Saturday, December 28, 2013

PERJUMPAAN PELAJAR TAHUN 1979 BERSAMA GURU SMK JERANTUT

28 Disember 2013.

Hari yang bersejarah. Kami dapat berjumpa kembali dengan rakan guru dan pelajar tingkatan lima tahun 1979 SMK Jerantut. Di sinilah saya belajar jadi guru.


Saya dapat berjumpa kembali dengan Cikgu Mohd Yahaya, Cikgu Khairiah Mohd Piah, Cikgu Ahmad bin Daras (AD) dan Cikgu Rashid Ali. Mereka adalah rakan permainan tenis saya.


Pelajar pula ialah kelas 5 Sains tahun 1979. Antara yang hadir ialah Roslan Ali (Ketua kelas) merupakan pengurus perjumpaan ini, Othman Nayan, Salina, Mazlan, Azmi dan beberapa orang lagi. Arin Santi dari Surabaya juga hadir.


Tahun 1979 saya adalah guru yang mengajar Matematik Tambahan kelas mereka. Waktu itu saya baru setahun mengajar tetapi baru sahaja diberi tugas mengajar Matematik Tambahan kelas mereka. Sewaktu mereka tingkatan empat, Cikgu Low Kong yang mengajar mereka.
Saya mengaku memang tidak pandai mengajar waktu itu tetapi beranikan diri kerana diberi amanah. Hari ini baru saya tahu bahawa saya mengajar sangat laju. Mereka kata saya cepat padamkan tulisan saya di papan hitam dan tulis yang baru pula hingga mereka tidak sempat menyalin.
Kami berbual panjang, macam-macam cerita dan gelak ketawa.



Saya lihat pertemuan seperti ini memang elok diadakan lagi. Kalau dapat lagi ramai yang hadir lagi bagus.

 

Saturday, December 14, 2013

SMALL WIN AND BIG JUMP


Pemimpin yang berhajat memajukan sekolah atau organisasinya tentu mahu tahu apakah yang dimaksudkan dengan perkataan Kaizen. Kaizen adalah perkataan Bahasa Jepun yang bermaksud Improvement atau kemajuan.

Awal Mac 2005 yang lalu saya membeli sebuah buku pengurusan bertajuk World-Class Management Practices hasil tulisan Ichigen Watanabe. Apabila menyemak sepintas lalu, saya dapati tajuk Small Win and Big Jump sungguh menarik untuk diterokai. Small Win boleh diterjemah sebagai kemenangan kecil dan Big Jump pula sebagai lompatan saujana. Tetapi dalam perbincangan ini , saya lebih suka menggunakan istilah asal. Gabungan beberapa small win dan big jump menghasilkan improvement.

Watanabe mengatakan jika seorang ketua itu sentiasa melaksanakan tugas harian yang telah ditetapkan saban hari dengan tekun akan menghasilkan small win. Di dalam PKKP (Pembanguan Kurikulum dan Kemajuan Pendidikan) ada memperkenalkan prinsip SDCA yang bermaksud Standard, Do, Checking and Action. Mengikut kefahaman saya, jika kita melaksanakan SDCA maka kita akan memperolehi small win. Small win digambarkan satu anak panah yang terjongket sedikit ke atas. Sebaliknya jika seorang ketua yang gagal melaksanakan kerja harian yang telah ditetapkan akan menyebabkan kemerosotan, digambarkan anak panah yang menjunam sedikit ke bawah.

 

Bersambung lagi…

Sunday, December 8, 2013

MENURUNI GUNUNG KINABALU


MENURUNI GUNUNG KINABALU

01 Disember 2013

Berada di puncak sungguh mengasyikkan. Nampak sekeliling, Nampak banjaran gunung, Nampak lembah dan sungai yang dipenuhi tanaman dan rumah. Nampak sungai seperti ular. Nampak awan mula bergerak ke barat. Nampak sinar mata hari pagi kemerahan. Nampak laut lepas membiru. Melihat dari atas samalah dengan ungkapan Halicopteer View. Seorang perancang atau seorang pengurus besar perlu melakukan Halicopteer View, perlu melihat dari atas baru nampak keseluruhan secara umum. Orang yang mampu melihat secara Halicopteer View adalah seorang yang berkemampuan tinggi. Inilah sifat yang perlu ada pada seorang pemimpin yang berwibawa. 

