nuff

Sunday, August 5, 2012

Melangkah ke kamar Pengarah

Kini Pengarah Pelajaran Negeri Pahang


Mulai 21 Oktober 2011 saya melangkah ke kamar Pengarah. Saya memikul amanah yang sangat besar. Dalam tempoh 381 hari ini apakah yang mesti saya lakukan? Satu tempoh yang amat singkat. Garis penamatnya ialah 6 November 2012. Saya akan gunakan tempoh itu sebaik-baiknya. Berikut adalah pelan tindakan yang saya mahu lakukan dalam tempoh 381 hari ini.

1.      Saya sememangnya ada kelebihan dari segi pengalaman mengajar di dalam kelas kerana lebih 27 tahun saya keluar masuk bilik darjah. Saya putuskan mahu turun padang bercakap tentang keterampilan dan daya tarikan pengajaran guru. Saya mahu memberi kuliah kepada 5000 orang guru.
2.      Saya mahu mengikuti kursus secara maya melalui EPSA iaitu E-Pembelajaran Sektor Awam yang dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Kursus secara maya ini boleh menjimatkan masa. Saya tetapkan mahu mengikuti tiga jenis kursus. Melalui kaedah ini, saya boleh jimatkan masa dan tidak perlu bayar walau satu senpun. Sudah pasti saya mahu Ketua Sektor dan PPD mengikuti jejak langkah saya.
3.      Saya mahu mengikuti kuliah atau ceramah agama yang dianjurkan oleh Surau  Al-Falah JPNP atau masjid di luar sekurang-kurangnya 10 kali sebagai pengukuhan kerohanian.
4.      Saya tetapkan mahu membaca 12 buah buku motivasi atau pengurusan atau novel yang berkaitan dengan pendidikan.
5.      Saya mahu melakukan riadah bersama rakan atau murid sekolah sekurang-kurangnya 10 kali.
6.      Saya tetapkan pasukan saya bersama ketua sector memantau semua 11 Pejabat Pelajaran Daerah sekurang-kurangnya sekali.

Saya gambarkan tindakan dalam bentuk rajah sarang labah-labah. Berikut adalah gambaran pada 21 Februari 2012. Pencapaian baru 27.2%












Pada 1 Mei 2012 rekod aktiviti saya menunjukkan kemajuan 78.5%. Aktiviti membaca 12 buah buku, Kursus EPSA dan pantau PPD sudahpun mencapai sasarannya lebih awal.













Pada 9 Julai 2012 rekod aktiviti saya menunjukkan kemajuan telah mencecah 96.7%. Dalam masa 184 hari saya telah hampir selesai melaksanakan misi 381 hari ini. Lima bidang aktiviti sudahpun mencapai 100% malah ada yang sudah melebihi sasaran misalnya e-PSA sudah menamatkan empat kursus. Program di surau sahaja yang belum mencecah saran. Pencapaian terkini ialah 8 daripada 10 yang disarankan.











Program Ziarah Guru sangat penting maka saya buat persediaan rapi agar sesi pertemuan itu tidak membosankan. Sekali berjumpa kadang sampai 250 orang guru penuh di dalam dewan. Saya pergi merata pelusuk misalnya Tembangau, Ringlet, Pelangai, Bandar Tun Razak Keratong, Bukit Goh, Paya Teh, Ulu Dong, Bukit Goh, Bukit Betong dan banyak lagi. Pendek kata walaupun tersorok tetapi tidak terpinggir. Saya menyediakan persembahan menggunakan perisian Geometer’s Sketchpad. Saya gabungkan pengalaman dan kemahiran agar persembahan saya mempau memberi sentuhan dan kesedaran baru kepada guru. Paparan pertama merupakan refleksi guru sewaktu berada dalam kelas. Guru membuat refleksi setiap item dan memberi skor antara 1 hingga 10. Skor keseluruhan, K menggambarkan Keterampilan guru itu. Guru berpeluang bertanya diri sendiri bagaimana mahu membaiki kelemahan diri jika nilaiannya amat randah.













Dalam kes yang dipapar di atas ini, item yang paling serious ialah guru tidak kenal muridnya secara dekat dan kurang mesra. Nilai K pada tahap sederhana sahaja.

















Dalam paparan kedua ini, kedudukan guru yang bewarna biru itu memberi kesan besar terhadap Daya Tarikan Pengajarannya.

