jadi pengetua baru saya sedar betapa caknanya Dato Yaakub Isa kepada saya sewaktu baru bekerja. Banyak pertolongan yang saya terima daripada seorang ketua yang sangat memahami masalah anak buahnya. Saya banyak belajar dari pengetua.

Masuk tahun kedua, tahun 1979, tugas mengajar ditambah lagi disamping mengajar Sains tingkatan lima, saya juga ditugaskan mengajar Matematik Tambahan tingkatan 5 Sains aliran Melayu. Saya menyambung tugas cikgu Low Kong yang mengajar mereka tahun lepas.  Cikgu Low Kong beritahu saya, “Pelajar kelas ini paling baik boleh dapat P8 sahaja.” Saya terkejut dengan kenyataan itu. Bermacam-macam persoalan timbul dalam kepala saya. Tidak mengapa, saya anggap ini satu cabaran. Bila sengajar mereka beberapa minggu, baru saya percaya akan pengakuan cikgu Low Kong itu. Memang kebolehan mereka sangat rendah. Kini beban atas bahu saya semakin berat. Walaupun pengalaman mengendalikan pengajaran secara berkesan tidak difikirkan, saya asah mereka melalui kelas tambahan yang banyak sekali. Saya masih ingat, bila keputusan SPM diumumkan, terdapat lima orang mencapai kepujian 6 mata pelajaran Matematik Tambahan. Antara mereka ialah Roslan Ali, Hasni binti Osman, Khairuddin bin Othman dan Omran. Ramai yang dapat P7 dan P8. Namun begitu ramai juga yang gagal. Pengetua dan GPK terkejut melihat pencapaian itu. Kali ini pelajar Melayu aliran Melayu jauh lebih baik dari pencapaian pelajar Melayu dalam aliran Inggeris. Inilah kali pertama pelajar jurusan Sains aliran Melayu dapat pencapaian yang cemerlang. Ramai yang berjaya masuk UTM, UPM dan ITM. Saya biarkan mereka berfikir dan mencari jawapannya.           

Mulai tahun 1980, saya diberi tugas mengajar Fizik dan Matematik Tambahan. Saya suka mengajar Fizik kerana banyak melakukan eksprimen di makmal. Sadun adalah atenden makmal yang cekap dan ringan tulang. Kejayaan saya mengajar Fizik dengan berkesan banyak dibantu oleh beliau. Saya dikira bernasib baik kerana dapat peluang memeriksa kertas SPM mulai tahun 1980. Disamping itu, saya bertugas sebagai pengawas peperiksaan SPM dan STPM. Beberapa tahun berikutnya saya diberi tugas sebagai Ketua Pengawas STPM untuk calon persendirian. Ramai calon adalah guru yang lebih tua dari saya. Sukar juga mengawasi mereka. Kami kena mengawas secara tegas dan teliti kerana ramai yang cuba membawa nota.

Tugas tambahan semakin pelbagai. Kini saya ditugaskan menyelaras Jadual Kedatangan. Setiap hujung bulan saya kena semak Jadual Kedatangan setiap kelas. Waktu itu bilangan pelajar sekolah ini mencecah 2000 orang. Bilangan kelas melebihi 30 buah. Saya dapati banyak kesilapan menjumlah yang dilakukan oleh guru kelas. Untuk menyemak kesilapan yang banyak itu, saya gunakan tenaga pembantu iaitu anak murid saya tingkatan lima yang pandai Matematik. Kini saya jadi pengurus. Pelajar juga suka diberi tugas tersebut.

