Sunday, June 23, 2013

Hari Ahad 23 Jun 2013 di Kampung Pesagi

Pagi ini saya melawat kebun durian abang Long saya di Bukit Resak. Kalaulah semua pokok berbuah puas kami buat tompoyak. Sewaktu pulang, singgah sebentar di Kampung Bukit Resak. Di sini terdapat sebuah rumah kosong tetapi masih kukuh. Kemas buatannya. Rumah siapakah ini? Tangganya telah tiada. Siapakah warisnya?


Saya terus memandu kereta keluar dari Bukit Resak. Kali ini saya memilih jalan tepi sunagai Pahang. Saya melalui jambatan sempit. Jambatan ini di sebelah tapak sekolah yang lama. Sewaktu saya sekolah di sini dulu, jambatan ini belum ada. Yang ada ialah gertak kayu. Kerap juga rosak bila dilanda banjir. Banyak cerita berkait dengan jambatan ini.

Di sebelah hulu jambatan ini terdapat sebuah rumah terbiar. Saya masih ingat, dulu ada pokok kundang. Akarnya timbul melintas jalan, Rumah ini juga dikira cantik. Kalau tak silap tuannya ialah Tokki Saleh. Anak mereka saya kenal. Seorang daripadanya tinggal kampung Sentosa.


 Saya terus menunggang basikal menghala ke sebelah ulu sungai Pahang

Wednesday, June 12, 2013

Hari Indah, CUCU PERTAMA KAMI

Syukur alhamdullilah cucu pertama yang dinanti telah lahir, hasil perkongsian anak perempuan sulung kami Nor Hidayah Yahya dan menantu kami Wan Hafiz bin Wan Azmi.


Nama belum ada, lahir jam 4 pagi di Hospital KPJ Seremban.


Masih nyenyak tidur tak sedar sedang diriba oleh aki dan diperhati tok wan nya. Nama? Katanya Wan Adam ......? Serahkan kepada ibu dan bapanya. Biar saya panggil Jantan Kecil sementara waktu.


Cerah orangnya, oh ye lelaki, hidung mancung. Biarlah aki puji cucu sendiri.

Sempena kelahiran Jantan Kecil saya menanam benih peria katak, menyemai benih betik dan menanam 15 anak pokok getah di belakang rumah. Pokok getah ini bila besar nanti akan dijadikan tempat kursus menoreh getah. Belajar menoreh getah agar jadi cekap dan tidak merosakkan pokok. Lepas itu baru boleh pergi menoreh di kebun getah di kampung Lompat. Ini adalah tindakan yang strategik. Saya juga akan menanam kangkung.

Kangkung - boleh petik pucuknya selepas sebulan.
Peria katak berbuah bila berusia empat bulan.
Pokok betik akan berbuah bila berusia 12 bulan.
Pokok getah boleh mengeluarkan hasil dari umur 5 tahun hingga 25 tahun.
Ada satu lagi hasil...? paling lambat berhasil.....  fikirkanlah.

14 Jun 2014
Sudah setahun dua hari usiamu. Satiap detik Adam dibelai dan dijaga.... tiada ragam dan suka makan bubur. Dah mula nampak gigi empat batang.
Tidak mahu duduk diam. Ada sahaja yang mahu dicapainya.


Monday, June 10, 2013

SATU HARI MINGGU(9 JUN 2013) DI KAMPUNG PESAGI

Pagi ini sungguh berunung bagiku kerana dapat meluangkan masa melaksanakan kerja orang pencen. Saya mahu menjenguk kebun di Kampung Lompat. Mahu buat maintanace di kebun getah yang baru diusahakan. Dalam perjalanan saya mengambil gambar rumah saudara saya yang ditinggalkan akibat banjir besar akhir tahun 1970.


Ini rumah arwah tuan haji Ismail bin Abdul Rahman (Elong Mail), pak saudara saya, abang sulong ayah saya. Rumah ini telah ditinggalkan hampir 40 tahun tetapi masih tegap. Sewaktu saya kecil dahulu, selalu main buai di bawah rumah bersama sepupu saya Jama, Mat, Ji , Li dan Minah. Dulu laman rumah ini luas dan di hadapan rumah ada pokok ciku. Kami selalu main sepak raga bulat di laman rumah ini. Kini tinggal kenangan.



Mengapa saya keluarkan gambar belukar ini?
Di sinilah tapak rumah tok saya, Tok Tijah. Rumah telah ranap. Rumah tok di sebelah ulu rumah Elong Mail. Di sinilah saya dilahirkan. Di sinilah saya dibesarkan hingga sekolah rendah. Tetapi sayang rumah itu telah runtuh berderai.


Ini pula rumah Tokki Mak di sebelah hilir rumah Elong Mail.

Selepas penat mesin rumput di kebun, saya pergi ke warung Ji Roti Canai.

 

Bergambar dengan anak muda kampung Pesagi.
Saya tak biasa dengan anak muda ini tetapi melihat muka mereka saya boleh agak siapa abang atau ayah mereka. Yang pakai baju hijau itu anak apak Midin. Saya memang mesra benar dengan apak Midin sejak saya di bangku sekolah rendah lagi. Waktu itu apak Midin adalah tukang kebun sekolah kami. Saya suka tengok apak Midin menyabit rumput mengunakan penyabit panjang. Waktu rehat kami berkerumun mengelilingi apak Midin yang sedang melaksanakan tugasnya. Apak Midin sentiasa kelihatan senyum, namanya Asrul? Yang berdiri itu Isa, adik Jari dan abang Dolah. Ayahnya ialah ayah Bakar. Sewaktu saya kecil (sebelum sekolah) kami pernah duduk berjiran di kampung Padang Kerbau ( belakang Kampung Lompat). Kami berpindah ke Tanjung Berangan dan keluarga Ayah Bakar pindah ke Batu Kunta. Saya selalu main gasing dengan Jari. Jari dan saya adalah sebaya.
Yang dua orang lagi ialah anak Aziz dan apak Din (nanti saya kupas lagi)

 
Rumah arwah elong Mail pada 1 Januari 2015 dinaiki air banjir, mencecah lantai.