Berdasarkan maklum balas yang saya terima, penyampaian saya diterima baik dan mereka memberi nilaian cemerlang. Saya mahu kehadiran guru yang berhimpun di dewan sekolah yang kurang selesa itu berbaloi. Saya berharap sesi syarahan saya boleh mengubah sikap guru dan dapat melakukan pengajaran yang lebih berkesan lagi. Saya ibarat orang jual minyak, mesti mahu lariskan jualan dan minyak itu mujarab.


            E Pembelajaran Sektor Awam, EPSA memang menjadi keutamaan saya untuk keperluan kursus secara maya. Saya telah mengikuti empat kursus. Saya telah mendapat kerja sama erat dari pengurusan INTAN Cawangan Trengganu menjalankan kursus pendedahan kepada pegawai di jabatan ini. Sebagai menghargai pegawai yang tamat kursus diberikan hadiah sewaktu Perhimpunan Bulanan. EPSA telah disebar luas ke Pejabat Pelajaran Daerah. Beberapa orang Pegawai Pelajaran Daerah telah menamatkan beberapa kursus. JPN Pahang adalah jabatan yang aktif menggunakan kemudahan kursus secara maya ini. Langkah ini boleh menjimatkan kewangan kerajaan dan masa kerja pegawai.

Mengamalkan Belajar Dari Yang Cemerlang
Biasanya selepas keputusan UPSR diumumkan kita tidak kisah sangat kepada guru yang menghasilkan keputusan yang cemerlang. Kita  setakat mengucap tahniah kepada guru besar sekolah yang cemerlang. Kali ini sebaik sahaja keputusan UPSR diumumkan, saya meminta Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Ketua Sektor Pengurusan Akademik dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah menghimpunkan guru dan guru besar yang menghasilkan keputusan UPSR yang cemerlang di Hotel Sri Malaysia Temerloh pada hujung November 2011. Kini kita baru nampak SK Chat, SK Selancar 2, SK Sentosa, SK Raub Indah, SK Pedah dan banyak lagi turut menyinar. Kumpulan guru yang menghasilkan keputusan yang cemerlang itu dipanggil Guru Nuklius. GN ini berbincang dan menulis pengalaman mereka menghasilkan kecemerlangan mata pelajaran. Tulisan itu dimuatkan di dalam laman blog GEMILANG PAHANG, www.gemilangpahang.net. Barisan GB pula ditugaskan memberi penerangan perkongsian kecemerlanagn kepada GB sekolah lain. Pihak JPN telah mengatur jadual Road Show barisan GB ini ke daearah-daerah. Saya masih ingat semua 26 orang guru besar sekolah orang asli seluruh Pahang berkumpul di PPD Lipis mendengar ceramah pertama barisan GB cemerlang itu. Kita baru berjumpa permata yang bersinar, selama ini tenggelam di dalam lumpur. Kami baru tahu kehebatan Guru Besar SK Chat. Beliau berjaya menggilap sekolahnya yang jauh diceruk. Cikgu Akid Huat, GB SK Tasik Chini berjaya memujuk ibu bapa orang Asli agar memberi perhatian tentang persekolahan anak mereka. Tokoh-tokoh ini sangat istemewa kepada kami. Pihak JPN berjaya menemui best practises cikgu Norazan guru Sains SMK Cliford yang menggunakan Kad Memori membantunya menghasilkan keputusan cemerlang Sains. Pihak JPNP telah menambah baik kad itu dan mencetaknya untuk dikongsikan ke semua sekolah di Pahang. Cikgu Fazli pula menggunakan modul yang diciptanya membantu menghasilkan 17 orang daripada 19 dapat A Sains. Memalui bantuan Yayasan Pahang, modul itu dicetak untuk disebar luaskan ke sekolah lain.  Banyak sekali perkongsian pintar telah berlaku.


Inilah muka depan Blog GEMILANG PAHANG, www.gemilangpahang.net.  Di dalam sarat dengan cerita kecemerlangan yang dihasilkan oleh guru UPSR dan PMR. Terima kasih cikgu.