Saya juga diberi tugas sebagai warden asrama menyebabkan saya semakin sibuk. Saya masih ingat, selalu bekalan air terputus. Saya ditugaskan mengawasi pelajar lelaki pergi mandi ke sungai Pahang. Mereka berjalan kaki berbaris macam askar sejauh dua kilometer. Walaupun jauh mereka sanggup berjalan kaki kerana mahu main air. Saya bersama pelajar mandi sepuas-puasnya. Apabila mahu pulang, saya pastikan bilangan mereka sama swaktu kelur pagar asrama tadi. Satu hari sewaktu saya memeriksa bilik saya dengar bunyi seperti orang berjalan di atas siling.  Saya bersama cikgu Zakaria dan cikgu Che Mat mengambil tindakan memanjat hingga naik atas siling. Tiba-tiba sahaja kelihatan orang berlari meniti atas kayu menjauhi kami. Tiba-tiba seorang daripadanya terpijak siling terus tejerlus, kini kakinya terjuntai. Dia tidak boleh bergerak ke mana-mana. Kini kami dapat satu tugas untuk melepaskan pelajar itu dari bahaya bimbang terus terjatuh. Pandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah. Baru kami tahu rupanya atas siling itu adalah tempat segelintir penghuni lelaki ponteng. Saya juga mendapati atas siling itu penuh dengan puntung rokok dan kotak rokok. Ini adalah tempat merekok yang paling selamat. Kami berjaya menghapuskan tempat ponteng dan merokok dengan cara menutup satu siling yang dijadikan tempat turun naik.

Beberapa tahun kemudian saya diberi tugas yang lebih mencabar iaitu membina jadual waktu mengajar guru. Tugas ini saya laksanakan bersama-sama cikgu Aziz bin Abdullah, Guru Penolong Kanan. Ini adalah tugas yang rumit dan mengorbankan banyak masa. Kami menggunakan ruang dinding yang luas. Banyak cip yang berlainan warna dan bentuk digunakan melambangkan guru dan mata pelajaran. Semasa membina jadual ini kami berbincang dan menyangkutkan cip pada paku. Kami berbincang bising sekali. Ada beberapa orang guru mengecek minta mereka dikosongkan pada waktu tertentu. Mereka adalah pengganggu yang memeningkan.

Saya rasa sangat beruntung menyewa rumah no 4, Taman LKNP bersama seorang guru yang lebih senior iaitu saudara Daud Talib. Mungkin anggapan saya ini betul. Saya berasa saya berjaya dalam kerjaya. Mungkin syok sendiri? Kejayaan saya ada kesan yang kuat dari sahabat karib. Jika kita lihat seseorang itu berjaya dalam bidangnya, kita boleh selidik siapa gurunya, siapa ibu bapanya, siapa rakan karibnya atau siapa ketuanya? Kami duduk membujang di rumah nombor 4 itu hampir tiga tahun. Saya lihat kawan saya ini sentiasa berpakaian kemas dan segak. Sebelah malam kawan saya ini ada sahaja kerja yang dilakukannya misalnya menaip soalan ujian. Bila siap, soalan itu bentuknya macam buku yang distepler ditengah. Ini bukan kerja yang mudah. Kalau buat soalan ujian Geografi mesti bermula dengan JPU. Saya pun fahamlah apa itu Jadual Penentuan Ujian. Hujung bulan Mac ramai pelajar yang baru ambil keputusan SPM datang ke rumah. Mereka bawa borang dan buku prospectus mohon masuk universiti. Kawan saya ini sibuklah menerangkan kursus mana yang sesuai dengan keputusan dan minat masing-masing. Saya rasa rimas juga kerana mereka duduk lama di rumah. Pada mulanya saya tidak faham mengapa kawan saya ini sanggup lakukan berlebih lebihan ini. Pada tahun berikutnya anak murid saya pula ambil keputusan SPM. Mereka pula bertanya saya. Kini saya faham bahawa rasa sayang kepada murid akan timbul setelah kita mengajar mereka bersungguh-sungguh. Waktu cuti penggal hujung tahun kawan saya ini asyik memeriksa kertas jawapan calon SPM. Kawan saya ini nasihatkan saya cari pengalaman memeriksa kertas jawapan. Dia kata banyak faedahnya, sangat membantu pengajaran dalam kelas. Pada tahun berikutnya saya dapat peluang yang serupa tetapi saya memeriksa kertas jawapan pelajaran yang saya ajar. Kawan saya ini memang disukai rakan-rakan setugas. Kawan saya ini suka sangat  berekreasi seperti mendaki, menyusur sungai dan mandi manda di pantai laut.  Saya ikut sahaja ke mana dia pergi. Kami mendaki dan menyusup gua di Gunung Kota Gelanggi. Kami mudik menyusur sungai berkhemah di Taman Negara. Kami meredah samudera berkhemah seminggu di Pulau Tioman. Apa yang saya ceritakan ini sedikit sahaja. Kami berkawan rapat macam adik beradik. Dari segi kerja pula secara tidak sedar beliau adalah guru dan mentor saya. Bila saya renungkan kembali, saya dapat banyak sangat faedah berkawan dengan saudara Daud bin Talib. Saya ingin menghadiahkan kata-kata ini kepada saudara Daud.