Perjalanan turun tidak semencabar melangkah naik. Kami bergambar kenangan di papan tanda KM8.

 

Dari kiri, Zamri, Yahya, Saari, Suhaimi dan Ahmad

Ketika ini baru 7.30pagi tetapi cahaya Matahari sudah menyinar megah. Cahaya semakin tajam mulai jam 8.30pagi. Ketika ini elok pakai sun glass. Kepada pendaki yang lambat sampai ke puncak elok bawa sun glass sekali.

Sewaktu melangkah turun tekak terasa dahaga tetapi air yang saya bawa telah habis. Nasib baik Zamri ada bawa bekalan air yang banyak. Saya diberi olehnya menyedutnya. Bukan sekali tetapi berkali-kali.

Sewaktu melangkah turun saya sempat memerhati pokok dan bunga. Saya sungguh tertarik dengan pucuk paku ( fern shoos). Paku hutan di sini adalah simbul kehebatan paku pakis Borneo. Saya mengambil tiga peringkat pertumbuhannya.

Apabila sampai di pondok rehat di kilometre pertama, saya dapati ada sekumpulan guru dan murid sekolah rendah dari Korea sedang melaksanakan kursus. Saya tidak faham apa kandungan kursus tersebut. Namun begitu saya bertanya seorang guru mereka, mengapa mengadakan kursus di atas gunung ini? Beliau mengatakan latihan mendaki gunung menjadi aktiviti penting dalam sisitem pendidikan mereka. Acara fizikal mendaki memberi maksud memajukan diri dan semangat juang yang tinggi. Saya teringat kepada satu sms yang dikirimkan oleh Tuan Haji Razali Mustafar yang berkursus di Korea selama dua minggu. Beliau mengatakan Antara aktiviti kursus itu ialah mendaki bukit ketinggian melebihai 560 kaki. Tidak syak lagi bahawa aktiviti mendaki merupakan proses aruhan latihan kepimpinan bagi orang Korea.

Saya berjaya sampai di Pejabat Sutera Resort jam 3.45petang.  

Kami mengadakan majlis penyampaian sijil di Restoran LEHA KELFOOD, Taman Midah, Kuala Lumpur.

Saya rasa kejayaan mendaki dan turun pada kali ini lebih kemas. Saya juga membuat kesimpulan bahawa saya mampu mendaki Gunung Kinabalu ini pada masa akan datang walaupun umur saya akan mencecah 60 tahun dengan syarat;

1.      Terus berlatih mendaki seperti mendaki Bukit Pelindung sekurang-kurang tiga bulan sebelum mendaki gunung.

2.      Persiapan lain seperti cukup tidur, cukup bekalan makanan, pakaian yang sesuai menampan sejuk.

3.      Rakan sepasukan yang bekerja sama.

4.      Ada rakan yang sebaya yang memberi dorongan sewaktu mendaki.


Saya mahu bergambar lagi di puncak Gunung Kinabalu tahun 2014.


 

Thursday, December 5, 2013

MENDAKI GUNUNG KINABALU


MENDAKI GUNUNG KINABALU


29 November 2013
Saya bersama tujuh orang rakan dari KIPSAS dan guru dari daerah Pekan mengintai kaki Gunung Kinabalu. Ini adalah cubaan saya yang keempat. Kali pertama dalam tahun 2010, saya bersama 9 orang staf PPD Pekan berjaya sampai ke puncak iaitu Low’s Peak. Untuk sampai ke situ bermacam-macam cabaran yang perlu dirempuh. Dalam perjalanan pendakian, beberapa kali perasaan hampir tewas melintas di kepala. Nasib baiklah ada Nordin dan Kamarul Zaman yang memberi motivasi. 500 meter yang terakhir terasa mustahil untuk didaki. Kami bergerak 50meter kemudian berhenti tetapi 200meter terakhir terasa bertenaga semula. Akhirnya 7.15pagi saya berjaya juga, syukur alhamdullilah sampai juga akhirnya.