Masyarakat Tidak Boleh Terima Kemerosotan

Keputusan peperiksaan awam UPSR, PMR, SPM dan STPM negeri Pahang secara keseluruhannya meningkat. Namun begitu ada terdapat beberapa buah sekolah merosot, ada yang merosot teruk. Misalnya ada sekolah murid yang dapat 5A merosot dari 45 orang kepada 9 orang sahaja. Ada sekolah yang tidak ada seorangpun yang dapat 5A tetapi tahun sebelumnya berjaya menghasilkan 5 orang. Ada sebuah sekolah di felda merosot, peratus lulusnya hanya 47%, menjadikannya tercorot dalam senarai sekolah felda di Malaysia. Masyarakat tidak boleh terima keganjilan seperti itu. Saya mulai panas punggung, menanti hari sahaja akan libas oleh ekor pari. Kemerosotan seperti itu sepatutnya dapat dielakkan jika pemimpin sekolah sentiasa memerhati perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolahnya. Pengarah memang tidak dapat melihat secara mikro apa yang berlaku di dalam bilik darjah setiap sekolah di negeri ini. Apa yang saya ramal benar-benar terjadi, dipanggil oleh Dato Sri Sufian makan tengah hari bersama Tan Sri Sidek. Tanggal 11 Februari 2012, saya bersama lima orang pegawai kanan jabatan lain negeri Pahang duduk menghadapi makanan yang enak. Saya nampak gulai kari kepala ikan, gulai tempoyak patin dan macam-macam lagi. Saya duduk berhadapan dengan Tan Sri Sidek. Saya menyuap nasi berhati-hati dan mencapai lauk yang dekat pinggan sahaja. Tan Sri Sidek menyoal Pengarah Kemajuan Negeri, lepas itu giliran Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan pula, lepas itu giliran saya pula. Tan Sri dalam bahasa yang lembut tetapi tajam menyatakan kesalnya atas kemerosotan SK Ceruk Paloh. Memang sepatutnya Tan Sri berkata begitu. Saya tahu penyebabnya, iaitu kemerosotan Bahasa Inggeris. Tan Sri menyatakan tahun 2010 kerap memantau sekolah itu. Sepatutnya pihak sekolah dan JPNP dan PPD mengambil tindakan yang serious pada tahun 2011. Saya memang tidak mahu menyatakan alasan, saya banyak mendengar sahaja. Pada waktu itu saya tiada selera walaupun di hadapan mata ada gulai kelah. Saya memang tidak ingin menyentuh lauk yang enak-enak itu. Kalau boleh saya mahu majlis makan itu cepat cepat selesai, saya mahu ambil tindakan segera memulihkan SK Ceruk Paloh. Saya rasa jarang sekali pengarah negeri dapat duduk berdepan dengan KSN. Saya terima teguran itu dengan dada yang terbuka. Kalau sekolah kampung saya merosot saya juga akan mengamuk. Terima kasih Tan Sri.
            15 Februari 2012. Saya memanggil Guru Besar, GPK SK Ceruk Paloh, PPD Kuantan dan beberapa orang pegawai JPNP. Kami berbincang untuk mencari jalan memulihkan SK Ceruk Paloh. Banyak keputusan dipersetujui antaranya mengadakan jalinan dengan sekolah luar bandar yang cemerlang dan mengadakan aktiviti kokurikulum empat penjuru di SK Convent Cameron Highland. Saya mahu budak Ceruk Paloh melihat rakan di luar dan belajar dari orang yang cemerlang. Seterusnya saya melantik seorang Guru Besar baharu mengambil tempat Guru Besar lama yang tamat perkhidmatannya pada akhir April 2012. Saya memberi nasihat dan taklimat khusus kepada encik Rosli sebagai bekalan untuk mengemudikan SK Ceruk Paloh. Saya berharap sejarah hitam tidak berulang lagi.