“Kalau saudara anggap saya berjaya dalam kerjaya guru ini, sebenarnya sebahgian kejayaan itu adalah hasil peniruan cara saudara bekerja sejak mula saya jadi guru. Rupanya saudara turut mewarnakan lukisan yang saya cipta ini. Saudara mencadangkan berus mana hendak digunakan. Saudara tolong bancuhkan warna-warna.  Secara tidak disedari saya terikut-ikut pendekatan mendidik yang saudara amalkan. Terima kasih kekandaku Daud Talib.”

Sewaktu belajar di tingkatan empat tahun 1970, saya menjadi ball peacker kepada cikgu Razak, cikgu Hadi, cikgu Mahmud dan cikgu Ismail dalam permainan tenis. Saya memang mahir melakukan kerja itu. Sejak itu saya menanam angan-angan satu hari nanti saya pula mahu main tenis. Hasrat itu tercapai bila saya dapat gaji pertama terus beli raket tenis jenama Head Master. Rakan sepermainan saya ialah Mohd Yahya, Rozak, Khairuddin Ali, Zakaria, Che Mat, Jara, Paterik Loh, Fauzi Gusti, Bastani, Mohd Sahari Nordin, Rashid Ali dan Baharum Bahari. Kami sering berkunjung ke Lipis, Bentong, Temerloh dan Pekan mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab tenis daerah tetapi kerap kali kalah. Walaupun kalah kami terus berlatih. Seterusnya saya terpilih mewakili daerah Jerantut dalam pertandingan PSKPP ke peringkat negeri.

Tidak sedar saya telah habiskan masa dengan seronoknya selama tujuh tahun setengah di Jerantut. Datang seorang diri kini sudah beristeri dan ada dua orang anak. Satu hari akhir bulan Jun 1985 saya menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Pahang mengarahkan saya bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Dua sebagai guru penolong kanan.

Selamat tinggal Sekolah Menengah Kebangsaan Jerantut. Di sinilah tempat saya belajar jadi guru. Saya berguru orang yang hebat untuk jadi guru yang lebih baik.

Terima kasih Dato Yaakub bin Isa
Terima kasih Tuan Haji Shahruddin bin Shamsuddin
Terima kasih sahabatku kekandaku Daud bin Talib



Saya adalah guru kelas 4Sains1, tahun 1981

Friday, June 29, 2012

Kursus di Jepun 6 Oktober 1988 hingga 30 Mac 1990

Kursus Di Jepun


Saya ingin menyingkap kembali kenangan manis sewaktu berkursus di Jepun.

Saya belajar di Universiti Ehine di Matsuyama City. Matsuyama adalah gabungan dua perkataan matsu bermaksud pokok rhu dan yama ialah gunung. Matsuyama bermaksud gunung yang penuh dengan pokok rhu. Matsuyama ialah ibu negeri Ehime. Ehime adalah sebuah negeri yang terletak di pulau Shikoku yang bersetentang dengan Hiroshima. Shikoku adalah gabungan perkataan shi bermaksud empat dan koku ialah negeri. Pulau Shikoku bermaksud pulau empat negeri. Negeri di pulau itu ialah Ehime, Kochi, Takamatsu dan Nihama.

