Saturday, August 4, 2012

Jadi Orang Nombor Dua Di Jabatan Pelajaran Negeri Pahang

Melangkah masuk ke Jabatan Pelajaran Negeri Pahang sebagai orang nombor dua.
Saya melangkah masuk ke Jabatan Pelajaran Negeri Pahang buat kali keduanya. Kali pertama sewaktu diamanahkan jawatan Penolong Pengarah Sains dan Matematik tetapi hanya sempat dua minggu sahaja. Kini saya kembali jadi orang nombor dua di pejabat, seperti guru penolong kanan di sekolah. Saya mesti mengatur langkah mengikut langkah ketua saya, tidak jauh tertinggal di belakang dan tidak pula memotongnya. Kini ketua saya ialah Yang Hormat Dato’ Haji Abdul Aziz bin Abdul Latif. Inilah prinsip yang saya amalkan sewaktu memegang jawatan GPK di SMK Jengka Dua dan SHAH Pekan dahulu. Dalam struktur organisasi saya sentiasa jadi orang nombor dua. Sebaliknya Persatuan Pusat Sumber Negeri Pahang ringkasnya PERPUSPA dan Jawatan Kuasa Pengurusan Surau Al Falah, saya adalah pengerusinya.
 
 
            Saya perlu berhati-hati melalui jalan yang agak licin ini. Sewaktu menerima watikah perlantikan daripada Tan Sri Alimuddin Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, beliau berpesan, “Yahya, awak telah langkau ramai orang, mesti tunjukkan kerja yang cemerlang.” Saya sentiasa ingat pesanan KPPM itu.  
 
 
            Satu pagi saya dipanggil oleh Dato’ Pengarah ke biliknya. Saya diberi satu tugas pertama yang mencabar iaitu menyelesaikan masalah seorang pegawai kerap tidak hadir sejak beberapa bulan yang lalu. Saya difahamkan pegawai itu menghadapi masalah kesihatan yang serious. Saya berjaya menemuai pegawai itu, kasihan juga melihat kulitnya yang bengkak bengkal macam terbakar dan kerap bergaru. Saya menasihatkan beliau mendapat rawatan hospital. Beliau kata telah pergi tetapi tidak berkesan. Ada kalanya bengkak kulitnya susut, beberapa minggu kemudian datang semula. Saya tahu beliau sedang berhadapan dengan masalah kesihatan yang amat sangat. Setelah gagal pulih melalui perubatan hospital beliau menggunakan kaedah tradiosional. Masalah pegawai ini tidak mudah diselesaikan, mengambil masa yang panjang. Banyak kerja pegawai ini dipikul oleh pembantunya. Namun begitu ada juga kerja yang tidak beres. Setelah berbincang dengan Pengarah, pegawai ini ditukarkan ke sekolah tetapi saya masih lagi ditugaskan mengikuti perkembangannya. Kadang-kadang terasa kohot juga berlabu ikan yang degil. Sewaktu dia mengganas, saya terpaksa lepaskan tali. Bila dia reda, saya gulung tali. Jangan biarkan ia terlalu jauh dan jangan terlalu tegang hingga putus. Saya tetap melayan hingga dia dapat disauk. Marathon ini masih jauh.