            Sewaktu sidang dewan undangan negeri, ramai ahli Yang Berhormat mengambil bahagian berbahas, tiba-tiba seorang YB membangkitkan sebuah sekolah di dalam DUN Pulau Manis merosot dari 45 orang dapat 5A hanya 9 orang dapat 5A. YB itu tidak puas hati mengapa terjadi begitu? Seorang YB lain mencelah, mengatakan itulah akibat pemimpin sekolah yang tidak utamakan kemajuan murid. YB itu seterusnya meminta pihak JPN dan PPD mengambil tindakan memulihkan prestasi yang menjunam itu. Saya terkejut besar dan sangat malu mendengar isu sebuah sekolah merosot keputusan UPSR dibahas di dalam dewan. Kami ketua jabatan hanya boleh mendengar dan jika ada cadangan jawapan boleh tulis dan serahkan kepada EXCO. Saya menulis jawapan yang mengandungi jawapan diserahkan kepada YAB Menteri Besar yang merangkap jawatan EXCO Pelajaran.  Keesokan harinya cerita sekolah merosot itu keluar pula dalam surat khabar. Nampaknya kegembiraan kami atas kejayaan keseluruhan yang meningkat sudah tenggelam dek kerana sebuah sekolah yang merosot teruk itu. Pada mulanya saya rasa marah kepada YB itu tetapi selepas difikirkan sehalus-halusnya memang wajar beliau mengungkit isu itu sebagai tanda YB itu cakne terhadap untung nasib rakyat dalam kawasan beliau. Lagi sekali saya dilibas oleh ekor pari. Sangat pedih rupanya. Saya telah tahu apa sebabnya. Pada tahun 2010, seorang guru cemerlang telah berjaya mengangkat keputusan Bahasa Inggeris. Pada tahun berikutnya beberapa bulan terakhir, guru itu jatuh sakit. Tugas beliau diambil alih oleh guru lain. Itulah sebab utama terjadi keganjilan itu. Saya telah mengambil langkah menghantar seorang guru Bahasa Inggeris yeng berpengalaman mengajar di sekolah itu.


Masyarakat Tidak Mahu Kerja Yang Tidak Bermutu


Saya ada pengalaman masuk ke kedai kopitiam, terus kopi kurang manis. Beberapa minit kemudian pelayan menghantar secawan kopi di bawahnya ada piring alas. Saya kurang senang melihat kopi tumpah ke dalam piring. Saya beritahu pelayan itu, “Minuman di sini mahal harganya, patutnya piring pengalas ini kering.” Pelayan itu tersengeh dan terus lari ke belakang. Saya tidak puas hati terus mengadu kepada pekerja yang jaga meja casher. Tidak berapa lama selepas itu saya menerima secawan kopi yang baru. Saya serik minum di kedai itu. Beberapa bulan kemudian kedai itu didapati tidak beroperasi lagi, mengapa?


            Saya menerima banyak surat aduan dan surat layang. Saya suruh pegawai yang berkenaan siasat dan laporkan kepada saya. Biasanya saya mendapat maklum balas antara seminggu hingga sebulan. Kali ini saya menerima sepucuk surat aduan terhadap seorang guru yang jarang memeriksa buku latihan muridnya. Penjaga itu sebut kelas mana dan nama guru itu. Saya cukup sensitif bila menerima aduan begini. Kali ini saya terus telefon guru besar minta beliau siasat dan ambil tindakan segera.

Saya beritahu guru besar itu, “GB sepatutnya semak kerja guru. Antara kerja yang perlu disemak ialah buku latihan murid. Kita boleh nampak terus mutu kerja guru, teliti, cingcai atau tidak buat apa-apa? Inilah kerja utama GB. Bila nampak kepincangan mesti tegur terus. Inilah hak GB, jangan abaikan tugas ini. Ibubapa mahu kerja yang bermutu. Saya harap GB faham komen saya ini.”

GB terdiam tak sangka tiba-tiba disergah oleh pengarah agaknya.  Kemudiannya beliau berjanji akan siasat. Sampai sekarang saya masih belum dapat jawapan. Saya tetap ingat tugas yang belum selesai ini. Satu hari nanti saya akan tanya GB ini. Betapa ruginya murid yang menerima pengajaran dari guru ini. Terima kasih kepada bapa yang memberi maklumat sebegini. Tugas saya belum selesai.



Memperksakan Pegawai Pelajaran Daerah


Pengarah tidak sempat mendekatkan diri dengan semua guru. Bilangan guru melebihi 27,000 orang seluruh negeri Pahang, tidak mungkin boleh berjumpa dan memberi motivasi kepada semua dalam masa tidak sampai setahun ini. Saya mengambil pendekatan Pengarah dekat dengan PPD, PPD pula dekat dengan pengetua dan guru besar, Pengetua dan Guru Besar dekat dengan guru dan guru dekat dengan anak pelajar. Rasa salin hormat menghormati terjalin dan semangat pasukan terbentuk dek kerana pendekatan Pengarah Turun Padang. Untuk memberi nilai tambah, PPD perlu diperkasakan, perlu diberi pengalaman memantau dan mempraktik inovasi. Saya mahu PPD Pahang mengkaji amalan terbaik di beberapa buah sekolah yang mencapai bai’ah di daearah lain. Saya mahu mereka mendapatkan kelainan dan kehebatan sekolah-sekolah tersebut dan seterusnya boleh dipraktikkan di daerah masing-masing. PPD juga telah memulakan program Resensi Buku di perigkat daerah masing-masing. Ada banyak lagi tindakan inovasi yang PPD telah lakukan. Saya telah wujudkan satu laman blog Anjung PPD Pahang,  www.anjungppdpahang.com sebagai satu medan PPD Pahang memuatkan artikal masing-masing untuk perkongsian dengan PPD lain. Penulisan dalam blog boleh dianggap penulisan peringkat kebangsaan kerana tulisan dalam blog itu dibaca oleh segenap pelusuk alam.