Enam bulan pertama saya tinggal di Asrama Pelajar Antara Bangsa (Dyugaksei Koryu Kaikan) di Takanoko. Jaraknya dari universiti kira-kira enam kilometer. Saya lihat ramai orang Jepun menunggang basikal ke tempat kerja atau ke kampus. Saya menaiki keretapi elektrik tiga gerabak yang dipanggil densha. Saya dapati setiap gerabak penuh dengan penumpang. Saya perhatikan ramai penumpang yang membaca buku atau surat khabar sewaktu menunggu kereta api. Ini adalah satu suasana yang berbeza sama sekali dengan suasana kita alami di sini.

Kerja sambilan (Arbaito)
Saya mahu mencari pengalaman bekerja sambilan yang dinamakan arbaito. Tempoh kerjanya satu atau dua jam sahaja sehari, biasanya sebelah petang dan malam. Pelajar yang kesempitan wang sangat suka melakukan kerja sambilan ini. Iklan kerja sambilan ini ditampal di Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Saya dinasihatkan oleh pegawai yang mengurus agar ambil kerja satu jam dahulu. Bila sudah biasa baru beransur ke kerja dua jam. Saya memulakan tugas menyusun atur perabot di dewan pameran. Kami mesti sampai ke tempat kerja 10 minit lebih awal. Bila jarum jam menunjukkan 5 petang, seorang penyelia memberi taklimat berpandukan pelan. Dalam pelan tercaatat kerja yang perlu dilaksanakan mengikut turutan yang tertib. Kami bekerja dalam pasukan tidak berhenti. Kalau seorang memang telah lama berhenti tetapi ada empat orang lagi maka saya gagahkan juga. Sesaatpun tidak boleh berdiri diam. Lima puluh minit berlalu, kami berjaya menyiapkan kerja. Ada baki 10 minit, kami berdiri diam. Bila jarum menunjukan 6 petang, penyelia itu memberi taklimat mengatakan kerja telah dilaksanakan dengan sempurna. Kami menerima sampul surat. Saya masukkan sampul itu ke dalam poket dengan mengatakan, “Arigato gozaimasu”. Penyelia itu membalas, “Hai, doo itashimasute.” Saya melangkah keluar dengan rasa sangat letih, betis rasa sengal, labu betis rasa kebas, buku lali rasa panas dan pangkal peha rasa menyucuk-nyucuk. Semua keletihan itu terubat sedikit bila melihat note 500 yen dan siling 100 yen. Wang bernilai 600 yen itu boleh beli makanan untuk tengah hari dan maakan malam tetapi air panas sahaja di kedai makan kooprasi universiti. Makanan di luar lebih mahal.

Selepas beberapa kali mengulangi kerja satu jam, kini saya memberanikan diri mencuba kerja dua jam pula. Kerja hari itu bermuja jam 3 petang dan tamat jam 5 petang. Kerjanya macam biasa, baca pelan dan angkat perabot tanpa henti selama hampir dua jam. Saya masih ingat lagi, hari itu bulan puasa. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa letihnya hendak menghabiskan tugas dua jam itu. Saya rasa betis nak tercabut. Saya sampai telan air liur payau. Saya sudah tidak mampu pulang ke rumah. Saya membeli setin air kopi panas dari jidohanbaiki, maksudnya mesin yang menyimpan air. Saya tersandar di tepi dinding kedai. Saya rasa saya adalah orang yang paling letih di bandar Matsuyama ketika itu. Saya memegang erat air tin panas itu sambil melihat jam tangan menunggu waktu berbuka puasa. Bila masuk sahaja waktu berbuka, saya terus meneguk air kopi dengan sepuas-puasnya. Secara beransur-ansur terasa pulih kembali. Saya terus menunggang basikal pulang ke rumah. Sejak hari itu saya tidak gairah lagi melaksanakan kerja Arbaito itu. Memang kerja itu untuk pelajar yang kesempitan wang belanja. Saya sebenarnya menerima biasiswa MOMBUSHO yang tinggi nilainya. Tambahan pula saya juga menerima elaun keluarga dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Saya sekadar ingin mencari pengalaman. Kesimpulannya ialah bukan senang untuk mendapatkan wang dari tulang empat kerat.

