8 Februari 2012, Rabu. Pagi ini saya memulakan perjalanan ke Subang, mahu memuliakan Keberangkatan KDYM Sultan Pahang keluar negara. Walau pun kurang selesa mengendalikan komputer di atas riba tambahan pula ada kalanya melambung bila tayar kereta melanggar jalan yang beralun. Saya ingin menceritakan kenangan yang lucu sewaktu saya menghadapi saat genting ketika tok mudim mahu menyunat saya. Sewaktu dalam kereta pulang dari Subang ke Maran, saya sambung semula kerja menulis kembali pengalaman membuat jebak hingga selesai.
Pada bulan Mac 1967, sewaktu cuti sekolah penggal pertama. Saya baru pulang dari asrama. Terus ayah mengatakan sesuatu yang memeranjatkan, “Ahad ini, tokki Jah akan datang ke rumah nak menyunat awak.”
Alangkah terkejutnya saya mendengar berita yang menggerunkan itu. Terus sahaja lutut saya rasa sejuk. Lama juga saya termenung, akhirnya saya sedar bahawa setiap remaja lelaki mesti menghadapi saat itu, tidak boleh lari ! Saya masih ingat lagi, Abang Long dan Abang Nan berkhatan di rumah tok mudim di Kampung Awah. Kalau ada teman kuranglah takutnya. Saya terfikir juga mahu ajak adik Lan bersekali dengan saya tetapi dia masih kecil lagi. Ada juga bahayanya, nanti kalau dia disunat dahulu, katakan dia menangis kesakitan? Mungkin saya akan jadi lebih takut. Kalau begitu biarlah saya bersendirian sahaja.
Pagi-pagi lagi saya disuruh berendam dalam perahu yang dipenuhi air. Tangan, kaki dan xxx jadi kecut. Lepas itu saya berbungkus denagan kain sarung naik ke rumah. Di ruang tamu, ramai sekali saudara mara berkumpul. Seorang daripadanya saya cukup kenal, dia ialah Tokki Jah. Di sisinya saya terpandang satu bungkusan yang dibalut kain hitam. Saya tahu, di dalamnya pasti ada pisau lipat yang tajam dan dua pasang penyepit. Saya dipimpin oleh Etam Man ( pak saudara, adik ayah yang paing muda). Saya disuruh duduk terkangkang atas batang pokok pisang. Saya diapit oleh Engah Ahmad dan Elong Mail. Di belakang pula Etam Man. Semangat saya jadi pulih bila dikelilingi oleh bapa saudara yang memang sentiasa menunjukkan sikap penyayang kepada saya. Rupanya bila kita menghadapi saat sukar, ada orang terdekat dihati hadir di sisi, kita jadi bersemangat. Saya ditenangkan dengan kata-kata semangat. Saya tak mahu lihat apa yang dilakukan oleh Tokki Jah, saya pejamkan mata dan tegakkan kepala seolah-olah memandang ke atas. Tiba-tiba terasa perit, macam tekepit. Lepas itu terasa benda tajam mencantas dengan pantas. Terpacul kata-kata ini dari mulut saya, “Aduh sakitnya.”. Ikutkan hati nak menangis tetapi malu kepada saudara mara. Ketika ini banyak tangan mengurut tengkuk, bahu dan belakang saya sambil berbisik, “Sikit aja, dah siap”.
Lepas itu saya diusung ke atas tilam. Kini saya tidak berjalan lagi. Baring terlentang sahaja. Kain sarung yang saya pakai di sambung dengan tali. Kain bahagian pinggang hingga ke lutut ditegang ke atas macam khemah. Kini bahagian pinggang hingga hujung kaki berada dalam khemah kecil. Seharian saya berbaring sahaja. Satu petang sewaktu sedang baring, kawan saya Mat Pilos datang menziarah saya. Pada kesempatan ini saya meminta sesuatu dari kawan saya ini.
“Mat, awak tolong carikan pelepah salak dan buluh aur pering.”
“Awak nak buat apa pelepah salak dan buluh tu.” Tanya Mat Pilos.
“Bila sihat nanti kon nak buat jebak.”
Beberapa hari kemudian Mat Pilos datang beri tahu buluh dan pelepah salak ada di bawah rumah.
Seminggu kemudian saya telah boleh melangah perlahan dan terkangkang. Walaupun masih terasa sakit, saya mahu menjejak tanah, saya turun tangga berpapah dengan perlahan-lahan. Saya terus sahaja meluru ke bawah rumah untuk berihat dan melihat pelepah salak dan buluh yang dicari oleh Mat Pilos. Saya sungguh gembira kerana benda yang dihajati semuanya ada. Tanpa lengah saya terus memulakan projek. Pelepah dikerat mengikut ukuran dan buat tanggang. Lepas itu tebuk lubang ikut ukuran yang tepat. Gunakan kerek menebuk lubang untuk memasang bilah buluh sebagai lantai dan dinding. Kerja ini kena buat dengan teliti dan ikut ukuran yang tepat. Kalu tidak, bila siap nanti jebak itu kelihatan penjong, herot dan terjongket. Buluh pula perlu dibelah hingga jadi bilah yang kecil. Lepas itu diraut hingga jadi bilah bulat dan licin. Kerja ini sangat memerlukan ketelitian agar bilah itu kelihatan sekata bentuknya. Inilah hobi saya sewaktu lapang ketika di sekolah rendah dulu.