Rekreasi dan Team Building

Walau sibuk macam manapun saya tetap untukkan masa untuk riadah dan rekriasi. Saya bersama guru SMK Sultanah Kalsum mendaki Bukit Pelindung. Saya bersama pelajar tingkatan enam SMK Maran mendaki Bukit Macro Maran. Berikutnya saya bersama pelajar dan guru SMK Sungai Lembing mendaki Bukit Panorama. Pada bulan Mac saya bersama pegawai PPD Maran, PPD Pekan dan guru SMK Seberang Temerloh mendaki Gunung Kinabalu. Walau bagaimanapun saya hanya sampai ke Laban Rata sahaja. Kali ini saya tewas dengan cuaca yang sejuk. Walau bagaimanapun tujuh orang rakan saya berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Saya bersama-sama guru dan pelajar berbasikal sejauh 33 kilometer dari SMK Sungai Soi Kuantan ke Pejabat PPD Pekan. Saya melayani murid-murid sekolah rendah mendaki, menuruni bukit dan mengharungi sungai di belakang Kampung Sentosa, Maran. Saya bersama pemandu dan pegawai JPN Pahang meredah hutan, mendaki bukit hingga sampai di Air Terjun Jerangkang. Ada di antara kami hampir tewas mendaki bukit lebih dua jam tetapi diberi galakan akhirnya sampai juga.  Inilah kursus Team Building yang sangat mencabar. Apabila dapat berendam dalam kolam yang sejuk hilang segala kekusutan.




Lagi Belajar Dari Mereka Yang Cemerlang

Memerhati pola keputusan peperiksaan boleh memberi sesatu yang sangat berguna. Melalui pemerhatian itu kami bertemu beberapa orang guru yang menghasilkan keputusan yang cemerlang. Misalnya cikgu Aminah dari SMK Peramu Jaya dan cikgu Rosidah dari SMK Ubai boleh menghasilkan lebih 40% pelajarnya yang menduduki PMR memperolehi A mata pelajaran Geografi. Ustaz Fatthul Mueim dari SMK Seri Bentong berjaya menghasilkan 90% pelajarnya daapat A Bahasa Arab PMR. Ustaz Fatthul membuktikan melalui kaedah mengajar yang istemewa berjaya memecahkan kebuntuan untuk menghasilkan kecemerlangan mata pelajaran Bahasa Arab ini. Saya meminta pegawai saya di JPN dan PPD memasarkan idea dan best practises ini ke sekolah menengah seluruh negeri Pahang. Saya masukkan cerita kecemerlangan ini di dalam blog Memori Pengetua Pahang, http://memoripengetua.blogspot.com  untuk rujukan lebih ramai guru.


Sebiji permata tiba-tiba bersinar. Permata itu ialah adik Nor Aini Aminah binti Mohd Fuad, pelajar terbaik Pahang yang dapat 4A STPM tahun 2011. Nor Aini dari SMK Temerloh dianugerah Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang. Nor Aini seorang tokoh pelajar yang cerdik, serba boleh dan pandai berpidato. Kami gunakan kesempatan buat road show menemukan beliau dengan semua pelajar tingkatan enam atas seluruh Pahang. Ceramah beliau sangat berkesan dan memberi kesedaran yang mendalam kepada pelajar untuk mengikut jejak langkahnya. Saya sewaktu mendengar ceramahnya pertama kali di Dewan Ampiteater Pekan tidak sedar air mata mengalir ke pipi. Bukan saya seorang sahaja, malah ramai guru dan peserta yang lain juga.