Sejak hari pertama sampai di Matsuyama, saya terus mendaftarkan anak sulong saya Norhidayah masuk sekolah tadika iaitu Sakura Yochien. Sakura adalah sejenis pokok berbunga yang cantik. Bunga sakura kembang mekar bewarna puih kemerahan waktu musim bunga dalam bulan April. Yochien pula bermaksud sekolah kanak-kanak. Guru Besar tadika itu mengatakan Ida adalah orang luar yang pertama belajar di Sakura Yochien. Beliau, guru-guru dan murid-murid di situ menerima Ida dengan baik sekali. Mereka sentiasa tunjukkan kemesraan dengan Ida. Saya dapati sebaik sahaja pulang ke rumah banyaklah cerita menarik yang Ida ceritakan kepada kami. Ida tidak pernah ponteng walau sehari. Dia memang suka pergi sekolah. Ida kata, “Ayah, ramai budak nak berkawan dengan Ida. Tiap-tiap hari Ida dapat kawan baru.” Pada mulanya anak saya dan rakan sekelasnya seperti ayam dan itek. Selepas sebulan Ida telah fasih berbual dalam Bahasa Jepun. Guru kelas Ida ialah Yumiko sensei. Beliau seorang guru yang dedikasi. Saya selalu berselisih dengan Yumiko sensei sewaktu pulang dari kampus. Ketika berselisih jam sudah hamper enam petang. Sepanjang siang Yumiko sensei berada di sekolah. Banyak kerja dilakukannya, hingga membersihkan tandas murid kelasnya. Sekali sekala saya singgah di sekolah berjumpa Yumiko sensei bertanya khabar tentang Ida. Beliau kata Ida suka berada dalam kelasnya, berkawan dengan semua budak dalam kelasnya. Yumiko sensei memberi penekanan kepada latihan bercakap dalam Bahasa Jepun. Beliau kata Ida cepat pandai. Saya sangat gembira dengan usaha gigih Yumiko sensei. Banyak lagi cerita menarik tentang persekolahan Ida di Sakura Yochien. Pembaca boleh rujuk kepada http:// www.warisanpesagi.com untuk mengetahui cerita yang lebih ditel lagi menarik. Selamat berkunjung ke sana.



Isteri saya, Wan Abzan seorang yang gigih. Dia pergi ke pasar membeli barang keperluan harian dan menyediakan makan minum kami sekeluarga. Dalam masa yang sama dapat ruangkan masa bersama kawan-kawan orang Jepun. Beliau selalu uruskan sendiri bahan-bahan untuk dimasak. Hampir tiap-tiap hari beliau berbasikal ke supermarket atau minimarket, jaraknya tidak sampai setengah kilometre. Setiap kali pergi, Hanis yang baru berusia tiga tahun memboncengnya. Syafik pula menunggang basikal kecil sendiri mengekori di belakangnya. Inilah kerja yang disukai oleh Syafik. Setiap kali emaknya berbelanja mesti ada benda yang dibelinya. Permainan yang disambung hingga jadi robot atau kenderaan adalah kesukaannya. Saya rasa permainan itu banyak melatih kemahiran berfikir dan kreatif. Boleh dikatakan pengetahuan Bahasa Jepun isteri saya lebih bagus dari saya sebabnya dia banyak belajar. Sekali seminggu isteri profeser Matsumoto datang ke rumah. Setengah jam yang pertama isteri saya belajar Bahasa Jepun dan setengah jam berikutnya dia belajar Bahasa Inggeris pula. Seminggu sekali dia pergi belajar Bahasa Jepun di Matsuyama Community Centre. Isteri saya juga menjadi ahli kumpulan menggubah bunga dan kumpulan menjahit. Melalui pergaulan itulah memudahkannya dia berbual dengan lancar dalam Bahasa Jepun. Hanis yang baru berusia tiga tahun itu bermain bersama-sama dengan anak jiran bernama Megumi can. Akhirnya mereka boleh berkomunikasi. Syafik pula tiap-tiap hari bercakap Jepun dengan Vivi anak kepada pak Haryono. Vivi sudah beberapa tahun belajar di shogakko (maksudnya sekolah rendah).