Masuk hari kedua, saya rasa hilang sakit bila mengadap kerja membina jebak ini. Kini jebak telah separuh siap. Bahagian yang belum siap ialah dindingnya, bilah buluh belum cukup untuk dicuck melalui lubang pada rangkanya.
Tidak disangka, ayah menysup ke bawah rumah meluru ke arah saya, terus berkata dengan keras, “Awak dah sekolah menengah mana boleh main jebak lagi.”
Ayah mengambil jebak yang separuh siap itu, terus pergi beredar. Saya terpaku di bawah rumah dengan rasa yang kecewa. Saya sangat sayang kepada jebak itu. Ayah tidak tahu perasaan saya ketika itu. Saya masih belum boleh melangkah laju. Saya tidak tahu ke mana ayah pergi. Apakah nasib jebak separuh siap itu? Saya hadapi hari yang sedih ini.
Pagi ini ayah pergi menorah getah, biasanya ayah akan pulang jam 3 petang. Pagi itu saya kuatkan semangat mencari di manakah jebak itu disembunyikan? Saya meresap ke dalam semak keliling rumah, manalah tahu ayah menghayun jebak itu ke dalam semak. Rupanya gelagat saya diperhati oleh Encik Timah. Encik Timah nampaknya bersimpati dengan saya lalu menunjukkan jarinya ke arah atas reban ayam. Saya cepat-cepat menggunakan pengait kelapa untuk menurunkan jebak itu. Saya sangat gembira dapat semua jebak yang saya sayang. Nasib baik jebak itu tidak herot atau patah. Apa lagi, saya cepat-cepat memasang bilah untuk dijadikan dinding dan lantai. Saya mesti siapkan jebak itu sebelum ayah pulang jam 3 petang.
Kini jebak kesayangan telah siap. Timbul satu soalan, “Di manakah mahu disimpan jebak ini?” Kalau disimpan atas reban, kena hujan dan panas akhirnya reput. Saya dapat satu idea iaitu simpan di rumah Tok Meriam, jiran sebalah rumah. Saya cepat-cepat memasang bilah buluh untuk dijadikan lantai dan dinding. Akhirnya siap juga jebak itu. Saya terus bawa jebak itu ke rumah Tok Meriam. Saya beritahu Tok Meriam nak tumpangkan jebak ini di rumahnya. Tok Meriam setuju sangat. Di rumah ini Tok Meriam tinggal bersama suaminya Tokki Aris dan seorang cucunya Abang Li. Abang Li sebenarnya masih kecil, belum sekolah lagi. Nama abang itu hanya cembungan sahaja.
Keesokan harinya saya datang ke rumah Tok Meriam hendak mengambil jebak itu. Saya mahu simpan di rumah kawan saya, Mat Pilos. Mat Pilos kata mahu letak burung puyuh yang baru ditangkapnya. Bila saya mahu mengambil jebak itu tiba-tiba Tok Meriam merayu agar tidak mengambilnya kerana cucunya Abang Li sangat sukakan jebak itu. Malam semalam dia letak jebak itu dekat tempat tidurnya. Bila saya pergi melihat jebak itu, kelihatan dua ekor anak ayam berada di dalam ruang denak jebak itu. Bila melihat anak ayam berada dalam jebak terasa simpati pula kepada Abang Li. Saya nampak Abang Li sudah tidak mahu melepaskan jebak itu. Saya tidak berniat hendak merentak jebak itu dari pegangannya. Saya pun beritahu Tok Meriam bahawa saya beri Abang Li gunakan jebak itu. Tok Meriam bukan main suka. Sebagai balasannaya Tok Meriam menghidang buah jambu keling kepada saya. Pokok jambu keling di sebelah rumahnya memang rajin berbuah dan kini banyak yang masak. Buah yang masak bewarna merah tua, rasanya pun sangat manis. Petang itu saya makan buah jambu keling sepuas-puasnya.
Saya gembira kerana hasil tangan saya dihargai oleh seorang nenek dan sangat diminati oleh anak kecil.
Hari ini saya mahu pulang ke asrama untuk menyambung pelajaran penggal kedua. Sebelum pulang saya pergi ke rumah Tok Meriam hendak tengok jebak yang amat mencabar untuk disiapkan. Saya lihat Abang Li masih memegang jebak itu. Dia ingat saya mahu mengambilnya. Saya beri tahu dia, “Jaga jebak ini elak-elok ye.”
Abang Li mengangguk-naggukkan kepalanya.
Saya melangkah pulang kembali ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chenor dengan rasa puas tetapi langkah saya masih belum 100% pulih, masih terasa geli.
Che GU akhir cerita ne saya keliru, balek asrama sekolah chenor ke sekolah maran,
ReplyDeletePudin anak arwah Elong Mamat.
Din Mun, saya balik ke asrama Chenor. Waktu tingkatan satu hingga pertengahan ting tiga saya sekolah Chenor, lepas itu tukar ke Maran. Saya tahu Pudin. Lama tak jumpa, Pudin duduk di mana? Kalau tak silap awak kerja dgn Felda kan? Di mana?
ReplyDeleteSalam, CheGu, Saya sekarang kat Felda Transport HQ KL. Minggu lepas ada dengo sekolah Pesagi kenduri sembelih rusa tapi maaf saya tak dapat sama memeriahkan majlis tersebut.
ReplyDeleteCheGu lupa nak bagi tau Abang Li cucu Tok Meriam tu anak Hj,Nor Chenor kan,
ReplyDeletekalau betul beliau tu sama tua dengan saya tapi beliau dah meninggal lebih kurang 2-3 tahun lepas.