Kali kedua, tahun 2011. Selepas seminggu pulang dari menunaikan umrah saya bersama 19 orang staf JPN Pahang, PPD Pekan dan PPD Maran mendaki lagi. Terasa sangat mencabar sewaktu mendaki tangga kilometre ketujuh. Ada beberapa orang telah tewas. Bila sahaja melintas checkpoint Sayat-Sayat tiba-tiba sahaja hujan lebat turun beserta dengan rebut kencang. Ketika itu suhu keliling turun mendadak, sangat sejuk. Kami diarahkan berteduh di dalam pondok, menunggu hingga reda. Malim Gunung (guide) tidak membenarkan semua peserta meneruskan pendakian kerana licin, sangat berbahaya. Maka kempunanlah saya. Hanya tinggal 1.7km sahaja lagi tetapi jika terus mendaki mengambil masa lebih tiga jam juga.

Awal September 2012 saya bersama staf JPN Pahang dan PPD Pekan mencuba lagi. Kali ini pendakian kami bermula dari Mersilau. Perjalanan hari pertama lebih dua kilometre dari biasa. Tanda-tanda gagal mula ternampak bilamana porter yang membawa beg kami jatuh crem menyebabkan kami lambat mendapat bekalan. Kami terhenti di km4 menunggu porter yang tidak kunjung tiba. Perut terasa lapar dan dahaga, terpaksa makan buah strowbery hutan sahaja, rasanya masam.  Akhirnya kami sampai di Laban Rata jam 6.30petang. Cuaca pula tersangat sejuk, selera makan sudah tiada. Bila bangun 1 pagi terasa ketat untuk melangkah. Saya tidak mahu menanggung risiko. Saya bersama Syed Adnan dan Ahmad mengambil keputusan menarik diri.

Hingga kini rekod pendakian saya ialah 1 – 2.

Kali ini saya bersama tujuh orang mencuba kali keempat. Terasa juga kecutnya bimbang terjadi 1-3 tetapi sokongan isteri sangat kuat. Sokongan kuat juga dari rakan di KIPSAS menyebabkan saya terasa semakin gelabah.  Saya berhajat untuk menjadikan 2-2.

Saya bersama ahli pasukan sudahpun berada di Rock Hostel di Sutera Resort Kinabalu Park.

Saya tertarik dengan bunga senduduk yang ungu lagi lebar menghiasi taman hostel ini. Saya tidak lepaskan peluang untuk merenung bunga yang indah ini berkali-kali selepas ini. Caranya ialah merakam gambar bunga itu.

Semua telahpun bersiap sedia untuk memulakan pendakian pagi esok. Kami perlu cukup rehat dan tidur. Sungguh tidak disangka dua orang rakan sebilik berdengkur menyebabkan saya tidak boleh tidur. Saya hanya dapat lena kira-kira tiga jam sahaja. Malam itu hujan turun agak lebat juga terasa sangat sejuk.



30 November 2013
 
Secara psikologi dan fizikal saya sudah cukup bersedia untuk memulakan cabaran. Kami memulakan perjalanan dari Timpohon Gate pada jam 8.15pagi. Ketinggian Timpohon Gate dari paras laut ialah 1830 meter.  Sebelum memulakan pendakian, James Kanan memberi taklimat. Antara kata-katanya, “Tidak perlu berkejaran untuk sampai. Kalau kita berjalan biasa-biasa boleh sampai dalam masa enam jam. Jika laju boleh sampai dalam masa empat jam sahaja.”