Saya menentukan sendiri skop pembelajaran saya. Tiga bidang utama yang saya mahu pelajari ialah perbandingan kurikulum Matematik Malaysia-Jepun, pemantauan ke sekolah-sekolah Jepun dan Projek Analisis Peperiksaan menggunakan Basic Language. Pememantauan ke sekolah, saya selalu mengiringi Hayashi sensei memantau guru pelatih yang lelaksanakan program latihan mengajar. Dari sekolah di bandaraya, di celah gunung dan di pulau habis saya lawati. Bagi dua bidang kajian lagi, saya banyak belajar sendiri. Pensyarah yang menyelia saya namanya Omori sensei. Saya tidak mampu memahami buku dalam Bahasa Jepun dan saya bertanya di manakah boleh beli buku dalam Bahasa Inggeris? Omori sensei kata buku dalam bahasa Inggeris banyak di Tokyo tetapi harga buku dan tambang ke Tokyo sangat mahal. Beliau mencadangkan saya pergi ke Seoul. Harga buku dan tambang ke Seoul lebih murah. Saya kira cadangan itu sangat baik, selain dapat buku boleh juga melawat Negara Korea. Sewaktu di kedai buku, saya terkejut melihat manusia begitu ramai dan bersesak sesak membeli buku. Saya Nampak orang membaca buku ketika menunggu bas, di lapangan terbang dan di mana sahaja. Inilah amalan positif masyarakat Korea. Orang Jepun juga rajin membaca, pantang ada masa terluang.

Jika cuaca diramalkan hujan saya pergi ke kampus menaiki densha. Saya membawa paying sebagai langkah persediaan jika hujan turun sewaktu dalam perjalanan. Satu hari sewaktu pulang saya menaiki densha, saya masuk ke gerabak tengah. Lepas itu saya letakkan payung dalam bekas yang disediakan. Apabila sampai di Kume Eki saya pun turun. Selang beberapa minit setelah berjalan di luar stesen baru saya teringat payung saya tertinggal di dalam densha yang telah bergerak laju menuju stesen yang berikutnya. Saya pergi ke pejabat Stesen Master memberi tahu bahawa saya tertinggal payung dalam densha yang baru berlalu itu. Pegawai itu bertanya masuk gerabak yang mana? Payung diletak dalam bekas belah kiri atau kanan? Payung jenis lipat atau panjang? Corak payung berkotak atau berbunga atau plane? Cerah atau gelap? Saya memberitahu bahawa saya masuk gerabak tengah. Payung diletakkan dalam bekas kiri. Payung jenis panjang, corak berkotak dan gelap. Pegawai itu terus menghubungi pegawai di stesen kedua selepas Kume Eki ini. Beliau memberitahu semua maklumat yang saya sampaikan itu. Pegawai itu meminta nombor telefon saya. Dia beritahu, dalam tempoh dua jam beliau akan hubungi saya. Saya berjalan kaki pulang ke rumah yang jaraknya hampir setengah kimlometer dari stesen itu. Belum sampai dua jam berada di bilik, telefon berdering. Pegawai di Kume Eki memberitahu, jika ada masa lapang dia minta saya datang. Saya bingkas keluar berjalan kaki menuju stesen Kume. Bila sampai sahaja di hadapan pintu, terus sahaja stesen master itu menghulurkan payung yang diisi dalam plastik dan ditambat reben. Saya terkejut bahawa payung saya berjaya diselamatkan.