 Saya juga meminta pegawai JPN dan PPD mengadakan jalinan antara sekolah berasrama penuh dengan sekolah harian di sekitarnya. Satu usaha yang bermakna telah dilaksanakan. Pelajar cemerlang mata pelajaran Kimia SBPI Temerloh, SBPI Pekan dan SM Sains Tengku Abdullah Raub telah menjadi fasilitator membimbing seramai 180 orang pelajar sekolah rancangan khas seluruh negeri Pahang. Pelajar yang mengikuti program ini memberi maklum balas yang sangat positif. Mereka cadangkan diadakan banyak lagi program seperti ini. Terima kasih Puan Normah binti Ismail (Pengetua SBPI Temerloh), Puan Lailatun Zalaliah binti Hussain (Pengetua SBPI Pekan), Puan Wan Azizah binti Wan Abd Rafar (Pengetua SM Sains Tengku Abdullah Raub), guru-guru dan pelajar yang menjadi fasilitator yang telah memberi layanan istemewa dan dedikasi melayani pelajar yang bertandang ke sekolah mereka. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa mereka itu. Saya sempat bergambar dengan peserta dari SMKA Tengku Ampuan Afzan yang mengikuti Program A+ Kimia di SBPI Temerloh.



Tindakan Yang Kreatif

Kami mahu menunjukkan rasa prihatin dan sokongan kepada semua anak kami seramai 27000 orang yang akan menduduki UPSR tahun 2012 ini dengan cara menghadiahkan kad ucap selamat yang mengandungi kod JSB bermaksud Jawab Sampai Betul. Timbalan Pengarah, Semua Ketua Sektor dan PPD akan menyerahkan kad ini kepada setiap orang murid dua minggu sebelum mereka menduduki ujian UPSR. Kod JSB mengingatkan murid agar menjawab semula setiap jawapan yang salah. Untuk mendapatkan jawapan yang betul mereka mestilah bertanya guru, berbincang dengan kawan atau merujuk buku. Mereka boleh juga bertanya ibu bapa.  Usaha ini adalah hasil kreativiti pegawai di Sektor Pengurusan Sekolah. Sementara pantun itu adalah hasil ciptaan encik Saruchi bin Sawal. Terima kasih semua.









Saya bersama rakan-rakan tidak henti-henti mencari jalan untuk memajukan pendidikan anak didik di bumi Tok Gajah ini.
 

Sesungguhnya saya bukanlah seorang pengurus yang handal dan bukanlah seorang pengarah yang hebat. Saya juga amat kurang pengalaman sebagai ketua kepada organisasi yang besar ini. Hingga ke saat saya menulis kalimah ini, tempoh perkhidmatan saya sebagai pengarah baru mencecah Sembilan bulan 19 hari atau baru mencecah 324 hari.  Hanya tinggal beberapa tapak sahaja lagi untuk sampai ke penghujung jalan. Jika anda fikir ada di antara tindakan yang saya paparkan ini boleh mendatangkan kebaikan, harap dapat diteruskan. Sesungguhnya inilah sahaja keupayaan yang dapat saya laksanakan. Saya memohon kemaafan atas sebarang kekurangan. Saya sangat menghargai sumbangan anda semua. Hanya Allah SWT yang akan membalas segala kebaikan yang anda curahkan.  Wassalam.



TAMAT






2 comments:

Haslina said...

good job, cikgu. InsyaAllah saya akan war2 kan tentang blog cikgu ini kepada kawan2 saya yang lain supaya sama2 menjadikan cerita2 cikgu sebagai panduan kami.

Al-Manar said...


I am not sure hown many Pengarah Pendidikan Negeri write blog, and if they do with the level of enthusiasm you show here. This particular entry, if I am not mistaken, seems to relate how you reacted on being appointed to this vdery critical post, outlining your planned lines of action up to the end of this year.

You seem to be happy with your level of achievement against your targets. It is then up to those who matter to cast their votes.

It seems such a good idea to get your senior officials to express thier views and performance in the blog www.anjungppdpahang.com. I wonder how active the blog is and whether it has achieved your desired aims. Over ninety entries were made and more than half were in February. What has happened during the last six months? If so many have taken pain to write it is a waste to leave them at that.

I have not spent enough time to enable me to appreciate what you have written. Insya Allah I will. I am greatly handicapped with my poor literary Malay. But the little I have seen I enjoy reading forthright views and thoughts as you have expressed. It is a pity that teachers in general are very guarded iagainst presenting dissenting views, especiallyb to their elders/seniors.

Saya akhiri dengan salaam hormat. Semoga Bulan Ramadhan dan Aidul Fitri yang baru berlalu menambahkan kekuatan berkhidmat keranaNYA untuk masyarakat.

Post a Comment