            Satu hari saya melawat SMK Paya Besar. Saya mengajak encik Nandakumaran, Pengetua melawat kelas demi kelas. Sambil berjalan encik Nanda menerangkan apa yang dilaksnakannya, macam bertih goring, sambil itu tangannya berputar. Memang encik Nanda sentiasa bersungguh melaksanakan tanggungjawab. Memang nampak ada kemajuannya. Saya lihat ketokohan encik Nanda telah dapat diterima baik oleh guru dan ibu bapa. Saya lihat muka pelajar tingkatan satu, dua, tiga dan empat semuanya kelihatan ceria. Bila menjenguk kelas tingkatan lima saya nampak ada yang berkerut, boleh jadi memikirkan tentang peperiksaan SPM hunjung tahun ini. Akhir sekali saya menjenguk kelas tingkatan enam atas. Saya terkejut melihat suasana yang muram, nampak macam kurang semangat. Saya terus bertanya encik Nanda, “Apa telah jadi Nanda?” Saya tidak pasti apakah jawapan encik Nanda. Saya rasa encik Nanda susah hati mendengar komen saya sebentar tadi.  Saya tidak mahu tinggalkan Nanda dalam keadaan susah hati. Saya beritahu Nanda bahawa saya sangat berminat untuk memberi ceramah motivasi kepada pelajar tingkatan enam dalam masa terdekat ini. Saya lihat mukanya ceria semula sambil mengucapkan terima kasih. Diringkaskan cerita, saya tunaikan janji memberi ceramah motivasi selama satu jam kepada mereka. Saya katakan kepada pelajar, “Saya dapat motivasi belajar setelah mendengar temuramah di radio selama lima belas minit, tetapi hari ini anda dapat satu jam.” Seterusnya saya berbincang dengan Nanda untuk melaksanakan aktiviti lanjutan bercorak Team building and physical challenge. Saya mengajak guru dan pelajar tingkatan enam mendaki Bukit Pelindung. Pegawai saya, encik Supian dan beberapa orang lagi mengatur strategi. Apabila sampai harinya, kami mendaki bersama guru dan pelajar. Walaupun sangat mencabar bagi mereka yang tidak pernah mendaki tetapi akhirnya sampai juga ke puncak. Ketika di puncak saya memberi ceramah ringkas menerangkan agenda tersembunyi disebalik pendakian bukit ini. Beberapa minggu berikutnya encik Nanda melaporkan telah nampak perubahan positif. Memang betul, beberapa bulan berikutnya,apabila keputusan STPM 2011 diumumkan, berlaku lonjakan yang ketara. Tahniah pengetua, guru dan anak-anak pelajar.


            Kalau ikutkan sibuk memang tidak boleh pergi ke mana-mana walau hari minggu. Saya untukkan masa melakukan aktiviti lasak bersama rakan sepejabat. Kali ini kami menaiki kereta pacuan empat roda meredah hutan Sungai Lembing melalui jalan balak yang mencabar berjam-jam hingga sampai di Lubuk Beruk. Ini adalah kehadiran kali kedua ke sini. Kali pertama dahulu kami bertarung menewaskan kelah dan sebarau tetapi kali ini kami bermalam dan melakukan aktiviti mendaki. Kami mendaki bukit dan mengharung sungai hingga sampai ke Air Terjun Pelangi. Sungguh cantik tempat ini, air terjunnya tinggi dan kelihatan pelangi di pinggir permukaan batu yang terhampar itu. Dikatakan Air Terjun Pelangi adalah kedua tertinggi di Asia Tenggara. Kami berendam sepaus-puasnya. Hilang rasa tekanan kerja dek kerana percikan air terjun yang membasahi kepala. Saya tidak jemu, mahu datang lagi ke sini.


        

     
            Oleh kerana usaha yang saya lakukan di SMK Paya Besar mendapat sambutan maka saya terfikir untuk melaksanakan marathon ke seluruh Pahang untuk berjumpa dengan pelajar tingkatan enam di serata ceruk dalam negeri Pahang ini. Ada 45 buah sekolah semuanya tetapi saya sempat jenguk 35 buah sekolah sahaja. Dalam ceramah itu, saya bawa cerita bagaimana saya berjaya melakukan lonjakan sewaktu di tingkatan enam kerana mengubah kaedah belajar. Sewaktu di tingkatan lima, saya hanya akan belajar jika ada guru dan berbincang dengan kawan. Sewaktu di tingkatan enam, saya belajar dahulu sebelum guru mengajar. Saya sentiasa membuat persediaan awal. Itulah yang menghasilkan kecemerlangan. Tidak cukup dengan usaha itu, saya melaksanakan usaha menulis kembali pengalaman berubah hingga lahirnya sebuah buku motivasi berjudul MENDAKI. Buku ini ditujukan kepada pelajar menengah atas yang masih tercari-cari kaedah belajar yang berkesan serta kepada orang dewasa yang mahu mengembalikan kecergasan fizikal. Alhamdullilah buku ini mendapat sambutan yang hangat. Inilah cara saya berkomunikasi dengan pelajar, guru dan ibu bapa. Secara tidak langsung saya melaksanakan kempen membaca buku.  