Walaupun saya membawa tungkat tetapi saya mengambil keputusan tidak menggunakannya. Tungkat itu dipendekkan dan disangkut pada beg galas. Beg galas itu hanya 3 kg sahaja beratnya. Di dalamnya ada tiga botol kecil air minum, buah apel, coklat dan sandwich.  Bila masuk kilometer ketiga, betis kanan saya terasa memulas dan sakit. Saya mendapat bantuan ubat panas Methyl Salicylate dari encik Khairul, orang Raub bekerja di Sandakan yang menompang group kami. Setelah mendapat rawatan, terasa lega maka saya meneruskan perjalanan. Kini saya menggunakan tungkat. Saya berjalan beriringan dengan Ahmad. Kelajuan kami adalah sama. Dina, Dayah dan Zamri telah meninggalkan kami. Suhaimi yang gagah memikul beg galas yang berat bersama King dan Saari dibelakang kami. Saya berjalan perlahan dan berhenti sebentar di setaip pondok. Selepas berhenti kira-kira 10 minit mengembalikan tenaga dan melaraskan pernafasan. Bekalan buah apel, sandwich dan air minum sedikit demi sedikit dikerjakan. Sambil mendaki, saya mengambil gambar beberapa flora dan fauna. Misalnya pucuk paku ( fern shoot), Rhododendron ericoides dan Wild Raspberries. Saya juga merakam gambar saya setiap kali berjumpa papan tanda 1 km, 2km hingga 5km.

Sebelum sampai di Laban Rata Resthouse, saya bersama encik Ahmad bergambar berlatar belakangkan seperdu pokok berdaun merah, sangat indah.

Dalam suasana cuaca yang berkabus, saya berjalan dalam rentak biasa sahaja, akhirnya sampai di LRR pada ketinggian 3352 meter dari paras laut pada jam 2.15petang. Ini bermakna jarak perjalanan dari Timpohon hingga ke LRR ialah enam kilometre dan tinggi tegak ialah 1522meter.

Oleh kerana perut terlalu lapar, saya mahu makanan yang cepat disiapkan. Tidak lain mee segera campur sayur serta telur. Sementara minumannya ialah milo panas. Harga semua boleh tahan hampir RM30.

Selepas siap solat dan berkemas, saya mahu berihat awal. Jam 7.30mlm saya cuba paksakan mata untuk lelap. Rupanya malam ini saya dapat lelap awal, jadinya saya tidak tahu adakah saya pula yang mengganggu enam orang yang lain?

01 Disember 2013
Secara psikologi dan fizikal, saya telah cukup bersedia untuk memulakan pendakian fasa kedua pagi ini. Jarak condong pendakian ialah 2.7 kilometer sahaja. Tepat jam 2.30pagi, Malim Gunung memberi taklimat kepada peserta. Oleh kerana saya sudah ada pengalaman, semua yang diterangkan saya faham semuanya. Beliau mengatakan 700 meter pertama mendaki menaiki tangga, diikuti 300 meter mendaki berpaut pada tali. Apabila sampai di Check point Sayat-Sayat mesti tunjukkan name card kepada pengawal di situ.

Cuaca pagi ini cantik sekali, tiada kabus, tiada awan dan tiada hujan tetapi suhu sekitar 5 darjah Celsius. Saya memakai tiga lapis baju. Pertama t shirt, kedua baju sejuk yang tebal dan baju getah dua lapis yang bertindak sebagai baju sejuk dan baju hujan juga. Seluar panjang tebal, sarung tangan khas mendaki yang mampu menampan sejuk, sarung kepala khas yang lengkap berpenampan kain hingga ke hidung. Pakai stokin dan kasut khas mendaki. Lampu suluh dipasang di kepala. Saya memegang tungkat dan membawa beg galas di belakang. Beratnya tidak sampai 3 kilogram. Di dalamnya ada sebotol kecil air, coklat, ubat panas bot-bot dan tuala kecil.