Pegawai itu bertanya, “Anatano kasa desuka?”

Saya membalas, “Hai, watashino kasa desu.”

Beliau terus menghulurkan payung itu kepada saya.

Saya menerimanya dengan penuh hormat sambil berkata, “Hontoni arigato gozaimasuta.

Selepas itu saya tanya pegawai itu macam mana boleh dapat payung ini? Beliau kata, selepas menelefon rakannya di stesen kedua, kawannya terus berdiri di garisan di mana pintu gerabak tengah akan terbuka bila densha itu berhenti selama satu minit. Bila pintu densha itu terbuka, pegawai yang berdiri itu terus meluru menuju kea rah bekas paying di sebelah kiri. Beliau terus mengambil payung panjang, gelap dan berkotak. Belliau mengangkat payung itu dan terus menjerit, “Dare no kasa desuka? “ Beliau ulangi dua kali lagi. Oleh kerana tiada siapa yang mengaku, beliau terus meluru keluar sambil membawa payung itu bersamanya. Kerja itu mesti dilakukan dengan pantas kerana pintu densha itu hanya terbuka satu minit sahaja. Saya terus memuji dengan berkata, “Erai desu.” Maksudnya hebat betul. Orang Jepun sangat suka jika dipuji dengan kata-kata itu.

Saya membeli sebuah kereta Nissan March secondhand tetapi usianya baru setahun, masih kelihatan baru. Bila ada kereta, kami sekeluarga selalu melancung. Kami pusing pulau Shikoku. Lepas itu kami menjelajah ke Nagasaki, Beppu, Fukuoka, Hiroshima hingga ke Kobe. Saya selalu mengisi minyak di stesen minyak dekat rumah. Bila mahu mengisi minyak, budak muda yang bertugas bertanya, “Gomi, gomi.” Maksudnya beliau mahu sampah dalam kereta. Anak saya terus menghulurkan plastik yang mengandungi sampah kepada pekerja itu. Selepas itu beliau bertanya nak isi banyak mana? Saya katakana, “Ippai desu.” Maksudnya isi penuh. Sambil menunggu minyak diisi penuh ke dalam tangki, pekerja itu menghulurkan tuala panas, sangat sesuai buat lap muka atau lengan. Terasa lebih menyegarkan. Selepas selesai membayar harga minyak, pekerja yang menerima wang berkata, “Hai arigato gozaimasu”, maksudnya terima kasih. Disahut pula oleh rakan-rakannya lain lain turut mengatakan, “Hai arigato gozaimasu.” Sebelum tayar berpusing, pekerja itu bertanya lagi, “Doko e ikimasuka? Hidari? Migi?” Maksudnya ke mana? Kiri atau kanan? Saya mahu masuk ke jalan raya seberang sana. Beliau terus pergi ke tepi jalan, bila kereta agak kurang melintas terus sahaja dia berdiri di tengah jalan menahan kenderaan yang lain kerana mahu melepaskan kereta saya melintas ke seberang sana. Sambil itu pekerja itu menundukkan kepalanya sambil mengangakat topinya. Saya rasa sungguh puas, dilayan dengan penuh hormat.

Banyak cerita menarik yang saya ingati hingga kini. Amalan menjaga kebersihan, suka menolong dan rajin bekerja menjadikan saya terpujuk untuk turut berubah. Pengalaman belajar dan menimba pengalaman hidup setahun setengah di Jepun sungguh besar ertinya. Saya percaya isteri saya juga mendapat pengalaman yang indah itu.

Saya dianugerahkan Diploma in Mathematics Education dan sijil Japanase Language Proficiency oleh Ehime University. Saya kembali ke Malaysia pada 30 Mac 1990 dan melapor diri di Kementerian Pelajaran Malaysia untuk kembali bertugas. Sewaktu melapor diri, saya diberi tahu bahawa saya akan ditempatkan di sebuah sekolah berasrama penuh di Pekan, Pahang.