            Selaku Yang Dipertua Persatuan Pusat Sumber (PERPUSPA), saya mahu amalan membaca disuburkan di kalangan murid sejak dari darjah satu lagi. Amalan yang ada sekarang memilih tokoh membaca. Kita hanya memberi tumpuan kepada beberapa orang individu sahaja. Langkah pertama saya ialah melancarkan kempen membaca di setiap daerah. Saya memulakannya di SK Bukit Tajau bagi daerah Maran. Suasana sangat meriah, ibu bapa dilibatkan menyoal murid. Saya juga  merasmikan program di SK Purun bagi daerah Bera. Sambutan yang paling hebat di SK Lepar Hilir Tiga. Suasana meriah macam kenduri kampong. Kaum ibu memberi sokongan penuh. Mereka turut membaca novel dan menyoal anak-anak mereka. Saya juga pergi ke SK Paya Pulai merasmikan program membaca ini bagi daerah Temerloh. Walaupun kita tahu membaca terlalu banyak faedahnya tetapi terasa amat sukar menanamkan sikap ini kepada murid, guru dan ibu bapa. Kadang-kadang terasa jemu juga. Namun begitu saya tetap membaca. Saya tetapkan target sekurang-kurang 12 buah buku setahun.

            Saya mengajak rakan-rakan di JPN dan PPD menawan tiga puncak gunung di Cameron Highland. Aktiviti riadah ini semakin meriah bila mana banyak sekolah ikut serta. Ada sekolah yang menjadikan aktiviti mendaki ini sebagai kebitaraan sekolah mereka. Saya berjaya mendaki Gunung Berembun sebanyak dua kali. Selepas itu kami mendaki Gunung Berincang pula. Keadan trek yang licin dan berlumpur menyukarkan pendakian tetapi berjaya sampai juga di puncak. Mendaki bersama PPD Pahang ke Gunung Irau sangat mencabar dan terasa serik untuk mendaki kali kedua. Untuk sampai ke puncak Irau terpaksa mendaki turun naik beberapa kali gunung lain di antaranya. Semangat bersaing dengan rakan sahaja yang mendorong kami terus merangkak ke puncak. Di puncak Irau kami dapat melihat pemandangan yang istemewa. Banyak periuk kera yang besar dan berbagai corak terdapat di sini.  Beberapa orang murid sekolah rendah ikut serta. Mereka lebih gagah dari kami.
            Saya selalu mewakiti pengarah ke majlis peringkata sekolah, daerah dan negeri lain. Ada kalanya mewakiti pengarah ke mesyuarat peringkat kementerian. Aktiviti rutin ini tidak meninggalkan nostalgia. Dalam banyak tugas menggantikan pengarah, ada satu tugas yang tidak akan dilupakan. Pengarah mengarahkan saya menggantikan beliau menghadiri mesyuarat sukan di Johor Bahru dan seterusnya menghadiri majlis perasmian penutup Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Singapura. Hari pertama seharian mesyuarat sukan. Keesokan harinya kami Pengarah dan Timbalan Pengarah menaiki bas menuju ke Singapura. Pemandu bas rupanya tersilap jalan menyebabkan kami sudah hilang arah. Perut sudah terasa lapar, nasib baik dapat berhenti hampir kedai mamak. Kami makan sepuas-puasnya. Selepas itu pemandu itu cuba mencari jalan menuju ke komplek sukan tetapi masih gagal. Akhirnya kami terbabas hingga menaiki Bukit Sentosa. Kami berehat di situ hingga petang. Ini betul-betul acara makan angina. Bila disiasat didapati pemandu itu baru tiga minggu bertugas di Johor Bahru dan baru dua kali memandu bas masuk ke Singapura. Saya merasa dibawa berjalan seharian di dalam bas di Singapura tanpa arah tujuan.

            Tanggal 21 Oktober 2011 saya menerima surat perlantikan sebagai Pengarah Pelajaran Pahang. Surat lantikan itu saya terima dari YH Dato’Haji Mazlan bin Mohamad yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian di Pejabat Pelajaran Raub. Saya menerima watikah di hadapan pengetua dan guru besar daerah Raub. Penyerahan watikah di Raub ini memberi satu macam makna yang tersendiri. Saya terpaksa berfikir mengapa di Raub? Satu simbolok?


TAMAT





No comments:

Post a Comment