Saya melangkah mengikut rentak kawan-kawan. Bila sampai 100 meter terasa mengah. Terasa sesak nafas. Saya terpaksa rehat di tepi. Pendaki lain sudah ada yang memintas saya. Bila dada terasa lega saya teruskan mendaki tangga. Aduh, awal-awal lagi terasa tewas tetapi saya tetap bersemangat. Saya dan cikgu Mat tidak boleh ikut rentak orang lain. Kami selalu rehat untuk membetulkan nafas dan tenaga. Akhirnya berjaya menghabiskan 700 meter yang sangat mencabar itu.

Kini saya akan memanjat ikut lereng berbatu sambil memegang tali. Sewaktu mendaki kali ketiga dahulu saya terasa 50-50. Terasa antara berani dan takut. Apa tidaknya, melalui tebing yang curang. Kali ini saya kuatkan semangat dan mesti pegang tali dengan erat. Memang saya melakukannya dengan berhati-hati. Huh… semangat sahaja kuat tetapi sangat meletihkan. Saya terpaksa berhenti beberapa kali. Laluan ini sepanjang 300 meter, memamang tidak boleh undur. Saya hadapi juga walaupun hingga menelan air liur payau. Sewaktu mengharungi kepayahan ini, rupanya cikgu Suhaimi yang di belakang memerahati keadaan saya. Mungkin dia dapat meneka bahawa saya dalam keletihan yang amat sangat lalu dia meminta beg galas. Kini beg galas saya berada di dada cikgu Suhaimi. Cikgu Suhaimi ( Mie Ubai ) dikenali sebagai badang. Walaupun kurus tetapi sangat handal membawa beban.

Inilah pendakian yang paling mencabar, iaitu kilometre 7. Lebih kurang 200 meter di hadapan, kami melintas Pondok Sayat-Sayat. Senarai nama ahli kumpulan tercatat dalam satu helai kertas, lapan orang semuanya.

Perjalanan kilometre kelapan ini tidak semencabar kilometre tujuh tadi tetapi saya sering kali berhenti untuk membetulkan pernafasan, rasa tercungap-cungap. Huh tekak terasa amat kering. Saya minum setegak. Saya beriringan dengan cikgu Mat, kepantasan kami seimbang. Saya sudah 59 tahun dan cikgu Mat pula 58 tahun. Saya rasa kalau tiada kawan yang seia sekata, saya dah lama berpatah balik. Akhirnya kami sampai di KM 8 jam 5.30 pagi. Kami berhenti sebentar menunaikan solat subuh.

Puncak Gunung Kinabalu sudah kelihatan jelas, kini perasaan gembira mula bermain di kepala. Saya beritahu cikgu Mat, “Kita jalan perlahan aja, jaga langkah, elakkan kecederaan kerana kita sudah sangat hampir. Jika letih kita rehat sebentar.” Cikgu Mat mengangguk. Saya tahu dia juga sangat penat.

Saya sudah membayangkan 2 – 2 pasti akan tercapai.

Pendakian 200 meter terakhir macam memanjat dinding, tetapi gagahi juga. Saya berpaut pada tali untuk mengangkat badan ke atas.

Syukur alhamdullilah tepat jam 6.40 pagi saya sampai di puncak. Rekod sebelum ini tahun 2010 ialah 7.15pagi. Cuaca sangat cantik. Kami merakam detik manis ini dengan mengambil gambar. Saya berdiri di belakang papan tanda Taman Kinabalu Low,s Peak, 4095.2 meter. Inilah impinan saya. Sekawtu saya sampai, Dina, Hidayah dan Zamri tercegat kesejukan menunggu saya. Saya gembira wakil KIPSAS semuanya berjaya. Beberapa minit kemudian Mie Ubai, Saari dan King sampai. Kami bergambar ramai lapan orang di puncak ini. Semua lapan orang berjaya. Lebih manis kejayaan cikgu Mat, cubaan kali keempat membuahkan kejayaan.

 


Perbandingan tahun 2010 dan 2013