Saturday, June 9, 2012

SEMALAM AKU BERMIMPI

SEMALAM AKU BERMIMPI


7 Jun 2012, bilik 1501, Bresdel Hotel, Kuala Lumpur.

Saya mula melelapkan mata kira-kira jam 11 malam.

Tiba-tiba saya terdengar orang bertempik berulang kali. Bunyinya, “Mat Saleh lemas dalam sungai, cepat, cepat bantu.”

Bila mendengar pekikan itu, saya terus berlari ke tebing sungai. Saya lihat ramai orang berdiri memerhati ke tengah sungai. Pada mulanya saya hanya nampak permukaan air yang mengalir dan terdapat kocakan kecil di permukaan. Seketika selepas itu saya nampak seorang lelaki Mat Salleh berenang dengan kencangnya ke tepi tebing. Dia seolah-olah timbul dari tengah sungai itu. Mata saya memerhati permukaan air di tebing sungai, saya nampak bentuk tubuh manusia dalam air di tepi tebing itu. Bentuk tubuh itu kabur kerana permukaan air yang berkocak. Saya memberanikan diri mengaruk air di gigi sungai dan terus mencapai lengan tubuh itu dan terus menghiritnya ke darat. Rupanya tubuh yang kaku itu adalah kanak-kanak. Rupanya bukan Mat Salleh tetapi budak Melayu. Saya tekan perutnya beberapa kali. Saya ingat teknik membantu orang lemas dengan cara memberi bantuan pernafasan tetapi saya tidak melakukannya. Saya hanya menekan perutnya beberapa kali. Tiba-tiba mulutnya mula terkamit-kamit dan hujung jarinya mula bergerak. Budak itu tinggal nyawa ikan. Mat Salleh dan budak itu selamat. Lepas itu saya terjaga.

Sewaktu saya menulis nota ini, bulu roma saya berdiri dan kulit pangkal bulu roma itu berbiji-biji, tandanya seram juga.

Saya termenung sejenak, mengapa saya bermimpi begitu?

…. Oh saya dapat jawapannya.

Tanggal 27 Mei 2012 (Sabtu) yang lalu saya mengikuti aktiviti mencabar mendaki, menurun bukit, menuruni jeram kecil dan mengharung sungai yang cetek bersama-sama hampir 80 orang murid sekolah rendah seluruh negeri Pahang di pinggir Kampung Sentosa. Saya berasa aktiviti ini sangat mencabar. Saya berendam lama dalam sungai membantu murid-murid menuruni jeram. Kalau tidak ditolong rasa-rasanya ada yang minum air sungai yang pekat macam air susu itu. Saya rasa sangat seronok tetapi beberapa hari perut saya kembung kerana lama sangat berendam.


Dua hari yang lalu saya membaca Bab 6 buku DOKTOR UMUM dari m/s 77 hingga 109. Dalam bab itu, DM ada menceritakan Jepun menyerang Malaya. Ketika menyerang Kedah, semua tentera British berundur tetapi dua orang askar Mat Salleh yang masih muda tidak sempat bernudur. Mereka digulai oleh tentera Jepun. Mereka diradak dengan banet senapang dengan kejamnya hingga tidak bernyawa. Kemudian kedua-dua askar itu dilempar ke dalam sungai. Semalam saya ceritakan babak itu kepada tuan haji Mohamad Musa. Episod itu melekat dalam ingatan saya.


Semua pengalaman yang saya alamai dan pengalaman membaca tersimpan kemas dalam ingatan saya.

Rupanya sewaktu tidur otak saya menayang semula ingatan itu dalam bentuk yang bercampur aduk tetapi tidak berkecamuk.

Rupanya mimpi saya itu adalah rakaman.

Saya terfikir, kalaulah pada waktu siang seseorang itu mengharungi pengalaman yang pahit, esoknya pahit juga. Bagaimanakah jalan cerita mimpinya? Adakah masih derita dan pahit juga?